Jul 2, 2014

Bab 13 Biasan Cinta Semalam

Tanggal 12 November mereka semua menduduki Sijil Pelajaran Malaysia.  Melia melakukan yang terbaik untuk peperiksaan besar itu.  Dia tidak mahu terbawa-bawa perasaan hingga merosakkan pelajarannya. 

Bagi Melia hubungan dia dengan Azrul sudah lama berakhir, tiada apa untuk dikenang lagi.  Dia dan Azrul tidak mungkin akan menjadi sahabat baik lagi kerana dia begitu terluka dengan penghinaan Azrul.  Hatinya yang kini merekah tidak mungkin bertangkup lagi.

Sementara menunggu keputusan SPM diumumkan dia akan ke rumah abangnya di Pahang.  Dia berhajat untuk bekerja di pasaraya yang berdekatan dengan rumah abangnya di bandar Triang.  Tidak rugi rasanya dalam tempoh tiga bulan itu diisi dengan bekerja sambilan.  Dia tidak mahu memerap di rumah sahaja. Dia benar-benar ingin membawa dirinya jauh daripada Azrul.

“Mel ni betul ke nak pergi rumah Hakimi esok?” Tanya abah Melia.  Hatinya sedikit galau untuk membenarkan Melia bekerja dalam usia sebegitu.

“Betullah Abah.  Alang-alang abang Kimi dah balik ni baik Mel ikut dia pergi terus,” jawab Melia pada abahnya.  Kenapa abah tanya lagi? Kan sebelum abang Hakimi balik lagi aku dah cakap kat dia.  Janganlah abah berubah fikiran.

“Abah janganlah risau pasal adik.  Sekarang kan musim cuti sekolah Kimi tak mengajar  jadi Kimi boleh pantau dia.  Sambil hantar Nora kerja Kimi boleh hantar adik juga,” balas abangnya Hakimi.  Mujur abangnya back up.  Dia habis idea kalau abahnya tidak membenarkan dia pergi.

“Abah dah dengar kan apa abang Kimi cakap.  Apa-apa abah boleh telefon dia.  Lagipun abah kena yakin yang Mel boleh jaga diri,” Melia berusaha menambah keyakinan abahnya untuk melepaskan dia mengikut Hakimi ke Pahang.

“Duduk tempat orang  jaga diri elok-elok Mel. Tengok-tengokkan selalu adik kamu tu Kimi,” pesan ibu Melia kepada kedua-dua anaknya.

“Baiklah ibu,” jawab Melia kepada ibu kesayangannya.

“Sunyilah ibu…..Mel tak ada,” Hajah Aminah bersuara agak sedih.  Sebelum ini Melia tidak pernah berjauhan dengannya. 

“Ibu kan ada ayam, itik.  Semuanya  bising kat reban mana ibu sunyi,” Melia cuba berseloroh agar ibunya tidak bersedih.

“Mel kan anak manja ibu mana boleh berpisah……lainlah abang ni,” sampuk Hakimi.

Hish abang ni.  Abang kan dah bermanja dengan Kak Nora. Tak cukup lagi ke?” Melia mengusik abangnya.

Hakimi ketawa diusik adik bongsunya.  Sebenarnya dia faham perasaan ibunya.  Mereka cuma dua beradik.  Selepas bekerja dia sudah biasa berjauhan dengan ibunya.  Hanya semasa cuti sekolah dia akan balik meluangkan masa di kampung bersama keluarga.  Setelah berkahwin dan mempunyai anak lagi dia tidak berpeluang untuk balik selalu.  Melia lah yang menjadi penawar jiwa ibu dan abahnya.  Dia hanya mampu mengirim duit dan menelefon andai tidak bersua muka.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

            Kehidupan baru sebagai juruwang sebuah pasaraya di bandar Triang mencipta pengalaman baru buat Melia.  Dia seronok mendapat ilmu dan kawan baru.  Kerjanya itu agak penat pada hari minggu kerana hari itulah ramai pengunjung keluar berbelanja.  Melia tidak kesah mengalami keletihan kerana dia seronok dengan kerja barunya itu. 

Walaupun hanya mendapat gaji RM400 sebulan, Melia tetap bersyukur kerana jika hanya duduk di kampung dia tidak dapat bekerja.  Kampungnya agak jauh dari bandar dan dia malas mahu berulang-alik dengan bas setiap hari.  Duduk dengan abangnya di sini betul-betul di bandar Triang.  Kalau berjalan kaki pun tidak apa kerana pasaraya itu tidak jauh dari rumah abangnya. 
            
      Nora mengusul Melia ketika mereka berdua menonton televisyen di ruang tamu.  Slot cerekarama terlayar di skrin itu.  Lakonan Rosyam Nor hidup dan penonton boleh menghayati drama yang dilakonkannya. “Mel seronok ke kerja kat Econjaya tu?”
            
       “Seronok kak.  Kalau Mel tak cuba bekerja sekarang lepas ni dah tak ada peluang.  Bila  result keluar nanti nak sambung belajar pula,” jawab Melia.
            
       “Bagus apa yang Mel fikir tu.  Kan molek jika ramai anak muda berfikiran macam adik kakak ni,” puji kakak iparnya yang bekerja di Majlis Perbandaran itu.
            
       “Tak payahlah puji Mel kak.” kata Melia yang malu dengan pujian Nora.
           
      Memandangkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia bakal diumumkan tidak lama lagi, hala tuju masa depan Melia perlu diketahui. “Tak lama lagi keputusan SPM dah nak keluar kan.  Apa rancangan Mel?  Nak sambung belajar kat mana?”
            
      “Mel ingat mahu ke Matrikulasi undang-undang.  Apa pendapat kakak?” Melia bertanyakan pendapat Nora mengenai niatnya untuk menyambung pelajaran dalam jurusan undang-undang.
            
     “Kenapa bukan matrikulasi sains kan Mel pelajar aliran sains?” Nora menyoalnya balik kerana dia merasakan matrikulasi sains lebih cerah masa depannya.
           
     “Sebab Mel bercita-cita ingin menjadi seorang peguam. Hehehe…..” Jawab Melia tersengih-sengih.  Aduh! Malu pula aku cakap nak jadi peguam pada kak Nora.  Okey ke cita-cita aku ni? Boleh ke kerjaya itu aku ceburi?
           
       “Em…..tinggi juga cita-cita Mel ni. Mel tak rasa susah ke belajar undang-undang? Mel memang betul-betul minat?” Tanya Nora kepada adik suaminya.
           
      “Sejak Mel masuk pidato dan perbahasan sekolah Mel berangan untuk berbahas dalam mahkamah kak.  Tapi masa sekolah rendah kalau cikgu tanya cakap nak jadi doktor.  Lagipun Mel rasa peguam ni kerjaya yang hebat,” ujar Melia mengenai cita-citanya.
            
     “Bidang professional macam doktor dan peguam memang hebat, sehebat cabaran yang menanti.  Memang kita tahu kerjaya begitu dipandang tinggi oleh sesetengah orang tapi kita perlu ada kekuatan mental dan fizikal yang cukup untuk berjaya dalam bidang tu.  Banyak pengorbanan masa dan tenaga perlu kita lakukan. Kalau Mel dah betul betul minat belajarlah bersungguh-sungguh nanti,” Nora menerangkan panjang lebar kepada Melia.

 “Betul ke kak? Takut pula Mel fikirkan.”

“Janganlah fikir negatif apa yang kakak kata tapi buat sebagai dorongan positif untuk Mel mencapai kejayaan.  Kakak tahu Mel boleh. Selalulah berdoa kepada Allah.”  Nora memberi rangsangan kepada adik iparnya.

“Insya-Allah kak. Mel akan buat yang terbaik,” balas Melia dengan semangat di dada.  Di matanya terbayang kot hitam yang selalu dipakai peguam.

“Kalau result Mel cemerlang tak mustahil kalau Mel dapat tajaan JPA untuk belajar ke luar negara nanti.”
“Tajaan dalam negara cukuplah kak.  Mel tak nak tinggalkan ibu dan abah jauh-jauh.  Kalau dalam negara boleh balik selalu.”

“Ada-ada je Mel ni.  Tak kisahlah Mel belajar kat mana janji Mel mampu capai apa yang Mel impikan,” tutur Nora penuh harapan.

Dia tahu adik iparnya seorang yang bersemangat tinggi.  IQnya juga hebat.  Melia pasti akan berjaya dalam apa jua bidang yang bakal diceburinya kelak.
  
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Azrul mula terasa kehilangan Melia.  Bahkan lagi gadis itu tiada di kampungnya.  Cuti menunggu keputusan peperiksaan SPM keluar lebih lama dari cuti persekolahan biasa.  Azrul mula rasa rindu ingin berbual dengan Melia namun dia kecewa apabila Melia sudah ke bandar dua bulan yang lalu.  Dia sudah kehilangan sahabat yang pernah menceriakan hidupnya.  Mentari yang bersinar dalam hidupnya dulu telah diselabuti kabus.  Azrul sedih sendiri.  Dia menyesal dengan kelantangan kata-katanya terhadap Melia. 

Alangkah bagusnya kalau dia hanya berdiam selepas tahu isi hati Melia sekurang-kurangnya dia tidak akan kehilangan gadis itu.  Biarlah dia tidak dapat membalas cinta gadis itu sekalipun setidak-tidaknya mereka boleh bersahabat lagi.  Bodohnya dia berlagak dengan Melia.  Dulu dia boleh ketawa kerana telah menang dengan Melia.  Dia begitu angkuh memperkecil-kecilkan perasaan gadis itu terhadapnya.  Malah maruah gadis itu tega diperlekehnya. 

Adakah kerana dia berasa senang hati kerana gadis itu mencintai dirinya sehingga sewenang-wenangnya dia melepaskan kata? Azrul meraup wajahnya, dia benar-benar kesal. Berpeluangkah dia untuk memohon maaf sedangkan gadis itu sudah mengelak daripada berjumpanya?

Azrul ini memang sah-sah mereng. Tempoh hari engkaulah raja menghina Melia semahunya.  Menghamburkan kata-kata sesedap rasa.  Sekarang menyesal pula.  Mungkin sebab SPM sudah selamat dijalaninya jadi hal pelajaran tiada lagi dalam kepala.  Barangkali kini berada pada takat waras sehingga boleh teringat gadis yang pernah dicerca.  Pelik…..pelik…..

Apakah pijar pipinya menerima sedekah penampar Melia buat dirinya sedar diri? Hanya Azrul yang punya jawapan kerana soal hati bukan mudah untuk dimengerti.

Azrul keluar menikmati air batu campur kegemaran Melia.  Tatkala berada di kedai itu dia merasakan kehadiran Melia.  Melia seolah-olah sedang menemaninya makan.

Sorang je ke dik? Biasa kamu dengan Melia, yang suka makan ABC ni,” pemilik gerai itu menegur Azrul yang sedang menghirup ABC.

Azrul berpaling dan menjawab, “Ya kak sorang sebab sekarang dia kat rumah abangnya di Pahang,” jawab Azrul sayu kerana Kak Dah itu memang perasan yang dia selalu makan ABC bersama Melia.

“Oh ya ke? Patutlah lama dia tak datang sini,” kata Kak Dah.

Selesai membayar harga ABC itu, Azrul mendapatkan basikalnya.  Dia mahu ke rumah Azman.  Dia bosan berada di rumah saja, dia mahu berbual-bual dengan Azman.  Dia mengayuh  basikalnya sambil menikmati tiupan semilir angin petang.

“Assalamualaikum. Azman…..Azman…….” Azrul memberi salam sambil menyandarkan basikalnya pada tiang rumah Azman.
            
           “Waalaikumussalam. Kau Azrul….naiklah,” Azman mempersilakan Azrul naik ke rumahnya.
           
          “Kau dari mana?” Tanya Azman pada kawannya yang memakai tracksuit biru.
            
          “Dari gerai Kak Dah,” jawab Azrul.
            
          “Amboi selalunya pergi, lepas rindu pada Melia ke?” Usik Azman.
           
           “Tak adalah aku kan memang suka minum ABC,” Azrul cuba menafikan perasaannya.
            
          “Kalau kau cakap kau rindu pun aku tak marah,” seloroh Azman.
           
        “Yelah kau kan dah ada Nazira,” balas Azrul sengaja menyakat teman sebayanya itu.
            
          “Minah tu Rul? Hish tolonglah, mintak simpang malaikat 44!”
            
        “Jangan cakap begitu Man, kalau jodoh kau dengan dia macam mana?”
            
        “Kalau sudah jodoh aku terima,” kata Azman tersengih nakal.
            
      “Dah sengih macam tu nampaknya memang ada jalan. Kah….kah….” Azrul meledakkan tawa.  Terubat resah gelisahnya memikirkan Melia.
            
       “Man, papa aku ada beritahu tentang ura-ura kena tukar tempat kerja tapi tak pasti lagi bila.  Kalau dia jadi naik pangkat jadi pegawai jajahan alamat aku memang tak duduk sini dah.”

Azman terkejut. “Kau biar betul Rul? Tak sampai setahun pun lagi duduk sini dah nak pindah lagi.”

“Itulah pasal.  Tempat ni banyak simpan sejarah buat aku.  Sekolah kita tu aku sayang sangat,” kata Azrul.  Mahu dia tidak sayang akan sekolah dan tempat itu kerana apabila dia pergi nanti bermakna dia juga pergi meninggalkan Melia.

“Sayang kat sekolah ke sayang pada pelajar perempuan sekolah tu?” Azman cuba mengusik kawannya itu apabila melihat ada kekeruhan di wajah pemuda itu.

“Nak usik aku lah tu.  Sempat tak aku jumpa Melia Man?” Azrul bertanya penuh harapan.  Dahinya berkerut meminta kepastian.

“Kan betul apa aku cakap.  Kau ni apa kes lepas trial hari tu macam gaduh besar dengan Melia sekarang ni rindu pulak,” tempelak Azman tanpa memberi jawapan pada soalan Azrul.

“Kawan Man,  gaduh-gaduh pun kawan.  Aku yang bersalah Azman.  Sekarang ni aku sentiasa ingat dia, tapi aku rasa Melia sudah bencikan aku.”  Azrul mengakui kesilapannya pada Azman. 

Namun dia sama sekali tidak akan memberitahu mengenai kad yang dijumpai dalam buku Melia.  Dia tidak mahu memalukan Melia dengan menyatakan perkara sebenar kepada orang lain.  Cukuplah dia seorang tahu yang Melia sayangkan dirinya.

Dosa dengan Allah boleh sujud pohon pengampunan tetapi dosa dengan manusia perlukan kemaafan dari tuan diri.  Jika terus tidak bersua dia bakal terhutang itu semua di akhirat sana.

“Janganlah cakap begitu Azrul.  Aku kenal Melia dia bukan jenis pendendam,” kata Azman demi menenangkan hati sahabatnya.  Azman mengenali Melia sejak sekolah rendah lagi tetapi semasa sekolah menengah baru mereka berkawan rapat.

“Aku pun harap begitu.  Eh Man……jom kita pergi main bola.” Azrul mengajak Azman pergi bermain bola untuk riadah petang.  Topik mengenai Melia dimatikan. 


“Boleh, kau tunggu sekejap aku pergi ambil kasut bola.” Azman bersetuju sahaja.  Dia yang memang kaki bola itu pantang diajak bermain.

1 comment:

  1. thanks uji for your new n3

    hurm padan ngan Azrullll... lain kali pk dulu sbl buat or cakap

    so now cari la cara untuk menagih keampunan dari Mel

    Cepat2 letak update terbaruuu

    love
    kak ita

    ReplyDelete