Jul 13, 2014

Bab 17 Biasan Cinta Semalam



Dua tiga hari ini meja Melia dihujani dengan kuntuman bunga.   Ros merah yang harum baunya itu dibungkus kemas.  Jambakan bunga yang dihantar itu adalah daripada Haikal.  Pada mulanya dia tidak pasti pengirimnya kerana tiada kad yang diselitkan di sebalik jambak bunga itu tetapi warna bunga dan dekorasinya mengingatkan dia tentang Haikal.  Semasa dia bersama dengan Haikal dulu, kerap benar dia menerima kiriman bunga seperti itu. 

Dia amat yakin  pengirim itu adalah Haikal.  Hatinya naik menyampah teringatkan lelaki itu.  Bukankah dia sudah berpesan pada Wanda yang dia sama sekali tidak akan menerima abangnya itu lagi.  Dia rasa geram kerana Haikal tidak berputus asa.  Jiwanya agak serabut dengan Azrul, ditambah lagi Haikal pun datang mengganggu.  Dia tidak mengerti mengapa Haikal berusaha memujuknya kembali selepas berpisah dengan bekas isterinya.

“Hello. Mel……ni Haikal,” Melia menerima panggilan telefon dari Haikal menerusi telefon pejabatnya.  Dia terus menjawab kerana menyangka itu panggilan dari pelanggannya.

“Kau nak apa?” Tanya Melia tidak senang dengan panggilan yang diterimanya itu.  Kalau kat depan aku mahu aku ketuk dengan fail.  Aku hari ni dahlah tension dengan client.  Telinga aku pagi ni bukan saja dah bebal kena ‘sound’ dengan tuan hakim kat mahkamah tadi tapi pelanggan aku pun turut complain bagai.  Ingat senang jadi peguam.

“Boleh kita jumpa?” Tanya Haikal pada gadis yang pernah menjadi tunangannya itu.

“Bunga  dari kau pun aku tak sudi nak terima ini kan pula nak berjumpa dengan kau!” 

“Mel….please…..” rayu Haikal penuh harap.  

Hati aku dah sakit kat mahkamah tadi tolong jangan tambahlah lagi Haikal! Melia melepaskan keluhan sebelum bersuara, “maaflah Haikal, tolong jangan ganggu aku.”

“Mel, bagi I peluang sekali lagi,” rayu Haikal dalam talian.  Aduh dia ni memang tak faham bahasa.  Aku tengah serabut dengan masalah kerja cakap benda remeh-temeh macam ni pula.  Banyak benda lagi aku nak fikir dari fikir nak terima dia balik ke tak.

Not at all!” Melia menghempas gagang telefon.  Benci betul dia dengan lelaki itu.  Pandai pulak si Haikal tu cari nombor telefon pejabat aku.

Bebanan kerja sudah membuatkan dia letih.  Dia tidak suka panggilan ke pejabat menjadi panggilan peribadi.  Dia sudah kusut dengan masalah kerja di pejabat, kalau boleh dia tidak mahu emosinya terganggu di tempat kerja. 

Sebagai peguam naik turun mahkamah adalah rutin biasa.  Kehendak pelanggan yang ingin cepat-cepat selesaikan kes amat memeningkan kepalanya.  Keputusan terletak pada hakim bukan dirinya.  Dirinya hanya boleh membela dan menegakkan kebenaran berdasarkan fakta, bukti dan saksi.  Selebihnya terserah kepada mahkamah untuk menentukan.

Sebelum dia terjun ke bidang guaman ini abahnya ada  menasihat.  Katanya kerjaya sebagai peguam banyak dugaannya.  Apabila menjadi peguam telinga yang tidak pekak perlu dipekakkan,  hati yang sensitif kena jadi batu, mulutnya yang petah berbicara dalam mahkamah jadi bisu kerana pelanggan.  Bahkan lagi jika menjadi peguam swasta yang mempunyai firma sendiri.  Melia yang pernah mewakili sekolah dulu dalam pidato dan perbahasan tidak menyangka dia akan benar-benar berbahas kini.

 Setahun setengah dia di Matrikulasi, kemudian mengambil Bachelor Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa selama empat tahun untuk kerjaya peguamnya itu.  Sebelum benar-benar layak diiktiraf sebagai peguam dia perlu membuat chambering atau dalam istilah lain menjalani latihan praktikal.  Dia chambering di Tetuan Ghani Associates milik bapa Haikal selama sembilan bulan . 

Lantaran prestasinya yang cemerlang semasa chambering dia terus diterima bekerja di firma guaman tersohor itu sehinggalah dia putus tunang dengan Haikal.  Tuan Ghani ada menghalangnya daripada meletakkan jawatan namun dia tidak mampu untuk terus bekerja dengan firma yang ada kaitan dengan Haikal.  Dia tidak sangup memandang majikan yang sepatutnya menjadi mertua.  Dia nekad menarik diri dari firma itu selepas Haikal mendirikan rumahtangga dengan orang lain.

“Cik Mel, saya baru dapat panggilan telefon dari Puan Kamisah.  Dia memaklumkan yang dia ada saksi baru dalam kes anaknya itu,” beritahu Sherry kepada Melia.

“Bagus.  Kalau macam tu awak aturkan temujanji supaya saksi tu dapat berjumpa dengan kita secepat mungkin,” arah Melia pada pembantunya itu. 

“Baik cik Melia,” balas Sherry.

Dia lega kerana anak guamnya mendapat saksi baru untuk perbicaraan.  Sebelum ini kes anak Puan Kamisah itu tertangguh lama kerana mereka tidak mempunyai bukti yang kukuh terhadap pertuduhan mencuri oleh anak guamnya. 

Menurut cerita puan Kamisah anaknya telah dituduh mencuri motor baru yang dibeli oleh seorang kawan.  Katanya anak  itu amat baik lalu telah difitnah oleh kawannya sendiri.  Sebagai peguam yang telah diupah untuk mewakilkan anak guamnya Melia akan mencuba membela.  Namun andai benar anak guamnya bersalah dia tidak kisah kalah dalam perbicaraan.  Dia tidak mahu membela pesalah untuk duit kerana semua itu pasti dipersoalkan di akhirat kelak.

Kerjaya seorang peguam kadang-kadang di salah anggap.  Ada yang cop peguam sebagai ‘loyar buruk’, makan duit haram membela pesalah dan sebagainya.  Namun Melia tidak pernah ambil pusing dengan semua itu.  Sekali dia di bidang ini dia tidak akan berundur ke belakang.  Dia nekad untuk mengharungi onak dan duri arena guaman.  Enam tahun bergelar peguam membuat dia lali dengan mainan di mahkamah.  Kejian dan makian telah menjadi makanan harian.  Bukan senang untuk dia bertapak sendiri hari ini. 

Selepas berhenti kerja dengan Tetuan Ghani Associates dia berusaha bangkit demi kerjaya yang dicintainya itu.  Dia ada memohon untuk berkhidmat dengan kerajaan tetapi rezeki bekerja sendiri telah mendahului.  Kawan Hakimi seorang peguam yang mencari rakan kongsi untuk menubuhkan syarikat guaman.  Lalu Hakimi mencadangkan Melia menjadi rakan kongsi kepada kawannya Hanafi.  Mereka sama-sama berkongsi modal lalu tertubuhlah Melia Hanafi & Co.  Melia yang mempunyai pengalaman selama empat tahun di Tetuan Ghani Associates begitu bekerja keras untuk mendapatkan pelanggan. 

Ternyata tidak sia-sia kerana Melia sudah mempunyai rangkaian pelanggan yang sukakan khidmatnya.  Manakala Hanafi yang sudah sepuluh tahun dalam bidang guaman seorang yang beretika dalam bekerja.  Alhamdulillah Melia dan Hanafi telah menjadi rakan kongsi yang baik.  Tahun ini adalah tahun kedua Melia Hanafi & Co beroperasi.

“Encik Hanafi ada ke dalam bilik dia Sherry?” Tanya Melia mengenai rakan kongsinya itu kerana hari ini mereka belum bersua muka lagi.  Pagi tadi sebelum ke Mahkamah Tinggi dia hanya naik sekejap sahaja di pejabat.

“Ada. Baru saja masuk dengan client tadi,” jawab Sherry yang sedang menulis sesuatu di beberapa helaian kertas.

“Oh, saya ingat dia tak ada tadi.  Sherry awak nak tak bunga-bunga ros kat meja saya tu?” Tanya Melia kerana dia tidak mahu melihat bunga dari Haikal di mejanya.  Kusut dia hendak buat kerja dengan adanya bunga itu.

“Cik Mel ni ada pula nak bagi saya. Nanti marah pula boyfriend cik Mel.”

“Bukan boyfriend sayalah yang hantar.  Itu musuh saya yang hantar.”

“Cik Mel ada musuh ke?  Takkanlah orang sebaik cik Mel ni ada musuh.”

“Baik ke saya ni Sherry? Saya ni dah lah garang, lepas tu kat mahkamah bela orang tu, bela orang ini,” seloroh Melia kepada pembantunya yang berusia dua puluh lima tahun itu.

“Baik. Mestilah Cik Melia baik…..tak kan saya nak cakap bos saya jahat pulak.”

“Ada-ada  je awak ni Sherry.  Nak tak bunga tu?” Melia bertanya lagi tawarannya hendak memberi Sherry bunga kiriman Haikal itu.

“Boleh. Boleh saja,” jawab Sherry seraya tersenyum menampakkan gigi putihnya.

Lantas Melia mengambil semua jambakan bunga di mejanya untuk diberi kepada Sherry.  Selepas itu dia kembali menyambung kerjanya yang terbengkalai.  Dia perlu menyiapkan kertas kerja sebelum berbahas di mahkamah esok untuk kes lain pula.



Melia pulang lewat sedikit ke rumah sewanya kerana terkandas dalam kesesakan lalu lintas.  Silap dia kerana keluar lewat dari pejabat.  Apabila di depan komputer Melia leka sehingga tidak menyedari Sherry, Hafiz dan Hanafi telah balik.  Melia seorang yang bersemangat dalam kerja sehingga tidak kisah usianya berlalu kerana kesibukan kerja.  Dia tidak pernah peduli dengan lelaki lain selepas hubungannya dengan Haikal berakhir.  Fikirannya hanya tertumpu pada bidang yang mencabar itu sahaja.

Dia pasti Nazira sudah pulang memandangkan hari sudah gelap ketika dia tiba di simpang jalan untuk ke rumahnya.  Nazira yang bekerja sebagai penolong akauntan di Jabatan Akauntan Negara pasti pulang tepat mengikut waktu pejabat.  Berlainan dengan  dirinya yang bekerja sendiri.  Nazira tidak sibuk sepertinya kerana bebanan kerja goverment tidak sehebat berdiri atas kaki sendiri.

“Assalamualaikum,” Melia memberi salam sebaik tiba di muka pintu.

“Waalaikumussalam,” Nazira menjawab salam sambil membuka pintu rumah.

“Lewat kau balik Mel,” sapa Nazira sebaik terpacul wajah kawannya itu.

“Biasalah jalan jammed.  Lagipun tadi aku keluar lewat dari pejabat.”

“Pergilah mandi, aku dah beli makanan nanti kita makan sama-sama.”

“Terima kasih.  Aku mandi dulu ya…..badan pun dah melekit rasanya,” kata Melia lalu berlalu ke biliknya.

Usai mandi Melia menunaikan solat Maghrib yang sudah di penghujung waktu.  Selepas itu dia sambung untuk bersolat Isyak.  Selesai semuanya dia ke dapur bersama Nazira.  Nazira telah membelikan dua nasi bungkus sebagai makan malam.  Melia tidak kisah kerana kadang-kadang dia cuma makan roti sahaja pada sebelah malam.

“Mel kenapa kau tak bagi peluang pada Azrul?” Nazira memberanikan diri untuk bertanya ketika mereka sedang menjamah nasi itu.  Dia sedar soalan itu bukan kegemaran Melia.

“Zira…….kan aku dah cerita pada kau.  Kenapa tanya lagi?”

“Sebab aku tengok Azrul bersungguh-sungguh minta maaf pada kau.”

“Aku boleh maafkan dia tapi kalau nak berkawan macam dulu itu yang aku tak boleh Zira.”

“Ya aku tahu bukan mudah kau nak lupakan apa yang berlaku. Tapi kau kena ingat pada masa itu kita terlalu mentah dalam hidup.”

“Bunyi macam kau sebelahkan Azrul pula.”

“Tak betul ke apa aku cakap tu?”

“Entahlah malas aku nak fikir. Sekarang ni aku lagi serabut dengan Haikal.”

“Haikal bekas tunang kau tu? Apa kes dengan dia ? Kan dah kahwin dengan model sambilan yang berlagak tu.”  Nazira agak terkejut mendengar tentang lelaki yang sudah lama tidak disebut Melia.  Dia hairan kenapa Melia tiba-tiba menimbulkan nama lelaki itu.

“Wanda datang hari tu pasal dialah.  Lepas hantar bunga siap call aku kat pejabat lagi Zira,” jelas Melia mengenai lelaki yang disebutnya tadi.

“Oh baru teringat Wanda tu adik dia. Patutlah bunyi macam familiar bila kau sebut nama Wanda hari tu.  Haikal tu nak apa sebenarnya Mel?”

“Senang cerita aku cakap kes gila talak.” Mudah Melia memberikan jawapan.

            “Laa…..dah bercerai rupanya mamat tu? Jadi sekarang dia nakkan khidmat kau untuk rujuk dengan bini?” Sengal pulak Nazira ni.  Salah faham rupanya.


            “Apasal bebal sangat kau ni? Sejak bila aku jadi peguam syariah? Memanglah dia orang dah bercerai tapi bukan gila talak dengan bekas bini dia.  Ni gila talak dengan bekas tunang.” Keras suara Melia memberitahu sahabatnya apabila Nazira buat loyar buruk dengan dia.  Kadang-kadang memang lucu dengan minah tu tidak boleh berkias sikit dia melalut ke lain.  Ayat kiasan Melia pasti akan disalah anggap oleh Nazira dan ditafsirkan benda lain oleh otaknya.

Nazira tersengih bak senyum kambing lalu menyambung, “mana aku tahu kut ya pun kau cakap bab gila talak.  Walaupun aku dapat A dalam Pendidikan Islam dulu tapi aku mana belajar law macam kau.”

Hish minah ni ada nak kena sumbat dengan tulang ayam.  Apa kaitan gila talak dengan subjek Pendidikan Islam dan undang-undang?  Setahu aku bab dalam subjek Pendidikan Islam adalah talak bukannya gila talak.  Gila talak tu istilah masyarakat untuk suami yang nak kembali pada bekas isteri.  Ada ke orang guna istilah tu untuk bekas tunang yang nak kembali kepada bekas tunang?  Dia yang bebal ke aku yang tolol? Aduh!

Wei Mel! Aku kat depan kau tapi kau dah macam naik ke Marikh tu apasal?” Sergah Nazira bila melihat Melia seakan berkhayal dan tidak menyuap makanan ke mulut.

“Hah! Aku fokus kat nasi ni takut ada apa-apa kat nasi ni.” Melia tergagap-gagap disergah Nazira.  Dia kembali menyuap nasi ke mulut.

“Ada apanya? Ada lauk dengan sayurlah, haru kau ni.  Cepatlah makan tu aku dah siap ni.”  Nazira sudah menghabiskan nasinya.  Dia meneguk segelas air soya sementara menunggu Melia selesai makan.  

2 comments: