~Cerpen~

Cinta Musim Luruh


  
Erin Nabila menggengam jari jemarinya.Menggosok-gosok agar mendapat haba dari geseran kedua-dua tangannya.Badannya menggigil kesejukan disapa bayu di bumi Sakura.

Ini kali kedua dia menjejakkan kaki ke negara matahari terbit itu.Tahun lepas dia mengunjungi negara itu pada bulan Oktober.Tahun ini pula dia datang pada bulan November.Oktober dan November di Jepun adalah musim luruh.Musim yang amat disukainya.Musim yang telah mencipta sejarah untuknya.  Musim cinta dalam taman hatinya.Musim yang indah untuk dikenang sepanjang hidupnya.

Jari jemarinya yang merah berinai dipandang dengan seribu makna.Makna yang dia kini sudah pun menjadi suri dalam hidup seorang lelaki.  Lelaki yang ditemuinya lewat musim luruh tahun lalu selepas berlabuhnya musim panas di negara Jepun.

Erin masih ingat kenangan pertama kali dia menjejakkan kaki ke bandar Osaka.Dia mengambil pakej pelancongan bersama keluarganya untuk menikmati musim luruh.Bahkan lagi pada masa itu hatinya sedang sarat kecewa.Kecewa dengan cinta yang tidak kesampaian.Hatinya terasa bagai disiat-siat sehingga dia tidak mampu untuk bekerja dengan baik.Hatinya benar-benar terluka.Parah benar dia waktu itu.

Dilamun cinta dengan rakan sekerja rupanya mengundang kehancuran.  Saat bercinta memanglah manis kerana saban waktu dapat berjumpa.  Namun dia sama sekali tidak menyangka lelaki itu sekadar mahu mempermainkan dirinya.  Kenapalah dia begitu bodoh menilai kaca seperti permata.  Tatkala dia tahu lelaki itu bakal mengahwini gadis lain dia tidak mampu berdepan lagi dengan lelaki itu.  Kerjanya jadi tunggang langgang.Dia gagal bersikap professional.

Erin Nabila mengambil keputusan untuk berhenti kerja dari terus membuat kerja yang sudah umpama melepaskan batuk di tangga.Prestasi kerjanya menurun selari dengan emosi yang tidak stabil.  Dia tidak mahu mem’bankrap’kan syarikat orang dengan sikapnya yang sudah cacar marba.  Lebih baik dia duduk di rumah dahulu atau pun mencari peluang kerja di tempat lain.  Matanya sudah tidak sanggup menangkap kelibat orang yang telah menghancurkan hatinya.Kalau boleh dia tidak mahu melihat langsung wajah orang yang sudah dibencinya itu.Pelbagai perasaan yang mengaganggu jiwanya.Kalau ikutkan tahap emosinya dia layak untuk berjumpa pakar kaunseling.

Keputusannya untuk berhenti kerja disambut baik ibu dan bapanya yang memahami status yang sedang dipikulnya kini.Mereka mengerti perasaan anak dara mereka yang sedang menjalani fasa putus cinta.  Biasalah orang tua kan.  Mereka dulu yang makan garam, gula daripada kita ni. 

Beberapa hari berada di rumah dia ditawarkan oleh ibunya untuk melancong ke Jepun.Umpama orang mengantuk disorongkan bantal Erin bersetuju sahaja memandangkan dia perlu mencari ketenangan.  Barangkali dia akan dapat menstabilkan emosi sedihnya dengan melalui musim luruh yang tidak akan ditemui di negara sendiri.

Setibanya di bandar Osaka mereka menginap di Hotel Nikko.Betapa sejuknya bumi matahari terbit itu.

Mereka bertuah kerana Hari Ekuinoks iaitu Hari Musim Luruh akan diraikan.  Ia satu perayaan tradisi di Jepun sempena musim luruh.  Perayaan ini ditetapkan berdasarkan undang-undang perayaan Jepun (shukujitsu . ho).

Pada malamnya mereka keluar melihat neon-neon yang indah.Menyelusuri bandar Dotonbori dan Shinsaibashi.Membeli pakaian dan cenderahati.
Dia masih ingat sewaktu dia keluar menikmati kenyamanan petang di bandar kedua terbesar Jepun itu.Melihat daun-daun marble yang sudah kemerahan.Daun ginko yang kekuningan di sepanjang jalan.Begitu cantik sekali pemandangan pada musim luruh.Dia tidak lepas merakamkan gambar sebagai kenang-kenangan.Sehinggalah dia tanpa sedar terlanggar seorang lelaki.

“Sorry!” Hanya itu yang terkeluar dari bibirnya tatkala lelaki persis Won Bin itu dilanggarnya.

“Tak apa,” balas lelaki itu yang pandai berbahasa melayu.

Terkesima juga Erin Nabila kerana lelaki seperti bintang Korea itu boleh bertutur dalam bahasa Malaysia.Dek kerana kejadian yang tidak disengajakan dia mengenali lelaki itu.

Rupanya lelaki itu bukanlah orang Jepun.Dia kacukan Malaysia Jepun.Dia datang ke Osaka untuk melawat bapanya yang tinggal di situ.Ibunya pula telah lama meninggal dunia.Dia menetap di Malaysia bersama dengan neneknya.

Perkenalan yang singkat itu membibitkan kemesraan di antara mereka.Sewaktu Erin Nabila melawat Tasik Kawaguchi dan Gunung Fuji lelaki itu turut menemaninya.Angin dingin yang bertiup santai diselang-seli matahari yang sekejap muncul dan hilang hati mereka berpadu.Terciptalah cinta buat mereka di musim luruh itu.

“Kenapa awak tidak tinggal di Jepun bersama dengan bapa awak?”Tanya Erin sewaktu mereka dalam perjalanan ke Gunung Fuji.  Dari tasik Kawaguchi mereka akan mengambil masa sejam lebih untuk tiba di kaki gunung tertinggi di Jepun itu.

“Sebab saya sayang Malaysia,” jawab lelaki separa Jepun yang bernama Hairiz itu.Selamba dan bersahaja.

“Hei seriuslah,” kata Erin yang memerlukan jawapan yang lebih relevan.
“Saya sayangkan nenek saya.Dia telah kehilangan anak perempuannya jadi biarlah saya yang menjadi penemannya,” jelas Hairiz dengan jujur.

“Bapa awak?”Soal Erin lagi.

“Dia telah pun berkahwin.”

“Maksudnya awak mempunyai ibu tiri?”

“Betul tu. Lama juga dia menduda sebelum berkahwin dengan wanita Jepun itu.”

“Awak kecewa bapa awak berkahwin lain?”Erin sengaja menduga lelaki di hadapannya itu.Ingin mengetahui perasaan lelaki itu apabila tempat arwah ibunya telah pun berganti.

“Taklah saya faham dia kesunyian.Saya tidak tinggal dengannya tentulah dia memerlukan teman.”Jawapan yang telus dari seorang anak.

“Awak selalu balik ke Osaka?”

“Lebih kurang empat kali setahun.”

“Baguslah sebab awak tidak pernah lupakan dia.”

“Dia bapa saya mana mungkin saya lupakan dia.”

“Seronoklah awak selalu dapat datang ke Jepun.Saya ni baru je pertama kali datang ke Jepun.”

“Habis bagaimana perasaan awak?Seronok tak?”Hairiz bertanyakan perasaan Erin.

“Mestilah seronok.Bahkan lagi menikmati musim luruh yang indah ini,” balas Erin yang betul-betul teruja dengan pemandangan sekitar sebelum tiba ke Gunung Fuji.

“Kalau macam tu next time saya bawa awak pada musim panas, musim bunga dan musim sejuk pula.”

Erin Nabila mengerutkan keningnya.“Peliknya.Kenapa awak nak bawa saya tanpa sebab? Saya tak beranilah nak ikut awak. Ini pun saya datang dengan family.”

Hairiz ketawa galak.

“Kenapa ketawa?”Geram pula hatinya apabila diketawakan begitu.Dia tidak nampak sebarang kelucuan pada bicaranya.

“Forget it but kata-kata saya tadi tu akan saya buktikan suatu hari nanti.”

Kali ini dahinya pula berkerut.  Misteri baginya kata-kata lelaki yang baru dikenalinya.Penuh teka-teki tapi mampu membuatkan bibirnya menguntum senyum.

“Esok awak akan pulang ke Malaysia?”

“Ya. Saya kan datang dengan pakej pelancongan. Mana boleh duduk lama-lama.Awak lainlah.”

Hairiz mengangguk. “Mungkin minggu depan saya akan balik ke Malaysia.”

“Harap awak tak lupakan saya.” Kata-kata itu hanya mampu bergema dalam hatinya.  Tidak mungkin lidahnya akan bertutur begitu untuk seseorang yang baru muncul dalam hidupnya.

“Apabila saya balik ke Malaysia nanti saya harap kita boleh bêrtemu lagi,” sambung Hairiz apabila gadis di sebelahnya diam tidak berkutik.

“Insyaallah,” hanya itu mampu keluar dari bibir mungilnya.

Selepas itu mereka bertukar-tukar nombor telefon.  Mereka juga berjanji untuk terus berhubung di laman Twitter.

Sekembalinya ke Malaysia Erin memulakan kehidupan baru dengan bekerja di tempat lain.  Tanpa dia duga pejabat barunya berdekatan dengan pejabat Hairiz.Walaupun dia mengelak untuk betemu dengan lelaki itu namun keindahan pertemuan di musim luruh yang lalu menggamit mereka.Sebenarnya Erin sengaja mengelak kerana dia masih dihantui cinta yang lepas.  Dia bimbang akan dikecewa lagi.

Debaran yang selalu bermukim di hati Erin dan Hairiz semenjak di Osaka lagi terus membibitkan cinta yang sukar untuk diungkapkan.Mereka berdua menjalinkan persahabatan yang akrab.Sehinggalah Hairiz membuka mulut untuk melamarnya.

“Erin saya ikhlas mencintai awak.Sejak pertama kali saya memandang awak ketika di Osaka hati saya telah terdetik.Saya amat berharap awak dapat menerima diri saya.”

“Saya takut awak juga akan mengecewakan saya.”

“Tiada sebab untuk saya melukai awak.Saya teramat menghargai pertemuan kita dulu.Saya benar-benar gembira dapat mengenali awak.Saya juga nekad untuk menjadikan awak sebagai suri dalam hidup saya. ”

Pada mulanya Erin Nabila berat untuk menerima huluran cinta kerana hatinya yang masih sakit pedih dikhianati.Namun akhirnya dia menerima kerana ketulusan lelaki itu menawan hatinya.

“Sayang, menung apa ni?” Hairiz menegur isterinya yang kelihatan memandang jauh.

Erin berpaling dan mengukirkan senyuman.“Tidak sangka tahun ni kali kedua Erin akan meraikan musim luruh cuma tempat sahaja yang berbeza.”

“Yalah dulu di Osaka tapi kali ni di Tokyo.Namun tetap pada musim yang telah meraih cinta kita,” balas Hairiz sambil memegang jari jemari isterinya.

Hari ini genap seminggu mereka sah bergelar pasangan suami isteri.Selepas selesai majlis di kedua-dua belah pihak mereka membuat keputusan untuk berbulan madu ke Tokyo demi menikmati cinta musim luruh mereka.

Erin teramat gembira kerana Hairiz sudi membawanya menikmati keindahan musim luruh lagi.  Cinta yang telah berputik pada musim luruh yang lalu kini berkembang segar dan lagi utuh pada musim luruh kali ini.  Semoga musim-musim akan datang cinta mereka akan terus bersemi.

Erin amat bersyukur atas pemberian yang Maha Esa.Segala yang berlaku dulu ada hikmahnya.Allah memberinya hujan supaya dia dapat melihat pelangi.Pelangi yang indah yang telah bertamu di musim luruh dalam sanubarinya.

4 comments:

  1. Assalam. Seronoknya dapat baca e cerpen. Kita punya minat yg sama. Salam ukhuwah dari akak.

    ReplyDelete
  2. Wslm. Salam ukhuwah juga dari uji. Ya kita mempunyai minat yang sama.

    ReplyDelete