Oct 8, 2014

Bab 3 ISTERI DAMBAAN DIA


Berdekah-dekah Zamri ketawa mendengar omelan sahabatnya.  Ada ke patut anak bos nak belanja makan tengahari tapi mulut Rifqi berleter tidak henti.

“Hoi yang engkau bantai gelak tu kenapa? Lawak ke cerita aku?” Marah Rifqi.  Terasa mahu dihempuk saja si Zamri yang sedang memandu itu.

“Engkau…..patutnya tadah tangan ucap syukur. Anak pemilik Sirna tu ajak kau lunch. Kau pulak membebel. Tak reti bersyukur langsung.”

“Tak kesahlah anak bos ke apa. Tapi dia punya sikap Ya Allah selamba gilerr.  Seksi pula tu. Seriau aku nak pandang.”

Chill! Tak pernah tengok perempuan seksi ke kau ni? Kat bandar metropolitan ni bukan Cik Diesha tu sorang pakai macam tu. Berlambak tau tak. Rezeki jangan ditolak bro.”

“Depan Encik Rizal tu dia ajak aku.”

“Abang ipar dia je pun. Itulah engkau wajah kacak macam pelakon sinetron. Mahu tak menggedik orang yang menengoknya.”

“Merepeklah kau ni. Muka aku ni brand pasar malam, tak adanya macam pelakon sinetron. Kau tu hiperbola sangat.” Dalam minda terfikir-fikir dia macam muka pelakon manalah yang Zamri maksudkan.  Maklum sajalah dia bukan penonton setia drama melayu atau pun Indonesia.  Kalau cakap Leonardo Dicaprio ke, Johnny Depp ke, Brad Pitt ke….tahulah dia.  Tetapi mustahillah wajah tak seberapa dia ni disamakan dengan artis popular Hollywood.

“Aku tahu kau memang tak makan puji tapi kat universiti dulu kau jadi mahasiswa idaman.  Satu kontena perempuan sukakan kau,” giat Zamri bersama sengihan.

“Tengkorak kau Zam sampai satu kontena. Mulut manis sungguh kau ni. Kalau setakat geng Sarah tu tak hairan sangatlah sebab bukan aku seorang yang dikejarnya. Habis senior dahi licin dia orang dok menggedik.”

“Habis tu kenapa dengan Rugayah si mahasiswi sopan tu kau tak cair?” Teringat lagi Zamri pada Rugayah yang berpakaian muslimah itu.  Dicop gothic sebab selalu kenakan jubah hitam.  Tetapi dalam diam menaruh hati pada Rifqi.

“Sebab hati aku ni bukan ais. Nak cair bagai. Lainlah kau playboy kampus.” Rifqi mengenakan sahabatnya.  Zamri di dewan kuliah dahulunya terkenal dengan mulut manis bermadu.  Cakap dengan perempuan suka puji lebih-lebih tetapi dia bukan mengurat.  Memang style dia begitu. Hakikatnya dia setia pada yang satu.  Dia tidak pasang ramai awek pun.

“Banyak siotlah kau punya playboy. Aku masih setia dengan Rose lah sampai sekarang.” Sanggah Zamri.  Di hati dan di jiwanya hanya Rose Fatimah yang bertakhta.  Tiada yang lain walaupun Rose Fatimah itu mempunyai gigi agak jongang sedikit.  Bila sudah berkenan jongang pun tak da hal mak.  Den sedio terimo.  Adess!  Terpinjam ayat budak Kuala Pilah pulak.

“Ya ke? Salute lah babe dengan kesetiaan kau. Lepas tu bila nak kahwin?” Giat Rifqi lagi.

“Tunggu kau kahwin dulu baru aku kahwin,” balas Zamri dalam nada gurauan.  Tak adanya dia nak tunggu Rifqi.  Tunggu cukup duit adalah.

“Ceh alasan. Tak logik langsung.”

“Kahwin tu memang nak. Aku tengah kumpul duit sekarang ni. Kau tahu sajalah harga anak dara zaman sekarang punyalah mahal. Dengan kos perkahwinan lagi.”

“Ai dah suka sama suka. Pihak sana kenalah bertolak-ansur.”

“Barang ada penjaga bro. Kalau setakat aku dengan dia, akad di pejabat kadi hari ni pun boleh.”  Betullah tu apa Zamri kata.  Rose Fatimah tu walaupun kurang cun tapi masih ada mak ayah.  Hendakkan anak orang perlu ikut adat.  Duit pun kena ada.  Kalau sedar diri hidup masih kais pagi makan pagi, kais petang makan petang bawa-bawalah bersabar pinang anak dara orang.  Apa orang kata tunggu ekonomi stabil dulu.  Baru tergalas tanggungjawab itu nanti.





Dada langit begitu indah dihiasi bintang-bintang yang bergemerlapan.  Hati Nediesha pula dilanda keindahan wajah milik Rifqi Ekhsan.  Kakinya yang tercelup di bibir air di dalam swimming pool tidak terasa kesejukannya.

Geli hati dia mengingatkan wajah lelaki yang berona malu itu.  Alahai kacak sungguh Rifqi di matanya.  Lebih kacak dari Paul teman lelakinya semasa di UK dulu.  Dulu dia gilakan wajah mat salleh itu.  Namun lama kelamaan dia sedar gaya hidup dia dan Paul tidak sama.  Agama dan budaya jauh berbeza.  Paul pula langsung tidak menunjukkan minat untuk mempelajari Islam.  Saat itu Nediesha sedar mana mungkin Paul menjadi teman hidupnya.  Dia akui dia jahil namun seteguk air kencing syaitan itu tidak pernah diteguknya.  Dia tahu dia kurang pendidikan agama namun untuk tidur dengan lelaki sama sekali dia tidak akan buat.  Dia sedar kehidupannya bebas namun hatinya tidak pernah sanggup untuk menconteng arang ke muka daddy dan mamanya.  Memang dia tidak menutup aurat tetapi itu tidak bermakna dia jahat.

Akhirnya dia memutuskan hubungan dengan Paul enam bulan sebelum kembali ke Malaysia.  Biarlah Paul dengan dunianya.  Nediesha mahu berpijak di alam nyata.  Lagipun dia dan Paul masih bersahabat seperti biasa.  Tiada permusuhan yang dilancarkan sebaik hubungan cinta diputuskan.  Apa yang dia tahu Paul telah berkahwin dengan wanita sebangsanya yang bernama Sandra sebulan yang lepas.

Bohonglah kalau tiada perasaan segan yang bertandang kala menawarkan lelaki itu untuk makan dengannya tengahari esok.  Bahkan lagi adegan itu terjadi di hadapan abang iparnya.  Entah apa Rizal akan fikir mengenainya.  Dia yakin hal itu pasti akan sampai ke telinga kakaknya Artini.  Tetapi Nediesha tidak kisah.  Yang penting dia gembira.  Entah mengapa dia merasakan Rifqi Ekhsan mempunyai aura yang tersendiri.  Dirinya bagai ditarik untuk mengenali dan mendekati lelaki itu.  Dan yang paling tidak diduga jantungnya berdetak kencang saat bertentangan mata dengan Rifqi.  Mata bening milik Rifqi seiras benar dengan sepasang mata yang pernah menghiasi mimpi indahnya.

Bayu malam mula menyapa dingin tubuh Nediesha yang memakai pijama berlengan pendek itu.  Sempat tangannya mencedok air lalu direnjis ke kaki sebelum meninggalkan kawasan kolam renang buatan itu.




Artini mengurut lembut bahu suaminya yang sedang mengadap laptop di dalam bilik mereka.  Nampak khusyuk benar Nik Rizal meneliti isi kandungan presentation untuk esok.  Mengingatkan cerita suaminya tentang kelakuan Nediesha di dalam pejabatnya Artini menghembus keluhan di dalam hati.  Harap-harap cerita itu tidak sampai ke telinga Engku Masitah.

Bee….kacak sangat ke pekerja baru kita tu?” Sengaja Artini tanyakan rupa Rifqi Ekhsan pada suaminya sebab lelaki itu belum sempat dilihatnya lagi.  Jika adiknya mengushar si empunya nama tu mesti ada kelebihan fizikal.

“Hai…..kalau tak kacak tak adalah adik Tini tu nak belanja makan,” jawab Nik Rizal bersahaja.  Dia sebagai lelaki mengakui pekerja baru itu memang memiliki paras rupa yang menarik.

Bee ni….seriuslah sikit. Tini tak tengok pun dia. Mana Tini tahu rupa dia. Pasal Diesha bee bukan tak tahu perangai dia. Jenis selamba. Sebelum ni pun pakwe dia memang handsome.”

Nik Rizal ketuk pipinya dengan jari telunjuk. “Ermm…. rupa dia ala-ala pelakon drama Malin Kundang. Bee tak ingat siapa nama dia tetapi raut wajah Rifqi sedikit iras dia.”

“Fachry Albar?” Frekuensi suara Artini bernada tinggi sebutkan nama pelakon lelaki Indonesia itu.  Tahulah Fachry Albar tu lagi kacak daripada suaminya.  Ekeke…… “Kalau dia tu memang terbuktilah handsome. Patutlah Diesha menggedik.”

“Tini puji lelaki lain hensem. Sampai hati tau. Apa suami Tini ni tak sehensem Fachry Albar tu ke?” Apalah Artini Danila ni.  Merajuk sudah suaminya.

Bee cemburu rupanya. Suami Tini lagi hensemlah. Datanglah sejuta Fachry Albar pun Tini tak pandang.” Pandai pula dia memujuk.  Walhal Nik Rizal tu memang kurang tampan.  Nasib dia terjatuh cinta biarpun hanya pilihan keluarga.

Nik Rizal berpaling mengadap isterinya. “Ni yang buat bee bertambah sayang kat Tini ni.”

Bibir Artini mengeluarkan tawa halus.  Dikucupnya pipi suami tercinta.  Mahu membuktikan hanya Nik Rizal yang bertakhta di hatinya.  Nik Rizal senyum senang.

Tiga tahun dahulu Artini pernah berasa keliru sama ada perlu akur dengan pilihan ibunya atau tidak.  Tertanya-tanya sendiri mampukah terbit rasa cinta dengan perkahwinan yang diatur keluarga.  Namun apabila dia dan Nik Rizal diberi masa untuk saling mengenali, Artini mampu membuka pintu hati buat bakal suaminya itu.  Dia tahu Engku Masitah mahukan yang terbaik buatnya.  Nik Rizal dipilih ibunya bukan sahaja kerana dia anak Nik Azian tetapi jua kerana Sirna Jaya.  Nik Azian dan Engku Masitah bersahabat bagai isi dengan kuku.  Nik Azian juga mempunyai syer di dalam Sirna Jaya.  Malah Sirna Jaya pernah membantu syarikat kecil milik Nik Radzi yang hampir bankrap suatu masa dulu.  Lantaran itulah Nik Radzi dan Nik Azian berusaha memujuk Nik Rizal untuk menerima Artini.  Mujurlah Nik Rizal dan Artini serasi dan bahagia menjadi pasangan suami isteri.

Kehidupan mereka kini telah diserikan dengan kehadiran cahaya mata perempuan yang diberi nama Nik Amalin Aisya.  Amalin Aisya telah pun berusia dua tahun.  Lengkap kehidupan Artini dan Nik Rizal di samping terus memajukan Sirna Jaya Kosmetik.  Nik Rizal tidak pernah mengeluh berkhidmat di Sirna Jaya kerana dia cukup senang dengan tugasnya.  Malah dia amat berpuas hati berkhidmat dengan mertuanya.  Hatinya cukup senang bekerja sebumbung dengan isteri yang dicintainya itu.





Nediesha bernyanyi kecil ketika menuruni tangga menuju ke ruang makan.  Pagi ini dia bersemangat dan bangun lebih awal dari biasa.  Jiwanya berlagu girang.  Sungguh dia tidak sabar untuk ke pejabat.  Matanya mahu menatap wajah Rifqi.  Latar belakang lelaki itu perlu diketahuinya.

“Awalnya Diesha bangun pagi ni. Macam nilah mama suka.  Ini tak…..pukul sepuluh baru masuk ofis,” tegur Engku Masitah.

Nediesha tayang senyum.  “Morning semua.” 

Morning.”  Tiga suara menyahut serentak.

Nediesha mengambil tempat di meja makan.  Seperti biasa tempatnya bersebelahan dengan Engku Masitah dan bertentangan dengan Artini.  Segelas jus oren dicapainya.

Artini memerhati gaya adiknya.  Jika daddy dan mamanya tiada di situ pasti hal Rifqi mahu dibangkitnya.  “Lawa adik akak hari ni….” Lain yang ingin ditanya lain yang keluar di bibir.

“Hai kak…sebelum ni Diesha tak lawa ke?”

“Lawa…tapi hari ni lagi lawa.”

Because today is a special day.........

“Apa yang istimewa tu? Kongsilah dengan kami semua,” giliran Datuk Rosli pula bersuara.  Sekadar mahu menggiat anak daranya.

“Biarlah rahsia,” balas Nediesha dengan kerdipan mata.  Jus oren yang masih berbaki diteguk sebelum dia pamit. “I have to go…..”

“Ada-ada aje anak awak tu. Konon hari ini istimewa bila ditanya macam tu pula jawabnya,” rungut Engku Masitah.

Datuk Rosli hanya mampu menggeleng.  Sorotan matanya menghantar kelibat Nediesha ke garaj. 

           



Gementar Rifqi dipanah mata Nediesha.  Dia tunduk kalah.  Minah cantik ni tak ada tempat lain ke nak bertenggek?  Meja kecik aku juga yang dipilihnya.  Aduhai nasib aku ni bukan dalam kategori buaya tembaga, kasanova atau yang sejawatan dengannya.  Ya Allah kuatkan iman aku dari tergoda dengan keseksiannya.  Dahlah pakai skirt paras paha, kaki pulak elok tersilang gedik-gedik.

“Hai Rifqi,” sapa Nediesha.  Tangan kanannya diangkat dan digoyang.  Sengaja mahu menunjukkan dia jenis mesra alam.

“Assalamualaikum Cik Nediesha,” ucap Rifqi sebagai balasan.  Mata bening miliknya dielak bertentangan dengan Nediesha.

Nediesha dihempap malu tetapi salam Rifqi tetap dijawabnya sopan.  “Tak ingat ke pelawaan saya kelmarin?”

“Ingat…..tapi maaf……saya….perlu menolak. Saya orang baru di sini…..jadi banyak yang saya perlu pelajari. Senang cakap…..saya memang……banyak kerja.”

Tawa kecil terbit dari rekahan bibir comel Nediesha.  Reka alasan pun tergagap-gagap.  Ada hati tunjuk jual mahal.

“Awak tak payah tunjuk rajin sangatlah Rifqi Ekhsan. Jam satu tengahari di Sirna Jaya adalah waktu makan. Alasan awak orang baru saya tak boleh terima. Jadi apa lagi cepat ikut saya.”

“Saya suka makan seorang Cik Nediesha.”

“Saya pula suka makan orang.”

“Hah!” Biru terus muka si jejaka pemalu.  Nasib baik gigi terlekat pada gusi kalau tak entah berapa batang yang jatuh ke lantai.

Haip! Usik macam tu pun boleh kejung.” 

Macam mana tak kejung ganaz punya usikan.  Gadis zaman sekarang memang berani. Bukan saja berani tayang bodi tapi juga berani tabur ayat beli jiwa.  Rifqi stabilkan kembali riak wajahnya.  Tangan pura-pura mengemaskan gaya rambut.

Nediesha yang telah berdiri itu merenung Rifqi tajam.  Lebih kepada memberi godaan sebenarnya. “Tabiat boleh diubah mengikut kesesuaian masa dan keadaan Encik Rifqi Ekhsan.”  Sengaja ditekankan perkataan encik itu.  Topik makan tadi disambung lagi.

“Masalahnya saya sudah bawa bekal.”  Aiseh bekal apa pula yang aku bawa.  Biasalah alasan spontan.

“Bekal apa? Rajinnya awak masak…..”

“Mana saya reti masak but my wife yang buat bekal tu.”  Dalam hati dia mahu ketuk kepala sendiri.  Dia sudah merepek jauh dan yang teramat jelas dia sudah melakukan pembohongan.  Matilah aku kalau kantoi.

Nediesha kelu sendiri.  Tapi dia tak percaya pun sebenarnya.  Belum sempat dia keluarkan peluru ada suara lain yang terlantun dahulu.

“Diesha….come. Daddy ajak lunch sama-sama.”

Nediesha pasrah apabila ajakan itu automatik membuat kakinya melangkah meninggalkan meja eksekutif baru itu.





Nediesha buat muka tak siap di depan Artini.  Muka tak puas hati yang teramat.  Muncung di bibirnya tu kalau diikat boleh buat bonggol unta agaknya.


“Diesha ni kenapa? Perut dah isi tapi muka monyok macam kucing jalanan,” tembak Artini pada adiknya.

Kucing jalanan? Banyak comel muka kakak aku cakap aku yang cantik lagi hot ni disamakan dengan kucing jalanan.  Nasib baik dia kakak kalau tak stiletto mahal aku masuk mulut dia. “Kak Tini tulah…..”

“Kenapa dengan akak?” Wajah tidak berdosa Artini layarkan.

“Kak Tini kan tahu Diesha ada lunch date dengan Rifqi hari ini. Kenapa akak tiba-tiba datang ajak Diesha tadi?”

“Hello mak cik. Terang lagi bersuluh lampu jalan daddy yang ajak. Janganlah akak yang disalahkan.”

Huh! “Akak patutnya bagitahu daddy Diesha ada date.”

“Diesha boleh tolak sendiri pelawaan daddy tapi kenapa tak tolak? Kaki lurus je mengikut tapi hati di dalam boikot. Lagi pun mana akak tahu Diesha nak keluar dengan Rifqi.”

“Abang Rizal tak beritahu?”

“Beritahu apa?”

“Err…emm tak apalah. Diesha keluar dulu.”

Artini sembunyi senyum.  Wajah serba-salah adiknya dipandang sahaja.  “La..cakaplah apa yang suami akak tu kena bagitahu?”

“Tak penting pun untuk Kak Tini tahu.”  Diesha melangkah keluar dengan sebal di hati.  Ketika di ambang pintu dia berpaling. “Akak…kalau nak dapatkan profil pekerja kita Diesha nak ambil dengan siapa?”

“HR.”  Sepatah jawapan Artini kerana konsentrasinya telah diganggu deringan telefon.  Tangannya sibuk menggagau beg LV nya mencari telefon bimbit.

Nediesha tersengih seribu makna.  Derap diatur ke bahagian Human Resources.
                                                            

1 comment: