Jul 16, 2014

Bab 18 Biasan Cinta Semalam


Langkah Azrul agak perlahan selepas keluar dari bilik pembedahan tadi.  Dia menunduk ke bawah sahaja.  Hanya wajah lantai yang menjadi santapan matanya tanpa mempedulikan sisi kanan dan kirinya.

“Doktor ok ke? Nampak macam tak sihat saja.” Azrul ditegur oleh salah seorang jururawat yang bertugas dengannya hari itu.

“Saya baik-baik saja nurse,” balas Azrul kepada jururawatnya yang prihatin itu.

Bunyi suara Azrul agak lemah tetapi jururawat itu tidak berniat untuk mengusul lagi.

Azrul menghenyakkan punggungnya ke kerusi.  Dia menghela nafas di dalam bilik yang berhawa dingin itu.  Stetoskop yang melingkar di atas bahunya diletakkan ke atas meja. 

Azrul tahu dia tidak boleh terlalu memikirkan Melia sehingga menjejaskan kerjanya.  Dia akui fikirannya sedikit terganggu selepas dapat bertemu semula dengan Melia.  Harapannya selama dua belas tahun untuk bersua dengan Melia dikabulkan yang Maha Esa.  Dulu selepas pulang dari Russia selepas menamatkan jurusan perubatan di sana dia ada berusaha mencari Melia namun tidak  berjumpa. 

Setelah dia bertemu Azman di laman Twitter dia mendapat tahu yang Melia telah bertunang.  Pada masa itu dia amat kecewa dan berniat melupakan Melia sahaja.  Dalam diam dia mendoakan kebahagiaan Melia kerana dia tidak mahu Melia kecewa lagi.  Dia tidak mahu tunang Melia mengewakan Melia sama seperti dirinya menghancurkan hati Melia.  Dia nekad berdiam diri dari bertemu Melia dan menguburkan perasaan rindu dendamnya pada gadis itu.

Sewaktu dia melihat Melia di rumah Linda dulu, dia menyangka yang Melia adalah isteri orang.  Namun begitu dia tetap mahu menghulurkan maaf kepada bekas kawan baiknya itu.  Bimbang tidak berpeluang untuk bersua lagi tetapi gadis itu pula yang lari daripadanya.  Setelah diberitahu Azman yang Melia kembali solo dia begitu bersemangat untuk mengejar Melia.  Dia mahu menebus kesilapannya pada Melia dulu.  Hatinya berbunga kerana merasakan dia punya harapan untuk bersahabat semula dengan Melia memandangkan Melia bukan lagi tunangan orang. 

Setelah usahanya melalui khidmat pesanan ringkas dan panggilan telefon tidak menampakkan hasil dia meminta Azman mengatur pertemuan dengan Melia.  Dia tahu andai dia yang mengajak Melia sendiri mati hidup balik pun gadis itu tidak mahu.  Melia yang ditemuinya kini adalah seorang yang tegas dan keras hati.  Mungkin kerana Melia bekerja di bidang guaman membuatkan dia menjadi seorang yang kebal.

 Lagipun dulu persahabatannya dengan Melia tidak sampai pun setahun.  Dek jangkamasa yang singkat dia tidak mengenali gadis itu sepenuhnya.  Dia salah anggap pada gadis itu dengan menuduhnya macam-macam.  Jahatnya dia pada seorang kawan. 

Sebenarnya Azrul terlalu rindu untuk berbual mesra dengan gadis itu namun dia belum berkesempatan.  Melia tidak mahu menemuinya apatah lagi ingin berbual mesra.  Tidak rindukah gadis itu kepadanya?  Tidak rindukah Melia pada kenangan semalam yang pernah tercipta bersamanya?  Tidak rindukah Melia untuk menikmati ABC bersamanya?  Tidak rindukah Melia saat mereka berkejaran dengan basikal?  Tidak rindukah Melia pada usikan nakalnya?  Tidak rindukan Melia akan senyumannya? Argh! Bertalu-talu soalan datang menerpa.

Kenapa dia jadi begitu taksub pada gadis itu? Bukankah dia yang menolak gadis itu dulu? Takkan gadis itu masih menaruh hati padanya setelah sekian lama sedangkan gadis itu pernah meniti saat bahagia bersama lelaki lain? Azrul pula bukannya tiada wanita yang mahu mendekatinya tetapi hatinya bak tembok batu.  Dia bersumpah selagi tidak menemui Melia dia tidak akan menerima wanita lain dalam hidupnya.

“Doktor Azrul, pesakit di katil 42 tidak sedarkan diri,” seorang jururawat datang memanggilnya.  Sekaligus membawa lamunannya kembali ke alam nyata.

Azrul dengan pantas mencapai stetoskop dan berlalu pergi.  Bayang Melia mula menghilang, dia kembali menjalani tugasnya sebagai seorang doktor.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Nazira melirik jam di tangannya.  Jam sudah menunjukkan pukul satu tengahari.  Dia mengambil cuti separuh hari kerana ingin menemani Melia ke majlis perkahwinan Anita bekas teman serumah Melia.  Mereka berjanji untuk berjumpa di rumah kerana hadiah yang dibeli masih berada di rumah.  Melia juga balik untuk menukar pakaian.  Nazira mencapai tas tangan lalu menapak turun ke bawah.

Sesampainya di rumah, Melia sudah siap berbaju kurung untuk ke majlis Anita.  Melia lebih cepat pulang kerana dia bekerja sendiri.  Selepas pulang dari mahkamah dia tidak naik ke pejabat tetapi terus pulang ke rumah.  Dia sudah memaklumkan kepada Hanafi yang dia ingin ke Melaka untuk menghadiri majlis perkahwinan.

“Cepatnya kau balik Mel?” Sapa Nazira sebaik tiba di rumah.

“Aku dari court tadi. Malas nak naik pejabat jadi aku terus balik,” balas Melia.

“Oh senang jadi bos ni tak payah minta cuti dulu,” kata Nazira kepada Melia yang ayu berkurung merah darah ikan petang itu.

          “Banyaklah kau senang.  Aku ni second bos je, apa-apa pun kenalah bagitahu abang Hanafi tu.  Kau nak tukar baju ke tak ni?”

“Mestilah nak tukar.  Takkan nak pakai baju kurung biasa mestilah nak pakai yang ada lip lap lip lap,” ujar Nazira sekali dengan gaya tangan membuat kerlipan.

“Banyaklah kau punya lip lap lip lap.  Sekarang ni kau ke Nita yang nak kahwin?  Huh nanti bertukar pengantin aku tak sanggup nak jawab dengan Azman.”  Melia ketawa terkekek.  Sengaja dia mengusik minah kalut tu.

“Amboi ketawanya dia kat kita.  Kau tu tudung tak pakai lagi.  Malas aku layan kau baik aku pergi tukar baju, nak mekap lagi.”

Sebelum dia mekap mengalahkan pengantin baik aku warning.  Kalau tak beruban aku tunggu dia. “Wei Zira tak payah nak touch up sangatlah nanti gelap kita sampai sana.”

“Engkau tu tak apalah tak mekap pun cantik.  Aku yang hitam ni kena touch up lebih nanti tak mengancam,” balas Nazira seraya masuk ke biliknya untuk menukar pakaian.

“Mengada ya kau aku tinggal baru tahu,” ugut Melia.

“Kejaplah,” laung Nazira dari dalam bilik.  Aku nak bersiap pun tak senang main gesa-gesa macam ni.  Mentang-mentanglah dia dah siap.



Perjalanan mereka mengambil masa hampir tiga jam untuk tiba di Bandar Hilir Melaka.  Tidak susah mencari rumah Anita kerana di kad undangan itu sudah terlukis peta untuk ke rumahnya.  Lagi pun sebelum ini Anita pernah memberitahu jalan ke rumah orang tuanya.

“Selamat pengantin baru Nita.  Maaflah lambat, aku kerja hari ini,” Melia meminta maaf pada Anita kerana dia terlewat sampai. 

“Tak apa Mel…..janji kau sampai,” Anita mengukir senyum berbesar hati dengan kedatangan bekas teman serumahnya itu.

“Ini hadiah dari aku dan Nazira.  Tahniah buat kau sebab sudah bergelar isteri,” ucap Melia sambil menghulurkan dua kotak hadiah kepada mempelai raja sehari itu.

“Terima kasih Mel, Nazira.  Jemputlah makan, nanti lepas makan kau naik atas ya kita bergambar bersama,” kata Anita yang berseri dengan pakaian pengantin berwarna ungu.

Melia dan Nazira menuju ke khemah untuk menikmati hidangan kenduri kahwin.  Lauk- pauk kenduri kahwin di Melaka agak berbeza dengan pantai timur.  Jika di Kelantan tersohor dengan gulai kawah tetapi di majlis Anita menyediakan daging masak kurma, rendang ayam, pajeri nanas dan acar timun berempah.  Nazira begitu berselera makan masakan orang Melaka tetapi Melia hanya makan sedikit sahaja kerana dia tidak gemarkan kurma.  Tetamu pula mulai berkurangan kerana jam sudah pukul lima petang.

Usai makan mereka naik menemui Anita untuk merakam foto kenangan bersama.  Suami Anita juga dari Melaka tetapi tinggal di Alor Gajah.  Mereka kelihatan serasi bak pinang dibelah dua.  Setiap pengantin pasti naik seri di hari bahagia mereka. Pelamin ungu putih pilihan Anita tersergam indah, begitu cantik di pandangan mata.

“Mel bila kau nak naik pelamin?” Tanya Anita sebelum mereka berdua berangkat pulang.

Pakwe pun tak ada takkan aku nak naik pelamin sorang-sorang.  Ni aku tunggu best friend forever aku dulu jadi pengantin, baru aku menyusul,” jawab Melia seraya tangannya menunjuk ke arah Nazira.

“Bukan Zira dah bertunang ke? Dia memang dah nak naik pelamin jadi kau kenalah ready dari sekarang Mel……” tutur Anita yang memang tahu Nazira telah menjadi tunangan orang.

“Dia ni jenis jual mahal Nita.  Sahamnya setinggi gunung,” sindir Nazira.  Saham di BSKL ada naik turunnya tapi kalau saham Melia ni naik tak turun-turun.  Saham kalau terlampau tinggi mana ada yang mampu membelinya.

“Mana ada Nita, kau jangan percaya cakap dia ni.  Dia selalu kenakan aku,” Melia cuba membela diri sendiri.  Pandai-pandai je Nazira cakap aku ada saham.  Kalau aku main saham tak payahlah aku jadi lawyer memang dah sah-sah kaya.  Hesy!

Anita tergelak kecil dengan karenah dua sahabat itu.  Dari dulu lagi dia tahu keakraban mereka.  Semasa Anita menyewa rumah bersama Melia, Nazira sering bertandang ke rumah.  Adakalanya bermalam di situ bersama mereka.

 Sebaik Melia dan Nazira meminta diri dia menghulurkan dua biji beg kertas sebagai hadiah kepada tetamu.  Di dalam beg kertas itu diletakkan bunga telur, sapu tangan, coklat dan cup cake.



Melia memandu perlahan kereta Toyota Vios nya menyusur lebuhraya.  Nazira yang berada di sebelah penumpang sudah terlena.  Barangkali letih benar sahabatnya itu setelah menikmati hidangan kenduri.  Melia pun malas hendak mengganggu. 

Sebelum meneruskan perjalanan tadi mereka sudah berhenti di masjid untuk menunaikan tanggungjawab kepada pencipta.  Walaupun mereka berdua sudah lama hidup di bandar metropolitan tetapi mereka tidak pernah lalai dalam nikmat dunia.  Dia dan Nazira masih selesa bertudung dan berbaju kurung.  Solat lima waktu sering menjadi keutamaan waalupun sibuk dengan tuntutan kerja.  Alunan nasyid ‘Iktikaf’ dari kumpulan Raihan berkumandang di corong radio keretanya.  Syahdu meruntun jiwa menginsafi diri kepada yang Maha Kuasa.

‘Wahai Tuhan aku tak layak ke syurgamu,
Namun tak pula aku sanggup nerakamu,
Ampunkan dosa dan terimalah taubatku,
Sesungguhnya engkaulah pengampun dosa-dosa besar,
‘Dosa-dosaku bagaikan pepasir di pantai,
Dengan rahmatmu ampunkan daku oh tuhanku.’

Telefon bimbit Melia berbunyi deringan untuk SMS.  Dia hanya membaca sepintas lalu kerana sedang memandu kereta.  SMS itu datangnya daripada Azrul.  Azrul mengajaknya makan bersama tengahari esok.  Tanpa membalas setuju atau tidak Melia terus memulas stereng kereta menuju ke destinasi.  Hari hampir senja, kanvas di langit pun mula bertukar warna.                                                           

No comments:

Post a Comment