Jul 20, 2014

Bab 20 Biasan Cinta Semalam



Nazira memandu dengan tenang Toyota Vios milik Melia menuju ke Port Dickson.  Dengan melalui lebuhraya utara selatan, plaza tol Port Dickson telah mereka lepasi.  Mereka kini hampir tiba ke kawasan pantai.

“Zira, kau memang pantang hari minggu suka merendet kan.  Aku ni kalau kira perlu cuti semingu sekali saja tau.  Kerja aku banyak kena settle.  Tu resepi baru yang aku dapat dari Sherry tak sempat lagi aku nak buat,” bebel Melia.

“Nanti esok kita masaklah resepi baru tu Mel.  Aku tolong kau kupas bawang nanti....."

“Mangkuk ayun betul kau ni. Asal time aku masak kupas bawang aje kau tahu.  Kau tu yang kena banyak belajar sebab nak masak untuk Azman nanti.  janji aku tolong kau kupas bawang.  Hari ini kita enjoy dulu,” balas Nazira dengan ceria.  Tangan kanannya diangkat membuat gaya enjoy.Aku ni tak apa lambat lagi masak untuk laki,” Melia mula berleter.

“Ya ke lambat lagi? Ntah-ntah tak sempat aku kahwin dengan Azman….kau dulu yang kahwin dengan Azrul.”

“Apa kau kata? Pekak pulak telinga aku ni.”

Ades! Tersasul.  “Err….tak ada apa apalah Mel.  Lupakan je.”  Nazira pura-pura buat tidak tahu apa yang diperkatakannya tadi.  Dia kembali fokuskan mata ke jalan raya.

“Kang aku suruh reverse balik kereta baru kau tahu.  Pandai kau nak kenen aku dengan mamat tu.  Tak nak lah aku kahwin dengan doktor.  Skema tau tak!  Lepas tu selalu sibuk kat hospital, aku pula sibuk kat  mahkamah. Jawabnya tak beranaklah.”

“Kalau dia bukan doktor kau nak?” Duga Nazira dengan mengecilkan matanya. 

“Banyak pulak soalan kau pasal dia hari ini ya. Dia bayar kau berapa yang kau sibuk-sibuk sebut nama dia depan aku ni?”  Angin tornado dah mula naik ke Melia…..

“Habis tu kau juga yang jauh fikir masa depan dengan dia tadi, tu yang aku tanya.  Janganlah marah beb.  Kalau aku tak bergurau dengan kau, nanti aku mengantuk drive kereta pagi-pagi ni.”  Nazira mula melalut mencipta alasan.  Alahai mulut yang tak ada insurans control sikit.  Nanti kalau minah ni tahu Azrul dengan Azman dah ada kat sini mati aku.

“Kau mengantuk ke? Marilah tukar biar aku drive pula.”

“Eh tak…. lagipun dah nak sampai dah ni,” balas Nazira tergagap. “Ramai jugak orang ye Mel?” Kata Nazira cuba mengubah topik kerana mereka sudah tiba ke simpang pantai.

“Kan hari ni hari Sabtu.  Kau ingat kau sorang ke suka cuti-cuti Malaysia ni, orang lain lagilah suka.”

Nazira hanya tersengih.  Dia memandu perlahan sambil matanya melilau mencari parking di sekitar tempat letak kereta di Pantai Teluk Kemang.  Selepas mendapat parking yang sesuai mereka keluar dari perut kereta menuju ke tepi pantai.  Dia amat berharap Melia tidak mengesyaki apa apa kerana sekejap lagi dia akan meninggalkan Melia keseorangan.  Selepas dia pergi Azrul akan datang mendekati Melia.  Begitulah rancangan Azman bersama Azrul. 

“Cantiknya pantai ni Zira, tak sia-sia kau ajak aku datang.  Aku suka tempat ni.  Release sikit kepala aku ni.  Hari-hari asyik tengok muka tuan hakim sekali sekala datang tengok pantai seronok juga.”

“Tahu tak apa.  Macam aku ni tiap hari tengok nombor sampai mata nak jadi rabun baik aku datang cuci mata kat sini.”

“Yelah kan, kita ni kalau asyik dengan kerja saja pun tak boleh juga.  Ada masa kena datang tenangkan fikiran di tempat macam ni.”

“Betul tu Mel.  Dalam Malaysia ni banyak tempat menarik kita boleh lawati.  Negara kita ada pantai yang cantik, flora dan fauna yang menarik untuk diterokai.  Tidak perlu melancong ke luar negara untuk merasai keindahan alam. Malaysia pun belum habis untuk kita pergi. ”

“Alam ciptaan Allah yang terbentang luas ni memang indah Zira.  Jangan kita hanya tengok keindahannya dengan mata kasar tapi renunglah setiap kejadian dengan mengagumi ciptaanNya.  Dengan itu kita akan sentiasa bersyukur pada Yang Esa.  Tengok ombak yang memukul pantai, ia memukul pasir di pantai tanpa mesin mengendalinya.  Allah telah menciptakan ombak itu dengan unik sekali.  Alhamdulillah.”

“Amin.  Kagum aku dengan kau ni.  Bertuah aku punya sahabat seperti kau Mel.”

“Jangan kagum dengan aku Zira, aku kan ciptaan Allah juga.  Kau kena kagum kepada penciptaNya,” Melia mengingatkan sahabat baiknya.

Berkaca mata Nazira.  Sayu dia mendengar kata-kata sahabatnya.  Walaupun Melia seorang yang keras hati namun jiwanya lembut dalam hal agama.  Dia tiba-tiba diburu rasa bersalah kerana menipu Melia mengenai rancangan Azman.

“Kenapa kau macam sedih ni Zira?” Tanya Melia sambil memeluk bahu temannya itu.

Nazira hanya mengeleng-gelengkan kepala. “ Mel, kau nak makan apa biar aku pergi beli dekat sana tu?”

“Belilah apa pun Zira.  Aku nak jalan-jalan kat tepi pantai ni, nanti kau carilah aku ya.”

“Ok,” balas Nazira seraya menuju ke gerai menjual makanan.  Azman sudah sedia menunggunya di situ tetapi Azman menyorok agar tidak dilihat Melia.

Melia terus berjalan ke gigi air.  Dia ingin menyelusuri pantai itu.  Dia tidak menyedari yang ada sepasang mata yang telah sedia mengekorinya.  Tudung dan bajunya kembang-kempis ditiup angin pantai.  Dek ombak yang kuat menghempas pantai hujung seluar Melia basah dipercik air pantai.  Lantas dia menunduk untuk melipat sedikit hujung seluar jeans biru yang dipakainya.  Saat itu tiba-tiba dia dirempuh seseorang.  Badannya hilang imbangan namun dia sempat berpaut pada tubuh lelaki yang melanggarnya itu.

‘Ya Allah, aku terpeluk Azrul,’ detik Melia cemas dalam hati.  Terpana dia memandang mata lelaki itu.  Nafasnya turun naik dalam rangkulan lelaki itu.  Azrul juga tidak keruan di panah mata hazel Melia.  Jantungnya berdegup kencang menatap wajah comel gadis itu.

Melia cepat sedar daripada khayalan dan bingkas menjauhkan diri dari lelaki itu, “maaf aku tak sengaja paut kau tadi.”  Macam manalah aku boleh terpeluk mamat ni?  Bila masa dia ada kat sini pun aku tak perasan.  Tiba-tiba datang langgar aku.

“Maaf juga kerana terlanggar awak Mel,” balas Azrul dengan senyuman perisa madu asli. 

“Seluas-luas pantai ni aku yang kecil ni boleh kau langgar.  Pelik juga sebab tadi tak ada pula orang sebelah aku.”  Melia memerli kerana dia merasakan Azrul sengaja melanggarnya.

Alamak habislah.  Dia dah syak aku sengaja langgar dia.  Susah main dengan peguam ni. “Saya kejar orang tadi.  Laju sangat saya lari sampai tak nampak orang.  Maaflah saya tak sengaja.”

“Mana orang yang kau kejar tu? Tak nampak pun dia melintas depan aku tadi,” Melia tidak percaya akan alasan direka Azrul.  Ingat aku buta apa tak nampak orang lari di sekitar aku.  Nak menipu pun biarlah munasabah.

“Dia tak lari depan awak.  Dia lari belakang awak.  Dah terlepas. Tak tahu mana budak tu pergi.” Azrul masih berdolak-dalih.

“Habis tu kalau betul kau kejar orang, orang tu buat salah apa dengan kau sampai lari tak cukup bumi?” Tanya Melia walaupun dia amat pasti itu hanya helah Azrul.


“Dia seluk kocek seluar saya tapi saya perasan. Jadi dia tak sempat nak ambil wallet saya,” Azrul mereka cerita.

“Dah dia tak ambil wallet kau buat apa kau kejar? Itu namanya kerja sia-sia buat penat badan,” tempelak Melia.

“Nak serah dia kat polislah supaya dia tak seluk kocek pengunjung lain,” jawab Azrul.

“Baiknya hati kau tapi aku ni jenis susah percaya terutamanya cerita tak relevan dari mulut kau,” kata Melia lalu terus berjalan menyelusuri pantai.

 Nazira ni pergi beli makanan ke buat makanan? Lama aku kat sini bukannya dia yang datang tapi si Azrul yang datang.  Kecil sangat ke dunia sampai mana aku pergi terserempak dengan dia? Kebetulan atau dirancang ni?

“Macam mana kau boleh ada tempat aku ada?” Soal Melia tidak puas hati.

“Cik adik ini tempat pelancongan sesiapa pun berhak datang.  Apa awak ingat awak sorang ke boleh datang? Saya pun boleh,” jawab Azrul selamba.  Janganlah dia mengesyaki apa-apa.  Letih aku berlakon tadi nak suruh dia percaya.

“Habis janganlah ikut aku, kau pergilah tempat lain jauh sikit dari aku.  Tak selesalah aku kau ada,” kata Melia yang mula tidak senang diekori Azrul.

“Masalahnya kat sini saya tak kenal orang lain, saya cuma kenal Nur Amelia Natasya saja,” selamba sahaja Azrul bercanda dengan sebelah tangannya berada di dalam poket seluar.

“Saja je kau ni erk.  Kau duduklah sini aku nak naik atas pergi cari kekasih aku.  Lama benar dia pergi beli makanan untuk darling dia ni.”

Azrul ketawa besar mendengar kata-kata Melia. Pandai betul peguam comel ni buat loyar buruk.  Ingat aku tak tahu dia datang dengan siapa.

“Apasal ketawa over sangat? Lucu ke apa? Ingat muka macam aku ni tak ada kekasih?” Melia marah kerana Azrul mentertawakannya.  Apa ingat aku ni tak laku? Tak ada kekasih? Tak apa kau gelakkan aku nanti sampai masa aku tayang pakwe macam Brad Pitt depan kau baru kau ternganga.

“Jangan salah faham Mel. Saya rasa lucu tu sebab awak tu tak pandai menipu”

Melia menjengil geram. “Apa maksud kau ni?”

NothingJust kidding okey,” Azrul cuba menafikan apa yang di ucapnya sebentar tadi.  Takut benar dia kalau Melia tahu rancangannya bersama Azman.

“Huh!” Dengus Melia.  Amboi mamat ni tadi gelak tak ingat dunia. Bila aku tanya just kidding pula.  Malas aku layan orang sewel, lebih baik aku pergi cari Nazira.  Agak-agaknya tengah tolong mak cik kat gerai goreng keropok.  Mana taknya menghilang macam tu.  Terpaksa lak aku hadap si Azrul ni.

“Eh awak nak pergi mana Melia? Tunggulah saya,” tanya Azrul bila melihat Melia berjalan pergi meninggalkannya yang masih di gigi air.

“Kau ni nak apa sebenarnya? Aku datang sini nak release tension bukan datang nak bertekak dengan kau.  Kalau dah memang kebetulan kau pun ada kat sini kita buat hal masing-masinglah,” jawab Melia tegas.  Apa kes nak ikut aku mamat ni?  Jawabnya aku datang sini tak dapat ketenanganlah hari ni.

“Mel kenapalah awak ni keras hati sangat? Kita kan memang berkawan sebelum ni jadi awak tak payah buat jual mahal lah dengan saya.”

Melia mengetap bibir.  Memang patut pun aku jual mahal dengan kau setelah kau jual mahal dengan aku dulu. “Tolong Azrul.  Jangan nak ungkit hal lepas.  Kau tak ada hak untuk paksa aku kawan balik dengan kau.”

What else do you want me to do for you to forgive me…..Mel?”

Don’t do anything Azrul.  Just stay away and stop following me!”  Melia melangkah laju untuk menjauhkan diri daripada Azrul.

Azrul masih tidak berputus asa. Dia menyambar lengan Melia dan menarik gadis itu ke arahnya.

“Lepas!  Kau nak apa sebenarnya?” Melia naik angin bila Azrul berani menarik tangannya.  Meskipun sentuhan itu berlapik kerana dia memakai T shirt berlengan panjang tetapi Melia dihempap sedikit bengang.  Dia menjeling geram.  Teringat tiba-tiba yang Azrul pernah meminta ‘bibir’nya.  Dia sama sekali tidak akan membiarkan maruahnya dipijak lagi.

Sorry!” Azrul cepat-cepat melepaskan tangannya.  Menyedari tindakan refleksnya tadi memang tidak disenangi Melia.

“Saya nak awak tahu yang sekarang ni saya cintakan awak,”  Azrul jadi begitu berani meluahkan rasa.  Dia tidak tahu rasukan apa yang menerpa hatinya sehingga dia mampu mengeluarkan kenyataan itu.

Melia seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya.  Di alam nyata ke di alam fantasi aku ni? Jangan jadi dongeng ‘fairytale’ sudah.  Bagaimana Azrul boleh berkata begitu sedangkan aku dengan dia sudah lama terpisah.  Mustahil Azrul ada rasa itu sedangkan kami baru bertemu semula.  Nonsense!

“Sejak bila kau cintakan aku?  Kau tak perlu main dengan perkataan itu kalau itu bukan lahir dari hati kau yang sebenarnya.  Cukup dengan apa yang terjadi dua belas tahun dulu.  Aku tidak selemah itu untuk cair dengan lelaki ego macam kau.”

“Mel dengarlah apa yang saya nak cakap ni.  Saya dah lama menyesal buat awak macam tu dulu.  Sejak peristiwa itu saya sedar yang saya amat sayangkan awak.  Saya amat terasa ketiadaan awak di sisi saya.  Saya berusaha menjejaki awak Mel.  Dalam pencarian itu saya menemukan rasa cinta buat awak Mel,” Azrul berusaha memberi penjelasan setulus hati nuraninya.

“Katalah apa pun Azrul. Aku tidak semudah itu untuk percaya semuanya.  Maaf aku pergi dulu.  Aku sudah hilang mood untuk bercuti hari ini,” perlahan suara Melia menuturkan kata.  Dia menghayun kaki perlahan-lahan meninggalkan Azrul.  Kakinya yang putih telah bernoda diselaputi pasir-pasir pantai.

Mata Azrul menghantar sayu gadis itu pergi.  Dia akur akan gadis itu.  Biarlah dia beri gadis itu sedikit ruang.  Mel, aku tahu kau sukar menerima cinta aku kini setelah aku lukakan hati kau dulu.  Namun aku tidak akan berputus asa untuk memilikimu kerana aku tidak pernah bermimpi akan insan lain.  Selagi aku terdaya aku akan sentiasa menyayangi dirimu.




Melia mencari kelibat Nazira di tempat tapak perniagaan.  Dia ingin mengajak Nazira balik segera kerana dia tidak mahu bertembung dengan Azrul lagi.  Melia pusing ke kanan dan ke kiri mencari sahabatnya itu.  Dalam hatinya membebel kerana Nazira tidak pergi mencarinya. 

Tapak jualan di pantai itu agak besar dengan pelbagai jenis barang niaga.  Baik dari jualan makanan, pakaian, permainan kanak-kanak semuannya ada dijual di situ.  Kemeriahan hari minggu di Pantai Teluk Kemang Port Dickson dapat dirasa oleh setiap pengunjung yang datang.  Aktiviti  seperti menaiki bot, jet ski, menunggang kuda turut diadakan.  Walaupun matahari sudah terik memancarkan sinarnya namun pengunjung masih belum berganjak.  Kebanyakan yang datang berkelah sudah membawa khemah, tikar dan makanan.

 Terlintas juga di hatinya apabila sudah berkeluarga kelak dan mempunyai anak-anak pasti seronok membawa mereka ke pantai.  Dapat berkelah beramai-ramai.  Nampak sekali kegirangan kanak-kanak bermain di sini.  Sedang dia berjalan mengelilingi tapak jualan sambil melihat barangan yang berkenan di hati, dia ternampak Nazira bersama seorang lelaki di tempat jualan kaca mata.  Melia segera pergi menghampiri Nazira.

“Oh kat sini rupanya calon pelakon wanita terbaik 2014,” perli Melia kepada Nazira sebaik tiba di belakang gadis itu yang sedang  memilih cermin mata hitam.

Nazira dan Azman terkejut dengan kehadiran Melia.  Nazira menelan liur.  Kata-kata Melia tadi jelas memerli dia.  Dia mati katak untuk membalas kata-kata Melia.

“Terkejut erk tengok aku?  Cakap Azman balik kampung minggu ni habis yang tercongok sebelah kau tu siapa? Pakwe baru? Apasal tak kenalkan pada aku? Konon nak pergi beli makanan tapi terus ghaib,” marah Melia.
           
             Azman hanya memandang Melia.  Dia sudah terasa bahang kemarahan Melia.  Cepat-cepat dia membela tunangnya.  “ Sebenarnya memang kami nak pergi tempat kau tadi tapi bila aku tengok kau rancak berbual dengan Azrul kami tak nak lah kacau daun.  Tu yang kami pusing-pusing cari barang kat sini dulu Mel.”
            
            “Betul tu Mel,” Nazira menyokong kata-kata Azman.
           
            “Man kau yang plan datang dengan Azrul kat sini kan? Boleh dapat anugerah pengarah terbaik kau ni.  Pelakon-pelakon kau yang macam kayu tu pun orait juga.  Thanks ya Nazira sebab sudi tipu aku,” Melia melemparkan kata-kata pedas buat Nazira dan Azman.
            
            Nazira terkedu dengan amarah Melia.  Mel, tidak mahukah kau berterima kasih pada aku kerana mempertemukan kau dengan Azrul? Aku buat untuk kebahagiaan kau.  Mengapa kau begitu marah walhal aku cuma ingin buat yang terbaik untuk kau. “Maaf Mel…..aku tak berniat nak tipu kau. Kalau aku cakap awal-awal yang Azrul ada nanti kau yang tak nak datang.”
            
           “Habis tu apa masalah kau aku nak datang ke tak?  Kau kan dah ada tunang tak best lah kalau tak datang memadu asmara kat sini kan,” tempelak Melia.  Entah kenapa anginnya memuncak benar hari itu.  Kepanasan hatinya sepanas mentari yang sudah terik memancar di atas kepala.
           
           “Mel janganlah macam tu…….aku minta maaf.  Aku ingatkan kau gembira dapat bersama Azrul tadi,” tutur Nazira dengan rasa bersalah.
           
          “Sejak bila aku gembira dengan dia? Aku tak hadaplah nak bertemu dengan dia kat sini!” Melia mula membentak.
          
          “Mel kenapa dengan kau ni? Kut ya pun marah sabarlah…..ni kan tempat awam.  Nanti kat rumah bincanglah baik-baik.” Azman bersuara kerana geram dengan Melia yang sedang marah membabi buta itu.
           
         “Fine! Aku balik dulu.  Pandai-pandai lah kau hantar tunang kau tu balik.” Dengan pantas Melia mengatur langkah menuju ke kereta. Duduklah korang sampai esok pun kat sini.  Lebih baik aku balik buat tahi mata kat rumah.
        
            Azman menggeleng-gelengkan kepala dengan gelagat Melia. “Macam budak-budak.  Biarlah dia balik sayang, nanti abang hantar sayang balik,” pujuk Azman.
           
          Mata Nazira sedikit berkaca.  Jika di rumah sudah tentu dia menangis.  Dia menahan sebak di hati mengenangkan sahabat nan seorang itu.
            
        “Jom kita pergi cari Azrul.  Kita tanya apa yang berlaku sampai Melia jadi angin macam tu,” ajak Azman pada Nazira yang kelihatan sedih.
          
          Nazira membuntuti Azman menuju ke pantai.  “Man, kalau Melia nak putus sahabat dengan Zira macam mana?”
            
          “Ya Allah kenapa fikir macam tu? Zira dengan dia berkawan sejak kecil lagi takkanlah mudah-mudah nak putus kawan.  Lagipun Zira dengan dia kan bersaudara.”
            
           “Zira takut nanti sampai rumah, dia dah campak barang-barang Zira ke luar terus tak bagi Zira tinggal situ,” sayu sekali Nazira menzahirkan kata-kata.  Hatinya tidak tenteram mengenangkan Melia.
            
            “Eloklah sangat fikir macam tu.  Fikir positiflah.  Zira lebih kenal Melia dari abang.  Abang tahu Melia tidak begitu. Mungkin tadi moodnya tak elok.  Nanti kat rumah Zira tegur dia, cakap elok-elok. Insyaallah semuanya akan ok,” dengan lembut Azman memberi nasihat kepada tunang tercinta.
           
            Mereka berdua menyelusuri pantai mencari Azrul.  Bayu pantai yang menderu begitu mengasyikkan namun hati Nazira  masih gundah.  Mereka datang untuk bergembira di sini tetapi kesudahannya Melia pulang dengan marah-marah.  Nazira merasakan yang dia tidak bersikap adil pada Melia.  Mula-mula sampai tadi Melia begitu gembira bersamanya menikmati keindahan pantai tetapi pengakhirannya dia telah membuat Melia sedih.  Apakah dia harus menerima hakikat yang Melia tidak akan bersama Azrul?  Hatinya merintih pilu dengan sikap keras Melia.
            
           “Manalah Azrul ni sayang? Melia balik dia pula bawa hati ke mana?” Soal Azman bila dia masih belum menemukan Azrul.
            
           “Man…..aku kat sini lah,” laung Azrul tatkala dia nampak Azman bersama Nazira seakan-akan mencarinya.
            
            Azman berpaling mencari suara Azrul.  Dia nampak Azrul berada di atas batu jauh sedikit dari orang ramai.  Dia dan Nazira berjalan menuju ke tempat Azrul berada.
            
         “Mana Melia?” Tanya Azrul kerana Melia tidak bersama mereka selepas meninggalkannya tadi.
         
         “Uih minah tu juga yang ditanya.  Aku ni penat berjalan cari kau tau,” jawab Azman termengah-mengah.
            
          “Dia dah balik dah,” balas Nazira.
          
          “Dia tak tunggu kau ke Zira? Aku ingat dia pergi tempat korang tadi.”
        
          “Dia pergi marah adalah Azrul.  Kau buat apa kat dia sampai angin semacam?” soal Azman meminta penjelasan dari mulut Azrul.
      
         “Aku tak ada buat apa.  Kami berbual saja tapi dia tak suka pun jumpa aku kat sini.”

            “Melia…..Melia….. teruk dia marah Zira tadi. Aku ingatkan ada yang tak kena berlaku dengan korang tadi.”
            
         “Dia marah buat plan ni lah Man.”
            
        “Tulah perangai macam budak-budak.  Cuba dia bersikap matang jangan mudah melenting tak tentu pasal.  Kita ni bukannya orang lain dalam hidup dia.  Kenapa dia mesti jadi orang lain dalam hidup kita?” Suara Azman meluahkan tidak puas hati dengan bekas teman sekolahnya itu.
           
       “Aku pun tak tahu lagi bagaimana nak pujuk dia Man.  Aku cuba berlembut dengan dia tapi dia langsung tak nak percaya aku.”
           
        “Sudah-sudahlah kau kejar dia Azrul.  Berbaloi ke?”
           
        “Man kenapa cakap macam tu?  Zira kenal Melia.  Luaran memang nampak keras tapi kat dalam jiwanya sensitif.  Sekarang ni dia tertekan sebab bekas tunang dia datang kacau dia balik.”
           
         Azrul dan Azman tercengang dengan kata-kata Nazira.  Azrul bagaikan tidak percaya hidup gadis itu diburu bekas tunangnya.  Itu bermakna dia telah mempunyai pesaing dalam memiliki hati Melia.
            
       “Betul ke sayang? Bila lagi ni.  Buat apa bekas tunang dia datang ganggu, sedangkan mamat tu dah lama kahwin?” Tanya Azman meminta kepastian.  Patutlah jadi cacar marba Melia tu.  Dihimpit kiri dan kanan oleh lelaki.
           
       “La betullah. Melia sendiri yang cerita.  Baru je Haikal tu muncul balik.  Dia ingin kembali kepada Melia sebab dia dah pun bercerai dengan isterinya,” terang Nazira kepada Azman dan Azrul.
           
         “Lelaki tak tahu malulah tu Azrul.  Dah ludah nak jilat balik,” tempelak Azman.
           
        “Aku bersimpati dengan Melia, tentu hatinya tidak tenang sekarang ni.  Dia bukan saja tertekan dengan aku  malah tertekan diganggu bekas tunang,” Azrul melahirkan perasaan simpati terhadap gadis yang disayanginya.
            
         “Macam nilah Rul. Kau bagi dia masa untuk dia settle hal dengan bekas tunang dia tu.  Nanti bila semuanya ok…..Melia pun dah tenang kau boleh masuk jarum balik.  Sekarang ni kita tidak boleh terlalu memaksa dia.  Tidak mudah bagi Melia untuk menerima apa yang datang serentak dalam hidup dia,” cadang Azman kepada Azrul.
            
        Azrul menganggukkan kepala tanda bersetuju dengan cadangan Azman.  Apa yang dikatakan Azman ada benarnya.  Dia tidak mahu gadis itu tertekan kerananya.  Dia percaya suatu masa nanti hati gadis itu akan lembut untuk menerima dirinya.
            
       “Sekarang kita boleh balik.  Tak ada apa-apa dah yang nak ditunggu.  Sekejap lagi kita singgah solat zohor di masjid berdekatan lepas tu aku belanja kau makan.  Member aku kata ada satu kedai masakan kampung yang sedap kat sini.  Ok Rul?”
            
        “Aku beres je tapi bab belanja tu…..biar aku yang belanja kau dengan Zira sebagai tanda ucapan terima kasih.”
           
        “Kena order extra macam tu Azrul baru puas hati aku,” Nazira berseloroh.
            
        “Kuat makan juga agaknya tunang kau ni Man,” usik Azrul pada Azman.
           
         Azman ketawa mendengar usikan Azrul.  Mereka kemudian berjalan seiringan menuju ke kereta. 

No comments:

Post a Comment