Jul 9, 2014

Bab 16 Biasan Cinta Semalam


Wajah gadis genit di hadapannya dipandang dengan kerut seribu.  Lama sudah wajah kuning langsat itu tidak singgah di matanya.  Namun bayangan gadis itu belum hilang daripada ingatannya.

“Wanda.”

Gadis kecil molek itu mengangguk. “Ya ….kak Mel.”

Tangan Melia disalami dan dikucup Wanda biarpun Melia kelihatan teragak-agak untuk menyambutnya.

“Kenapa datang cari akak?” Jelas sekali soalan itu menggambarkan ketidaksenangan Melia akan kedatangan gadis yang bernama Wanda Atikah itu.

“Wanda nak cakap sikit dengan akak.  Boleh kan Kak Mel?” Pinta gadis yang berusia dua puluh dua tahun itu yang masih berada di ambang pintu.

Sebenarnya Melia amat terkejut dengan kehadiran Wanda.  Tetamu yang tidak diundang dan tidak pernah disangka akan muncul di depan pintunya tengahari itu.  Bukan kerana gadis itu seterunya bukan pula pernah menyakitkan hatinya.  Namun sungguh dia tidak bersedia dengan kemunculan tiba-tiba gadis itu.

Wanda adalah adik kepada Haikal lelaki yang pernah ‘menanda’ dirinya.  Dia dan Wanda rapat juga ketika itu kerana gadis itu bakal menjadi adik iparnya.  Namun status dia tunang Haikal tidak lama disandangnya.  Ikatan itu terputus mungkin kerana tiada jodoh.  Setelah Haikal berkahwin empat tahun lepas dia tidak pernah lagi berjumpa bekas adik tunangannya itu.

Hubungannya dengan Wanda habis setakat itu.  Kisah dua beradik itu lenyap dan langsung tidak diketahuinya.  Lantaran itu wajiblah dia cuak akan kedatangan Wanda yang tidak dipinta ini.

Matanya berlaga dengan Wanda yang sudah lama berdiri di muka pintu. “Masuklah dik,” akhirnya Melia mempelawa adik kepada bekas tunangnya masuk.  Tidak elok membiarkan tetamu lama berdiri di luar.  Dia tidak kejam meski pun jiwanya tidak berapa senang.  Dia tahu ada agenda di hati Wanda.  Kalau tidak masakan gadis itu sanggup mencarinya.

Wanda masuk dan duduk di kerusi bersebelahan Melia dengan sopan.  “Wanda nak cakap apa dengan akak?”

Wanda sentuh tangan Melia. “Kak Mel……boleh tak maafkan abang Haikal?” Tanpa berselindung laju sahaja Wanda bertanya.  Biarlah dia terus lempar soalan itu kerana jawapan kedatangannya tersurat di situ.

Kornea mata Melia tajam menikam anak mata Wanda.  Sudah dia agak tujuan Wanda ke sini adalah kerana Haikal.  Mana mungkin kedatangan tak semena ini tidak mempunyai sebarang motif.  Kalau sekadar hendak bertanya khabar rasanya tidak mungkin Wanda bersusah-payah mencarinya.

“Kak Mel tak fahamlah Wanda.  Mengapa Wanda tiba-tiba datang rumah akak dan bercakap tentang orang yang dah Kak Mel benci?  Wanda pun tahu bukan akak yang putuskan pertunangan tu dulu,” tukas Melia tidak senang.

“Ya Wanda tahu abang Haikal yang salah tetapi sekarang dia sudah sedar semua itu.  Dia yang suruh Wanda cari Kak Mel,” terang Wanda menaruh harapan.

“Wanda…..abang Wanda tu suami orang.  Dia sudah ada kehidupannya sendiri.  Kenapa perlu cari akak pula?” Kak Mel tak mahu jadi perosak rumahtangga orang.”

“Dia sudah bercerai setahun yang lalu,” jawab Wanda dengan nada kecewa.

“Ya ke Wanda? Kenapa boleh jadi macam tu?” Terkejut Melia mendengar berita itu.  Tega Haikal membuang dirinya dulu untuk perempuan itu tetapi rumahtangga mereka tak sampai ke mana.  Balasan tuhan lah tu.

“Bekas isteri dia tu yang curang dengan abang.  Wanda tak sangka Kak Rita sanggup buat abang macam tu.  Yelah mereka pun dah ada anak,” luah Wanda menzahirkan kekecewaan terhadap keruntuhan rumahtangga abangnya.

“Astagfirullahalazim.  Kak Mel bersimpati dengan semua itu,” perlahan suara Melia mengukir kata.  Walaupun dia amat marah dengan semua itu namun sifat perikemanusiaan yang ada pasti terlahirnya simpati.  Jodoh yang Haikal tentukan sendiri di saat akhir mengundang bencana pada masjid yang di bina kerana dia tentu belum mengenali Rita sepenuhnya.

“Kak Mel maafkan abang ya?” Rayu Wanda pada wanita yang pernah bergelar bakal kakak iparnya itu dulu.

“Kak Mel boleh maafkan dia tetapi kisah kami sudah lama berlalu. Akak dah lupakannya.  Yang berlalu kita jadikan pedoman dalam hidup dik,” ujar Melia kepada gadis yang tujuh tahun lebih muda daripadanya itu. 

Haikal…..Haikal….. tak pasal-pasal kau suruh adik kau cari aku balik.  Masa tengah bahagia tak pula kau cari aku untuk minta maaf.  Sekarang dah kenal ‘manikam’ baru terhegeh-hegeh suruh orang wakilkan untuk pohon maaf.  Jika terdesak sangat kenapa tak datang sendiri?  Uhh! Kalau dia datang sendiri jawabnya sorry aku nak buka pintu.

“Abang Haikal rindukan Kak Mel.  Dia rasa amat menyesal dengan apa yang dia buat dulu.  Dia nak tebus balik kesilapannya pada Kak Mel.  Kalau boleh dia mahu Kak Mel jadi ibu pada anaknya Batrisya,” Wanda menyatakannya penuh harapan.

 Berangan apa si Haikal nak aku jadi mak tiri pada anaknya.  Tak pernah terfikir aku nak ada anak sebelum terlahirnya anak sendiri.  Kalutnya abang dia ni. 

“Wanda…..sejak Haikal tinggalkan akak…..akak tidak pernah berharap untuk dia kembali.  Akak redha antara kami tiada jodoh.  Segala yang berlaku sudah  ketentuanNya. Akak harap Wanda faham dan beritahu Abang Haikal supaya jangan cari Kak Mel.”

“Tak apalah Kak Mel, Wanda faham perasaan akak.  Wanda cuma datang untuk sampaikan hasrat abang.  Wanda harap Kak Mel boleh fikirkan balik kata-kata Wanda tadi.”

Hendak tidak hendak Melia senyum juga di depan Wanda walaupun cuma senyum tawar.  Tidak sempat Melia ingin membancuh air Wanda sudah meminta diri untuk pulang.  Melia membiarkan sahaja kerana dia tidak berminat untuk mendengar tentang Haikal lagi. 

Peristiwa empat tahun lepas sudah menjadi sejarah dalam hidup Melia.  Sejarah itu tidak mahu diulanginya kerana Haikal lelaki yang tidak boleh dipercayai.  Dia langsung tidak mahu mengingatinya.  Lelaki itu amat dibencinya lagi berbanding Azrul. 

Selama dia mengenali Haikal dia cuba menerima lelaki itu seadanya.  Dia cuba untuk menyayangi walaupun dia tahu teramat payah untuk dilakukannya.  Sejak berpisah dengan Azrul dia tidak terbuka hati untuk jatuh cinta lagi.  Kesungguhan Haikal membuat dia simpati dan menerima lamaran lelaki itu dengan harapan dia akan melupakan Azrul.  Bahkan lagi pada waktu itu dia bekerja dengan firma guaman milik bapa Haikal.  Namun dia tidak menyangka dia akan dikecewakan.  Mungkin Haikal perasan cintanya tidak sedalam mana. 

Saat keluarganya di kampung sudah membuat pelbagai persiapan perkahwinan, Haikal tergamak memutuskan pertunangan mereka.  Haikal pula bagaikan sengaja melangsungkan perkahwinan dengan Rita sama tarikh dengan majlis yang sepatutnya dia bernikah dengan  Melia. 

Melia tidak menangis melihat Haikal bahagia tetapi dia mendoakan kebahagiaan mempelai itu.  Dia terima qada dan qadarnya dengan ikhlas.  Mungkin ada hikmah dia tidak berkahwin dengan Haikal.  Dia redha itu bukan jodohnya. 

Melia akui dia tidak ikhlas menerima lelaki itu kerana bayangan Azrul sentiasa menghantuinya.  Dia menerima kerana Haikal begitu bersungguh-sungguh terhadapnya dulu.  Hakikatnya Melia belum terdaya membuka pintu cinta buat orang lain.  Dia sebenarnya keliru dengan perasaannya terhadap Haikal pada masa itu.

“Mel siapa datang tadi?”  tanya Nazira yang baru keluar dari bilik.  Dilihatnya Melia jauh termenung sambil menopang dagu.

“Wanda,” jawab Melia acuh tak acuh.

“Macam familiar saja nama tu. Apasal cepat sangat dia balik?”

“Dah engkau tu mandi berendam lama, cepatlah dia balik,” seloroh Melia.

“Ke situ pulak kau ni.  Habis tu yang kau tak siap-siap lagi kenapa? Kan kita nak makan tengahari kat luar hari ni,” omel Nazira.  Dia sudah lengkap berpakaian cuma belum menyarungkan tudung sahaja.  Nazira memakai T shirt berlengan panjang berwarna pink dipadankan dengan seluar jeans biru.  Hari minggu dia lebih selesa begitu kerana pada hari bekerja dia selalu mengenakan baju kurung untuk ke pejabat.

“Aku nak pergi siaplah ni,” ujar Melia lalu mengatur langkah untuk masuk ke biliknya.
“Eh jap…….Wanda tu sape Mel?” Laung Nazira.
“Nantilah aku citer, aku nak tukar baju dulu ni.”  Sempat lagi minah tu bertanya.  Dasar telinga lintah dok dalam bilik air pun dengar orang datang.



Sesampainya di restoran itu Melia kehairanan kerana Azman sudah setia menunggu di meja.  Setahu Melia, Azman masih berkursus di Terengganu.  Kenapa pula Nazira tidak memberitahu dia yang Azman akan turut serta untuk makan tengahari bersama mereka?

“Kau ada date dengan Azman ke Zira?” Tanya Melia pelik.

“Kau ni Azman kan kawan kita apa salahnya makan sekali,” jawab Nazira mencipta alasan supaya Melia tidak mengesyaki apa-apa.

“Itu aku tahu tapi masalahnya korang berdua sudah bertunang.  Tak sesuailah makan bertiga dengan aku,” tutur Melia.

“Aku tak kisahlah Mel. Jom……” Nazira menarik tangan Melia menuju ke meja tempat Azman menunggu.

Nazira mengambil posisi duduk di sebelah Azman dan Melia duduk bertentangan dengan Nazira.  Meja segiempat tepat itu adalah meja untuk empat orang makan.

“Kau balik bila kursus Man?” Tanya Melia pada Azman yang sedang ralit membaca sesuatu pada tabletnya.

“Semalam Mel,” jawab Azman sepintas.

“Semalam balik, hari ni dah jumpa tunang. Tak penat ke?” Soal Melia lagi.

“Tak penat, dah biasa demi tunang kan,” Azman melirik matanya pada Nazira yang duduk di sebelahnya.  Walau Nazira tidak secantik Melia namun dia amat sayangkan tunangnya itu.  Azman tidak memilih rupa kerana dia juga tiada rupa.  Persahabatan yang lama terjalin membuat dia kenal siapa bakal isterinya itu.  Itulah bakal ibu pada anak-anaknya kelak.

“Dengar tak tu Zira?” Melia bertanyakan pada Nazira yang masih membisu.

“Kau ni aku dengarlah,” jawab Nazira malu-malu.

Melia mula rasa tidak kena duduk bertiga bersama Azman dan Nazira.  Jika zaman sekolah dulu dia tak kisah.  Sekarang apabila mereka berdua sudah menjadi pasangan kekasih Melia segan untuk mengganggu.  Nazira perasan perubahan sahabatnya itu dan dia menyiku lengan Azman.

“Sebenarnya kita makan berempat hari ini,” beritahu Azman apabila Melia bagaikan tidak selesa menjadi orang ketiga di antara mereka.

“Berempat? Siapa pula yang kau ajak ni Azman?” tanya Melia yang terkejut.

“Kawan aku, kejap lagi dia sampai,” beritahu Azman selamba.  Pandai-pandai lah si Azman bawa kawan.  Jangan-jangan dia ada niat rekemen kat aku tak?

“Siapa?  Zira tak bagitahu aku apa-apa pun.”  Diam-diam buat rancangan rupanya Nazira ni.  Sungguh aku tak puas hati dengan korang ni.

 “Surprise,” balas Nazira cepat-cepat.  Dia takut juga Melia marah dengan tindakannya. Mana taknya cik garang ni tidak dimaklumkan terlebih dahulu.  Hendak diberitahu bimbang Melia tidak mahu ikut pula nanti. 

“Assalamualaikum…….boleh saya duduk.”  Datang seorang lelaki memberi salam dan meminta untuk duduk di sebelah Melia yang kerusinya masih kosong.

Melia terkejut kerana ‘kawan’ yang dimaksudkan oleh Azman tadi adalah Azrul.  Air muka Melia berubah.  Dia mengerling tajam ke arah Nazira.  Nazira hanya tunduk, dia tidak berani menentang mata Melia.  Dia tahu Melia marah dengan tindakannya.  Pada mulanya memang Nazira tidak bersetuju dengan cadangan Azman tetapi setelah dipujuk dia akhirnya bersetuju.  Nazira akan menjelaskan segalanya kepada Melia di rumah nanti.

Walaupun Melia tidak mempelawanya duduk, Azrul menarik kerusi dan duduk di sebelah Melia.  Melia mula tidak keruan.  Jantungnya yang sudah lama tidak berdegup untuk lelaki kini berdegup kembali.  Dup dap, dup dap itu  hanya dirasa Melia. 

“Maaf  Mel……saya yang nak buat surprise ni,” terang Azrul apabila nampak perubahan riak wajah  Melia.

Azman juga dapat menghidu  semua itu walaupun Melia tidak berkata apa.  Dalam hatinya juga risau  kalau-kalau tunangnya disalahkan nanti.

Waiter……order,” Azman memanggil pelayan untuk memesan makanan demi menceriakan  suasana yang kelihatan tegang itu.

Mel….Azrul…..aku dan Nazira tukar meja ya.  Aku pindah meja belakang.  Korang berdua pun banyak yang hendak dibualkan jadi lebih baik kami di duduk di meja belakang saja,” kata Azman sebelum pelayan datang mengambil pesanan.

“ Eh, tak apalah Azman, Nazira.  Tak bestlah  macam  ni,” tolak Melia.  Sungguh dia tidak ingin semeja berdua dengan lelaki yang telah memalitkan duka dalam kamus hidupnya itu.

“Aku kat belakang ya Mel,” kata Nazira lalu bangun meninggalkan meja Azrul dan Melia. 

Nazira dan Azman mengambil tempat di meja belakang bagi membolehkan Azrul selesa berbicara dengan Melia.  Mereka faham dua hati itu sudah lama tidak bertemu.  Mereka tidak mahu menganggu bekas teman akrab itu.  Sejak semalam lagi Azrul begitu beria-ia meminta Azman membawanya bertemu Melia.  Dia mengerti akan perasaan Azrul setelah lama tidak berjumpa Melia.

Kalau ikutkan hati Melia, ingin saja dia bangun meninggalkan Azrul namun mengenangkan Nazira dan Azman dia tidak mahu berbuat demikian.  Lagipun perutnya sudah berbunyi.  Dia rasa lapar kerana pagi tadi dia hanya bersarapan dengan roti dan Horlick panas sahaja.  Makanan pun sudah dipesan ketika pelayan yang dipanggil Azman datang bertanya tadi.

“ Mel, awak tak kisah kan kita makan berdua?” Soal Azrul pada teman yang dirinduinya selama ini.  Dia kembali berawak saya dengan Melia seperti panggilan semasa mereka mesra di sekolah dahulu.

Straight to the point lah Azrul.  Sebenarnya apa tujuan kau buat macam ni?” Melia menyoal tanpa menjawab soalan Azrul. 

“Kita dah lama tak jumpa Mel, banyak cerita yang hendak dibualkan.  Lagipun maaf saya awak belum terima,” jawab Azrul sopan.

“Jawapan ke tu? Rasional ke jawapan tu untuk soalan aku?”  Kasar Melia berbahasa.  Dulu Azrul juga yang menggantikan saya awak kepada aku kau.  Kini tiba gilirannya pula meskipun nampak lelaki itu cuba berlembut dengannya.

I know you are a lawyer Melia…..tapi janganlah buat saya macam pesalah di mahkamah.”

“Oh sedar rupanya kau tu pesalah.  So, kalau aku cakap yang aku dah maafkan kau boleh ke bagi jaminan yang lepas ni kau tak  akan ganggu aku lagi?”

“Itu saya tak boleh jamin kerana saya amat rindu saat kita bersahabat dahulu.”

Ceh Rindu!  Sandiwara apa yang sedang kau mainkan sekarang?  “Kenapa sekarang baru nak rindu? Kenapa baru sekarang kau nak bercakap tentang hal lapuk tu?” Geram pula dia dengan lelaki berkumis nipis tu.  Perut lapar pun dah rasa kenyang.  Tiba-tiba cakap rindu segala apa dia tak ingat siapa yang putus sahabat dulu.

“Sebenarnya saya dah lama cari awak Mel tapi semuanya sia-sia.  Takdir tidak  menemukan kita sehinggalah saya tiba ke majlis reunion tu.  Jadi saya yakin itulah masa yang tepat untuk kita berjumpa.  Saya tidak mahu melepaskan kesempatan yang diberi.”

“Melalutnya kau ni.  Bagi aku semua itu tak ada maknanya sebab aku dah lupakan perkara lepas.  Aku dah tak nak ingat apa-apa.  Aku tak ada hutang ragu yang nak kau tuntut.”

Perbualan mereka terhenti seketika apabila pelayan datang menghantar makanan dan minuman yang dipesan.  Melia hanya memandang kosong makanan di hadapannya.  Dia sudah hilang selera sebenarnya.

“Kita makan dulu Mel?” Ajak Azrul memandangkan makanan sudah tersedia.  Azrul bangun mengubah posisi dengan duduk bertentangan dengan Melia.  Dia mahu menatap wajah gadis itu, tidak selesa berbual dengan sebelah-menyebelah.

Melia hanya membatu saja.  Dia rasa tidak sanggup hendak makan kerana Azrul kini duduk di depannya.

“Tadi awak cakap saya tiada hutang untuk dituntut dengan awak kan?  Sebenarnya ada hutang yang perlu dituntut.”

Melia mengerutkan keningnya.  “Hutang apa pula? Setahu aku, segalanya dah settle dulu.  Tak kan yang kau belanja dulu pun nak kira balik,” tanya Melia.  Dia pelik kerana dia memang tidak pernah berhutang dengan lelaki itu tetapi kalau minum ABC di gerai Kak Dah dulu Azrul sendiri mengaku yang dia belanja.

Azrul tersenyum nakal seraya berkata, “Saya nak tuntut hutang cinta awak dulu.”

Melia yang sedang meneguk jus tembikai nyaris tersedak dengan kata-kata lelaki itu.  Dia terlopong mendengarnya.  Hutang cinta aku pada dia zaman sekolah dulu ke?

“Saya tahu semua ini sukar pada awak tapi tolonglah bagi saya peluang untuk mengubati segala kekecewaan awak,” rayu Azrul.

“Apa maksud kau ni Azrul? Kita bukan budak-budak lagi tau tak.  Aku tak nak dibayangi masa silam.  Maaflah atas kebodohan aku masa sekolah.”

“Awak tak bodoh Mel……tapi saya yang bodoh.”

“Kau sudah terlewat Azrul.  Aku nak balik.”

“Mel, sekejap.  Kita makanlah dulu……tak baik membazir,” Azrul memujuk Melia yang cuba untuk pergi.

Melia memandang lelaki yang pernah disukainya dulu.  Dia akur untuk menjamah makanan bersama Azrul.  Melia makan sedikit sahaja kerana moodnya sudah hilang.

“Mel, saya tahu saya terlewat tapi saya nak awak tahu yang saya sudah lama menyesal dengan kata-kata saya dulu.  Saya sedar yang saya telah menghina awak.  Saya minta maaf banyak-banyak.  Tolong terima saya balik jadi kawan awak.”

“Aku tak dapat nak berkawan balik dengan kau Azrul.  Kau bagilah aku masa kerana aku tidak bersedia dengan semua ini.  Hati aku masih sakit pedih dengan kata-kata kau dulu apatah lagi melupakannya.”
            
           “Kenapalah saya bodoh sangat dulu.  Saya ego.  Maafkan saya Mel.  Kalaulah saya dapat undurkan masa lalu saya tidak akan hina awak begitu.  Saya benar-benar menyesal,” sayu suara Azrul menzahirkan kata-kata buat gadis yang dirinduinya itu.

“Sudahlah Azrul.  Aku mungkin boleh maafkan kau tapi untuk kembali seperti dulu itu yang tidak mungkin.  Aku minta diri dulu.”

Melia bangun dan menuju ke meja belakang tempat Azman dan Nazira makan.  Dia ingin memaklumkan kepada Nazira yang dia ingin pulang dahulu.  Lagipun dia pasti yang Nazira dan Azman ingin menghabiskan cuti hujung minggu bersama-sama.  Azman menoleh kepada Azrul yang nyata nampak kecewa. 

 “Keras benar hati Melia,” desis Azman selepas kelibat gadis itu berlalu.

“Zira faham Melia….Man.  Kita bagilah dia masa.  Zira tahu dia keras tetapi kalau Azrul boleh bersabar selama dua belas tahun ni untuk Melia kenapa dia tidak boleh bersabar untuk detik ini,” telah Nazira kepada tunangnya.  Azman hanya menganggukkan kepala tanda setuju dengan kata-kata tunangnya itu.

Azrul yang sudah selesai membayar bil makanan di kaunter menghampiri mereka.

“Man, Zira terima kasih aturkan pertemuan ni.”

It’s ok Rul.  Apa pun kau kena bersabar dalam melembutkan hati Melia tu.”

“Insyaallah.  Aku nak beransur dulu.  Assalamualaikum.”
Nazira dan Azman menjawab salam Azrul dan kembali menyambut makan.  Selepas makan Azman bercadang membawa Nazira menonton wayang di Golden Screen.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Melia melihat jam di dinding.  Jarum pendek sudah menginjak ke angka 10 malam tetapi Nazira masih belum pulang.  Walaupun dia tahu Nazira bersama Azman tetapi hatinya tetap risau kerana mereka berdua belum sah bergelar suami isteri.  Dia juga risau kerana kata-kata orang tua mengenai alam bertunang yang banyak dugaan. 

Ada juga yang berkata tentang darah manis.  Dia juga tidak faham akan istilah darah manis bagi pasangan bertunang.  Sebab itu ada sesetengah pasangan tidak mahu mengambil masa yang lama mengikat tali pertunangan.  Azman Nazira diikat dengan enam bulan tempoh pertunangan.  Kalau dikira baru dua bulan mereka bertunang.

Deruman enjin kereta di luar pagar mengejutkan khayalan Melia.  Dia menyelak langsir tingkap untuk memastikan kereta siapa di depan pintu pagar rumahnya.  Proton Gen 2 merah adalah milik Azman.  Dia melihat Nazira keluar dari pintu tempat duduk penumpang.  Melia membuka pintu kerana dia sudah pasti akan kepulangan Nazira.

“Amboi bestnyer orang tu dapat memadu cinta.  Ingat dah tak ingat jalan pulang,” Melia memerli sahabat baiknya.

“Mestilah best,” jawab Nazira sambil ketawa.

“Kau pergi mana sampai malam macam ni? Kau buat aku risau tahu tak?” Soal Melia. 

“Pergi tengok wayang, jalan-jalan, shopping.  Itu jelah.  Kenapa nak risau aku bukannya keluar sorang-sorang.  Kan aku keluar dengan chenta hati aku, apalah kau ni.”

“Ya….. aku tahu kau dengan Azman tapi sekarang dah lewat malam.  Nanti kau ditangkap pencegah maksiat.  Hahaha….baru kau tau,” Melia tersengih nakal cuba mengusik teman serumahnya itu.

“Luculah tu.  Fikir mengarut rupanya kau ni,” kata Nazira sambil mencubit tangan Melia.

“Adoii sakitlah.” Melia mengggosok-gosok tangan mulusnya yang dicubit Nazira.

Eh…..tadi kau kata nak cerita pasal Wanda,” aju Nazira mengalih topik.  Dia memang nak tahu pasal Wanda kerana nama itu seakan dikenalinya.

“Malas aku.  Aku nak merajuk pasal tadi,” Melia pura-pura merajuk.  Dia memuncungkan bibirnya.

“Pasal apa? Kalau pasal tadi aku minta maaflah Mel.  Itu semua rancangan Azrul dengan Azman. Aku ikut je,” kata Nazira seakan memujuk teman baiknya.

“Pandai kau erk ajak aku keluar makan kat luar tapi sebenarnya ada agenda lain.”

“Azman cakap Azrul merayu temukan kau dengan dia.  Aku pulak serba-salah bila Azman yang merayu aku.”

“Yalah tu pantang tunang rayu.”

“Mestilah.  Dialah pengarang jantung hatiku, penawar jiwa dan lara…...”

Oitt dah, bersyair ke berseloka kau ni? Main ayat jiwanglah pulak.  Geli anak tekak aku mendengarnya.  Kalaulah masa sekolah kau jiwang gini tentu gempak satu sekolah beb.  Kamal dan Bob apalagi hari-hari bantai gelak kat kau dengan Azman.”

“Ah zaman sekolah tak mainlah macam tu.  Zaman tu aku tak minat langsung kat dia.  Aku minat Abang Ismadi ketua pelajar tu.  Aduhh……dia tu badannya tegap, rambut macam Adi Putra, senyum ada perigi timba, lepas tu bila dia bersuara buat aku cair dibuatnya.

“Berangannya kau ni.  Aku cakap kat Azman baru tahu.  Abang Ismadi pun kau kata hensem bagi aku biasa je.”

“Itu kau mata kayu, hati batu.”

“Sedapnya mulut anak dara ni mengata orang.”

Heheh.  Gurau sajalah member. Mel, kau nak tengok baju yang aku beli dengan Azman tadi?”

“Boleh juga.  Mana bajunya?”

Nazira mengeluarkan dua pasang baju yang dibeli di butik Zaleha.  Dia menunjukkan kepada Melia.  Sepasang baju kurung berwarna merah jambu dan sepasang blaus biru bersama skirt labuh.  Mereka berdua leka berborak tentang baju itu serta bergurau senda bersama. Dua sahabat itu tidak pernah kering idea walau hari-hari berjumpa  Nazira dan Melia memang suka menyakat satu sama lain.

Selepas keletihan mereka masuk ke bilik masing-masing untuk melelapkan mata.  Nazira yang sudah kepenatan hampir seharian bersama Azman begitu mudah terlena. 

Melia pula terbayangkan pertemuan dengan Azrul tengahari tadi.  Mindanya terawang-awang memikirkan kata-kata Azrul namun tidak lama dia terus tertidur memandangkan esok adalah hari bekerja.

2 comments:

  1. Wauu...! Heartbroken. Tp untung la Melia ramai yang nak mengubati. Tapiii... tak suka la perangai Haikal tu. Enak je dia dh buang orang mcm tu, lepastu nk kutip balik dan nak suruh jd mak tiri utk anak dia. Selfish giler! Erk... teremosional la pulak. Hehehe... Sambung lagi ye?

    P/s: Jemput singgah my blog godek entry di sini juge ye - http://violetsofia.blogspot.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Violet Sofia sudi singgah dan komen di sini. Hehe...memang akan sambung.

      Delete