Oct 29, 2014

Birthday My Princess


Tanggal 15 Oktober yang lalu genaplah lapan tahun usia puteri sulungku.  Dua minggu sebelum tarikh itu berkali-kali sudah dia meminta supaya mengadakan majlis hari jadinya.  Pada mulanya kuhanya ingin membeli kek sahaja namun akhirnya aku dan suami mengubah fikiran.

Kami sambut hari lahirnya dua hari lewat kerana mahu mengadakannya pada hari cuti. Dapatlah aku dan suami menjemput rakan-rakan kami nanti. Dan itu semestinya amat menggembirakan hati puteri kami.

Bertungkus-lumus kusiapkan makanan untuk sambutan hari jadinya itu. Kek tak mengapalah kutempah. Antara menu adalah nasi hujan panas, laksa penang, laksam, mee dan bihun goreng.  Yang lain-lain adalah makanan ringan dan pencuci mulut.


Dengan tema warna pink, suamiku telah menghiasnya bersama uncle putri.  Alang-alang ada bridal membuat hiasan sebegini bukanlah masalah bagi kami. Mana tahu kut lepas ni ada yang nak tempah untuk majlis hari jadi anak mereka pula. Hehe....

Jom tengok gambar-gambar kemeriahan hari jadi seorang Putri Aimi Balqis.

Bab 6 ISTERI DAMBAAN DIA

        
          Suapan nasi di mulutnya terhenti.  Terkejut tak usah cakaplah.  Sedap-sedap dia menikmati nasi campur di gerai bawah pokok ni tiba-tiba Nediesha muncul di depannya.  Halimunan ke apa anak CEO Sirna Jaya ni.  Zamri di sebelahnya boleh buat tak tahu.  Dia yang nyaris terkeluar biji mata member di sebelah baik punya babak.  Buat derkk bodoh. 
            
         Kaki di bawah meja laju menendang betis Zamri.  Berkerut dahi Zamri menahan sakit.  Nediesha pula dengan riak selamba buat iklan ubat gigi Fresh n White.  Nasib baik gigi cantik kalau jongang tak sanggup dia nak pandang.
            
       “Cik Nediesha nak makan sini juga ke?”
            
       “Tak. Nak tengok awak,” balas Nediesha.  Kedua tangannya duduk menongkat dagu dengan mata yang tak lepas menatap wajah Rifqi.
            
        Zamri yang mendengar lepas ketawa dalam hati.  Sempat dia berpaling ke belakang dan menyengih seorang.  Tidak keruan Rifqi dibuatnya.  Diam dan kelu tak tahu nak jawab apa.  Sudahnya teh o ais disedutnya perlahan.  Memberi kesejukan pada anak tekaknya yang mula kehilangan air liur.
            
       “Saya tahu Cik Nediesha tak makan di gerai macam ni?”
            
       “Betullah tu. Sebab tu saya kata just nak tengok awak. Saya ajak keluar makan dengan saya Rifqi yang tolak. Jadi terpaksalah saya datang sendiri tengok awak makan.”
            
        “Kenyang ke tengok saya makan?”
            
        “Memang saya dah kenyang.”
        
        “Kalau dah kenyang eloklah cik masuk ke pejabat dulu. Zohor pun dah masuk waktu. Saya dan Zamri pun mahu ke surau sekejap lagi ni.”
    
        Berubah tiba-tiba wajah Nediesha.  Padam tiba-tiba niatnya untuk terus menggoda.  Terdengar dia merengus sebelum menarik kerusi dan berlalu.

            Rifqi sambung makan tetapi Zamri hamburkan ketawa.  Sahabatnya dikerling dengan hujung mata.

            “Ketawa sikit-sikit sudahlah. Karang ada air lebihan masuk dalam teh o ais aku ni. Berubah rasa aku curah dalam mulut kau nanti.”  Marah Rifqi.  Dia faham benar mengapa Zamri terkekek ketawa.  Depan Cik Nediesha tadi rela kemam dalam perut.

            “Qi dia memang suka kaulah. Tiba-tiba datang bertenggek kat gerai ni sebab kau ada. Memang bertuah lah kau.”

            “Bertuah mendenya dapat dosa percuma. Dengan baju tak cukup kain dia tu. Rambut tak bertutup.”

            “Sekali-sekala cuci mata bro.”

            “Tengkorak kau cuci mata. Itu namanya berbulu biji mata. Ha satu lagi kalau Datuk Rosli nampak dia kat sini habislah. Tak pasal-pasal aku kena pecat.”

            “Apa punya pendek kau punya akal. Takkanlah sebab anak dia duduk semeja dengan kita kau nak dipecatnya. Tak relevan langsung. Tapi kan cepat pula dia pergi bila kau suruh solat.”

            “Dia pun tahu tak baik lewatkan solat.”

            “Lurusnya kau ni. Kalau badan pun dia tak reti tutup aku rasa sembahyang pun dia tak tahu.”

            “Don’t judge a book by its cover Zamri. Entah-entah solat dia lebih baik daripada kita cuma dari segi pakaian dia belum dapat hidayah.”  Nasihat Rifqi pada kawan baiknya itu. 

            Kita tak berhak menilai seseorang melalui luarannya.  Kadang-kadang orang yang nampak buruk di mata kita baik budi bahasanya.  Yang hitam pada pandangan kita mana tahu putih hatinya.  Yang cantik pada kita pula tidak semestinya cantik lahiriahnya.





            Nediesha tidak menunjukkan minat untuk belajar sewaktu mengikuti Artini ke kilang mereka.  Kilang yang terletak di kawasan perindustrian itu adalah kilang yang sepenuhnya mengeluarkan produk kosmetik Sirna.  Kilang itu seratus peratus milik Sirna Jaya Kosmestik Sdn. Bhd.

            “Malik bagaimana proses pengeluaran produk kita minggu ni? Ada sebarang masalah ke untuk mendapatkan kuantiti yang telah ditetapkan oleh syarikat?” Soal Artini kepada Malik.  Pekerja yang bertanggungjawab dalam hal pengeluaran produk.

            “Tiada sebarang masalah puan. Bekalan bahan untuk kita hasilkan produk juga masih mencukupi.”

            “Baguslah macam tu. Jika ada sebarang masalah cepat beritahu saya. Satu lagi Malik pastikan kualiti produk kita terjaga. Dari segi campuran bahan mahu pun kebersihan. Walaupun kita bukan pengeluar makanan tapi produk kita ini melibatkan wajah wanita. Jika berlaku kesan negatif kepada si pemakai maka jatuhlah Sirna.”

            “Ya puan. Saya faham.” Malik mengangguk patuh dan kembali meneruskan kerjanya.
        
          Artini pandang adiknya yang tadinya membisu saja. “Diesha ada masalah ke?”
      
          Nediesha gigit bibir.  Beberapa detik dia berfikir sebelum mengutarakan pertanyaan. “Kak Tini pernah jatuh cinta?”
    
        Artini ketawa kecil. “Mestilah pernah….dengan abang ipar Diesha tulah. Kenapa tanya soalan luar syllabus ni?”

            “Diesha rasa macam jatuh cinta pada seseorang.” Lancar butir kata yang tertitip.  Tanda tidak segan memberitahu kakak sendiri.

            “Kak Tini tak pelik pun kalau Diesha jatuh cinta. Sebelum ni bukan Diesha tak pernah couple. Kat UK tu lama Diesha jalin hubungan cinta dengan Paul.”

            “Tapi kali ni lain…..” tangkis Nediesha.  Jika perasaan dalam hatinya boleh dilukis, dia mahu tunjukkan rupa.  Susah sebenarnya untuk dia terangkan mengenai rasa yang sedang teranyam itu.

            Artini sengetkan hujung bibir. “Lain macam mana tu?”

            Nediesha pegang pipinya.  Lama. “Rasa sepertinya syok sendiri. Macam Diesha sorang saja sedang jatuh cinta. Betul ke perasaan Diesha ni?”

            Artini mula memberikan perhatian penuh apabila bibir adiknya muntahkan luahan hati. Tadinya matanya melilau memerhatikan pekerja-pekerja kilang membungkus produk Sirna. “Cuba cerita betul-betul Diesha jatuh cinta pada siapa. Kenapa rasa syok sendiri pula?”

            “Entahlah. Diesha pandang mata dia tapi dia tak mahu pandang mata Diesha. Diesha renung wajah dia tapi dia macam nak lari. Diesha cuba ajak dia keluar makan tapi dia menolak.”

            Pembayang yang diberikan si adik dapat diagak siapa gerangan tuan badan. “Hemm…maksud Diesha si Rifqi tu ke?”

            “Yalah siapa lagi……” Mendatar tanpa nada.  Hati di dalam mahu mengadu betapa kecewanya dia dengan layanan dingin si jejaka.

            “Diesha dia bukan orangnya untuk Diesha test market. Dia tak sesuai untuk Diesha uji setinggi mana saham Diesha. Dia bukan lelaki yang sepatutnya untuk Diesha jatuh cinta. Jangan permainkan perasaan orang Diesha.” Artini salah faham.  Baginya Nediesha tidak serius tentang ‘rasa’ itu.

            “Kak Tini Diesha tak berniat mahu permainkan perasaan dia. Bukan juga untuk menguji hati lelakinya. Sekarang ni Diesha yang rasa dipermainkan sebab dia tidak mahu melayan Diesha,” tegas Nediesha.  Aku yang seolahnya bertepuk sebelah, aku pula yang diberikan amaran.

            Artini silang tangan ke dada. “Diesha sedar tak apa yang Diesha cakap ni? Rifqi tu siapa untuk Diesha suka? Sebelum hati Diesha tu keluarkan bunga cinta yang kembang matikan pucuk yang baru berputik tu. Ingat siapa Engku Masitah.”

            Eh kakak aku ni dah kenapa? Tiba-tiba marah pula.  Bodoh sangat ke jatuh cinta pada Rifqi? “Kak Tini……..”

            Tiba-tiba Artini keluarkan amaran keras. “Enough about him! Kak Tini tak nak dengar. Pastikan mama tak tahu perasaan bodoh Diesha tu. Belum sampai sebulan lagi Diesha di Sirna jadi jangan buat hal.”

            Nediesha hentak kaki dengan geram.  Sakit hatinya diberi amaran oleh Artini.  Silap masa ke sesi meluah isi hati petang ini?  Tak pasal-pasal Artini emosional.  Tahulah orang tu tak pernah bercinta sebelum kahwin.  Nikah dulu pun kena paksa.

Huh! Ingat boleh jadi penasihat peribadi tapi belum apa-apa sudah membantah.  Ingat aku takut ke apa.  Nediesha membentak tanpa suara.





            Pemandangan malam yang indah ditemani kocakan air dari kolam renang, Nediesha duduk bersantai bersama bapanya.  Kepala dijatuhkan ke bahu bapanya.  Entah kenapa malam ni terasa ingin bermanja dengan lelaki yang dikasihinya itu.

            “Diesha tak keluar ke malam ni? Dulu sebelum masuk ke Sirna hari-hari keluar dengan kawan.”

            “Penatlah daddy. Petang tadi kan ikut Kak Tini pergi kilang.”

            “Ha..macam mana seronok pergi kilang kita? Bangga tak Sirna mempunyai kilang sendiri di Malaysia. Bukan calang-calang perusahaan kita tu sayang…..”

            Dengan masih berbantalkan bahu bapanya air kolam direnungnya.  Pujian Datuk Rosli mengenai Sirna Jaya tidak menarik minatnya.  “Bukan kita daddy tapi mama…..”

            Wajah anaknya dipandang.  Datuk Rosli tarik nafas dalam-dalam sebelum bersuara.  “Diesha....mama chairman Sirna Jaya. Itu yang tertulis di atas kertas semua orang tak dapat nafikan. Sebagai anak Diesha perlu bangga kerana mama Diesha adalah pengasas produk kosmetik Sirna. Bukan senang mama bangunkan semua itu jadi wajarlah dia terlalu peka dan sensitif dengan hal Sirna Jaya. Siapa yang mahu apa yang mereka usahakan musnah kerana tangan orang lain. Daddy sebagai suami menghormati mama. Malah papa berbangga memiliki seorang isteri yang bijak sepertinya.”

            Nediesha bangunkan kepalanya setegak dengan badan.  “Bangga sehingga daddy tidak boleh keluarkan pendapat sendiri? Bangga tidak perlu andai mulut terpaksa membisu. Bangga berpada-padalah  daddy jangan sampai hilang hak sebagai suami.”

            “Astagfirullahalazim. Diesha cakap apa ni? Daddy tidak pernah hilang hak dalam keluarga kita Diesha. Sehingga kini daddy tak faham kenapa Diesha begitu paranoid dengan mama? Apa salah mama? Jika kerana ketegasannya yang buat Diesha tak suka itu tidak patut sama sekali.”

            “Entahlah daddy. Mungkin daddy dan Kak Tini bangga dengan apa yang mama ada dan gapai selama ini tapi tidak Diesha. Segala yang terpentas di depan Diesha sejak dari kecil umpama wayang yang merobek hati. Papa pun tahu di ambang kegemilangan Sirna di mana mama letakkan diri Diesha.”

            “Maksud Diesha mama abaikan Diesha? Mama terlampau tegas dengan daddy dan Kak Tini buat Diesha tidak gembira. Itu ke yang merobek hati?”

            Nediesha kemam bibir. Serta-merta setitik air matanya luruh.  Tiba-tiba sebak membelit hati.  “Banyak daddy…..” tuturnya perlahan.

            Jari kasarnya menyeka air mata yang luruh di pipi comel anaknya.  “Apa yang dapat daddy simpulkan….Diesha belum mengenali mama sepenuhnya. Separuh sisi mama sahaja yang Diesha tahu. Malangnya separuh sisi baik yang ada pada mama tidak cuba untuk Diesha selami. Ya daddy tak boleh salahkan Diesha. Diesha pun baru balik ke Teratak Masitah. Sewaktu kecil pula Diesha rapat dengan nenek dan Mak Chombi. Atau mungkin jua hubungan yang renggang antara mama dengan keluarga daddy yang buat Diesha sakit hati. Daddy boleh cerita semuanya sekarang. Diesha cukup dewasa kini untuk mengetahui segalanya.”

            Liurnya ditelan.  Lidah bertutur lagi. “Tentang Artini dan Nik Rizal pula ia memang perkahwinan aturan keluarga tapi Diesha sendiri maklum yang mereka bahagia. Paksaan mama kepada Artini tidak buat dia menderita walau sekelumit pun. Sirna Jaya pula tidak bermasalah walau segala keputusan perlu dapat hitam putih terlebih dahulu daripada mama.”

            Nediesha kalih badan mengadap bapanya. “Perlu ke Diesha selami hati mama sedangkan Diesha tak rasa kasih sayangnya? Wajar ke daddy mengungkit kisah silam keluarga sedangkan daddy tahu semua itu tak merubah apa pun?”

            “Ya perlu sayang sebab mama sentiasa kasihkan Diesha. Bukan mengungkit tapi menceritakan perkara sebenar. Tentu wajar bukan?”

            Nediesha geleng kepalanya. “Maaf daddy Diesha rasa mengantuk sangat. Kalau pun daddy bercerita Diesha tak mampu hadam sekarang ni. Diesha naik bilik dulu.”

            Sorotan mata tua Datuk Rosli menghantar bayangan Nediesha ke tingkat atas.  Benarkah anaknya sudah mengantuk atau sengaja tidak mahu mendengar?

            Benar dia cintakan Engku Masitah.  Kerana cinta itulah dia kuat untuk berada di sisi wanita besi itu.  Mengalah selama ini bukan bermakna dia kalah.  Diam mengikut telunjuk selama ini bukan bererti dia lemah.  Itu namanya sayangkan keluarga tetapi dia bukannya dayus.  Sungguh Datuk Rosli tidak faham dengan anak bongsunya itu.  Artini tidak pernah sekali memburukkan ibunya.  Anak itu lembut dan mudah beralah seperti dirinya.  Patah katanya tiada yang mengguris hati.  Jarang sekali hendak dengar isterinya meninggikan suara kepada Artini.  Tetapi Nediesha lah yang selalu buat darah isterinya itu naik.

            Nediesha suka melawan.  Kelakuan agak kurang sopan malah bibir gemar memuntahkan butir kata yang kasar.  Nediesha jauh di UK tetapi hal anaknya tetap sampai ke telinganya.  Bukan Engku Masitah tidak pernah mengamuk tapi dialah yang selama ini pertahankan Nediesha.  Cuba menyorokkan segalanya.  Namun begitu Nediesha tidak berani berlawan kata depan-depan dengan isterinya.  Janganlah Nediesha bertindak sebegitu, tidak sanggup dia bayangkan kemudaratan yang bakal terjadi nanti.

Oct 27, 2014

Klon Lisa Surihani

Amboi tajuk entriku tengahari ini tak menahan sungguh.....
Hehe....saja je....

Sebenarnya tajuk yang sesuai adalah pengantinku seiras Lisa Surihani. Hik...Hik....Hik....
Tak caya? Jom tengok pic comelnya ini....


Lawa kan dia? Suka sangat mekapkan dia.  Sporting habis.  Adik manis kita ni mahukan sentuhan natural untuk wajahnya.  Sama sekali tak mahu cukur kening. Berdosa kan andam kening tu.  Saya pun tak pernah buang kening bakal pengantin sebelum ini.  Dia juga enggan mengenakan bulu mata palsu. Cukup bulu mata aslinya dipakaikan maskara sahaja.  Still cun ape!

Jurukamera Shafiq dari Creative Shutterz Photography pula bijak memainkan peranannya.  Gambar yang diambilnya begitu fotogenik.  Tq dik untuk pic yang menarik ini....


Gambar ini pula daku yang ambil sendiri ya. Motif? Tentulah nak cakap pasal pelamin pula. Hehe.....
Pelamin ini dekorasi dari butikku Ratu Balqis Bridal. Dengan tema warna krim, pelamin ini tampak begitu sesuai buat Baiti dan pasangan.  Begitu indah di pandangan mata.  Sapo-sapo berkenan oyak mari deh....

Oct 22, 2014

Bab 5 ISTERI DAMBAAN DIA


           Engku Masitah mengusap lembut rambut anak bongsunya.  Ingin menunjukkan kasih sayang di sebalik ketegasannya.  Dalam masa yang sama ada hal yang ingin disoalnya pada Artina Nediesha. “Setakat ni Diesha ok di Sirna?”
            
         “Ok je mama. Kenapa?”
         
         “Hari tu macam tak suka?”
      
         “Mama buah peria yang pahit kita boleh memakannya inikan pula setakat menyesuaikan diri di Sirna. Itu bukan masalah besar buat Diesha.” Bongkaknya Nediesha punya jawapan tapi hakikatnya habuk pun tarak.

 “Baguslah macam tu. Mama berharap sangat Diesha uruskan Sirna Jaya bersama dengan Kak Tini.”
   
         “Tapi kenapa Diesha perlu jaga bahagian financial?”

            “Kewangan tu jabatan penting untuk Sirna. Kalau bukan Diesha dan Artini yang jadi monitornya siapa lagi.”

            “Diesha kan COO tapi yang peliknya daddy suruh jaga bahagian finance saja. Selama ni memang Kak Tini yang jaga dan handle kan.”

            “Mana-mana department pun boleh Diesha. Step by step lah belajar. Dah terror handle akaun bolehlah bergerak ke bahagian lain pula.”

            “Tapi….Diesha rasa macam seronok aje marketing department tu.”  Seronok ada makna.  Sebagai contoh turun ke sungai mencari kepah namun ikan sebenarnya yang hendak ditangkap.

            “Diesha jabatan tu sudah lama bawah seliaan Rizal. Setakat ni memang prestasi membanggakan. Sejak dia jadi bos di bahagian tu, memang produk Sirna berjaya dipasarkan dengan meluasnya. Mama tak suka Diesha campur tangan dalam hal kerja dia.”

            “But why?”

            “Diesha kena faham. Dia tu suami Artini. Mama percayakan dia. Jika kehadiran Diesha ke Sirna untuk gugat jawatan dia mana mungkin dia boleh terima. Jawatan yang Diesha sandang sekarang tu kan lebih tinggi daripada dia.”

            “Minat dan keinginan ni datang sendiri mama.”

            “Diesha jangan merepek. Mama tak mahu dengar Diesha kacau kerja Rizal.”

            Diesha hembus keluhan halus.  “Semua kena dengar cakap mama.”

            “Jadi Diesha tak setuju untuk dengar cakap mama?”

            “Bukan macam tu…..”

            “Mama tahu apa dalam kepala otak Diesha tu. Mama tahu perbualan Diesha dengan daddy di restoran hari tu. Diesha bangkang mama kan?”

            “Mana ada. Diesha cuma suarakan pendapat pada daddy.”

            “Diesha…..Diesha… mama tahu apa yang terbaik untuk Sirna Jaya. Mama juga tahu yang terbaik dalam hal di Teratak Masitah dan mama juga yakin dengan pendirian mama terhadap apa jua kepututusan baik soal daddy, Artini mahu pun Diesha.”

            Di mata Nediesha icon kartun muntah yang muncul.  Berlagak sungguh Engku Masitah ni.  Berlagak pun mama kau Nediesha.  Gulp.

            “Bagaimana mama boleh jamin apa yang mama putuskan itu adalah yang terbaik?”

            “Itu bukan hal yang perlu Diesha fikirkan. Itu bukan masalah Diesha. Masalah Diesha sekarang belajar dan buat kerja betul-betul di Sirna. Jangan nanti mama turun padang duduk sebilik dengan Diesha dan pantau Diesha sendiri.”

            Kerasnya bunyi amaran.  Nediesha terkedu sendiri.  Air liur yang ditelannya rasa berduri.  Mana mungkin dia mahu dipantau si Queen control tu.  Hancurlah agendanya mahu rapat dengan Rifqi nanti.  Jawabnya mulai Isnin depan tak boleh goyang kakilah di pejabat.

            Seminggu dia di Sirna satu kerja pun dia tak buat.  Dokumen yang disuruh telaah hanya mata yang menatap tapi tak lekat di minda.  Yang dia tahu mengintai gerak-geri si Rifqi tu.  Selebihnya bergayut di telefon atau pun main candy crush saga.  Tak pun game apo bondo eh ni.  Permainan uji minda apa tu.  Hehehe…. Habis boring boleh pula buat air liur basi di lengan.  Apa punya anak dara bajet cun lah si Nediesha ni.  Hadoi!





            Menyambung tidur selepas subuh bukanlah tabiat Rifqi Ekhsan.  Rutin hariannya di kampung selepas subuh adalah membuat sarapan untuk keluarganya.  Ada kalanya keluar membeli di warung.  Selepas itu ayam dan itik peliharaan ibunya akan diberi makan sebelum dia turun ke bendang.  Membanting tulang sampai keluar keringat sehingga azan Zohor kedengaran. 

            Hari minggu di rumah Zamri Rifqi keseorangan.  Selepas sarapan tadi Zamri keluar bersama kekasihnya.  Hendak keluar sendiri dia tidak mempunyai kenderaan.  Malas pula mahu menaiki kenderaan awam tanpa tahu arah tujuan.  Takkanlah dia mahu lepak di shopping compleks pula.  Dia bukannya perempuan.  Bukanlah bermakna bandar besar ini asing padanya cuma dia belum biasa.  Walhal boleh saja dia hubungi kawan-kawan seuniversiti dulu untuk diajak berborak.  Selain Zamri dia juga mempunyai kenalan lain yang menetap dan bekerja di sini.

            Telefon Sony Ericson miliknya ditelek.  Ditekannya nama Rafiq.  Sabar dia menunggu panggilannya bersambut.

            “Rafiq sihat? Mak dan Aina macam mana?” Dua soalan diutarakan Rifqi sebaik salam yang dihulur disambut adik lelakinya.

            “Sihat Alhamdulillah. Abang Qi macam mana pula?”

            “Abang Qi pun sihat. Kerja setakat ni baik-baik saja. Padi dah tuai?”

            “Esok Rafiq akan uruskan. Abang janganlah bimbang. Padi yang abang usahakan tu nampak menjadi benar tahun ni.”

            “Syukur. Duitnya nanti bagi pada mak untuk belanja dapur dan sekolah Aina. Fiq kan dah ada gaji sendiri.”

            “Tahulah Fiq. Abang ni macam tak percaya pada adik sendiri pula.”

            “Bukan tak percaya tapi abang risau Rafiq baik dengan budak Mail tu. Setahu abang budak tu pernah kena tangkap polis sebab hidu gam.”

            “Hish Abang Qi ni. Itu dulu. Sekarang ni Mail baik sangat. Lagipun kami sama-sama kerja di bengkel tu. Bengkel bapak dia juga.”

            “Jaga diri. Solat jangan tinggal. Itulah tiang agama kita. Jaga adik dengan mak.”

            “Insya-Allah Abang Qi.”

            “Sampaikan salam pada mak dan Aina. Abang dapat gaji nanti abang kirim pada Rafiq untuk bagi mak.”

            “Eh mak ada pesan. Gaji pertama abang biar abang guna sepenuhnya. Buat beli motor ke. Tak pun simpan untuk bayar muka kereta.”

            “Abang Qi dah pasang niatlah nak bagi mak.”

            “Duit jual padi kan ada. Abang kat sana perlu ada kenderaan sendiri. Sampai bila nak tumpang kawan?”

            “Bijaknya nasihatkan bang. Pandailah abang uruskan hal sendiri. Yang penting abang mahu mak dan adik-adik abang sentiasa gembira.”

            Usai perbualannya tamat bersama Rafiq nombor yang tidak dikenali tiba-tiba tertera di skrin telefon bimbitnya.  Serba-salah melanda hati.  Perlukah dijawab atau dibiarkan sahaja?  Tapi kalau tak jawab mana nak tahu siapa yang menelefon.  Kalau orang tu tersilap nombor boleh dibetulkan.  Baiknya hati suci si Rifqi Ekhsan ni.

            “Assalamualaikum. Siapa di sana?” Salam dan pertanyaan dihulur Rifqi dengan sopan.

            “Waalaikumussalam. Saya Artina. Saya mencari kenalan lama saya. Namanya Rifqi Ekhsan.” Suara wanita di talian sebelah sana jujur memperkenalkan diri.  Nediesha yakin Rifqi tidak cam akan suaranya.

            Erk! Orang dicari namanya seperti aku.  Masalahnya ia bukan aku. “Ya itu nama saya tapi maaf saya tidak mempunyai kenalan yang bernama Artina. Mungkin cik silap nombor.”

            “Saya tidak silap nombor. Sampai hati Rifqi tidak kenal sahabat lama. Dulu kemain lagi cakap sayang Art.”  Nediesha di hujung sana sudah mula bikin drama.  Nada sedih dia lantunkan buat Rifqi yang masih blur.

            Rifqi menyelak rambutnya ke belakang dengan tangan kiri.  Dia diterpa kehairanan.  Kepala mula menyenaraikan nama kawan perempuan yang pernah dia kenali.  Sumpah Artina tidak tersenarai di situ.  Bibirnya pula tidak pernah mengucapkan sayang pada Art.  “Cik salah nombor  ni. Saya bukan Rifqi Ekhsan yang cik kenali.”

            “Kenapa awak buat saya macam ni? Dah lama saya cari awak. Bila saya dapat nombor ni dan hubungi awak boleh pula buat tak kenal saya. Saya tak sangka awak ni jahat sebenarnya.”  Babak melankolik dimainkan Nediesha.

            Rifqi tepuk dahi sendiri.  Ada jugak orang macam ni.  Dah diberitahu salah nombor masih mahu merengek.  Entah-entah perempuan gila yang buat panggilan. “Cik saya minta maaf. Apa pun masalah cik dengan dia saya bukanlah orang yang cik cari. Saya bersimpati tapi saya tak boleh buat apa-apa.”

            Tiba-tiba tangisan bergema kuat.  Rifqi menjarakkan alat komunikasi itu jauh dari telinganya.  Berdengung telinga aku dibuatnya.  Memang sewel punya orang.  Macam manalah rupa perempuan tak betul ni. Malas mahu fikir panjang dia menekan butang letak.  Putik kapas dicari.  Telinganya mesti dikorek segera.
           



Nediesha gelak guling-guling di atas katil.  Bayangan wajah Rifqi yang blur nampak di matanya.  Sah dia takut dengar aku menangis tiba-tiba tu.  Hai seronok juga sakat mamat kampung tu.

           Teddy bear berbulu coklat didakap erat.  Bibir mungilnya masih berbirat dengan senyuman.  Suara Rifqi yang menjadi habuan telinganya tadi lebih romantis sebenarnya.  Kalah suara artis Hollywood kegemarannya Justin Bieber.  Yalah mana sama suara original dengan suara dalam talian.  Pertama kali dengar pula.  Bila hati kata suka suara lari pitching pun sodap didengar kan Nediesha…

            Pandang baju yang telah digosok Mak Chombi buat dia teringat pula temujanji dengan Julia.  Mahu ke Pavilion untuk membeli pakaian baru.  Tak sabar pula dia mahu bercerita tentang Rifqi Ekhsan pada Julia.  Julia yang dimaksudkan adalah adik kepada Nik Rizal.  Mereka mula rapat apabila Artini dan Rizal mahu dijodohkan oleh keluarga masing-masing.  Dia dan Julia lah yang selalu menemani Artini dan Rizal sepanjang tempoh pertunangan mereka.  Sedar tak sedar dia dan Julia menjadi teman akrab.  

            Artina Nediesha bukanlah jenis peramah sangat dengan mana-mana perempuan.  Dia juga seorang yang pilih bulu.  Tidak semua orang boleh menjadi kawan rapatnya.  Sebenarnya Nediesha banyak mewarisi sikap Engku Masitah.  Jadi tidak hairanlah ramai yang takut masuk dekat.

            Mungkin kerana Julia adalah anak Nik Azian maka keserasian wujud di situ.  Boleh dikatakan Julia sekepala dengannya.  Apa yang Nediesha suka tidak pernah Julia tidak menyukainya.  Hal ini menyebabkan Nediesha berani berkongsi rahsia peribadi dengannya.  Bahkan lagi Julia sudah dianggap seperti keluarga sendiri apabila Nik Rizal dengan rasminya menjadi penghuni Teratak Masitah.

            Dua kemeja yang telah kering itu diangkat dari ampaian.  Satu kemeja putih yang pernah dipalitkan ciuman merah.  Satu lagi kemeja biru gelap yang mahal harganya.  Mengingatkan tragedi Nediesha lekatkan lipstik pada kemejanya, jantung Rifqi berdenyut.  Ada rasa lain yang bergema kala itu tetapi cepat-cepat dia halau pergi.  Risau dengan rasa aneh yang datang menerpa sanubari.

            Ingin rasanya dia pulangkan baju itu tapi dia tahu tak mungkin Nediesha mahu menerimanya semula.  Hendak pakai lagi barangkali dia akan fikir banyak kali.  Pekerja biasa seperti dia tak layak pun pakai baju berjenama. 

            Dia tertanya-tanya sendiri apakah itu taktik mengurat seorang wanita.  Melihat kekurangan pada diri, rasa mustahil pula Nediesha boleh sukakannya.  Harap-harap gadis itu tidak serius mendekati dirinya.  Itulah harapan Rifqi Ekhsan.

            

Oct 13, 2014

Bab 4 ISTERI DAMBAAN DIA

          

Profil pekerja baru di tangannya ditatap dengan senyuman gembira.  Gila tak happy tengok status sebenar pujaan hati.  Bujang tu.  Diulangi S.I.N.G.L.E.  Rifqi Ekhsan betul belum beristeri.  Available tu untuk dipikat.  Biodata Rifqi diulang baca.
            
            Nama penuh : Rifqi Ekhsan bin Mohd Kadir
            Umur             : 27 tahun
            Asal               : Kedah
            Status            : Belum berkahwin
            Pendidikan    : Ijazah sarjana muda pengurusan (pemasaran)
            No. Telefon   : 012- xxxxxxxx

Wow! Nombor telefon Rifqi.  Nombor yang tertera ditaip ke dalam senarai kenalannya.  Berbunga sungguh hatinya kala sebaris nama milik Rifqi telah berada di dalam senarai contact telefon pintarnya.
            
Profil pekerja yang mempunyai gambar Rifqi itu dibawa ke bibir.  Gambar berukuran pasport itu tidak semena dikucupnya.  Selepas itu dibawa ke dada.

Sah! Memang sah ini kes hati sudah tertawan.  Habislah kau Rifqi Ekhsan.




            
           Dipanggil untuk ke bilik Nediesha pun Rifqi sudah ketar lutut, apatah lagi mahu memandang.  Seakan tahu penipuannya kantoi duduknya pegun di kerusi dengan hanya memandang wajah lantai.
           
         Aku punyalah cun hari ini tapi kenapalah tidak mahu dipandangnya.  Adakah lantai itu lebih jelita daripada aku? Andai betul dia lebih jelita aku rela disumpah jadi lantai.  Wahai cermin sakti tukarlah aku menjadi….. Oops! Melalut sudah.
            
          “Rifqi Ekhsan. Awak tahu kenapa awak dipanggil masuk ke pejabat saya?”
           
           Rifqi geleng kepala sebagai jawapan.  Takkanlah dia mahu jawab kerana pembohongan saya telah pecah di pertengahan jalan.  Memang taklah.
            
         “Rifqi sepatutmya awak berbangga perempuan berjawatan macam saya sudi nak belanja awak makan tapi awak eksyen. Reka alasan yang kononnya hebat. Yang terbaiknya siap tipu ada isteri. Thumbs up untuk awak Rifqi Ekhsan. Maaf saya tidak bodoh untuk mempercayainya.”
            
          Rifqi buntu untuk berkata-kata.  Jalan terbaik yang diambil dia terus mengunci mulut.
            
         “Awak belum kahwin kan?”
         
          Aiseh.  Dia dah tahu ke status sebenar aku? Tiada guna dilebarkan lagi pembohongan itu. “Kalau belum apa masalahnya?”
       
         Aik berani pulak mamat ni.  Tadi tunduk macam pokok kelapa kena panah petir. “Tiada masalah tapi tak perlulah menipu. Profil awak kan ada di HR dan bila-bila masa boleh berada di tangan saya. Kalau rasa mahu lama di sini care your mouth. Jangan cuba menipu saya lagi.”
           
        “Baik Cik Nediesha. Saya menurut perintah.”
        
        “So sebagai gantinya. Tengahari ni awak belanja saya makan.”
           
        “Tapi saya tak ada duit nak belanja cik…..”

            “Kedekut.”
           
           “Belum sampai seminggu saya di sini Cik Nediesha. Gaji lambat lagi. Duit yang ada cukup untuk lepas perut saya seorang. Tu pun sebelah malam kena buat catuan.”
            
           Adess! Sedihnya bunyi. Sengkek sangat ke mamat hensem ni? “Awak cuba raih simpati saya ya?”
           
         “Mana ada. Saya tak harapkan simpati cik cuma mohon pengertian.”
         
         Nediesha gigit kuku. “Awak belanja tapi saya yang bayar.”
      
        “Seganlah saya.”

“Nak segan apa? Makan aje pun bukan saya suruh awak buka baju depan saya.”

Tegak berdiri bulu roma Rifqi.  Berani sungguh anak orang kaya ni.  “Kalau betul cik nak makan dengan saya tunggu cukup bulan. Masa tu cik tak perlu ajak kerana saya sendiri akan datang tebus janji.” 

Serentak dengan itu Rifqi bingkas tidak berpaling lagi.






Maggi kari yang masih berasap di depannya langsung tidak menggiurkan dia untuk menjamahnya.  Sebaliknya dia keluh kesah sendiri.  Pegang mangkuk rasa tak kena, pegang gelas, air yang diteguknya, pegang sudu tekak cakap maggi no entry.

“Kau ni kenapa? Letih aku masak maggi tu kau sebelah mata pun tak mau pandang. Ajak keluar makan kat luar kau tolak. Apa kes?”

“Kau rasa Cik Nediesha tu kenapa?”

“Kenapa…kenapa? Mana aku tahu. Dia pun baru saja masuk ke Sirna Jaya.”

Rifqi garu leher.  Serba tak kena dibuatnya.  Jauh di sudut hati kesal pula cakap nak tebus janji bila dapat gaji.  Kalau diajaknya makan di hotel five star memang masuk kuburlah dia.  Sedangkan dia sudah berjanji separuh gajinya akan dimasukkan ke akaun Rafiq supaya diberi kepada maknya.

“Weh syok punya kau garu leher. Gatal dapat gigitan cinta dari Cik Nediesha ke tadi?”

Soalan maut dari Zamri dibalasnya dengan satu ketukan di kepala Zamri.  Hambik kau!

“Aduh! Sakitlah.” Zamri menggosok kepalanya laju.

“Padan muka. Apa punya biullah soalan kau. Kau ingat seksi-seksi Cik Nediesha tu murah sangat ke dia sampai leher aku diterkamnya?”

“Aik marah nampak. Bela dia pulak tu. Takkan dia baru ajak makan kau dah jatuh syok?”

“Tak ada maknanya aku syok pada anak orang kaya. Aku reti telek diri sendiri bro,” pangkah Rifqi.

“Habis tu yang kau resah sangat sampai tak sentuh maggi aku tu kenapa? Kembang semangkuk dah maggi tu dibuatnya.”

“Aku takut sebenarnya….”

“Kau takut kat sape?”

“Aku bukan takut kat siapa-siapa cuma aku risau dengan gaya Cik Nediesha tu. Cara dia pandang aku seolah-olah aku mahu dipikatnya.”

“Banggalah bro anak bos nak pikat. Yang kau takut tu kenapa?”

“Aku takut aku tak mampu kawal hati aku ni.”  Oops! Hati mudah terusik juga kembar berlainan negara Fachry Albar ni.

“Relekslah Qi. Cinta tu normal. Tak salah kalau kau jatuh cinta pada dia. Tak berdosa pun cuma sebelum orang lain yang sedarkan kita. Baik kita sedar diri sendiri. Kau pun tahu mana mungkin merak akan bersama burung gagak.”  Otak penasihat juga Zamri ni.  Bolehlah menjadi pakar runding tidak bergaji Rifqi.

Gheti pun kau!”  Bahu Zamri ditumbuk perlahan.

Zamri hanya tayang sengih.  Maggi kari itu kembali disuapkan ke mulutnya.
           




Bee, kelmarin Diesha merajuk tau Tini cross line dia.”  Hal sehari yang lepas baru sempat diberitahu suaminya.  Semalam dia penat layan karenah Amalin sampai lupa terus tentang adiknya.
            
          “Kenapa Tini pun nak pikat budak Rifqi tu juga ke?” Nik Rizal bercanda.  Sengaja mahu mengusik isterinya.
          
         Artini mencebir bibir. “Ada pulak macam tu? Diesha tanya bee tak bagitahu Tini ke plan dia nak lunch date dengan Rifqi.”
           
        “Habis Tini cakap apa?”
        
       “Cakaplah bee tak bagitahu. Tini risaulah dengan perangai gedik Diesha tu.”
   
         Nik Rizal tidak menganggap sikap Nediesha satu masalah besar.  Mungkin isterinya yang terlebih fikir. “Dia dah besar Tini. Tahulah dia.”

            Artini tayang wajah serius. “Beeyou know my mum. You know about her taste. Kalau setakat fikir pasal hati dan masa depan Diesha, Tini langsung tak kisah tapi ini melibatkan keluarga Engku Masitah. Boleh terbalik Sirna Jaya tu kalau mama tahu.”

            Nik Rizal renung wajah isterinya bersama gelengan. “Sayang….Diesha tu main-main sahaja. Kita anggap sahaja dia tak serius. Budak remaja kan pantang nampak muka boleh cari makan. Dia nak try test market dialah tu.”
           
“Hish bee ni. Kalau adik Tini tu lelaki Tini tak heran. Ini perempuan. Maruah kena jaga bee.”

            “Kalau sayang bee ni risau sangat pergilah bagi nasihat. Orang kata lebih baik mencegah dari mengubati.”

            “Itulah yang terbaik. Sebelum budak Diesha tu betul-betul gilakan Rifqi…Tini nak caras. Dan Tini sama sekali tak mahu mama hidu perkara ni.”

            “Semangatnya wife bee ni. Macam wakil rakyat masuk parlimen,” sakat Nik Rizal.

            Artini jengil mata sedar dirinya diperli suami tetapi akhirnya mereka sama-sama ketawa.   






            Apabila ditimpa penyakit gila bayang memang tiada ubatnya.  Melainkan menatap wajah yang digilai.  Hari ini tak semena Rifqi Ekhsan disekat Nediesha berhadapan pintu tandas lelaki.

            “Cik Nediesha ni tandas lelaki. Female kat sebelah?”

            Nediesha berpura-pura membaca abjad yang tertera.  Kemudian dia tayang gigi.  “Ikut saya kejap.”

            “Pergi mana?”

            “Bilik saya.” Bersahaja jawapan Nediesha.  Sempoi benar dia mengajak anak teruna orang.
            
           Kening Rifqi bercantum. “Buat apa masuk bilik cik?”
           
          “Ada something nak bagi,” kata Nediesha yang mula ayun langkah.
          
          Rifqi telan liur payau.  Perlahan sahaja dia membuntuti Nediesha ke bilik pejabatnya.
        
          Sebaik menutup pintu biliknya, satu kotak berbungkus cantik dia hulurkan kepada Rifqi. “Nah.”
      
      “Apa dalam ni?” soal Rifqi.  Dia hanya memandang bisu kotak hadiah yang telah bertukar tangan itu.

            “Baju. Esok pakai ya. Saya mahu kita sedondon.” Permintaan berunsurkan arahan.
           
          “Motif?”
           
         “Teringin nak tengok awak pakai. Tentu terlebih kacak.”
         
        “Err tak mahulah.”
     
       “Tak baik menolak rezeki.” Nediesha mendekatkan wajahnya pada Rifqi.  Tanpa sempat Rifqi berbuat apa-apa Nediesha telah melekatkan lipstik pada kemeja putih yang Rifqi pakai hari itu.

Terperanjat dia melihat sebentuk ciuman pada baju kemejanya.  Merah menyala bentuk bibir itu.  Di bahagian dada pula.  Dahlah tadi nalurinya bergetar dek perbuatan refleks Nediesha. “Cik Nediesha buat apa ni? Habislah baju saya.”

“Tak buat apa pun. Just kiss baju. Don’t worry tak luak pun. Berlapik tu.”

“Malulah saya nak pakai baju ni. Nanti orang kata apa,” gumam Rifqi dengan mata tertancap pada ‘cop mohor’ yang telah Nediesha palitkan.

Simple answer. Pakai baju yang saya bagi,” ujar Nediesha dengan riak selamba.  Kotak hadiahnya kembali dirampas.  Kotak itu dikoyak pembalutnya.  Hadiah yang berlipat kemas itu diambil.  Lalu kemeja berjenama Giorgio Armani ditanggalkan butangnya.

“Cik Nediesha main kelat. Mana aci.” Rifqi memprotes.  Barangkali baru menyedari taktik seorang Artina Nediesha.

Nediesha kerdipkan mata.  Tanda itu memang ‘aci’.  Kemudian dia naikkan isyarat jari untuk memberi arahan diktaktor.  “Tak kira buka baju awak sekarang Rifqi.”

“Boleh tapi anggap saya pinjam baju ni,” balas Rifqi dengan berani.  Padahal dia rasa cuak sangat dengar Nediesha suruh buang baju.  Tak pernah lagi seumur hidup dia tayang badan depan perempuan.

“Saya tak ambil balik barang yang saya bagi.”

“Kalau macam tu cukup bulan saya bayar.”

“Rifqi, ini hadiah. Jangan nak mengarut pula nak bayar bagai. Saya tak akan terima.”

Rifqi mengeluh. Namun baju di tangan Nediesha diambilnya jua.  Saat terpandang jenama pun dia tahu baju itu amat mahal harganya.  Mengapalah Nediesha hadiahkan kemeja sebegini untuknya.

Naik segan dia menyalin baju di bilik Nediesha.  Itu pun disuruhnya Nediesha berpaling ke belakang.  Dia tak tahu Nediesha tetap curi-curi memandang tubuhnya yang berketak.  Meleret sahaja senyum si gadis memandang dia memakai pakaian yang telah dihadiahkan.






Zamri senggol bahu Rifqi dan berbisik. “Buat apa dalam bilik si dia lama-lama? Keluar-keluar aje kau dah pakai baju lain.”

“Kau ni otak kuning betullah Zam. Baju aku kotor, jadi Cik Nediesha bagi baju ni.” Baju kotornya telah dia sumbatkan ke dalam kotak hadiah yang Nediesha bagi tadi.  Bimbang dilihat orang lain teruklah mereka jadi bahan gosip.

Zamri sentuh baju kemeja yang baru dipakai sahabatnya. “Wah baju berjenama ni. Untung kau Qi. Hari ni dapat baju, esok entah-entah dapat Ferrari.”

Jauhnya kau punya angan. Kau macam tak kenal aku Zam. Aku tak ingin pun baju ni tapi kalau dah dipaksa nak buat macam mana.”

“Aku rasa dia betul-betul syok kat kau.”

“No komen,” balas Rifqi.  Di rumah nanti kesan lipstik pada bajunya harus cepat dia tanggalkan.  Kalau ternampak dek Zamri teruklah dia kena bahan.  Mulut Zamri tu selaju mesin gun.  Tak pasal-pasal hal itu di salah erti.

“Bertuah sebenarnya ada rupa yang kacak ni.”

Adei bro. Sudah-sudahlah tu. Cik Nediesha tu kan jenis happy go lucky, persis kanak-kanak riang gitu. Tak ada makna apa-apalah dia bagi baju ni. Orang berduit Zam. Barangkali niat bersedekah.”

“Hek eleh menafilah lagi. Jangan sampai esok lusa, dia yang hantar rombongan meminang kau bro.”

Meletus ketawa Rifqi dengan candaan sahabatnya.  Menggeleng kepala saja dia sebelum kembali menyambung kerja yang tertangguh.