Feb 22, 2015

Bab 15 ISTERI DAMBAAN DIA



Rifqi geleng kepala berkali-kali tapi tetap ada sengihan yang merekah di tepi bibir.  Sekali lagi mesej yang dihantar Nediesha di bacanya.

Esok Diesha nak test drive your new car.
Feeling excited J

            Rifqi urut pelipis.  Lucu dengan kekasih hati seorang itu.  Mentang-mentanglah hari ni nampak dia dan Zamri merasmikan Myvi hitam itu ke pejabat.  Nediesha sempat menemuinya untuk katakan yang kereta pilihannya itu cantik tertarik dan memang kebaboom.  Pecah gelak si Zamri yang mendengar.  Hendak tawan hati lelaki idaman Myvi yang tidak standing dengan Porsche miliknya itu dipuji sampai ke bulan.
            Jari-jemari tekan aksara mahu titipkan balasan buat si dia di sana.
           
Awak….Myvi kita segan kat Porshe awak.

Sementara menanti SMSnya berbalas.  Rifqi ke dapur lalu bancuhkan air nescafe.  Zamri tiada di rumah.  Katanya keluar dengan Rose.

Tak kira. Kalau Rifqi kedekut sangat….esok Diesha
curi kunci ‘katak’ hitam tu.

Hamboi kereta baru aku digelarnya katak hitam.  Tahulah bontot hitam tu tak urmph macam bontot si seksi yang warna grey metallic tu. Tak boleh jadi ni.  Taip lagi SMS.

Ugut-ugut juga janganlah panggil harta Qi tu katak :-(
Oklah…..esok set Diesha boleh test drive. Waktu lunch.
           
            Kurang tiga minit SMS Nediesha pula masuk ke kotak mesej miliknya.
           
Kalau macam tu Diesha panggil black diamond. Sebab Qi sayang sangat
Kan harta baru tu. Tapi ingat jangan sayang dia lebih dari Diesha tau.
Boleh honey?

Senyum berbunga lagi pada ulas bibir.  Kembang hatinya dipanggil honey.  Kalau beginilah gayanya jatuh cinta berkali-kali lah aku pada kau Artina Nediesha.  Kepala diketuk tapi tangan tetap menari pada keypaid telefon.

Tengoklah macam mana….

Mencik tau!

Awak benci senanglah kita nak undur diri.

Cubalah kalau berani. Artina Nediesha bukan seorang yang mudah
mengaku kalah.

          Air Nescafe diteguk sebelum memberi balasan selamat malam sahaja untuk kekasih yang selalu merindui dirinya itu.  Enggan terus mengganggu gadis itu.  Esok boleh bersua lagi.






            Berdegup jantung Rifqi kala dipanggil masuk ke bilik Datuk Rosli.  Bimbang jika dipanggil kerana urusan peribadi.  Sungguh dia takut jika hubungan cinta yang baru bermula dengan Nediesh telah diketahui lelaki separuh abad itu.  Apa yang dia mahu jawab?  Apa yang perlu dia jelaskan kerana anak gadis lelaki itu yang bersungguh mahukan dirinya?  Mana mungkin dia akan katakan begitu pada lelaki yang dihormatinya itu sedang hatinya juga telah memutik cinta buat Nediesha.  Memutik ke? Bukan memutik tapi dah berkembang segar sebenarnya.

            Tetapi intercom dari Rizal telah jelaskan segalanya.  Berkenaan proposal tentang marketing plan yang Rifqi persembahkan tempoh hari.  Dada terasa sedikit lega untuk gagahkan kaki ke kamar CEO itu.

            Pintu diketuk sebelum ada suara garau yang menjemputnya masuk.  Dengan lafaz bismillahirahmanirrahim daun pintu ditolak dan tubuh dibawa masuk.

            “Duduk Rifqi,” arah Datuk Rosli.

            Dengan sopan Rifqi menarik kerusi dan labuhkan punggung.  Datuk Rosli yang bersandar pada kerusi empuk itu renung tajam wajah Rifqi.  Cuba menelek kesempurnaan fizikal pada jejaka yang dirasakan mempunyai tempat istimewa di hati anaknya.  Ternyata minda dan hatinya bersetuju Rifqi memiliki ketampanan dari segi rupa.  Tubuh sasa dan tinggi melengkapkan lagi pakej yang ada pada dirinya.

            Gemuruh dipandang sebegitu membuatkan Rifqi segan untuk berlawan pandang.  Sorotan mata Datuk Rosli seakan ada pandangan lain yang cuba mentafsir dirinya.

            “Rifqi Ekhsan saya nak bincang pasal proposal yang diserahkan Nik Rizal pada saya. Setelah ditelek dan ditimbang proposal ni saya tolak. Memandangkan Engku Masitah tidak berminat kosmetiknya dipasarkan dalam pack mini. Kuantiti yang kecil akan menambahkan kos dari segi pengeluaran, masa dan jumlah pekerja. Jadi saya harap awak boleh persembahkan lagi idea yang lebih bernas untuk pasarkan Sirna.” Proposal itu ditolak rapat kepada Rifqi.

            Rifqi tarik perlahan proposalnya itu.  Biarpun ada sedikit riak kecewa namun dia tidak mahu berputus asa untuk terus membuktikan kebolehannya. “Baik. Terima kasih datuk.”

            “Apa pun saya puji kekreatifan awak hasilkan proposal ni. Menarik cuma belum mampu tawan chairman Sirna Jaya Kosmetik. Satu lagi tahniah sebab bulan ni awak berjaya naikkan graf kelarisan produk. Kata Rizal you work hard with your team berkenaan iklan di web site antarabangsa tu.”  Datuk Rosli memuji.  Dia tidak mahu anak muda yang berpotensi di hadapannya ini patah semangat.  

            Rifqi koyak senyum.  Berbesar hati mendapat pujian dari hasil kerjanya yang tidak seberapa itu. “Terima kasih sekali lagi datuk. Rasanya saya belum layak mendapat pujian itu.”

            “Terus berusaha ya Rifqi saya tahu awak boleh lakukan.”

            Rifqi mengangguk lalu meminta diri untuk keluar tapi suara garau itu menahannya.  Dia kembali berpaling.

            “Awak sukakan anak saya?”

            Terkesima Rifqi mendengarkan soalan yang tidak terduga itu.  Kejung dia berdiri.  Mahu diangguk atau digeleng pun dia tidak mampu apatah lagi bibir mahu tuntaskan kata.

            “Jujur dengan saya Rifqi.” Tegas arahan yang Datuk Rosli keluarkan.
            Hening suasana umpama negeri yang baru dilanggar garuda.  Kemuncaknya daun pintu Datuk Rosli ditolak dari luar.  Setiausaha Datuk Rosli menapak masuk dan mengingatkan temujanji majikannya bersama Datuk Khir.

            Menyedari Datuk Rosli perlu menemui Datuk Khir, Rifqi undur diri.  Lagi pun isyarat mata CEO itu telah mengarahkannya untuk keluar terlebih dahulu.  Bersyukur dia terselamat pagi itu.  Baginya dalam hal dia dan Nediesha biarlah Nediesha yang menjelaskan.  Nediesha lebih berhak untuk terangkan perkara sebenar mengenai mereka berdua.  Itu yang sebaiknya.






            Mengingatkan janji dengan Rifqi pada waktu makan tengahari Nediesha cepat angkut handbag Versacenya.  Rifqi pasti telah menunggunya di dalam kereta di kawasan parkir pekerja Sirna.

            Laju sahaja dia mengorak menuju ke ‘black diamond’ belahan jiwanya itu.  Senyum tersungging di bibir melihat Rifqi sedia menanti di sit sebelah pemandu.

            Terpandangkan Nediesha, Rifqi keluar dari keretanya.  Pintu sebelah pemandu dibuka dan tangan didepa tanda mempersilakan si dia masuk.  Selepas itu dia bergegas masuk ke bahagian tempat duduk penumpang.

            “Ok ke nak test drive kereta kecik ni?”

            Nediesha jengil mata. “Awak…..”

            Rifqi letus tawa halus.  Dilihatnya Nediesha telah turunkan brek tangan.  Aset barunya itu mula bergerak perlahan.

            “Diesha….. kita jadi kawan sajalah.”

            Nediesha tekan brek.  Kereta mati mengejut.  Alahai dah biasa bawa kereta canggih, asing pula dia bawa kereta buatan Malaysia ni.  Nediesha kemam bibir dan perlahan mengucapkan maaf.

            “Diesha…kita tukar tempat sayang…..”

            Nediesha katup mulut.  Terkejut.  Tersejat darahnya.  Rifqi tergamam.  Tidak percaya dengan ungkapan spontan yang diucapkannya tadi.

            Hening.  Perjalanan diteruskan dengan bertukar pemandu.  Nediesha jeling kekasihnya di sebelah.  Telinga asyik pasang rakaman spontan tadi.  Indah.  Jiwa meminta untuk mendengarnya sekali lagi.

            “Diesha….kita patut hanya jadi kawan,” Rifqi ulang ayat yang tidak mahu didengari Nediesha.  Persoalan yang bermukim di hati bapa Nediesha pasti akan dipantul lagi buatnya.  Dia buntu memikirkan jawapan sekiranya diaju lagi pertanyaan yang serupa padanya.

            “Buat apa jadi kawan sedang hati kita saling menyayangi? Diesha tahu Qi memang cintakan Diesha. Kata-kata spontan tadi tidak menipu.”

            Stereng dipulas bersama keluhan berat yang dilepaskan keras. “Diesha…tak faham. Tadi your dad dah tanya Qi pasal kita.”

            “So bagitahulah kebenarannya.”

            “Diesha…cerita kita baru bermula. Kisah kita baru bertunas. Qi tak mampu jawab apa pada Datuk Rosli. Tolong jangan buat Qi tertekan. Sebelum kita terlajak jauh baik kita mulakannya kembali sebagai kawan biasa.”

            “Nope! Tak akan sama sekali. Diesha akan berterus-terang dengan daddy tentang kita.”

            “Jangan terlampau berani kalau tak mahu makan hati,” nasihat Rifqi kepada figura cantik di sebelahnya.

            “Jangan terlampau takut sehingga menafikan realiti,” pangkas Nediesha tajam.

            Rifqi hela nafas.  Enggan bidas dan tidak mahu menyakitkan hati gadis yang telah menjadi kekasihnya itu.

            Jeda.  Masing-masing layan perasaan sendiri bertemankan suara radio.  Paduan suara Hafiz dan Rossa dalam lagu salahkah elok dituju kepada mereka berdua. 
           
Salahkah ku bila mencintamu sepenuh hati…..
            Sedang ku tahu pasti keluarga tak merestui……
            Biarkan dunia berputar seiring waktu berjalan….
            Sampai saat nanti tiba…..
            Waktu merestui cinta yang terlarang…..
            Untuk kita berdua……

Selepas suara Hafiz dan Rossa berganti dengan suara deejay, Rifqi memberikan isyarat kiri untuk berhenti di kedai nasi campur. Rifqi toleh kepala pada Nediesha. “Boleh kita makan kat sini?”


            Hendak tak hendak Nediesha mengangguk.  Mana mungkin Rifqi mahu ke restoran mewah.  Dia tahu lelaki itu tidak mampu.  Biarpun dia mahu belanja pendirian Rifqi perlu difahaminya.  Dia tahu Rifqi bukan lelaki yang makan duit perempuan.  Tak kesahlah jika di tidak berdaya menelan nasi di kedai pilihan Rifqi.  Minum jus buah pun sudah memadai asal dapat menemani Rifqi makan.

1 comment: