Jan 26, 2015

Bab 12 ISTERI DAMBAAN DIA


Patung beruang sebesar pemeluk ditumbuk-tumbuk geram.  Tak puas dengan itu dikutilnya sekuat hati.  Nediesha lepaskan amarah pada patung yang tidak bernyawa.

“Kenapa kau sombong sangat hah? Aku mesej tak reply. Aku call pun tak mahu angkat. Kau ingat kau siapa nak buat aku macam ni?” Nediesha membentak seorang diri.

Dush! Diterajangnya patung beruang yang tidak bersalah itu ke dinding.  Sungguh dia geram yang teramat.  Tak pernah-pernah dalam hidupnya ditolak lelaki.  Tidak pernah dia jumpa lelaki sombong seperti Rifqi.

“Kau ingat aku main-main ke nakkan kau bodoh! Eei kalau ikutkan hati yang jahat aku umpan kau masuk hotel. Lepas tu biar kita ditangkap basah. Untuk dapat kahwin segera. Nikah free pulak tu.  Tapi aku tak naklah malukan family aku buat macam tu. Aku nak kahwin dengan kau tapi biarlah dengan cara terhormat.”

Nediesha ni siap berangan nak kahwin dengan Rifqi pula.  Cinta dia pun belum bersambut bagaimana nak kahwin.  Nediesha memang sudah mabuk cinta dengan Rifqi Ekhsan.

Nediesha melangkah ke dapur.  Dilihatnya Mak Chombi sedang menyiang lauk di sinki.  Dipeluknya Mak Chombi dari belakang.  Apalagi latahlah orang tua itu.

“Eh aku dipeluk ayam tak ada bulu!”

Berdekah-dekah Nediesha ketawa sambil memegang perutnya.  Ada pula aku dikatakan ayam tak ada bulu.  Memang lawaklah Mak Chombi ni.


Mak Chombi cekak pinggang. “Haih budak ni sedapnya ketawakan kita. Apa lucu sangat ke?”

“Kalau tak lucu Diesha tak gelaklah. Mentang-mentanglah dia dok basuh ayam kita pun dikatakan ayam.”

“Bertuah betul kamu ni kejutkan Mak Chombi. Diesha nak makan apa-apa ke?”

Nediesha buka peti ais.  Diambilnya sebiji epal merah.  “Nak makan ni je.” Dirapatkan epal itu ke bibir lalu digigitnya.

“Kenapa Diesha tak pergi pejabat hari ni? Tak sihat ke?” tanya Mak Chombi mengambil berat.

“Malas,” jawab Nediesha sepatah.  Dia geramkan Rifqi sebenarnya.  Naik lenguh dia membuat panggilan semalam tetapi Rifqi tidak mengangkatnya.  Sebal hatinya dengan perangai tak semenggah lelaki itu.

“Tak bolehlah macam tu Diesha. Walaupun Diesha anak bos tapi kena ada rasa tanggungjawab pada kerja,” Mak Chombi memberi nasihat pada gadis yang telah dianggap seperti anak sendiri itu.  Sejak kecil Nediesha dijaganya.  Nediesha memang rapat dengannya berbanding Engku Masitah.

Mak Chombi pernah diberhentikan kerja kerana sikap sombong Engku Masitah.  Namun disebabkan Nediesha sering menangis dan tidak mahu dijaga pembantu rumah yang baru Datuk Rosli memujuk Mak Chombi bekerja semula dengannya.  Mak Chombi tidak menolak kerana dia teramat sayangkan Nediesha dan Artini.  Tapi perangai Engku Masitah tidak juga berubah.  Akhirnya dia sendiri yang gagal bertahan.  Dihina dan dimaki oleh Engku Masitah benar-benar buat Mak Chombi tawar hati.  Teratak Masitah dia tinggalkan tanpa sebarang pesan.

Jenuh Datuk Rosli memujuk Mak Chombi untuk kembali namun tidak diendahkan.  Nediesha pula sering meragam selepas ketiadaan Mak Chombi.  Nediesha diserang demam panas lalu Engku Masitah rendahkan egonya datang menemui Mak Chombi.  Dipujuknya Mak Chombi biarpun riaknya tetap nampak kurang ikhlas.  Memikirkan tentang kesihatan Nediesha Mak Chombi lembut hati untuk kembali.

Kini sikap Engku Masitah teradun sebati dengan hidupnya.  Kalis sudah telinganya dengan ayat-ayat pedas yang keluar dari wanita sombong itu.  Enggan ambil kesah hidupnya diteruskan di kediaman mewah ini tanpa banyak soal.  Sekarang pun dia sebatang kara.  Mak Chombi tidak berkahwin.  Dia juga tidak mempunyai adik-beradik.  Nediesha dan Artini lah yang menjadi penawar jiwanya.  Kehadiran Amalin Aisya juga telah menceriakan hidupnya kini.

Selaras dengan usianya yang veteran ada pembantu rumah Indonesia yang masih muda digaji untuk membantunya.  Itu pun dah banyak kali bertukar orang.  Bibik Indonesia itulah pula yang sering dimarah Engku Masitah.  Mungkin Engku Masitah sudah naik segan untuk membuli dirinya yang telah lama berkhidmat.  Si Tutty tu pulalah yang menjadi mangsa.  Mak Chombi arahkan Tutty jaga Amalin dan pohon bunga sahaja sebab hal dapur memang tak boleh diberi kepada Tutty.  Selera tekak penghuni Teratak Masitah hanya kena dengan hasil air tangannya.

“Eh…eh Mak Chombi ingat pakwe ke tu?” usik Nediesha.  Sebiji epal di tangannya telah habis dikunyah tapi Mak Chombi kesayangannya masih berkhayal panjang.

Tersengih Mak Chombi mendengarkan usikan itu. “Mak Chombi ni dah tua. Tak adanya nak berpakwe-pakwe. Patutnya Mak Chombi tanya Diesha dah ada marka ke belum?”

Disenggolnya bahu Mak Chombi. “Mak Chombi….Diesha ni cantik tak?”

Senyum saja Mak Chombi.  Ditekapnya kedua belah tangan di pipi Nediesha. “Mestilah cantik. Sekali Diesha senyum pengsan jejaka kat luar sana tu.”

Aduhai Mak Chombi ni.  Memang tak boleh blah lah ayat dia.  “Mak Chombi ni…..apasal pulak tengok orang cantik kena pengsan? Sepatutnya cakaplah berderet yang mahu meminang.”

“Pengsanlah sebab kena panah dek cinta Diesha. Hendak dijamah tak berani, hendak disentuh terbakar jari, boleh dimiliki hanya di dalam mimipi.”

Mengekek ketawa Nediesha mendengarkan ayat puitis Mak Chombi.  Duduk di ceruk dapur pun berbakat juga Mak Chombi.  Sayang sekali tidak diasah.  Kalau tak Mak Chombi glamor sebagai sasterawati negara.  Chewah! 

Tepat dan penuh makna kata-kata Mak Chombi itu.  Nediesha faham dan cukup-cukup mengerti.  Anak Engku Masitah siapa yang berani masuk dekat.  Hanya anak orang kenamaan sahaja yang dipandang ibunya.  Anak orang biasa mampu telan air liur sahaja.  Mendengarkan nama gah Engku Masitah pun merenik peluh mereka mahu mengurat anak daranya.






Tepat jam lima petang Nediesha bulatkan tekad.  Ini agenda terbaru dia.  Kiranya satu perancangan inovatif lah dalam proses memikat Rifqi Ekhsan.  Dia tak masuk pejabat tidak bermakna Rifqi terlepas hari ini. 

Nediesha tahu Rifqi belum memiliki kenderaan.  Dia tahu Rifqi serumah dengan Zamri.  Dan dia juga tahu pulang dan balik kerja Rifqi dengan menaiki Proton Persona milik Zamri. 

Nediesha memakirkan Porshe Boxster miliknya agak tersorok dari pandangan umum.  Dia tidak mahu kedatangannya ke pejabat petang itu diketahui ahli keluarganya.  Dia tahu Engku Masitah ke pejabat hari ni.  Ibunya wajib menghadiri mesyuarat agung tahunan Sirna Jaya Kosmetik.

Elok sahaja Nediesha menyandarkan tubuhnya pada kereta Zamri.  Dengan sabar dia menanti kemunculan buah hatinya.

Rifqi dan Zamri yang sedang berjalan menuju ke kereta tergamam melihat Nediesha.  Nediesha yang ayu mengenakan kemeja pendek merah jambu bersama skirt paras lutut.  Kaca mata hitam yang dikenakannya tampak dia seorang gadis yang elegant.

“Cik Nediesha buat apa dekat kereta saya ni?” tanya Zamri.  Rifqi di sebelah pula berpura-pura tidak mahu campur.

“Saya tunggu cinta hati saya…..” jawab Nediesha dengan melirik manja pada Rifqi.

Rifqi pandang Nediesha.  Bersabung mata mereka yang membangkitkan getaran di jiwa masing-masing.

“Ehem….saya ni dah nak balik Cik Nediesha. Buah hati cik pun dah ada depan mata. Jadi apa kata cik ketepi dulu sebab saya nak masuk. Cik Nediesha nak bawa ke mana pun Rifqi ni silakanlah tapi jangan lupa hantar pulang,” seloroh Zamri.

Rifqi yang mendengar apa lagi disepaknya kasut Zamri tanda memberi amaran. “Eh! Aku balik sekali dengan kau lah.”

Nediesha tersengih.  Dengan selamba lengan Rifqi dipautnya. “Well thank you Zamri. Saya pinjam sekejap housemate awak ni ya?”

Welcome. Silakan…..” Zamri balas bersahaja.  Dengan selamba dia masuk ke dalam keretanya apabila Nediesha telah memberikan ruang.

Terkebil-kebil Rifqi dengan tindakan berani Nediesha  dan kerjasama yang diberikan Zamri.  Dia terdorong mengikut langkah Nediesha apabila lengannya ditarik kuat gadis itu.  Tidak mahu menimbulkan sebarang kekecohan Rifqi akur untuk masuk ke kereta mewah yang berwarna grey metallic itu.  

Rifqi hanya memeluk tubuh sedang Nediesha sudah memulakan pemanduan.  Pertama kali dalam hidupnya duduk berbumbungkan kereta import jenama Porche.  Cantik memang cantik.  Teramat sesuai untuk gadis seperti Nediesha memandunya.  Terasa dirinya sebagai lelaki teramat kerdil saat itu.

Nediesha menoleh pada Rifqi di sebelah.  Sedar keadaan lelaki itu yang kurang senang dengan tindakannya.  “Sorry Rifqi. Saya cuma nak keluar sekejap dengan awak.”

Rifqi berpaling pada Nediesha. “Cik nak bawa saya ke mana?”

Nediesha ukir senyum nakal.  “Pejabat kadi.”

Melopong Rifqi dibuatnya.  Terus ditalakan separuh badannya mengadap Nediesha.  “Cik Nediesha jangan bergurau…..”

Nediesha ketawa melihat wajah pucat Rifqi.  Takut sangat aku ajak kahwin.  Macamlah aku ajak rompak bank. “Janganlah bimbang. Pejabat kadi dah tutup masa ni. Next time kita pergi ya honey…..”

Sekali lagi Rifqi ternganga.  Tak habis-habis Nediesha menggodanya.  Kalau beginilah gayanya, benteng yang dia pertahankan bakal runtuh.  Lelaki manalah yang tahan dengan liuk-lentok gadis cantik seperti Artina Nediesha.  Ayat yang ditaburkan pula sewangi bunga Kenanga.  Heart melting orang yang mendengarnya.  Sementelah lagi di sanubarinya mula berlagu irama yang serupa.

2 comments: