Feb 25, 2015

Bab 16 ISTERI DAMBAAN DIA

             

            Melihatkan Artini riang melayan Amalin, Nediesha senyum sahaja.  Dia turut tercuit melihat keletah manja Amalin.  Lucu melihat si kecil ketawa saat diagah.
           
           “Kak Tini…..” panggil Nediesha pada kakaknya.
           
          “Emmm…” Artini jawab dengan deheman lembut.
          
        “Diesha teringin nak ada anak macam Amalin. Diesha nak lahirkan anak buat Rifqi.”
      
         Artini tersentak.  “Syhh! Diesha jangan cakap pasal Rifqi kat rumah nanti mama dengar. Kita kan di ruang tamu ni.”
    
         “Mama di tingkat atas. Kat bilik home teater. Layan DVD dengan daddy.”
  
          “Kenapa sampai berangan nak lahirkan anak buat Rifqi ni? Jauh nampaknya impian Diesha…”

            “Kami dah declare.”

            Terkedu si kakak tapi masih berlagak natural. “Bila?”

            “Minggu lepas.”

            “Diesha tak bertepuk sebelah tangan? Hemm..tapi berani pula Rifqi ni nak bercinta dengan anak jutawan.”

            Nediesha kacip gigi.  Berbahang hatinya dengan sindiran pedas Artini. “Kak Tini jangan mendabik dada dengan harta keluarga kita sehingga merendahkan orang lain. Rifqi tidak hina dengan sambut cinta Diesha. Dia telah buktikan yang dia bukan lelaki pengecut.”
            
        “Diesha tengok Kak Tini ni sombong plus bongkak ke? Kak Tini cakap macam tu sebab Kak Tini yakin tak ke mana pun hubungan Diesha dengan dia. Kalau Diesha ingin tahu natijahnya naik atas beritahu mama sekarang,” cabar Artini keras.
        
       Nediesha ketap bibir. “Kenapa dengan Kak Tini ni? Asyik bangkang, asyik bantah. Mengapa tak mahu sokong Diesha? Kalau begini gayanya Diesha serik nak kongsi cerita dengan akak.”
         
        Tersilap percaturan Artini sedar keterlanjuran.  Lupa dia akan nasihat suami supaya berlembut dengan adiknya.  Nasihat biar berhemah.  Lengan Nediesha diraih.  Dielus lembut.  “Maafkan Kak Tini. Bukan Kak Tini tak mahu fahami Diesha tapi Kak Tini takut kehilangan adik akak ni.”
     
       Kolam mata Artini yang bergenang bintil jernih ditangkap bebola mata Nediesha.  Kakaknya sebak tiba-tiba menimbulkan rawan di hatinya. “Kak Tini tak akan hilang Diesha meskipun Rifqi yang Diesha pilih untuk kemudikan hidup Diesha.”

            “Diesha….kalau akak sudah terasa ngilu fikirkan cabaran yang perlu Diesha tempuh untuk bersama Rifqi manakan Kak Tini sanggup tengok Diesha menempuhnya sendiri di depan mata akak.”

            “Kak Tini jangan biarkan Diesha jatuh tika melaluinya. Pimpin Diesha. Bantu Diesha jika Kak Tini nak lihat Diesha bahagia,” pinta Nediesha sarat dengan pengharapan.

            Mereka berdua bersabung pandang.  Artini tak mampu lawan sebak.  Terngiang kembali kata-kata bapanya. ‘Ya…sebab daddy wali Diesha tapi jangan salahkan daddy andainya adik kamu tu akan kehilangan semuanya.’

Empangan matanya pecah.  Hujan halus turun perlahan membanjiri pipi.  Begitu juga Nediesha.  Galau hatinya mendengar esakan kakak tercinta.  Artini paut tubuh Nediesha ke dalam pelukan.  Mereka berdakap erat disaksikan Amalin yang leka bermain permainannya.







Gerai Char Kuew Tiew di Wangsa Maju sesak dipenuhi pengunjung.  Gerai itu amat terkenal di kalangan penggemar masakan itu.  Rifqi dan Zamri telah berada hampir setengah jam di gerai itu untuk menjamu selera.

“Tak sedap ke Qi, char kuew tiew tu? Nampaknya macam kau kurang selera,” soal Zamri yang telah menghabiskan kuew tiew di dalam pinggannya.

“Sedap cuma kepala aku ni serabut fikirkan hubungan aku dan Nediesha,” jawab Rifqi.  Dikuis-kuisnya makanan bergoreng basah itu dengan sudu.  Sarat dengan udang dan kerang.

“Korang kan dah rasmi jadi pasangan kekasih. Apa yang kau nak serabutkan? Ada lelaki ganggu makwe hot kau tu ke?”

Rifqi angkat garfu di tangannya dan pura-pura mahu cocok mata sahabatnya. “Mulut kau esok kena buat perlindungan insurans.”

Huish! Tahu marah. Tahu cemburu. Sayang gila rupanya kat Nediesha tapi kepala otak berselirat kalahkan wayar bersimpul tu kenapa?”

“Datuk Rosli agaknya dah hidu hubungan kami. Dia tanya aku pasal Diesha. Aku tak mampu Zam nak jelaskan apa-apa. Lebih baik dia tanya Diesha sendiri. Aku tak punya jawapan meskipun hati aku dah jatuh sayang pada Diesha.”

“Aku dah agak akan ada ahli keluarganya yang tahu. Sebesar-besar Sirna Jaya tak selamanya korang boleh bersembunyi. Lambat-laun pasti ada yang nampak. Nediesha tu kerap sangat ke meja kau. Keluar makan dengan kau. Tak mustahillah kalau Datuk Rosli tu tanya. Mulut-mulut longkang pekerja Sirna Jaya pun tak kurang juga Qi. Mesti ada yang cemburu bila kau berjaya raih hati Nediesha tu. Dahlah cantik, kaya pulak.”

Sirap limau yang sudah cair aisnya disedut.  Air mengalir ke kerongkong dan bibir berbicara lagi. “Aku pernah beritahu dia biar kami jadi kawan saja. Itu lebih baik kut….”

“Nak jadi kawan macam mana Qi kalau kau dan dia sama-sama suka? Cinta bukan boleh terhapus sekelip mata. Lebih-lebih lagi Nediesha yang terlebih dahulu sayangkan kau.”

Rifqi menghela nafas. “Aku tak sanggup tengok dia sengsara sebab aku.”

Straw teh o ais Zamri bawa ke bibir.  Disedut air yang masih berbaki di dalam gelas plastik itu sebelum kembali memuntahkan nasihat buat sang sahabat. “Macam nilah Qi. Bincang elok-elok dengan Nediesha. Korang pun masih baru. Panjang lagi masa untuk saling mengenali. Kalau bimbangkan angin datang bertiup hadkan dulu pertemuan korang. Lepas tu bagi Diesha masa untuk bersemuka dengan bapanya.”

Rifqi tolak pinggannya ke tepi.  Berjaya juga dia habiskan char kuew tiew sambil mencerna nasihat sahabatnya itu tadi.   Zamri pula telah bergerak ke depan gerai untuk membayar harga makanan mereka.






Nediesha membelek-belek lembaran novel di dalam biliknya.  Agak lama dia tidak membaca novel melayu.  Sebelum ni ada juga dia membaca novel tetapi novel berbahasa Inggeris.  Novel berkulit merah itu dia capai di bilik bacaan tadi.  Artini yang beli.  Cantik cover novel dari Penerbitan Love Novel ini.  Stilletto merah yang seksi buat kita terliur untuk membaca kisah di dalamnya.

Oops! Suami Aku Bukan Duda.  Oh my! Tajuk yang menggoda.  Ermm…karya penulis baru tapi tak semestinya menghampakan.  Gumam Nediesha.  Muka surat pertama dibacanya setelah dedikasi penulis dia terjah.

Pintu biliknya diketuk dan terdengar suara Engku Masitah memanggil.  Nediesha bingkas membuka pintu dan mempersilakan ibunya masuk.

“Diesha buat apa?”

“Baca ni….” Novel di tangan diangkat tunjuk.

“Baguslah dari keluar berpeleseran malam-malam macam ni.”

Nediesha diam.  Mata masih tala pada kalam-kalam yang tertulis.

“Diesha…malam esok ikut mama ke rumah Datin Mona.  Ada majlis di rumahnya sempena kepulangan anak lelakinya.”

“Tak naklah mama. Diesha tak minatlah join keraian macam tu. Diesha bukannya kenal keluarga Datin Mona tu.”

“Sebab tak kenallah mama nak ajak Diesha pergi tu. Beramah mesra dengan mereka. Boleh kenal-kenal dengan Qusyri.”

“Siapa Qusyri?” Mendatar dengan mata menatap halaman beraksara.

Engku Masitah ukir senyum. “Anak lelakinya yang baru pulang dari London.”

“Oooo….” Nediesha kurang berminat.  Minda kembali fokus menelaah isi novel.

Bahu Nediesha dielus lembut. “Teman mama ya malam esok? Nanti mama belikan baju yang cantik untuk Diesha.”

Nediesha menggeleng.  Dia langsung tidak berminat untuk ikut menyertai majlis sebegitu.  Dapat dibayangkan betapa bosannya dia kat sana nanti.  Sedang mamanya bergelak-ketawa dengan Datin Mona.

“Bolehlah Diesha. Bukannya selalu.” Nada memujuk daripada si ibu.

“Mama ajaklah daddy pergi.” Nediesha menolak dengan mengaitkan bapanya.

Daddy tu daddy. Tapi Diesha tetap kena ikut. Datin Mona dan keluarga dia tu teringin nak kenal Diesha. Nak jumpa Diesha.”

Nediesha mengerutkan kening.  Pelik bunyinya.  Apa kes family dia nak berkenalan dengan aku? Dah kenal mama dengan daddy cukuplah. “Tak naklah mama. Buat apa diorang nak kenal Diesha ni?”

“La…saja nak kenal anak dara mama yang cantik ni. Sebelum ni Diesha kat luar negara. Jadi Datin Mona datang sini pun tengok gambar sajalah. Tu yang dia beria suruh mama bawa Diesha ke majlis rumah dia tu.”

“Tengoklah ma macam mana…..”

“Diesha nak tengok apa lagi. Dah mama tak kira. Malam esok Diesha wajib ikut mama.” Engku Masitah mula bersuara tegas apabila nampak penolakan Nediesha.  Bukan jenis dia mahu memujuk lama dengan lemah-lembut.  Aura tegas dalam dirinya mana boleh dipisahkan.

Nediesha gigit bibir.  Ibunya sudah memaksa.  Mula hendak tunjuk kuasa veto.  Masak benar Nediesha dengan sikap Engku Masitah.  Jawabnya hendak tak hendak dia perlu mengalah.  Kalau tidak nanti tercetusnya perang dingin.  Tak pasal-pasal dia kena heret malam esok untuk turut serta.  Adess!

1 comment: