Jan 31, 2015

Bab 13 ISTERI DAMBAAN DIA


          “Hai macam mana dating tadi Qi? Best tak?” Soal Zamri sebaik Rifqi tiba di rumah.  Sempat tadi dia intai Porshe kepunyaan Nediesha yang menghantar sahabatnya.

Rifqi jatuhkan badannya ke sofa. “Best tu memanglah best. Makan sedap kat hotel tu. Masalahnya aku yang segan sebab dia yang belanja.”

“Biarlah Qi. Itu rezeki namanya,” giat Zamri dengan sengih sumbing.

“Yang kau tu tadi bukan main bagi jalan pada Nediesha apa hal? Kau tahu kan yang aku tak nak keluar berdua dengan dia.”

“Aku kasihankan dia. Sanggup dia datang ke Sirna Jaya semata-mata sebab nak bawa kau keluar. Dia kan tak masuk ofis hari ni.”

“Sejak bila kau kasihankan orang lain dari sahabat sendiri ni?”

Lerr der…buat apa nak kasihankan kau. Sepatutnya kau berterima kasih pada aku sebab bagi kau chance keluar makan di hotel five star dengan dia. Siap naik Porshe lagi tu.”

“Aku tak hairanlah semua tu Zam. Itu harta dia, aku sebagai lelaki ni malu. Aku rasa kerdil sangat di sisi dia.”

“Ya aku faham tapi kadang-kadang aku fikir kau perlu bagi peluang tu pada diri kau dan Nediesha. Ketepikan dahulu soal darjat dan keturunan. Cinta hadir untuk kita rasa dan saling menerimanya. Cubalah Qi mana tahu kau dan dia akan menemui bahagia.”

Rifqi geleng kepala. “Tidak semudah itu Zam….”

Zamri tepuk bahu sahabatnya. “Jangan mengaku kalah sebelum berjuang Qi. Jangan berani kata kau akan lemas kalau belum cuba berenang untuk ke seberang. Hati kau dan Nediesha berlagu rentak yang sama. Jadi buat apa kau seksa hati dan perasaan sendiri? Azab Qi menanggung rindu yang tidak terluah. Aku nampak cinta luhur Nediesha terhadap kau. Aku tahu dia ikhlas. Sambutlah cinta dia Qi…..”

“Dengan menyambut cinta dia ke mana hala tuju hubungan kami selepas itu? Menghampiri gerbang perkahwinan? Banyak onak yang menunggu. Aku rasa itu lagi buat Nediesha menderita….”

“Sebab tu aku cakap cuba dulu. Jika kau berani, aku yakin Nediesha juga kuat untuk mengharungi.”

“Aku buntu sekarang Zam. Aku belum mampu putuskan apa-apa. Terlalu complicated. Cinta ini datang tiba-tiba. Dan yang paling menakutkan aku yang dikejar bukan aku yang mengejar.”

“Itu tandanya kau lelaki hebat. Tak perlu terkejar-kejar mencari kerana engkau sudah dikejar,” giat Zamri dengan ketawa.

Rifqi turut ketawa. “Masalahnya letih woi aku berlari kena kejar ni.”

“Tak payah berlari. Kau mengeras aje macam patung. Orang yang mengejar nak peluk ke, cium ke…relakanlah.”

Tersengih Rifqi dibuatnya.  Hakikatnya hati di dalam bercelaru.  Malam ini tidak pasal-pasal Nediesha telah tahu kediamannya bersama Zamri.  Tidak mustahil gadis itu sanggup datang lagi mencarinya ke sini.  Kadang-kadang Rifqi rasa terkepung.  Di pejabat Nediesha tidak pernah putus asa untuk mendekatinya.  Dia yang ingin menjauh tapi matanya rindu ingin melihat wajah gadis itu.  Bibir berpura-pura menolak hakikatnya jiwa ingin menerima.  Tunduk memandang ke lantai bukan kerana dia tidak sudi tapi jantungnya tidak keruan tatkala dihampiri Nediesha.  Ingin berhenti kerja di Sirna Jaya rasanya itu bukan penyelesaian.  Terlalu awal untuk dia menarik diri.  Tidak mahu pula kerjanya dikaitkan dengan masalah peribadi.






Usai memarkirkan kereta Nediesha berjalan dengan senang hati.  Pintu utama telah dibuka Tutty.  Nediesha melangkah masuk dengan senyuman.  Jiwa tengah sakan gembira dapat keluar dengan pujaan hati.

“Diesha dari mana ni? Kata kurang sihat tapi boleh pula keluar merewang.”

Nediesha tersentak.  Wajah serius ibunya dipandang.  Engku Masitah sedang berdiri dengan tangan bersilang di dada. “Err…mana ada merewang. Diesha keluar jumpa kawan sekejap tadi.”

“Kenapa tak inform mama dulu sebelum keluar? Pakai handphone kemain canggih nak taip SMS sepatah untuk mama pun payah ke?” tempelak Engku Masitah.

“Diesha tak nak ganggu mama. Kan hari ni mama attend AGM Sirna Jaya.”

“AGM tu bukan sampai lewat petang. Mak Chombi cakap Diesha keluar rumah pukul 4.30 petang. Sekarang ni dah Maghrib. Pergi jumpa siapa sebenarnya?”

“Lepak-lepak dengan Julia saja….”

“Betul ke dengan Julia? Mama boleh call tanya auntie Azian sekarang juga tau. Jadi elakkan berbohong dengan mama!” Tegas Engku Masitah sinis.

It’s up to you kalau nak anggap Diesha bohong. Atau mama mahu Diesha cakap apa? Keluar dengan Sally. Atau pergi dating dengan pakwe baru?” Pangkah Nediesha tidak mahu mengalah.

Engku Masitah renung Nediesha tajam. “Mama tak suka Diesha berkawan dengan Sally. Berpakwe pun mama tak suka. Cukup Diesha bertukar teman lelaki semasa di UK dulu. Sekarang ni kalau rasa nak berlaki sangat cakap terus dengan mama. Berlambak calon suami yang mama boleh berikan.”

Nediesha cebik bibir. “Berlambak ke berduyun ke….jangan harap seorang pun Diesha berkenan.”

Tiba-tiba muncul Datuk Rosli di tengah-tengah ketegangan dua beranak itu. “Diesha, Mas….apa yang bising-bising ni?”

Engku Masitah dan Nediesha berpaling serentak kepada Datuk Rosli. Tetapi Nediesha yang bersuara dahulu. “Tak ada apa-apalah daddy. Kami bersembang kosong saja.”

“Bersembang kosong mendenya, kalau bunyi macam nak pergi berperang?”

“Berperang? Siapa yang berperang daddy?” Sampuk Artini pula.  Haish makin ramai yang datang menyertai ni.

“Dua beranak nilah…..” Datuk Rosli juih bibirnya ke arah Engku Masitah dan Nediesha.

Artini hantar isyarat mata pada Nediesha seolahnya minta penjelasan tapi Nediesha jungkit bahu sahaja.  Kemudian dia mendekati ibunya.  “Kami gurau-gurau manja sajalah. Daddy tu yang sengaja kasi gempak. Tak gitu mama?”

Engku Masitah ukir senyum plastik. “Ya anakku sayang….”

“Oklah semua. Diesha naik mandi dulu,” pamit Diesha.  Pipi Engku Masitah tak semena diciumnya.  Berlakon atau ikhlas hanya Nediesha yang punya jawapan.
            
            Artini ikut Nediesha naik.  Dia juga ingin tahu ke mana Nediesha pergi petang tadi.
            
           “Buat apa Kak Tini ikut Diesha masuk bilik? Diesha nak mandi ni….” Rungut Nediesha tidak senang.  Dia bagaikan dapat membaca apa yang ada di minda kakaknya.
           
          “Diesha keluar dengan siapa tadi?”
          
          Nediesha yang sedang menanggalkan eksesori di lengannya tidak berniat untuk membohongi Artini.  Baginya tiada apa yang perlu diselindungkan. “Dengan Rifqi.”
       
          “Diesha biar betul? Beraninya….”

            Gelang Pandora dimasukkan ke dalam kotak barang kemasnya. “La…betullah. Habis nak takut apa?”
            
          “Jadi berperang kat bawah tadi sebab mama tahu Diesha keluar dengan Rifqi?”
         
      “Taklah. Bukan berperang pun. Mama tu sibuk mengusul. Bila Diesha cakap keluar dengan pakwe baru tahu pulak dia sentap. Siap cakap berlambak calon suami yang dia boleh bagi pada Diesha. Ingat Diesha ni apa? Barang untuk anak-anak VIP tu semua?”
   
         Artini merapati adiknya. “So mama memang belum tahu pasal Diesha sukakan Rifqi?”

            “Dia tak tahu apa-apa lagi. Lainlah kalau Kak Tini ada beritahu…..”

            “Tak kuasa Kak Tini nak ledakkan perang dengan sengaja beritahu dia. Tapi kalau Diesha tetap berdegil mahukan Rifqi lambat-laun mama akan tahu.”

            Nediesha mencapai tuala lalu disangkutkan ke bahunya. “Biarlah dia tahu. Tak perlulah dia susah-susah mengaturkan jodoh Diesha lagi…..”

            “Diesha ingat bila mama tahu pasal Rifqi keadaan akan jadi lebih mudah ke? Rifqi sendiri tu betul ke sukakan Diesha juga? Setahu Kak Tini Diesha yang tergilakan dia….”

            “Kami gembira keluar bersama tadi. Walaupun Rifqi belum sambut cinta Diesha tapi Diesha yakin dia juga sayangkan Diesha. Diesha nampak semua tu di mata dia….” Nediesha bersuara berbekalkan semangat cintanya untuk Rifqi.
            
           Artini hembus keluhan kasar. “Satu saja Kak Tini boleh cakap sekarang. Diesha sedang buat kerja bodoh.”
         
         Nediesha kacip gigi. “Kak Tini!” Nediesha yang kegeraman menghempas pintu bilik air dengan kuat.  Sengaja tunjuk dia membentak.
           
        Air dipanjut laju ke tubuh.  Biar siraman air itu menyejukkan tubuh dan hatinya yang sedang membara.  Dia menikmati air yang turun membasahi umpama hujan yang turun mencurah.
        
        Biar dianggap buat kerja bodoh dia nekad mahu memiliki Rifqi.  Biar dianggap buat kerja gila namun indah baginya menyintai Rifqi.  Salahkah dia mempunyai perasaan sebegitu?  Salahkah dia menyintai Rifqi Ekhsan yang tak punya apa-apa?
    
        Mata bening milik Rifqi yang meyakinkan dia milik Rifqi.  Naluri wanitanya mengatakan Rifqi adalah Adamnya.  Dia merasakan terciptanya dia daripada tulang rusuk kiri lelaki itu.





            Artini mengomel di dalam biliknya tentang sikap Nediesha.  Nik Rizal yang sedang bermain dengan Amalin mengalih perhatian pada si isteri.  “Tini bebelkan siapa?”
           
           “Diesha tulah. Ikut kepala batu dia. Hempas pintu kuat-kuat sampai nak terbang pintu bilik air dia tu.”
            
         “Tini dari bilik dialah ni?”
         
        “Ya. Tadi Tini mengusul Diesha. Tanya keluar dengan siapa? Tini cakaplah dia buat kerja bodoh sebab tergilakan si Rifqi tu.”
     
       Nik Rizal mengusap lembut lengan isterinya. “Tini….Diesha tu bukan budak-budak lagi. Dia dah besar. Kalau kita semua nak kongkong dia tentu dia memberontak.”

            “Tini tak nak sikap dia timbulkan kekeruhan dalam keluarga kita.”

            “Tini selaku kakak perlu bijak mainkan peranan. Nasihatlah dengan berhemah. Lemah-lembut. Diesha tu hanya ada Tini. Dengan mama jangan harap dia nak luah perasaan. Cuba Tini dekati dia dengan kasih sayang. Selami hati dia. Cuba rasa apa yang dia rasa. Dengar kehendak jiwa dia,” nasihat Nik Rizal penuh diplomasi.
           
          “Sebab Tini berlembut dengan dia selama nilah dia jadi kepala angin macam tu. Masa dia kat UK dulu bukan Tini tak pernah nasihatkan dia. Tini tahu aktiviti sosial dia kat sana. Pasal Paul dan teman lelaki dia yang lain Tini tahu. Tapi segala yang Tini nasihat macam mencurah air ke daun keladi sahaja.”
          
        “Sayang…dulu sayang nasihat pada dia pakai Skype, pakai email dan phone. Sekarang ni dia depan mata. Berbeza sayang. Lebih mudah yang didepan mata. Boleh sentuh, usap dan belai. Cara tu lagi berkesan.”
      
      “Bee….” Panggil Artini manja.
      
      “Emm….” Nik Rizal balas dengan deheman lembut.

            “Rifqi tu baik budaknya kan?”

            Nik Rizal anggukkan kepala. “Dari apa yang bee tengok memang dia bagus. Berdisiplin dan rajin dalam soal kerja. Selalu ke surau tunaikan solat. Jernih saja air muka dia.”

            “Patut ke Tini terus bangkang hubungan mereka sebab mama?”

            “Sebab tu bee cakap Tini perlu rapati adik Tini tu. Kongsi perasaan dia dengan telus. Jika belum dengar penjelasan Tini sudah pangkah bagaimana dia mahu luahkan segalanya. Sebagai kakak Tini perlu buat dia rasa selamat untuk bercerita. Lepas tu baru Tini boleh decide apa yang sepatutnya.”

            “Insya-Allah bee Tini akan cuba. Bee sokong Tini ya?”

            Nik Rizal kucup pipi isterinya dengan kasih sayang. “Mestilah bee akan sokong isteri tercinta bee ni. Bee tak nak tengok isteri bee ni susah hati. Kan Amalin?”

            Artini pamer senyuman. Amalin diraih naik ke riba.  Nik Rizal peluk sayang kedua-duanya.

Jan 26, 2015

Berita gembira




Lama tak update blog. Lama juga tak ketuk papan keyboard.  Lama juga tak sentuh manuskrip novel.  Bukan lupa...bukan sengaja.....bukan juga tak rindu....

Sejak diri rasa kurang bermaya, asyik rasa loya dan pening kepala.  Mood mula jatuh merudum.  Hendak buka facebook dan instagram pun tiada jiwa.

Alhamdulillah itu semua tanda orang baru nak hadir.  Lepas buat pregnancy test keputusannya adalah positif.  Syukur selepas lima tahun aku dan suami bakal mendapat zuriat yang ketiga.

Rindu sudah akan tangisan bayi.  Maklumlah anak yang kedua sudah berusia lima tahun.  2015 pastinya semakin memberi erti buat kami.

Due yang diberikan doktor adalah 1 haribulan Ogos 2015.  Harap-harap tidak lewat seperti kelahiran dua zuriatku sebelum ini.  Sungguh aku, suami dan anak-anak tidak sabar menantikan ahli keluarga baru ini.  Si kakak dan si angah hari-hari jamah perutku yang belum membukit.  Tiga bulan sayang, mana buncit lagi.  Hehe.....

Bab 12 ISTERI DAMBAAN DIA


Patung beruang sebesar pemeluk ditumbuk-tumbuk geram.  Tak puas dengan itu dikutilnya sekuat hati.  Nediesha lepaskan amarah pada patung yang tidak bernyawa.

“Kenapa kau sombong sangat hah? Aku mesej tak reply. Aku call pun tak mahu angkat. Kau ingat kau siapa nak buat aku macam ni?” Nediesha membentak seorang diri.

Dush! Diterajangnya patung beruang yang tidak bersalah itu ke dinding.  Sungguh dia geram yang teramat.  Tak pernah-pernah dalam hidupnya ditolak lelaki.  Tidak pernah dia jumpa lelaki sombong seperti Rifqi.

“Kau ingat aku main-main ke nakkan kau bodoh! Eei kalau ikutkan hati yang jahat aku umpan kau masuk hotel. Lepas tu biar kita ditangkap basah. Untuk dapat kahwin segera. Nikah free pulak tu.  Tapi aku tak naklah malukan family aku buat macam tu. Aku nak kahwin dengan kau tapi biarlah dengan cara terhormat.”

Nediesha ni siap berangan nak kahwin dengan Rifqi pula.  Cinta dia pun belum bersambut bagaimana nak kahwin.  Nediesha memang sudah mabuk cinta dengan Rifqi Ekhsan.

Nediesha melangkah ke dapur.  Dilihatnya Mak Chombi sedang menyiang lauk di sinki.  Dipeluknya Mak Chombi dari belakang.  Apalagi latahlah orang tua itu.

“Eh aku dipeluk ayam tak ada bulu!”

Berdekah-dekah Nediesha ketawa sambil memegang perutnya.  Ada pula aku dikatakan ayam tak ada bulu.  Memang lawaklah Mak Chombi ni.


Mak Chombi cekak pinggang. “Haih budak ni sedapnya ketawakan kita. Apa lucu sangat ke?”

“Kalau tak lucu Diesha tak gelaklah. Mentang-mentanglah dia dok basuh ayam kita pun dikatakan ayam.”

“Bertuah betul kamu ni kejutkan Mak Chombi. Diesha nak makan apa-apa ke?”

Nediesha buka peti ais.  Diambilnya sebiji epal merah.  “Nak makan ni je.” Dirapatkan epal itu ke bibir lalu digigitnya.

“Kenapa Diesha tak pergi pejabat hari ni? Tak sihat ke?” tanya Mak Chombi mengambil berat.

“Malas,” jawab Nediesha sepatah.  Dia geramkan Rifqi sebenarnya.  Naik lenguh dia membuat panggilan semalam tetapi Rifqi tidak mengangkatnya.  Sebal hatinya dengan perangai tak semenggah lelaki itu.

“Tak bolehlah macam tu Diesha. Walaupun Diesha anak bos tapi kena ada rasa tanggungjawab pada kerja,” Mak Chombi memberi nasihat pada gadis yang telah dianggap seperti anak sendiri itu.  Sejak kecil Nediesha dijaganya.  Nediesha memang rapat dengannya berbanding Engku Masitah.

Mak Chombi pernah diberhentikan kerja kerana sikap sombong Engku Masitah.  Namun disebabkan Nediesha sering menangis dan tidak mahu dijaga pembantu rumah yang baru Datuk Rosli memujuk Mak Chombi bekerja semula dengannya.  Mak Chombi tidak menolak kerana dia teramat sayangkan Nediesha dan Artini.  Tapi perangai Engku Masitah tidak juga berubah.  Akhirnya dia sendiri yang gagal bertahan.  Dihina dan dimaki oleh Engku Masitah benar-benar buat Mak Chombi tawar hati.  Teratak Masitah dia tinggalkan tanpa sebarang pesan.

Jenuh Datuk Rosli memujuk Mak Chombi untuk kembali namun tidak diendahkan.  Nediesha pula sering meragam selepas ketiadaan Mak Chombi.  Nediesha diserang demam panas lalu Engku Masitah rendahkan egonya datang menemui Mak Chombi.  Dipujuknya Mak Chombi biarpun riaknya tetap nampak kurang ikhlas.  Memikirkan tentang kesihatan Nediesha Mak Chombi lembut hati untuk kembali.

Kini sikap Engku Masitah teradun sebati dengan hidupnya.  Kalis sudah telinganya dengan ayat-ayat pedas yang keluar dari wanita sombong itu.  Enggan ambil kesah hidupnya diteruskan di kediaman mewah ini tanpa banyak soal.  Sekarang pun dia sebatang kara.  Mak Chombi tidak berkahwin.  Dia juga tidak mempunyai adik-beradik.  Nediesha dan Artini lah yang menjadi penawar jiwanya.  Kehadiran Amalin Aisya juga telah menceriakan hidupnya kini.

Selaras dengan usianya yang veteran ada pembantu rumah Indonesia yang masih muda digaji untuk membantunya.  Itu pun dah banyak kali bertukar orang.  Bibik Indonesia itulah pula yang sering dimarah Engku Masitah.  Mungkin Engku Masitah sudah naik segan untuk membuli dirinya yang telah lama berkhidmat.  Si Tutty tu pulalah yang menjadi mangsa.  Mak Chombi arahkan Tutty jaga Amalin dan pohon bunga sahaja sebab hal dapur memang tak boleh diberi kepada Tutty.  Selera tekak penghuni Teratak Masitah hanya kena dengan hasil air tangannya.

“Eh…eh Mak Chombi ingat pakwe ke tu?” usik Nediesha.  Sebiji epal di tangannya telah habis dikunyah tapi Mak Chombi kesayangannya masih berkhayal panjang.

Tersengih Mak Chombi mendengarkan usikan itu. “Mak Chombi ni dah tua. Tak adanya nak berpakwe-pakwe. Patutnya Mak Chombi tanya Diesha dah ada marka ke belum?”

Disenggolnya bahu Mak Chombi. “Mak Chombi….Diesha ni cantik tak?”

Senyum saja Mak Chombi.  Ditekapnya kedua belah tangan di pipi Nediesha. “Mestilah cantik. Sekali Diesha senyum pengsan jejaka kat luar sana tu.”

Aduhai Mak Chombi ni.  Memang tak boleh blah lah ayat dia.  “Mak Chombi ni…..apasal pulak tengok orang cantik kena pengsan? Sepatutnya cakaplah berderet yang mahu meminang.”

“Pengsanlah sebab kena panah dek cinta Diesha. Hendak dijamah tak berani, hendak disentuh terbakar jari, boleh dimiliki hanya di dalam mimipi.”

Mengekek ketawa Nediesha mendengarkan ayat puitis Mak Chombi.  Duduk di ceruk dapur pun berbakat juga Mak Chombi.  Sayang sekali tidak diasah.  Kalau tak Mak Chombi glamor sebagai sasterawati negara.  Chewah! 

Tepat dan penuh makna kata-kata Mak Chombi itu.  Nediesha faham dan cukup-cukup mengerti.  Anak Engku Masitah siapa yang berani masuk dekat.  Hanya anak orang kenamaan sahaja yang dipandang ibunya.  Anak orang biasa mampu telan air liur sahaja.  Mendengarkan nama gah Engku Masitah pun merenik peluh mereka mahu mengurat anak daranya.






Tepat jam lima petang Nediesha bulatkan tekad.  Ini agenda terbaru dia.  Kiranya satu perancangan inovatif lah dalam proses memikat Rifqi Ekhsan.  Dia tak masuk pejabat tidak bermakna Rifqi terlepas hari ini. 

Nediesha tahu Rifqi belum memiliki kenderaan.  Dia tahu Rifqi serumah dengan Zamri.  Dan dia juga tahu pulang dan balik kerja Rifqi dengan menaiki Proton Persona milik Zamri. 

Nediesha memakirkan Porshe Boxster miliknya agak tersorok dari pandangan umum.  Dia tidak mahu kedatangannya ke pejabat petang itu diketahui ahli keluarganya.  Dia tahu Engku Masitah ke pejabat hari ni.  Ibunya wajib menghadiri mesyuarat agung tahunan Sirna Jaya Kosmetik.

Elok sahaja Nediesha menyandarkan tubuhnya pada kereta Zamri.  Dengan sabar dia menanti kemunculan buah hatinya.

Rifqi dan Zamri yang sedang berjalan menuju ke kereta tergamam melihat Nediesha.  Nediesha yang ayu mengenakan kemeja pendek merah jambu bersama skirt paras lutut.  Kaca mata hitam yang dikenakannya tampak dia seorang gadis yang elegant.

“Cik Nediesha buat apa dekat kereta saya ni?” tanya Zamri.  Rifqi di sebelah pula berpura-pura tidak mahu campur.

“Saya tunggu cinta hati saya…..” jawab Nediesha dengan melirik manja pada Rifqi.

Rifqi pandang Nediesha.  Bersabung mata mereka yang membangkitkan getaran di jiwa masing-masing.

“Ehem….saya ni dah nak balik Cik Nediesha. Buah hati cik pun dah ada depan mata. Jadi apa kata cik ketepi dulu sebab saya nak masuk. Cik Nediesha nak bawa ke mana pun Rifqi ni silakanlah tapi jangan lupa hantar pulang,” seloroh Zamri.

Rifqi yang mendengar apa lagi disepaknya kasut Zamri tanda memberi amaran. “Eh! Aku balik sekali dengan kau lah.”

Nediesha tersengih.  Dengan selamba lengan Rifqi dipautnya. “Well thank you Zamri. Saya pinjam sekejap housemate awak ni ya?”

Welcome. Silakan…..” Zamri balas bersahaja.  Dengan selamba dia masuk ke dalam keretanya apabila Nediesha telah memberikan ruang.

Terkebil-kebil Rifqi dengan tindakan berani Nediesha  dan kerjasama yang diberikan Zamri.  Dia terdorong mengikut langkah Nediesha apabila lengannya ditarik kuat gadis itu.  Tidak mahu menimbulkan sebarang kekecohan Rifqi akur untuk masuk ke kereta mewah yang berwarna grey metallic itu.  

Rifqi hanya memeluk tubuh sedang Nediesha sudah memulakan pemanduan.  Pertama kali dalam hidupnya duduk berbumbungkan kereta import jenama Porche.  Cantik memang cantik.  Teramat sesuai untuk gadis seperti Nediesha memandunya.  Terasa dirinya sebagai lelaki teramat kerdil saat itu.

Nediesha menoleh pada Rifqi di sebelah.  Sedar keadaan lelaki itu yang kurang senang dengan tindakannya.  “Sorry Rifqi. Saya cuma nak keluar sekejap dengan awak.”

Rifqi berpaling pada Nediesha. “Cik nak bawa saya ke mana?”

Nediesha ukir senyum nakal.  “Pejabat kadi.”

Melopong Rifqi dibuatnya.  Terus ditalakan separuh badannya mengadap Nediesha.  “Cik Nediesha jangan bergurau…..”

Nediesha ketawa melihat wajah pucat Rifqi.  Takut sangat aku ajak kahwin.  Macamlah aku ajak rompak bank. “Janganlah bimbang. Pejabat kadi dah tutup masa ni. Next time kita pergi ya honey…..”

Sekali lagi Rifqi ternganga.  Tak habis-habis Nediesha menggodanya.  Kalau beginilah gayanya, benteng yang dia pertahankan bakal runtuh.  Lelaki manalah yang tahan dengan liuk-lentok gadis cantik seperti Artina Nediesha.  Ayat yang ditaburkan pula sewangi bunga Kenanga.  Heart melting orang yang mendengarnya.  Sementelah lagi di sanubarinya mula berlagu irama yang serupa.