Nov 15, 2014

Bab 8 ISTERI DAMBAAN DIA


           Siaran perlawanan bola sepak di antara Pahang dengan pasukan JDT tidak Rifqi hiraukan.  Zamri yang bersorak seorang kala bola berjaya masuk gol.  Zamri orang Johor tentu sahaja dia penyokong JDT.
           
          Lemas melihat gelagat sahabatnya Zamri memerli. “Qi….rumah kita ni tak ada kerusi ke nak duduk? Mundar-mandir saja kau sebiji pak pandir.”
            
         “Tertelan ubat lipas gamaknya kau Zam samakan aku dengan Pak Pandir. Tahulah arwah ayah aku nama Kadir.  Huh! Aku fikirkan adik ipar bos kita tu. Dia merajuk dengan aku.”
         
        “Aik apasal pulak? Pasal meeting tadi tu ke?” Soal Zamri dengan giginya masih ketip biji kuaci.
     
       Rifqi yang tadinya berdiri sandarkan tubuhnya ke sofa murah milik Zamri. “Dia ajak aku keluar dinner.”

           Zamri tunjuk wajah teruja. “Wah untunglah kau. Lepas tu apa lagi pergilah tukar baju. Yang kau masih berkain pelikat ni kenapa?”

            Kuaci di tangan Zamri diambilnya sedikit. Diketipnya kuaci itu. “Eh kau ni. Aku tolaklah yang dia merajuk tu.”

            “Habis tu?”

            “Entah. Aku pun pening dengan dia tu.”

            “Kan aku dah cakap dia suka kau. Alah pergi je makan dengan dia. Bukan buat apa pun.”

            “Cakap senanglah bro. Hari tu sendiri kau ingatkan aku pasal merak dengan gagak. Kalau aku setuju bermakna aku sengaja cari pasal. Dia yang hanya sekadar suka terus jatuh cinta. Tak ke naya?”

            “Ermm betullah Qi. Tak perlu main dengan api nanti terbakar diri.”  Zamri kembali memberi perhatian kepada perlawanan bola itu.

            “Zamri… kau tahu ada perempuan tersalah menelefon aku. Dia sangkakan aku ni teman lama yang dia cari. Nama Rifqi juga. Puas aku cakap dia salah orang dan salah nombor tapi dia degil mengatakan aku kekasih lamanya. Lepas tu siap ajak jumpa lagi untuk buktikan siapa aku.”

            Zamri teguk nescafe o yang telah sejuk di dalam cawan.  “Pelik. Siapa nama perempuan tu?”

            “Artina.”

            “Cantik juga nama. Suara dia macam mana?” Mengalahkan inspektor polis pula si Zamri ni tanya soalan.  Penting ke untuk dia tahu suara perempuan bernama Artina tu?  Haish!

            “Lembutlah juga suara dia,” jawab Rifqi seolahnya kurang berminat hendak bercerita lebih-lebih mengenai gadis ‘wrong number’ itu.
    
        “Betul kau tak pernah ada kawan nama Artina?”

            “Betul. Kalau dengan kau apa kejadah aku nak putar belit cerita?” tukas Rifqi sedikit geram.

            “Lepas tu kau setuju ke untuk jumpa dia?”

            “Itulah yang aku tengah fikir.”
  
          “Pergi sajalah Qi. Lepas dia dah tengok kau bukan orang yang dia cari aku jamin dia tak kacau kau lagi.”
   
         “Kalau tiba-tiba aku atau dia tersyok antara satu sama lain macam mana?”

            “Macam mana apanya? Elok sangatlah tu. Kau tu bukan ada yang punya. Dia yang salah nombor tu jelas-jelas belum bersuami.”

            “Tak adalah Zam. Aku buat lawak saja tu. Tak terlintas langsung sebenarnya ke arah itu. Aku cuma harap dia dapat jumpa Rifqi yang dia cari.”
  
          “Nama lelaki dia cari sebiji nama kau. Apa lagi teruslah jadi pakwe dia Qi….”

           Bahu Zamri ditumbuk Rifqi. “Aku bukan orang yang gemar menangguk di air yang keruh.”
           

           



            Nediesha telah memikirkan tempat yang sesuai untuk berjumpa dengan Rifqi.  Tak sabar pula dia untuk melihat reaksi Rifqi nanti.  Tentu terperanjat Rifqi kerana Artina itu adalah dirinya.  Dia mahu jadikan detik itu jadi indah.  Dia mahu Rifqi tahu rahsia hatinya.  Benar dia sukakan Rifqi Ekhsan.
        
    Jemarinya laju menyentuh abjad-abjad di dada telefon.  Lalu terteralah ayat yang telah ditaipnya untuk Rifqi.
           
Hari ahad ini kita jumpa pukul dua petang.
Dekat Starbucks Berjaya Time Square.

            Nediesha larik senyum bersama butang hantar.  Penuh kesabaran dia menanti balasan dari Rifqi.
           
           Tidak lama kemudian Nediesha mendapat balasan. Hanya dua huruf iaitu O dan K.  Tak kisahlah janji Rifqi telah bersetuju.






            Artini sedang menyusukan Amalin.  Amalin yang berusia dua tahun itu masih menyusu botol.  Nik Rizal senyum bahagia melihat kedua-dua cahaya hidupnya itu.
            
         “Amalin belum tidur lagi sayang?”
         
        Artini berpaling sekilas pada suaminya dengan meletakkan jari telunjuk di bibir.  Isyarat supaya suaminya tidak berbuat bising.  Amalin hampir lena.
     
       Nik Rizal merapati isterinya. “Bee nak cakap pasal Diesha,” bisiknya perlahan.

            “Kenapa dengan Diesha?”

            “Merajuk dalam meeting. Bee tak rasa dia minat join meeting tu. Bee nampak sangat dia cuba raih perhatian Rifqi.”

            “Tini tahu Diesha ada perasaan pada Rifqi. Diesha pun ada mengadu pasal Rifqi tak nak keluar dengan dia.”

            “Ermm…nampaknya dia serius sukakan si Rifqi tu.”

            “Tini dah warning dia supaya batalkan niatnya untuk pikat Rifqi. Gedik dia tu tak bertempat. Rifqi dengan dia mana mungkin boleh bersama. Jadi elok benarlah budak tu tak mahu layan dia.”

            “Tini rasa adik Tini tu dengar ke cakap Tini? Bee tak rasa macam tu. Bukan Tini tak tahu perangai dia.”

            “Ya Tini tahu sebab tu Tini cantas awal-awal.”

            “Tapi kan sayang….jika benar jodoh mereka siapalah kita nak halang.”

            “Bee… si Rifqi tu belum tentu sukakan Diesha. Bee sudah bercakap soal jodoh.”

            “Diesha tu cantik. Mana ada lelaki tak suka dia…….” Tiada reaksi daripada isterinya, Nik Rizal luahkan persoalan pula. “Tini tak suka beriparkan orang biasa seperti Rifqi?”

            Botol susu ditarik perlahan-lahan apabila Amalin benar-benar sudah tidur.  Dahi Amalin dikucup penuh kasih.  Usai itu matanya beralih pada suami. “Tini tak kisah pun beradik iparkan siapa. Tapi disebabkan Tini tahu bagaimana sikap mama Tini perlu bertindak cepat. Tini tidak sanggup melihat Diesha menderita kerana cinta. Tini juga tak rela Diesha sengsara akibat kemarahan mama.”

            Nik Rizal hanya menghantar redup pandangan tanda memahami apa yang dikatakan Artini.  Dia yang bergelar menantu cukup kenal ketegasan ibu mentuanya itu apatah lagi Artini selaku darah daging.  Dalam hati Nik Rizal dia bersyukur menjadi pilihan Engku Masitah.  Memiliki Artini sebagai isteri tiada cacat celanya.  Anak kepada wanita yang bongkak namun Artini tidak mewarisi sifat itu.  Artini Nadila seorang yang mudah dibawa berbincang, mendengar kata dan selalu buat dia gembira.  Senyum Artini bak suria yang menyinarkan seluruh kehidupannya.





Di pondok usang Kampung Simpor Kecil.
           
            Melihatkan kedua-dua orang anaknya begitu berselera menikmati nasi bersama gulai ikan haruan sudah membuatkan perut Mak Miah kenyang.  Namun ada air mata yang bergenang di tubir mata tuanya.
          
        “Mak…awat tak makan lagi?” tegur Aina.  Dia nampak nasi di dalam pinggan ibunya belum terusik sedangkan dia sudah hampir kekenyangan.
     
       Rafiq turut menghentikan suapan.  Penglihatannya teralih pada wajah usia emas di hadapannya. 

Nasi putih hanya dilenyek dengan hujung jari.  Namun fikirannya tidak berada di situ.  Mak Miah dongak pada Aina dan Rafiq.  “Mak dok teringat kat abang hangpa. Lani makan dok gi? Gulai ikan haruan ni abang hang suka sangat.”

“Mak, semalam kan dah sembang dengan Abang Qi. Tahulah pasai gulai ni mak ingat abang. Dia kat sana tentu dah makan mak. Dia bukannya kena tawan sampai tak diberi makan.”

“Hish Abang Fiq ni ada pula habaq lagu tu. Suka ka abang kita jadi tawanan?” Bidas Aina tidak senang dengan ayat Rafiq.

“Hang ni Aina. Cheq bagi contoh saja. Yang hang hangin sangat pasai apo…..” pangkah Rafiq pula. 

“Dah…dah….Hangpa berdua ni nak makan ka nak berkelahi?” Marah Mak Miah.

“Err…minta maaf mak. Hanglah Abang Rafiq….”

Rafiq angkat penumbuk tangan kiri kepada adiknya.  Aina tak mahu mengalah dijelirnya lidah.  Tergeleng-geleng kepala Mak Miah melihatkan kelakuan dua beradik itu. 

Sebelum ini semasa Rifqi berada di kampung dialah yang menjadi orang tengah jika Aina dan Rafiq bertelagah.  Rifqi adalah seorang abang yang bertanggungjawab.  Dia sangat sayangkan Aina dan Rafiq.  Tidak pernah lagi dia menaikkan tangan kepada Aina mahu pun Rafiq.

Dia bangga memiliki anak seperti Rifqi.  Anak yang taat, rajin dan tidak meninggikan suara apabila bercakap.  Walaupun mereka sekeluarga bukan orang senang namun mereka hidup bahagia.  Mak Miah berasa amat beruntung mempunyai anak seperti Rifqi, Aina dan Rafiq.  Mereka bertigalah penawar hatinya semenjak arwah Kadir pergi mengadap Illahi.

1 comment: