Oct 22, 2014

Bab 5 ISTERI DAMBAAN DIA


           Engku Masitah mengusap lembut rambut anak bongsunya.  Ingin menunjukkan kasih sayang di sebalik ketegasannya.  Dalam masa yang sama ada hal yang ingin disoalnya pada Artina Nediesha. “Setakat ni Diesha ok di Sirna?”
            
         “Ok je mama. Kenapa?”
         
         “Hari tu macam tak suka?”
      
         “Mama buah peria yang pahit kita boleh memakannya inikan pula setakat menyesuaikan diri di Sirna. Itu bukan masalah besar buat Diesha.” Bongkaknya Nediesha punya jawapan tapi hakikatnya habuk pun tarak.

 “Baguslah macam tu. Mama berharap sangat Diesha uruskan Sirna Jaya bersama dengan Kak Tini.”
   
         “Tapi kenapa Diesha perlu jaga bahagian financial?”

            “Kewangan tu jabatan penting untuk Sirna. Kalau bukan Diesha dan Artini yang jadi monitornya siapa lagi.”

            “Diesha kan COO tapi yang peliknya daddy suruh jaga bahagian finance saja. Selama ni memang Kak Tini yang jaga dan handle kan.”

            “Mana-mana department pun boleh Diesha. Step by step lah belajar. Dah terror handle akaun bolehlah bergerak ke bahagian lain pula.”

            “Tapi….Diesha rasa macam seronok aje marketing department tu.”  Seronok ada makna.  Sebagai contoh turun ke sungai mencari kepah namun ikan sebenarnya yang hendak ditangkap.

            “Diesha jabatan tu sudah lama bawah seliaan Rizal. Setakat ni memang prestasi membanggakan. Sejak dia jadi bos di bahagian tu, memang produk Sirna berjaya dipasarkan dengan meluasnya. Mama tak suka Diesha campur tangan dalam hal kerja dia.”

            “But why?”

            “Diesha kena faham. Dia tu suami Artini. Mama percayakan dia. Jika kehadiran Diesha ke Sirna untuk gugat jawatan dia mana mungkin dia boleh terima. Jawatan yang Diesha sandang sekarang tu kan lebih tinggi daripada dia.”

            “Minat dan keinginan ni datang sendiri mama.”

            “Diesha jangan merepek. Mama tak mahu dengar Diesha kacau kerja Rizal.”

            Diesha hembus keluhan halus.  “Semua kena dengar cakap mama.”

            “Jadi Diesha tak setuju untuk dengar cakap mama?”

            “Bukan macam tu…..”

            “Mama tahu apa dalam kepala otak Diesha tu. Mama tahu perbualan Diesha dengan daddy di restoran hari tu. Diesha bangkang mama kan?”

            “Mana ada. Diesha cuma suarakan pendapat pada daddy.”

            “Diesha…..Diesha… mama tahu apa yang terbaik untuk Sirna Jaya. Mama juga tahu yang terbaik dalam hal di Teratak Masitah dan mama juga yakin dengan pendirian mama terhadap apa jua kepututusan baik soal daddy, Artini mahu pun Diesha.”

            Di mata Nediesha icon kartun muntah yang muncul.  Berlagak sungguh Engku Masitah ni.  Berlagak pun mama kau Nediesha.  Gulp.

            “Bagaimana mama boleh jamin apa yang mama putuskan itu adalah yang terbaik?”

            “Itu bukan hal yang perlu Diesha fikirkan. Itu bukan masalah Diesha. Masalah Diesha sekarang belajar dan buat kerja betul-betul di Sirna. Jangan nanti mama turun padang duduk sebilik dengan Diesha dan pantau Diesha sendiri.”

            Kerasnya bunyi amaran.  Nediesha terkedu sendiri.  Air liur yang ditelannya rasa berduri.  Mana mungkin dia mahu dipantau si Queen control tu.  Hancurlah agendanya mahu rapat dengan Rifqi nanti.  Jawabnya mulai Isnin depan tak boleh goyang kakilah di pejabat.

            Seminggu dia di Sirna satu kerja pun dia tak buat.  Dokumen yang disuruh telaah hanya mata yang menatap tapi tak lekat di minda.  Yang dia tahu mengintai gerak-geri si Rifqi tu.  Selebihnya bergayut di telefon atau pun main candy crush saga.  Tak pun game apo bondo eh ni.  Permainan uji minda apa tu.  Hehehe…. Habis boring boleh pula buat air liur basi di lengan.  Apa punya anak dara bajet cun lah si Nediesha ni.  Hadoi!





            Menyambung tidur selepas subuh bukanlah tabiat Rifqi Ekhsan.  Rutin hariannya di kampung selepas subuh adalah membuat sarapan untuk keluarganya.  Ada kalanya keluar membeli di warung.  Selepas itu ayam dan itik peliharaan ibunya akan diberi makan sebelum dia turun ke bendang.  Membanting tulang sampai keluar keringat sehingga azan Zohor kedengaran. 

            Hari minggu di rumah Zamri Rifqi keseorangan.  Selepas sarapan tadi Zamri keluar bersama kekasihnya.  Hendak keluar sendiri dia tidak mempunyai kenderaan.  Malas pula mahu menaiki kenderaan awam tanpa tahu arah tujuan.  Takkanlah dia mahu lepak di shopping compleks pula.  Dia bukannya perempuan.  Bukanlah bermakna bandar besar ini asing padanya cuma dia belum biasa.  Walhal boleh saja dia hubungi kawan-kawan seuniversiti dulu untuk diajak berborak.  Selain Zamri dia juga mempunyai kenalan lain yang menetap dan bekerja di sini.

            Telefon Sony Ericson miliknya ditelek.  Ditekannya nama Rafiq.  Sabar dia menunggu panggilannya bersambut.

            “Rafiq sihat? Mak dan Aina macam mana?” Dua soalan diutarakan Rifqi sebaik salam yang dihulur disambut adik lelakinya.

            “Sihat Alhamdulillah. Abang Qi macam mana pula?”

            “Abang Qi pun sihat. Kerja setakat ni baik-baik saja. Padi dah tuai?”

            “Esok Rafiq akan uruskan. Abang janganlah bimbang. Padi yang abang usahakan tu nampak menjadi benar tahun ni.”

            “Syukur. Duitnya nanti bagi pada mak untuk belanja dapur dan sekolah Aina. Fiq kan dah ada gaji sendiri.”

            “Tahulah Fiq. Abang ni macam tak percaya pada adik sendiri pula.”

            “Bukan tak percaya tapi abang risau Rafiq baik dengan budak Mail tu. Setahu abang budak tu pernah kena tangkap polis sebab hidu gam.”

            “Hish Abang Qi ni. Itu dulu. Sekarang ni Mail baik sangat. Lagipun kami sama-sama kerja di bengkel tu. Bengkel bapak dia juga.”

            “Jaga diri. Solat jangan tinggal. Itulah tiang agama kita. Jaga adik dengan mak.”

            “Insya-Allah Abang Qi.”

            “Sampaikan salam pada mak dan Aina. Abang dapat gaji nanti abang kirim pada Rafiq untuk bagi mak.”

            “Eh mak ada pesan. Gaji pertama abang biar abang guna sepenuhnya. Buat beli motor ke. Tak pun simpan untuk bayar muka kereta.”

            “Abang Qi dah pasang niatlah nak bagi mak.”

            “Duit jual padi kan ada. Abang kat sana perlu ada kenderaan sendiri. Sampai bila nak tumpang kawan?”

            “Bijaknya nasihatkan bang. Pandailah abang uruskan hal sendiri. Yang penting abang mahu mak dan adik-adik abang sentiasa gembira.”

            Usai perbualannya tamat bersama Rafiq nombor yang tidak dikenali tiba-tiba tertera di skrin telefon bimbitnya.  Serba-salah melanda hati.  Perlukah dijawab atau dibiarkan sahaja?  Tapi kalau tak jawab mana nak tahu siapa yang menelefon.  Kalau orang tu tersilap nombor boleh dibetulkan.  Baiknya hati suci si Rifqi Ekhsan ni.

            “Assalamualaikum. Siapa di sana?” Salam dan pertanyaan dihulur Rifqi dengan sopan.

            “Waalaikumussalam. Saya Artina. Saya mencari kenalan lama saya. Namanya Rifqi Ekhsan.” Suara wanita di talian sebelah sana jujur memperkenalkan diri.  Nediesha yakin Rifqi tidak cam akan suaranya.

            Erk! Orang dicari namanya seperti aku.  Masalahnya ia bukan aku. “Ya itu nama saya tapi maaf saya tidak mempunyai kenalan yang bernama Artina. Mungkin cik silap nombor.”

            “Saya tidak silap nombor. Sampai hati Rifqi tidak kenal sahabat lama. Dulu kemain lagi cakap sayang Art.”  Nediesha di hujung sana sudah mula bikin drama.  Nada sedih dia lantunkan buat Rifqi yang masih blur.

            Rifqi menyelak rambutnya ke belakang dengan tangan kiri.  Dia diterpa kehairanan.  Kepala mula menyenaraikan nama kawan perempuan yang pernah dia kenali.  Sumpah Artina tidak tersenarai di situ.  Bibirnya pula tidak pernah mengucapkan sayang pada Art.  “Cik salah nombor  ni. Saya bukan Rifqi Ekhsan yang cik kenali.”

            “Kenapa awak buat saya macam ni? Dah lama saya cari awak. Bila saya dapat nombor ni dan hubungi awak boleh pula buat tak kenal saya. Saya tak sangka awak ni jahat sebenarnya.”  Babak melankolik dimainkan Nediesha.

            Rifqi tepuk dahi sendiri.  Ada jugak orang macam ni.  Dah diberitahu salah nombor masih mahu merengek.  Entah-entah perempuan gila yang buat panggilan. “Cik saya minta maaf. Apa pun masalah cik dengan dia saya bukanlah orang yang cik cari. Saya bersimpati tapi saya tak boleh buat apa-apa.”

            Tiba-tiba tangisan bergema kuat.  Rifqi menjarakkan alat komunikasi itu jauh dari telinganya.  Berdengung telinga aku dibuatnya.  Memang sewel punya orang.  Macam manalah rupa perempuan tak betul ni. Malas mahu fikir panjang dia menekan butang letak.  Putik kapas dicari.  Telinganya mesti dikorek segera.
           



Nediesha gelak guling-guling di atas katil.  Bayangan wajah Rifqi yang blur nampak di matanya.  Sah dia takut dengar aku menangis tiba-tiba tu.  Hai seronok juga sakat mamat kampung tu.

           Teddy bear berbulu coklat didakap erat.  Bibir mungilnya masih berbirat dengan senyuman.  Suara Rifqi yang menjadi habuan telinganya tadi lebih romantis sebenarnya.  Kalah suara artis Hollywood kegemarannya Justin Bieber.  Yalah mana sama suara original dengan suara dalam talian.  Pertama kali dengar pula.  Bila hati kata suka suara lari pitching pun sodap didengar kan Nediesha…

            Pandang baju yang telah digosok Mak Chombi buat dia teringat pula temujanji dengan Julia.  Mahu ke Pavilion untuk membeli pakaian baru.  Tak sabar pula dia mahu bercerita tentang Rifqi Ekhsan pada Julia.  Julia yang dimaksudkan adalah adik kepada Nik Rizal.  Mereka mula rapat apabila Artini dan Rizal mahu dijodohkan oleh keluarga masing-masing.  Dia dan Julia lah yang selalu menemani Artini dan Rizal sepanjang tempoh pertunangan mereka.  Sedar tak sedar dia dan Julia menjadi teman akrab.  

            Artina Nediesha bukanlah jenis peramah sangat dengan mana-mana perempuan.  Dia juga seorang yang pilih bulu.  Tidak semua orang boleh menjadi kawan rapatnya.  Sebenarnya Nediesha banyak mewarisi sikap Engku Masitah.  Jadi tidak hairanlah ramai yang takut masuk dekat.

            Mungkin kerana Julia adalah anak Nik Azian maka keserasian wujud di situ.  Boleh dikatakan Julia sekepala dengannya.  Apa yang Nediesha suka tidak pernah Julia tidak menyukainya.  Hal ini menyebabkan Nediesha berani berkongsi rahsia peribadi dengannya.  Bahkan lagi Julia sudah dianggap seperti keluarga sendiri apabila Nik Rizal dengan rasminya menjadi penghuni Teratak Masitah.

            Dua kemeja yang telah kering itu diangkat dari ampaian.  Satu kemeja putih yang pernah dipalitkan ciuman merah.  Satu lagi kemeja biru gelap yang mahal harganya.  Mengingatkan tragedi Nediesha lekatkan lipstik pada kemejanya, jantung Rifqi berdenyut.  Ada rasa lain yang bergema kala itu tetapi cepat-cepat dia halau pergi.  Risau dengan rasa aneh yang datang menerpa sanubari.

            Ingin rasanya dia pulangkan baju itu tapi dia tahu tak mungkin Nediesha mahu menerimanya semula.  Hendak pakai lagi barangkali dia akan fikir banyak kali.  Pekerja biasa seperti dia tak layak pun pakai baju berjenama. 

            Dia tertanya-tanya sendiri apakah itu taktik mengurat seorang wanita.  Melihat kekurangan pada diri, rasa mustahil pula Nediesha boleh sukakannya.  Harap-harap gadis itu tidak serius mendekati dirinya.  Itulah harapan Rifqi Ekhsan.

            

1 comment: