Feb 15, 2015

Bab 14 ISTERI DAMBAAN DIA


        “Rifqi…saya tahu awak juga cintakan saya. Cuma awak takut hendak mengaku disebabkan saya anak orang berada.”  Hatinya amat yakin yang dia tidak bertepuk sebelah tangan.  Gerak laku dan pandangan mata Rifqi dapat dia agak hati lelaki itu juga bergelojak cinta terhadapnya.

“Cik Nediesha….apa yang ada pada saya untuk cik suka? Apa nilainya cinta lelaki seperti saya untuk cik?” soal Rifqi merendah diri.  Menafikan cinta yang telah hadir ngilu rasa di hati tetapi itulah yang terbaik.  Perumpamaan ada kata jika bertubuh kecil janganlah makan banyak.  Kalau nyata sayap itu singkat usah berangan terbang tinggi.

“Saya tak pandang apa yang ada pada awak untuk saya sayang. Cinta bukan dinilai dengan wang ringgit tetapi untuk dirasa dengan hati. Cinta awak akan buat saya bahagia.”

“Cik…sekalipun wujud perasaan saya untuk cik tiada maknanya. Saya tak layak untuk bersama dengan Cik Nediesha.”

“Siapa kata awak tak layak? Awak layak sebab tu awal-awal lagi hati saya sudah jatuh pada awak. Keperibadian awak yang baik sudah cukup untuk bimbing hidup saya.”

“Cik Nediesha saya tidak sempurna. Saya lelaki biasa yang tak punya apa-apa. Saya tidak mampu untuk jadi pembimbing hidup cik. Carilah lelaki yang jauh lebih layak.”

“Jika hati saya tetap untuk awak, saya tak akan mampu Rifqi mencari lelaki lain. Tolong Rifqi katakan awak juga mencintai saya.” Air mata Nediesha jatuh menuruni pipi.  Sungguh dia ikhlas mahukan cinta Rifqi.  Resahnya dia menanggung rindu yang semakin berakar umbi dalam hatinya.

Terkedu Rifqi melihat air mata Nediesha yang mengalir.  Mengalir kerana dambakan cinta dia.  “Cik Nediesha janganlah menangis. Cik akan buat saya rasa bersalah.”

“Rifqi…ucaplah sekali. Saya benar-benar mahu mendengarnya,” rayu Nediesha teresak-esak.  Nediesha gagal melawan emosinya.  Dadanya ini rasa seperti dihentak bertalu-talu.  Selagi tidak mendengar dengan telinga sendiri yang Rifqi Ekhsan punya perasaan pada dirinya, dia tak tenang.  Dia umpama pasir yang rindukan ombak yang datang menghempas.  Membawanya pergi bersama air laut.  Dia benar-benar mahu serahkan hatinya pada Rifqi.

Sayu Rifqi menatap wajah yang sudah lekat di hatinya itu.  Air mata si gadis yang mengalir membuatkan hatinya bertakung sebak.  Tidak sanggup lagi melihat Nediesha bersedih akhirnya Rifqi lafazkan kalimah itu. “Cik Nediesha……saya juga mencintai awak…..”

Kalimah yang Rifqi ucapkan umpama renjatan elektrik yang mengenai tubuhnya.  Buat Nediesha kaku dan terkesima di situ.  Saat dia sedar dan mahu memeluk Rifqi lelaki itu telah hilang dari pandangannya.  Nediesha gosok mata.  Yakin dia memang tidak bermimpi.

Serasa mahu dilaung satu dunia yang dia tidak bertepuk sebelah tangan.  Cintanya sudah bersambut.  Cintanya memang berbalas.  Biarkan putik-putik bahagia itu berkembang mekar dalam hidup Nediesha dan Rifqi.  Meski masih jauh, meski mungkin bersimpang-siur, meski ranjaunya penuh duri semoga mereka mampu menghadapinya.






Rifqi bersandar lelah pada dinding.  Dia kini berada di belakang bangunan pejabat Sirna Jaya.  Lega apabila tulisan hatinya telah diberitahu pada Nediesha tapi dalam masa yang sama dia termengah-mengah.  Bukan tidak cukup nafas kerana berlari tetapi kerana takut untuk menghadapi hari seterusnya.  Hari di mana dia dan Nediesha saling menyintai.  Sah selepas hari ini Nediesha menganggapnya sebagai kekasih.

Bukan dia tidak gembira jauh sekali menyesal mengungkap kata.  Cuma dia masih sedar diri.  Dia bukan anak datuk malah dia bukan anak tan sri.  Dia tak punya apa-apa untuk dibanggakan.  Jika hanya kerana punya sekeping cinta, lelaki lain di luar sana pun bercinta.  Masalah dia sekarang bercinta dengan  anak orang kenamaan.  Entah apa pandangan orang di luar sana terhadap dirinya.  Teringatkan Engku Masitah dan Datuk Rosli hatinya direjam.

Mahukah mereka berdua merestui cinta mereka?  Rifqi cengkam rambutnya.  Dia bahagia dicintai dan disayangi Nediesha.  Jiwanya juga memberontak untuk menyayangi dan melindungi gadis itu.  Tetapi dia tahu jalannya tak mudah.  Harap-harapnya hati gadis itu kental untuk menghadapi jerih-perih menggapai cinta bersama dengannya.






Julia naik hairan memandang Nediesha.  Senyum memanjang dari tadi.  “Wei kau ni tengok wayang ke berkhayal? Sengih berganda yang kau pamerkan tu jarang aku lihat.”

Nediesha tayang gigi.  Siap kerdipkan mata.  “Kau tahu tak yang aku sedang dilamun cinta.”

“Tahu. Memang aku tahu siang malam kau kemaruk kan Rifqi Ekhsan tapi tak perlulah sengih pelik macam tu. Kita ni tengok wayang aksi bukan tengok cerita komedi.”

“Ni yang aku nak bagitahu kau ni. Penyebab aku tersengih tahap petala ni. Sebenarnya Rifqi dah sambut cinta aku.”

Terjongket kening Julia. “Serius babe.”

“Gila kau tak serius. Pagi tadi dia dah lafazkan cinta dia pada aku,” kata Nediesha dengan bangga.  Telapak tangan dilekap ke dada.  Mata dipejamkan seolahnya sedang merasa nikmat cinta yang tidak terhitung.

“Wow! Jatuh cinta juga dia pada kau. Berbaloi lah kau terkejarkan dia selama ni.”

Nediesha kembali buka mata.  “Semestinya. Tak dapat digambarkan perasaan aku kala ini. Hati aku ni kalau kau boleh tengok bukan setakat ada kebun bunga tapi macam kebun-kebun ada.”

“Ceh! Apa pun aku tumpang gembira babe. Aku harap hubungan cinta yang baru bermula ni memberi kebahagiaan pada kau sehingga akhirnya.”

“Amin. Terima kasih Jue…”

“Ermm…Kak Tini dah tahu? Mama dengan daddy kau?”

“Belum. Kau seorang saja tahu. Buat masa ni biarlah keluarga aku tak tahu lagi. Biar cinta kami kukuh dan berpadu erat dulu.”

“Diesha….maaf aku tanya. Kau tak takut ke bercinta dengan Rifqi? Kau tahu kan besar cabaran yang menunggu.”

“Jue….kalau aku tak berani awal-awal lagi aku sudah mengalah. Aku sedar banyak dugaan yang perlu kami tempuh selepas ini. Aku harap sangat Rifqi kuat kerana aku yang membawa dia dalam cinta ini. Berat untuk dia menerima aku bukan kerana tidak cinta tapi kerana dia sedar diri. Aku yang berusaha yakinkan dia tentang keikhlasan cinta aku. Semoga dia tidak menjadi lelaki pengecut.”

Julia genggam tangan Nediesha. “Aku sebagai sahabat akan sentiasa menyokong kau cuma aku nak bagi nasihat sikit. Ingat ya babe walau apa jua situasi kau selepas ini aku minta kau jangan jadi anak derhaka.”

“Jue, why do you say like that?”

Because I know your mum Diesha.”

Don’t worry Jue. Sekarang ni aku mahu bahagia bersama cinta Rifqi dulu. Aku tak nak serabutkan kepala dengan fikir pasal sikap mama. Dahlah…jom layan movie ni. Asyik borak aje kita dari tadi. Dah sampai pertengahan cerita ni.”

Julia angguk. “Alright.” 

Julia dan Nediesha kembali memberi perhatian kepada wayang yang sedang ditayang.  Aksi robot dalam Transformers 4 : Age of Extinction itu difokus sepenuhnya.






Rifqi mengajak Zamri menemaninya pusing bandar bersama Myvi barunya.  Teruja benar dia saat kereta barunya boleh dibawa balik.

“Zam…aku dengan Nediesha dah declare.”

Terkujat Zamri dibuatnya.  Nasib bukan dia yang memandu kalau tak mesti buat emergency break.  “Wow! Congratulations my friend. Finally kau ungkapkan jua cinta kau pada dia.”

“Tapi aku masih keliru dengan apa yang aku putuskan ni Zam. Entah betul entah tidak tindakan aku ni.”

“Yakin dengan diri Qi. Kau dah terima dia jangan undur ke belakang lagi. Yang penting kau perlu bersiap-sedia untuk hadapi segalanya selepas ini.”

Mata fokus memandang jalan yang bertali arus dengan kenderaan. “Macam tak percaya pula aku dah ucapkan cinta pada dia.”

Zamri kalih pandang pada Rifqi yang sedang memandu. “Percaya tak percaya, sekarang ni kau dah jadi kekasih dia.”

Rifqi hirup nafas dan lepaskan bersama keluhan. “Bagaimana Zam, jika aku terlalu sayangkan dia selepas ini? Bagaimana aku perlu hadapi hakikat yang aku kena lepaskan dia?”

“Jadi janganlah sayang dia lebih-lebih.” Mudah Zamri melontarkan buah fikiran. 

“Hati aku berjaya dia buka walaupun aku cuba kunci. Jiwa aku berjaya dikuasai cintanya. Jadi dari hari ke hari aku tak dapat jamin kasih aku padanya akan layu. Pastinya makin bercambah apabila senantiasa disogokkan ungkapan dan senyum manisnya. Kau juga lelaki Zam. Kau tentu dapat merasakan aura gadis seperti Nediesha.”

“Susah sebenarnya Qi soal hati dan perasaan ni. Aku memang nak tengok kau bahagia tapi jika dengan Nediesha aku lebih nampak derita yang bakal kau tanggung. Tapi disebabkan kau tiada pilihan kau teruskanlah. Tentang keluarganya selepas ini kau mesti berani berjuang. Tengok pelangi yang indah selepas hujan. Bukankah warna cantik itu terhasil selepas guruh berdentum? Begitulah dengan erti bahagia. Mana ada insan yang mengecapi bahagia sepanjang masa pasti ada sengsara yang perlu ditempuhinya.”

Rifqi senyum herot pada sahabatnya. “Kelass ayat kau Zam.”

Zamri tegakkan badan.  Dibetulkan kolar bajunya. Sengaja kuis-kuis tepi baju.  Konon buat lagak eksyen, hidung kembang semangkuk.

Rifqi letuskan tawa mengejek.  Sebelah tangannya ditepuk naik ke belakang badan Zamri.

“Woi tengok depan. Kereta bau kedai lagi ni. Karang sondol bontot kereta orang lemaulah kau.” Zamri beri amaran sebelum belakang Rifqi ditepuknya juga sebagai balasan.




            
           Angin petang berdesir lembut menyapa wajah.  Datuk Rosli lepaskan penatnya dengan duduk di gazebo.  Halaman Teratak Masitah yang begitu segar dipandang.  Mata menangkap pohon-pohon Orkid kesayangan isterinya yang dijaga elok oleh Tutty dan Mak Chombi.  Engku Masitah dan Orkid mana boleh dipisahkan.  Isterinya rela terbang jauh untuk dapatkan sendiri pohon Orkid berkualiti.  Kadang-kadang tidak mahu tangan pembantu membelai pohon-pohon kesayangannya itu.  Dia rela ‘mencemar duli’ sendiri untuk melihat pokok Orkid kesayangannya segar melata.
           
         “Daddy kenapa tak masuk lagi?” Tegur Artini yang baru tiba bersama Nik Rizal.  Mereka berdua pulang lebih lewat kerana singgah di pasaraya membeli susu Amalin.  Datuk Rosli dan Engku Masitah pula pulang bersama pemandu.
         
        Datuk Rosli lorek senyum. “Daddy ambil angin sambil cuci mata tengok pokok bunga mama kamu ni.”
     
       “Oh. Untunglah pokok Orkid tu ada orang rindu,” usik Artini bersama sengihan buat bapanya.

            Datuk Rosli tersengih sama.  Kemudian mata dikerlingkan pada Nik Rizal yang setia di sebelah Artini sedangkan bibir yang muntahkan kata tuju pada anaknya. “Tini…daddy nak tanya sesuatu tentang Diesha.”
          
        “Bee naik dulu ya tengok Amalin. Rindu budak busyuk tu,” pinta Nik Rizal seraya berlalu.
      
      Artini mengangguk.  Nik Rizal seakan mengerti yang dua beranak itu perlu berbual tanpa kehadirannya.  Sementelah lagi melibatkan hal anak dara Teratak Masitah ini. 

Artini bawa tubuhnya ke sebelah Datuk Rosli. “Daddy nak tanya pasal Diesha dengan Tini? Mengapa tak diusulkan terus pada tuan punya badan?”
           
         “Dia belum balik. Lagipun daddy rasa Tini pun boleh beritahu.”
       
          Artini kerut kening. “Tentang apa?”

            Mata yang dilapisi kaca mata berbingkai hitam itu tenung air yang mengalir di bahagian lanskap. 
Daddy ternampak Diesha dengan salah seorang kakitangan Rizal. Rifqi kalau tak silap daddy nama pekerja kita tu. Daddy tengok macam ada something. Maksud daddy cara Diesha dekati budak tu. Tini tahu ke pasal dia orang?”
            
           Serasa ada batu yang menghempap bahu.  Itulah yang Artini takuti.  Perihal adiknya diketahui bapa dan ibunya.  Itu yang dia tidak mahu. “Daddy…sebelum Tini beritahu Tini nak tanya dulu. Mama pun ternampak sama ke?”
           
        Datuk Rosli menggelengkan kepala.  Sekaligus membuatkan Artini menarik nafas lega.  Artini yakin Engku Masitah belum tahu apa-apa.  Ibunya jarang berada di pejabat.  Dia dan bapanya yang menguruskan Sirna.  Engku Masitah jika datang ke pejabat pun tak sampai dua jam sudah balik.  Kalau tak keluar shopping, mesti pergi spa belai tubuh atau berjumpa kawan-kawan datinnya.  Tak pun habiskan masa di rumah bersama pohon Orkid dan Amalin.  Kadang-kadang gemar juga dia pergi melancong dengan geng VIP nya.
        
       “Tini belum pernah terserempak tapi Tini tahu daddy. Diesha ada bercerita tapi daddy jangan bimbanglah. Diesha tu memang suka gedik sikit dengan lelaki tampan. Tak kisahlah lelaki tu cuma pekerja biasa di Sirna.”
   
         “Hai kalau sampai adik kamu tu bercerita pasal Rifqi mustahillah kalau tak ada apa-apa. Daddy kenal kamu dua beradik. Diesha tu kalau tak share cerita dengan Tini tak sah.”

            “If dia bercerita pun daddy tak bermakna dia serius. Sekejap aje gedik dia tu sebelum jumpa prince charming sebenar.” Artini masih memutar-belitkan kenyataan yang dia ketahui.

            “Ya ke macam tu? Diesha pernah ajukan daddy tentang persepsi daddy jika bermenantukan lelaki biasa. Maksud dia jika tidak berharta seperti kita.”

            Buntang mata Artini.  Mungkin tidak menyangka adiknya selaju itu.  Jika berani berkias begitu dengan bapanya itu gambaran dia benar-benar mahukan Rifqi menjadi teman hidupnya.  Hatinya mula diamuk resah.  Keliru samada wajar bercerita hal sebenar atau sorokkan sahaja. “So daddy jawab apa?”

            “Tini….daddy tidak memilih dan tidak berhak menetapkan siapa jodoh Diesha. Urusan jodoh bukan di tangan kita. Daddy tidak mahu meletakkan sebarang syarat kepada lelaki yang mahu menyunting adik kamu tu tapi……”

            Bagaikan tahu ayat yang perlu disambung.  Artini buahkan bait seterusnya.  “Mama. Dengan mama yang payah kan? Nediesha tak akan mampu buat pilihan kerana Tini tahu pilihan muktamad di tangan mama.”

            Datuk Rosli gali nafas.  Hembus. “Hem…” mengiyakan kata-kata si anak.

            “Andainya benar telahan daddy….mahukah daddy tolong Diesha satukan dia dengan Rifqi?”

            “Ya…sebab daddy wali Diesha tapi jangan salahkan daddy andainya adik kamu tu akan kehilangan semuanya.”

            Artini meraup wajah.  Mata dipejamkan seolah-olah dia yang takut dengan kenyataan itu.  Jawapan bapanya itu telah menjelaskan situasi yang bakal dihadapi Nediesha kelak.  Tepatlah cubit paha kanan paha kiri sakit juga.  Artini telan liur pahit.

1 comment: