Nov 23, 2014

Bab 9 ISTERI DAMBAAN DIA


Tertinjau-tinjau Rifqi mencari gadis yang bernama Artina itu.  Dia diberi klu baju lady putih dan jeans denim warna biru.

Saat ternampak gadis yang berpakaian begitu pantas Rifqi hampiri.  Gadis itu pula membelakangi dirinya.  “Assalamualaikum. Ni ke cik Artina?”

Secepat kilat Nediesha berpaling dengan senyuman penuh madu.  Terloncat juga Rifqi kerana dia salah tegur orang.  Rupanya anak bos yang ditegurnya.  “Err…maaf cik Nediesha. Saya silap orang.”

Nediesha bangun dan berdiri rapat dengan Rifqi. “Awak tak silap orang Rifqi. Sayalah Artina Nediesha.” Separuh berbisik.

Terkedu Rifqi tidak percaya. “Saya cari Artina. Dia adalah orang yang salah nombor menelefon saya.”

“Ya…sayalah Artina tu,” terang Nediesha bersungguh.  Dia ni barangkali terlupa nama penuh aku.  Tak ingat ke pertemuan pertama dalam bilik Abang Rizal tu?

“Cik Nediesha janganlah main-main.” Rifqi mula tak tentu arah.  Bagaimanalah dia boleh terlepas pandang nama penuh anak majikannya.  Ralat dia.  Tak terjangka sama sekali mereka berdua gadis yang sama.

“Erm tak percaya.”  Nediesha capai telefon pintarnya.  Didailnya nombor Rifqi.

Rifqi seluk poket.  Benar nombor gadis ‘wrong number’ tu. “Jadi…cik Nediesha sengaja permainkan saya?”

Please sit down Rifqi. I can explain to you.”

Rifqi akur.  Dia labuhkan duduk.  Serius benar dia pandang wajah Nediesha.  Mindanya sarat berfikir apa motif gadis itu mengenakan dia.

“Saya tak berniat permainkan awak. Saya sekadar menguji dan dengan cara itu kita dapat keluar bersama. Banyak kali awak menolak pelawaan saya jadi apa salahnya kali ini saya kenakan awak.”

Mudahnya perempuan ni ucap kata-kata.  Hari tu dalam telefon yang dia dok bersoksek-soksek apa kes? Baik punya lakonan. Tipah tertipu aku jadinya. “Baiklah kalau macam tu. Sekarang sketsa awak dah tamat Cik Artina Nediesha. Lepas ni tak payahlah pura-pura wrong number lagi. Ingatkan betul cari bekas pakwe tapi rupa-rupanya sengaja permainkan saya.”

“Awak marah Rifqi?”

“Siapa saya nak marah cik? Don’t worry Cik Nediesha saya tak simpan dendam. Dengan ikhlas saya maafkan cik hari ini tapi lain kali janganlah buat perangai macam tu lagi waima pada orang lain.”

“Rifqi awak tak jelas lagi ke mengapa saya bertindak begitu?”

“Jelas…..saya belum buta. Tapi maaflah saya kurang senang dengan tindakan sebegitu.” Sinis bunyinya tapi betul ke perasaan Nediesha difahaminya?

“Saya minta maaf tapi izinkan saya dapatkan Rifqi saya tu.”

Berlapis-lapis dahi Rifqi.  Mulut pun turut sama melopong.  Mata pula dibenamkan pada bebola mata Nediesha.  Cari kesahihan di situ. “Saya tak faham…..”

Malu tapi bibir tetap mahu ucap.  Jantung kembang kencup tetapi hati mahu meluah. Wajah berubah tona tapi lidah yakin untuk ungkap. “Saya…..sukakan awak Rifqi.”

Rifqi tepuk pipi sendiri.  Selama ini pepatah perigi mencari timba tidak dipercayainya.  Kali ini terhempap atas kepala sendiri.  Yakin wujud perigi yang tidak malu mencari timba rupanya.  Namun hatinya belum percaya seratus-peratus.

“Sejak kali pertama tengok awak di bilik Abang Rizal,” sambung Nediesha tanpa segan.

Rifqi mati kata.  Lidahnya kini terpaku di lelangit.  Yang dia nampak jalannya penuh berliku di hadapan.  Bukan tidak gembira mendengar ungkapan gadis cantik di hadapannya tapi Rifqi teramat takut andai itu semua bakal menjadi racun dalam hidupnya.





Usai menunaikan kewajipan pada Illahi Rifqi termenung di tepi tingkap.  Kereta masih banyak bersimpang-siur di jalanan.  Malam pun masih muda untuk dia lelapkan mata.  Pertemuan dengan Nediesha siang tadi kembali mengganggu.  Luahan gadis itu terngiang-ngiang semula ke telinga.  Sesaknya dada kerana hati milik sendiri juga telah berirama.

Musykil dia dengan permainan perasaan ini.  Nediesha gadis elit yang moden boleh tersuka pada dirinya.  Sungguh dia tidak percaya.  Masih terasa dirinya di awangan.  Getaran di hatinya tanpa diundang hadir jua buat gadis itu.  Namun dia sentiasa sedar diri.  Mana mungkin suasa disatukan dengan emas.

Telapak tangan kanan naik meraup wajah.  Bungkam di hadapan Nediesha membuatkan dia tidak keruan untuk menghadapi hari esok.  Hari esok dan seterusnya di Sirna Jaya bertemankan cinta Nediesha?  Huluran cinta itu mustahil untuk disambutnya.  Nediesha salah meletak cinta.  Bukan dia yang selayaknya.

Nediesha umpama kristal mahal yang hanya boleh dipandang tapi tidak boleh dimiliki.  Apatah lagi berangan untuk memiliki.  Dia kristal limited edition buat pembeli yang berkepuk duitnya.  Sungguh Rifqi tidak menyangka Nediesha sanggup menyamar di dalam telefon.  Pelik dia dengan gadis itu.  Mengapa sanggup berusaha begitu hanya kerana dia?  Dia…lelaki yang serba kekurangan ini.  Apakah yang dilihat Nediesha pada dirinya? Bersungguhkah gadis itu mahukan dirinya?

Mengeluh Rifqi sendirian.  Sebelah tangan diletak ke dada cuba merasa degupan jantung sendiri.  Jantungnya tidak berbohong.  Ada degupan yang lahir untuk gadis itu.  Sebelum ini tiada pula rasa itu bertandang buat gadis lain yang dikenalinya. 

Ah mengapa Nediesha?  Terlalu awal lagi kehadirannya di Sirna Jaya.  Terlalu awal juga tempoh perkenalan dengan Nediesha.  Tapi mengapa Nediesha begitu yakin sehingga berani melafaz cinta.  Bingung Rifqi memikirkannya.

Duhai malam indahnya kamu bertemankan rembulan dan bintang.  Aku di sini kelam diselaputi cinta yang tak mungkin untuk dimiliki…….





Di mataku…di hatiku…di jiwaku hanya ada kamu….
Matamu…senyummu…buat ku jadi tak tentu…
Hidungmu…bibirmu….bergetar seluruh tubuhku…..
Di dadaku…di mimpiku….hanya ada kamu….
Gayamu….caramu….buat tak lena tidurku…..
Rambutmu…..kumismu….membakar gelora cintaku….

Nediesha bernyanyi riang sambil melenggokkan punggungnya.  Menari girang dia nampaknya.  Siap menyanyi lagu dangdut.

Rambutnya dikirai dengan jari.  Nediesha kulum senyum seorang diri.  Ditepuknya bibir yang menyanyi lagu Amelina tu.  Tak pernah-pernah dia menyanyi lagu dangdut.  Manalah dia suka lagu macam tu.  Sebelum ni lagu-lagu artis hollywood yang menjadi kegemarannya.  Ini sah penangan cinta.  Sejak dalam bilik air lagi lagu itu dia dendangkan.

Nediesha tongkat dagu dengan tangan kanannya.  Matanya tunak memandang cermin.  Terbias wajah Rifqi di situ.  Walaupun Rifqi membisu tentang perasaannya namun Nediesha tidak akan berputus asa.  Dia yakin hati dan diri Rifqi mampu dimilikinya.

Cinta memang boleh butakan hati dan mata.  Nediesha langsung tidak nampak pancaroba yang bakal ditempuhnya pada hari depan.  Dia bagaikan tidak nampak wajah garang Engku Masitah.  Dia langsung tidak mahu peduli tentang jalan yang bakal direntasinya jika mahu bersama Rifqi.

Boleh menyukai Rifqi dalam masa yang singkat bukanlah sesuatu yang dirancangnya.  Dia juga tidak menduga perasaan itu akan muncul.  Pelik tapi tersangat indah untuk Nediesha.  Dia mahu tidurnya bertemankan mimpi bersama Rifqi.  Dia mahu lenanya didakap cinta untuk Rifqi.

Tiba-tiba khayalannya dicantas.  Lagu All of me nyaring berdendang mengusik gegendang telinganya.  Malas namun tetap bangun untuk menjawab.  Namun melihatkan nama Sally telefon itu dihempas semula ke katil.

Sally kalau call aku pasti tak ada kerja lain. Ajak clubbing,’ gerutu Nediesha sendirian.  Sejak mula kerja di Sirna Jaya, Nediesha jarang keluar malam.  Apatah lagi mahu jejakkan kaki ke club yang biasa dia kunjungi bersama Sally dan beberapa orang lagi temannya.

Dia lebih suka keluar bersama Julia.  Julia tidak suka bersosial pada malam hari.  Malah Julia berpakaian sopan dan menutup aurat.  Jika dibandingkan Julia dan Sally, Julia lagi molek dijadikan sahabat.  Sally dan teman-teman clubbing yang lain hanya mahu mengikis duitnya.  Jika dia tidak berduit mana mungkin mereka semua rapat dengannya.  Masak benar dia dengan perangai Sally.  Belajar sama-sama di UK.  Dalam dan luar Sally dikenalinya.  Apa yang dia tahu Sally mudah dibawa ke tempat tidur oleh teman lelakinya.  Mujur dia tidak terpengaruh.

Ke kelab malam bersama Sally setitik wain pun tidak diteguknya.  Jika dia mahu berbuat kemungkaran pasti wajah daddynya akan terbayang.  Dia tidak sanggup melukakan hati bapanya.  Sementelah lagi mencalit arang ke wajah kesayangannya itu.





Hidangan makan malam sudah siap terhidang  di meja makan.  Datuk Rosli, Engku Masitah, Artini dan Nik Rizal mengambil tempat untuk menjamu selera.

“Tini mana Diesha? Kenapa dia tak turun makan?” tanya Engku Masitah kepada anak sulungnya.

“Tadi sebelum turun Tini ada panggil. Katanya tak mahu makan. Dia nak mandi.”

Berkerut kening Engku Masitah mendengarkan jawapan Artini. “Malam-malam macam ni dia mandi?”

“Tidur waktu maghrib macam tulah Mas,” sampuk Datuk Rosli.

“Tentu keluar lepak dengan kawan-kawan dia siang tadi tu. Balik penat terbungkanglah tidur jawabnya. Apa nak jadi dengan budak tu?”   

“Tak apalah mama, dia kan masih belum kahwin. Nanti dah kahwin tahulah dia macam mana cara betul nak bersosial.”  Artini membela Nediesha. Nik  Rizal juga turut menadah telinga saat perut perlu diisi.

“Kalau begitu gayanya lebih baik mama cari calon suami untuk dia.”

“Mas, bukan masanya lagi. Tak perlu tergesa-gesa. Biar dia berjaya uruskan Sirna dulu,” telah Datuk Rosli dengan lembut.

“Betul tu mama. Tini setuju cakap daddy tu. Awal sangat kalau mama mahu carikan jodoh untuk dia,” tukas Artini.  Hatinya benar-benar takut jika Engku Masitah beria carikan calon untuk Nediesha.  Dia tahu siapa di hati Nediesha sekarang.

Kerabu sotong dicedok ke dalam pinggan. “So setakat ni bagaimana prestasi dia di Sirna?”

Artini pula mencedok tomyam udang ke pinggan dia dan suaminya. “Baik je mama tapi banyak yang Diesha perlu belajar.”

“Tini ajarlah dia. Dalam masa yang sama pantau sikit aktiviti sosial dia tu. Mama tak sukalah dia berkawan dengan orang sembarangan. Budak Sally tu bukan elok perangainya.”

“Mas….Artini ni punya suami dan anak. Takkanlah Nediesha yang besar panjang tu mahu dipantaunya lagi. I yakin Diesha tahu mana yang baik dan buruk. Budak-budak ni tak boleh dikongkong sangat.”

“Li, I bukan apa takut dia pergi bercinta dengan lelaki yang entah apa-apa. Habislah dikikisnya duit kita nanti.” Sejak dulu lagi Engku Masitah memanggil suaminya dengan panggilan singkatan dari nama Rosli.  Mungkin kerana berasal dari keturunan orang yang hebat-hebat  dia tidak gemar memanggil suaminya dengan panggilan seperti yang isteri lain panggil.  Moyang lelaki Engku Masitah adalah kerabat di raja.

Kunyahan nasi terhenti.  Datuk Rosli dapat agak sebenarnya.  Soal harta keutamaan isterinya. “Eh ke situ pula awak. Ingat risau dia berkawan dengan Sally tapi risau dia jatuh cinta.”

“Mestilah kena risau juga pasal tu. Berderet tau nama anak-anak VIP yang boleh saya jadikan senarai calon suami untuk Diesha.”

“Berderet ke berdozen ke biarlah dulu. I tak rasa Nediesha sudah bersedia,” bangkang Datuk Rosli.

“Betul tu mama…..” Artini menyokong bapanya.

“Ermm yelah.” Mendatar sahaja suara Engku Masitah.  Tak kuasa untuk bertekak hal itu di meja makan.  Namun dalam mindanya sudah tercorak agenda tersendiri untuk anak bongsunya itu.

Selepas itu masing-masing menikmati makan malam.  Dalam hati Artini berdoa moga hal Nediesha sukakan Rifqi tidak sampai ke pendengaran ibunya.  Takut membayangkan tsunami kemarahan seorang Engku Masitah.

Nov 15, 2014

Bab 8 ISTERI DAMBAAN DIA


           Siaran perlawanan bola sepak di antara Pahang dengan pasukan JDT tidak Rifqi hiraukan.  Zamri yang bersorak seorang kala bola berjaya masuk gol.  Zamri orang Johor tentu sahaja dia penyokong JDT.
           
          Lemas melihat gelagat sahabatnya Zamri memerli. “Qi….rumah kita ni tak ada kerusi ke nak duduk? Mundar-mandir saja kau sebiji pak pandir.”
            
         “Tertelan ubat lipas gamaknya kau Zam samakan aku dengan Pak Pandir. Tahulah arwah ayah aku nama Kadir.  Huh! Aku fikirkan adik ipar bos kita tu. Dia merajuk dengan aku.”
         
        “Aik apasal pulak? Pasal meeting tadi tu ke?” Soal Zamri dengan giginya masih ketip biji kuaci.
     
       Rifqi yang tadinya berdiri sandarkan tubuhnya ke sofa murah milik Zamri. “Dia ajak aku keluar dinner.”

           Zamri tunjuk wajah teruja. “Wah untunglah kau. Lepas tu apa lagi pergilah tukar baju. Yang kau masih berkain pelikat ni kenapa?”

            Kuaci di tangan Zamri diambilnya sedikit. Diketipnya kuaci itu. “Eh kau ni. Aku tolaklah yang dia merajuk tu.”

            “Habis tu?”

            “Entah. Aku pun pening dengan dia tu.”

            “Kan aku dah cakap dia suka kau. Alah pergi je makan dengan dia. Bukan buat apa pun.”

            “Cakap senanglah bro. Hari tu sendiri kau ingatkan aku pasal merak dengan gagak. Kalau aku setuju bermakna aku sengaja cari pasal. Dia yang hanya sekadar suka terus jatuh cinta. Tak ke naya?”

            “Ermm betullah Qi. Tak perlu main dengan api nanti terbakar diri.”  Zamri kembali memberi perhatian kepada perlawanan bola itu.

            “Zamri… kau tahu ada perempuan tersalah menelefon aku. Dia sangkakan aku ni teman lama yang dia cari. Nama Rifqi juga. Puas aku cakap dia salah orang dan salah nombor tapi dia degil mengatakan aku kekasih lamanya. Lepas tu siap ajak jumpa lagi untuk buktikan siapa aku.”

            Zamri teguk nescafe o yang telah sejuk di dalam cawan.  “Pelik. Siapa nama perempuan tu?”

            “Artina.”

            “Cantik juga nama. Suara dia macam mana?” Mengalahkan inspektor polis pula si Zamri ni tanya soalan.  Penting ke untuk dia tahu suara perempuan bernama Artina tu?  Haish!

            “Lembutlah juga suara dia,” jawab Rifqi seolahnya kurang berminat hendak bercerita lebih-lebih mengenai gadis ‘wrong number’ itu.
    
        “Betul kau tak pernah ada kawan nama Artina?”

            “Betul. Kalau dengan kau apa kejadah aku nak putar belit cerita?” tukas Rifqi sedikit geram.

            “Lepas tu kau setuju ke untuk jumpa dia?”

            “Itulah yang aku tengah fikir.”
  
          “Pergi sajalah Qi. Lepas dia dah tengok kau bukan orang yang dia cari aku jamin dia tak kacau kau lagi.”
   
         “Kalau tiba-tiba aku atau dia tersyok antara satu sama lain macam mana?”

            “Macam mana apanya? Elok sangatlah tu. Kau tu bukan ada yang punya. Dia yang salah nombor tu jelas-jelas belum bersuami.”

            “Tak adalah Zam. Aku buat lawak saja tu. Tak terlintas langsung sebenarnya ke arah itu. Aku cuma harap dia dapat jumpa Rifqi yang dia cari.”
  
          “Nama lelaki dia cari sebiji nama kau. Apa lagi teruslah jadi pakwe dia Qi….”

           Bahu Zamri ditumbuk Rifqi. “Aku bukan orang yang gemar menangguk di air yang keruh.”
           

           



            Nediesha telah memikirkan tempat yang sesuai untuk berjumpa dengan Rifqi.  Tak sabar pula dia untuk melihat reaksi Rifqi nanti.  Tentu terperanjat Rifqi kerana Artina itu adalah dirinya.  Dia mahu jadikan detik itu jadi indah.  Dia mahu Rifqi tahu rahsia hatinya.  Benar dia sukakan Rifqi Ekhsan.
        
    Jemarinya laju menyentuh abjad-abjad di dada telefon.  Lalu terteralah ayat yang telah ditaipnya untuk Rifqi.
           
Hari ahad ini kita jumpa pukul dua petang.
Dekat Starbucks Berjaya Time Square.

            Nediesha larik senyum bersama butang hantar.  Penuh kesabaran dia menanti balasan dari Rifqi.
           
           Tidak lama kemudian Nediesha mendapat balasan. Hanya dua huruf iaitu O dan K.  Tak kisahlah janji Rifqi telah bersetuju.






            Artini sedang menyusukan Amalin.  Amalin yang berusia dua tahun itu masih menyusu botol.  Nik Rizal senyum bahagia melihat kedua-dua cahaya hidupnya itu.
            
         “Amalin belum tidur lagi sayang?”
         
        Artini berpaling sekilas pada suaminya dengan meletakkan jari telunjuk di bibir.  Isyarat supaya suaminya tidak berbuat bising.  Amalin hampir lena.
     
       Nik Rizal merapati isterinya. “Bee nak cakap pasal Diesha,” bisiknya perlahan.

            “Kenapa dengan Diesha?”

            “Merajuk dalam meeting. Bee tak rasa dia minat join meeting tu. Bee nampak sangat dia cuba raih perhatian Rifqi.”

            “Tini tahu Diesha ada perasaan pada Rifqi. Diesha pun ada mengadu pasal Rifqi tak nak keluar dengan dia.”

            “Ermm…nampaknya dia serius sukakan si Rifqi tu.”

            “Tini dah warning dia supaya batalkan niatnya untuk pikat Rifqi. Gedik dia tu tak bertempat. Rifqi dengan dia mana mungkin boleh bersama. Jadi elok benarlah budak tu tak mahu layan dia.”

            “Tini rasa adik Tini tu dengar ke cakap Tini? Bee tak rasa macam tu. Bukan Tini tak tahu perangai dia.”

            “Ya Tini tahu sebab tu Tini cantas awal-awal.”

            “Tapi kan sayang….jika benar jodoh mereka siapalah kita nak halang.”

            “Bee… si Rifqi tu belum tentu sukakan Diesha. Bee sudah bercakap soal jodoh.”

            “Diesha tu cantik. Mana ada lelaki tak suka dia…….” Tiada reaksi daripada isterinya, Nik Rizal luahkan persoalan pula. “Tini tak suka beriparkan orang biasa seperti Rifqi?”

            Botol susu ditarik perlahan-lahan apabila Amalin benar-benar sudah tidur.  Dahi Amalin dikucup penuh kasih.  Usai itu matanya beralih pada suami. “Tini tak kisah pun beradik iparkan siapa. Tapi disebabkan Tini tahu bagaimana sikap mama Tini perlu bertindak cepat. Tini tidak sanggup melihat Diesha menderita kerana cinta. Tini juga tak rela Diesha sengsara akibat kemarahan mama.”

            Nik Rizal hanya menghantar redup pandangan tanda memahami apa yang dikatakan Artini.  Dia yang bergelar menantu cukup kenal ketegasan ibu mentuanya itu apatah lagi Artini selaku darah daging.  Dalam hati Nik Rizal dia bersyukur menjadi pilihan Engku Masitah.  Memiliki Artini sebagai isteri tiada cacat celanya.  Anak kepada wanita yang bongkak namun Artini tidak mewarisi sifat itu.  Artini Nadila seorang yang mudah dibawa berbincang, mendengar kata dan selalu buat dia gembira.  Senyum Artini bak suria yang menyinarkan seluruh kehidupannya.





Di pondok usang Kampung Simpor Kecil.
           
            Melihatkan kedua-dua orang anaknya begitu berselera menikmati nasi bersama gulai ikan haruan sudah membuatkan perut Mak Miah kenyang.  Namun ada air mata yang bergenang di tubir mata tuanya.
          
        “Mak…awat tak makan lagi?” tegur Aina.  Dia nampak nasi di dalam pinggan ibunya belum terusik sedangkan dia sudah hampir kekenyangan.
     
       Rafiq turut menghentikan suapan.  Penglihatannya teralih pada wajah usia emas di hadapannya. 

Nasi putih hanya dilenyek dengan hujung jari.  Namun fikirannya tidak berada di situ.  Mak Miah dongak pada Aina dan Rafiq.  “Mak dok teringat kat abang hangpa. Lani makan dok gi? Gulai ikan haruan ni abang hang suka sangat.”

“Mak, semalam kan dah sembang dengan Abang Qi. Tahulah pasai gulai ni mak ingat abang. Dia kat sana tentu dah makan mak. Dia bukannya kena tawan sampai tak diberi makan.”

“Hish Abang Fiq ni ada pula habaq lagu tu. Suka ka abang kita jadi tawanan?” Bidas Aina tidak senang dengan ayat Rafiq.

“Hang ni Aina. Cheq bagi contoh saja. Yang hang hangin sangat pasai apo…..” pangkah Rafiq pula. 

“Dah…dah….Hangpa berdua ni nak makan ka nak berkelahi?” Marah Mak Miah.

“Err…minta maaf mak. Hanglah Abang Rafiq….”

Rafiq angkat penumbuk tangan kiri kepada adiknya.  Aina tak mahu mengalah dijelirnya lidah.  Tergeleng-geleng kepala Mak Miah melihatkan kelakuan dua beradik itu. 

Sebelum ini semasa Rifqi berada di kampung dialah yang menjadi orang tengah jika Aina dan Rafiq bertelagah.  Rifqi adalah seorang abang yang bertanggungjawab.  Dia sangat sayangkan Aina dan Rafiq.  Tidak pernah lagi dia menaikkan tangan kepada Aina mahu pun Rafiq.

Dia bangga memiliki anak seperti Rifqi.  Anak yang taat, rajin dan tidak meninggikan suara apabila bercakap.  Walaupun mereka sekeluarga bukan orang senang namun mereka hidup bahagia.  Mak Miah berasa amat beruntung mempunyai anak seperti Rifqi, Aina dan Rafiq.  Mereka bertigalah penawar hatinya semenjak arwah Kadir pergi mengadap Illahi.

Nov 5, 2014

Bab 7 ISTERI DAMBAAN DIA


Jam di pergelangan tangan ditilik sekilas.  Sedar sudah terlewat namun Nediesha masih berlenggang kangkung.  Kedudukan yang disandangnya di Sirna tidak membuatkan dia terkejar-kejar menghambat masa.  Nediesha belum menunjukkan disiplin yang bagus baik dari segi pengurusan masa atau kerja.  Jika pekerja lain berebut untuk punch kad dia terkecuali.  Jangan haraplah dia mahu terikat dengan disiplin kedatangan seperti itu.

Pintu lif yang separa ternganga menampakkan susuk tubuh yang dikenali membuatkan dia kalut menekan butang naik.  Lif ternganga luas kembali dan Nediesha berjaya menerpa masuk.  Senyum lebar dia apabila dapat berdua dengan Rifqi dalam ruang yang sempit itu.

Morning Rifqi,” ucap Nediesha tanpa sekelumit pun segan untuk menegur pekerja bawahan seperti Rifqi. 

Sepatutnya Rifqi yang perlu mulakan sebagai menghormati jawatan yang disandang Nediesha tapi memandangkan dia arif benar kedegikan melampau Nediesha terhadapnya.  Dia enggan beramah-tamah dengan gadis itu.  Nanti makin naik tocang dia juga yang menanggung rimas.

Rifqi tunduk tetapi tetap membalas ucapan selamat pagi anak majikannya itu.  Nampaknya wajah cantik yang bersolek nipis itu tidak laku untuk Rifqi bila dia lebih berminat tenung muka lantai yang dipijaknya.

Tidak mahu mengalah tubuh langsingnya dibawa rapat ke badan tegap yang memakai kemeja biru berjalur putih itu. “Rifqi…cakap cukup bulan mahu tebus janji.”

Rifqi jarakkan tubuhnya ke tepi dinding.  Sebelah kening Rifqi berkerut. “Saya segan nak pelawa Cik Nediesha jika sekadar ke kedai mamak.”

“Saya tak kesah Rifqi. Asal dapat keluar dan makan bersama awak.”

Rifqi dongakkan kepala.  Terdetik menyesal dengan kelancangan mulutnya.  Baginya Nediesha tidak akan ingat barangkali. “Maaf saya perlu memungkirinya.”

“Orang macam awak rupanya tidak boleh dipercaya. Hari tu bukan main berani sekarang cuba lari pula,” Nediesha memprovok.  Rasa dipermainkan pula.  Dia tidak sabar menunggu Rifqi mengajaknya keluar makan tapi sehingga ke hari ini Rifqi buat tidak tahu.

Pintu lif terbuka.  Rifqi dan Nediesha sama-sama atur langkah keluar dari kotak besi itu.  “Cik Nediesha betul nak makan di kedai mamak?”

Sure!”

“Tengahari ni saya bawa. Lepas tu jangan ungkit lagi soal makan bersama cik.”

“Baiklah. Pukul satu nanti saya tunggu awak dalam kereta. Saya pandu awak tunjuk arah.”

“Tak perlu naik kereta. Kedai mamak yang saya maksudkan tu hujung bangunan ni saja. Kalau tak suka saya boleh batalkan.”

“Rifqi kalau kedai mamak tu mana boleh. Budak-budak ofis ramai lepak sana. Malulah nanti.”

“Kalau macam tu cancel. Saya gerak dulu.”

Nediesha cekak pinggang melihat tubuh Rifqi yang mula menjauh.  Dia tahu Rifqi sengaja mengelak.  Sengaja mengajaknya ke kedai mamak agar mereka tidak jadi keluar berdua.  Kaki yang berbalut Vinci merah bertumit dua inci itu dihentak keras.  Marah pada kekalahan yang diterimanya.






Membuka kotak mesej dari nombor yang tidak dikenali membuatkan hati Rifqi celaru.  Mana tidaknya mesej rayu-rayuan.  Gadis yang memperkenalkan namanya Artina tempoh hari yang menghantarnya.  Patah perkataan yang tertera di dada skrin dibaca sekali lagi.

Rifqi…sehingga kini saya masih mengharapkan awak.
Awak boleh menipu tidak mengenali saya.
Memberi alasan salah nombor namun saya yakin awaklah Rifqi yang pernah bertakhta di hati saya….
         
Rifqi bungkam seketika sebelum jari-jemarinya menekan aksara untuk membalas mesej berkenaan.  Bukan berniat mahu terus melayan tetapi mahu membetulkan keadaan.  Kasihan pula kepada gadis yang telah salah orang itu.

Cik Artina sekali lagi saya katakan. Saya bukan Rifqi yang cik maksudkan. Maaf saya betul-betul tidak kenal Rifqi Ekhsan yang cik harapkan itu. Saya doakan cik akan bersua kembali dengannya suatu masa kelak. Mohon jangan SMS atau call saya lagi.

Butang hantar ditekannya.  Tetapi tidak sampai enam puluh saat zikir dari Ustaz Akil Hayy bergema.  Sah nombor perempuan yang sedang menagih cinta teman lama.  Nak angkat ke tak ni?  Rifqi berkira-kira seorang diri lalu deringan yang di setnya itu mati sendiri.
           
           Baru dia hendak meletakkan telefon Sony Xperia Miro itu zikir beralun lagi.  Lidahnya turut berzikir sama sebelum dengan lembut hatinya menekan butang jawab.
            
         Salam yang dihulur tidak disambut sebaliknya dihadiahkan dengan bunyi esakan.  Memang sudah parah perempuan ini.  Adakah gadis ini penghuni hospital bahagia yang telah lari dari wad? Mengapa pula nombor dia yang menjadi sasaran?  Rifqi menggosok dada.
         
        “Cik Artina janganlah menangis. Sorry jika mesej saya itu buat cik bersedih. Saya faham apa yang cik rasa tapi cik juga kena faham yang saya bukan Rifqi yang cik cari.”
     
       Nediesha di hujung sana pecah ketawa tapi dia tekap telefon supaya tawanya tidak didengari.  Selepas itu diujinya pula Rifqi. “Kalau betul awak bukan Rifqi saya….buktikan. Saya mahu lihat sendiri rupa awak.”

            Rifqi mulai resah.  Mana mungkin dia mahu berjumpa dengan perempuan yang sudah dicop mereng itu. “Cik Artina janganlah begitu. Kita saling tidak mengenali. Tidak elok rasanya mahu bersua muka.”

            “Awak sengaja mengelak bermakna awaklah Rifqi saya.”

            “Macam nilah. Saya hantar MMS pada awak tunjuk wajah saya. Hendak hantar melalui wassap telefon saya tidak mempunyai line internet. Boleh ke begitu?” Rifqi beralah.  Malas mahu melarutkan perbualan.

            “Gambar semua orang boleh hantar Rifqi. Saya sama sekali tidak percaya. Melainkan awak sudi temui saya.”

            “Beginilah hujung minggu ni kita jumpa. Awak boleh SMS nama tempat pada saya. Insya-Allah saya cuba datang.”

            “Baiklah kalau begitu. Terima kasih. Sayang awak!”

            Rifqi jatuh rahang.  Lembik lututnya mendengar ungkapan sayang.  Jantungnya umpama direntap berderai ke lantai.  Sejuk mencengkam tulang belulangnya.

Talian yang telah ditamatkan tapi telefonnya masih kejap dipegang.  Musibah tidak dia cari….cinta tidak dia buru.  Dirinya dirantai persoalan yang berat menjerut jiwa.  Artina dan Nediesha dua orang gadis yang datang serentak mengganggu hidupnya.  Seorang di alam maya dan seorang lagi di alam realiti.  Apakah ini petunjuk yang hatinya bersedia untuk dimiliki?  Serasa terlalu cepat membuat konklusi.  Hipotesis itu belum benar itu dijadikan rumusan.

Justeru itu Rifqi enggan memikirkannya.  Hal hujung minggu itu akan dia bincangkan dengan Zamri nanti.






Bilik mesyuarat yang berhawa dingin itu dirasakan panas oleh Rifqi.  Mesyuarat kecil itu sepatutnya dihadiri oleh pekerja di bahagian pemasaran sahaja.  Dia sama sekali tidak menyangka Nediesha akan turut serta.  Dia sedar jawatan yang disandang gadis itu memungkinkan segalanya.  Namun sungguh dia tidak betah.  Itu presentation pertamanya.  Gugup yang terkumpul di dalam dada senaknya tidak tertahan. 

Mata Nediesha terlalu tajam merenungnya.  Dirinya bagai telah ditelanjangkan oleh pandangan itu.  Malah mata itu nampak seperti dikerdipkan kepadanya.  Dia yang perasan atau itu kenyataan?

Hendak tak hendak prentation harus dimulakan jua.  Meski tidak selesa dengan kehadiran Nediesha dia tetap mahu mempersembahkan yang terbaik di depan Nik Rizal.  Jika presentationnya disukai maka idea baru untuk pasaran Sirna akan dibawa kepada Engku Masitah.  Inilah masanya dia menunjukkan kebolehan.

Slide telah dipasang.  Rifqi memgumpulkan semangat untuk bersuara dengan lantang.  “Seperti yang kita sedia maklum produk Sirna adalah produk mahal. Memang ianya berkualiti sayangnya tidak semua golongan boleh merasai. Jadi di sini saya ingin mencadangkan supaya produk syarikat kita boleh dirasai golongan yang berpendapatan biasa.”

“Maksud awak kita mengurangkan harga ke atas produk kita?” Tanya Nik Rizal selaku ketua jabatan pemasaran.

“Bukan harga tetapi kita hasilkan dia dalam bentuk mini. Bermakna lebih kecil kuantiti bahan. Jadi dengan itu harganya mesti rendah bukan. Lebih kurang macam set percubaan lah.”

Nik Rizal menggerakkan pen di tangannya seolah-olah sedang memikirkan idea Rifqi itu. “Relevan ke Rifqi buat begitu? Kandungan bahan yang sedikit bermakna ia cepat habis digunakan. Bukankah itu akan menambahkan kos pengeluaran pada bahagian packaging?”

“Kos itu tidak melampau sekiranya produk mini Sirna laris di pasaran.”

“Rifqi, I guess Engku Masitah will not agree with you. Selama ini memang produk kita bukan sasaran pada orang yang tidak berduit. So buang masa sajalah kita cuba,” Nediesha membuat bantahan.

“Cik Nediesha cadangan ini belum sampai ke tangan Datuk Rosli atau pun Engku Masitah. Kenapa Diesha pula yang pandang rendah pada usaha Rifqi? Abang yang arrange bahagian ini. Abang izinkan Diesha join supaya dapat lihat dan belajar bukan memangkah idea orang lain.”

“Encik Rizal saya bukan memangkah. I just said my opinion. If you think this is a good presentation you can make proposal and submit to Engku Masitah. I don’t mind!”

Berlaku sedikit ketegangan di antara Nediesha dan Nik Rizal.  Namun Rifqi yang masih berdiri di hadapan tetap tenang.  “Cik Nediesha jual produk tidak boleh memilih pelanggan. Jangan letakkan jurang untuk pasarkan barangan. Saya akui Sirna telah gah hari ini. Apa sangatlah saranan saya itu. Saya tidak kesah pun sebenarnya jika cadangan tidak diluluskan tapi saya kesal jika cik membuat keputusan sebelum mencubanya terlebih dahulu.”

What ever.”  Nediesha bingkas. Dia buat muka bengang. 

Dalam hati kan bagus jika dia datang pegang tangan aku.  Memujuk dengan kata cinta.  Adess! Memang aku sudah gila.  Sengaja bertelagah di dalam bilik mesyuarat untuk mencari perhatian.  Toing! Tak betul sungguh si Nediesha ni….






Peluang harus dicari untuk mendekati Rifqi.  Nampak kelibat Rifqi di pantri dan Nediesha cepat atur langkah.

“Ehem…buat kopi ke?” Tegur Nediesha.  Badannya disandar ke dinding. 

Rifqi menoleh.  Berdebar hatinya ditegur Nediesha. “Ya buat kopi.”

“Buatkan untuk saya juga.”  Pinta Nediesha dengan gaya menggoda.

Ah sudah! Rifqi mula tak tentu arah.  Namun mug kosong tetap dicapai.  Kopi tetap dibancuh.

Saat mug dihulur hujung jari mereka berlaga menyebabkan Rifqi sedikit tersentak. Tetapi Nediesha buat tidak tahu malah sengihnya sudah berkuasa dua.

“Rifqi, malam ni saya ambil awak kita keluar dinner. Bagi alamat rumah sewa awak.”  Selamba cekadak Nediesha meminta.

“Hah?”

“Alamat.”  Berkhayal ke dia ni tak dengar apa aku cakap.

“Maaf Cik Nediesha saya tak keluar dengan perempuan malam-malam.”

Nediesha mencebir. “Makan aje pun bukan buat apa-apa.”  Dalam hati geram mencanak dengan sikap lelaki itu.  Boleh diumpamakan macam ikan takutkan mata kail.

“Maaf sekali lagi. Saya pergi dulu. Ada kerja yang belum siap.” Kaget Rifqi memberi alasan demi mengelakkan diri.

“Awak sepatutnya kena keluar dengan saya untuk pujuk saya. Tak nampak ke saya bengang dalam meeting tadi?”

Bingung Rifqi dibuatnya.  Kepalanya jadi gatal tiba-tiba.  Apa lagi garulah. “Cik Nediesha saya tak faham. Apa kaitannya makan malam dengan meeting?”

“Dengan kita keluar bersama awak berpeluang untuk rapat dengan saya. Hal ini sangat menguntungkan sebab saya dapat pujuk mama dan daddy untuk terima usul awak.”

“Cik Nediesha cakap begitu berunsurkan rasuah tau tak. Pasal usul saya tu Encik Rizal yang uruskan. Dia telah bersetuju untuk submit proposal kepada Engku Masitah.”

Nediesha ketap bibir. “Ambik baliklah kopi ni. Saya tak nak minum.”

Terkebil-kebil Rifqi memandang mug yang diletakkan Nediesha.  Sah merajuk.  Aduhai…..