Jun 14, 2014

Bab 9 Biasan Cinta Semalam


“Nur Amelia Natasya, sila nyatakan sifat fizik alkana?” Suara nyaring cikgu Maria kedengaran menyoal Melia.
 
Melia tidak bingkas kerana dia leka melihat ke luar tingkap menangkap bayangan Azrul yang melintasi kelasnya.
Wei Mel……cikgu Maria tanya kau tu,” bisik Nazira sambil menyiku lengan Melia di sebelahnya.
 
Terkulat-kulat Melia bangun dari kerusi. “Maaf boleh cikgu ulang.”
 
“Awak tengok saya mengajar ke intai pakwe lalu?” Tanya cikgu Kimia itu dengan tegas.
 
Seluruh isi kelas bingit mentertawakan Melia.  Pipinya mula panas.  Dia menahan perasaan malu yang mula menebal.  Kenapalah aku leka tadi? Tak sangka cikgu mata empat ni perasan.
 
“Mel, cikgu tanya tentang sifat fizik alkana,” tutur Nazira perlahan sambil jari telunjuknya dituding ke halaman bab itu.
 
Melia dapat menangkap kata-kata Nazira lantas dia terus membacakan jawapan. “Sifat fizik alkana tidak larut dalam air tetapi larut dalam pelarut organik.  Ia mempunyai takat lebur, takat didih dan ketumpatannya adalah rendah tetapi apabila jisim molekul relatif alkana bertambah, takat lebur, takat didih dan ketumpatannya akan turut bertambah.”
 
“Bagus. Betul jawapannya tapi ingat Melia masa saya mengajar jangan nak curi pandang ke lain.  Walaupun saya berkaca mata itu bukan tanda saya seorang yang rabun,” perli cikgu Maria kepada pelajar harapan itu.
 
“Dengar tak Mel? Apalah kau ni orang lain semua kecut perut time dia mengajar kau boleh berkhayal ke luar,” ujar Nazira.
 
“Ah diamlah kau!” Marah Melia. Geram dia dengan sepupunya itu.
“Nazira bisik-bisik apa lagi tu?” Cikgu Maria melontarkan kelantangan suaranya.
 
“Err….Tak ada apa-apa cikgu,” jawab Nazira tergagap-gagap.
“Nak bercakap lepas saya keluar!” Bentak cikgu Maria yang sememangnya terkenal dengan sifat garang di sekolah mereka.
Nazira menelan liur dan hanya menganggukkan kepala.
 
Melia menyiku lengan Nazira dan mengangkat ibu jari pada Nazira.  Sebuah senyuman sinis dilemparkan untuk mengenakan Nazira.  Nazira hanya masam mencuka.
 
“Kelas, saya nak kamu semua kaji tentang bab ni. Selepas itu cari soalan-soalan yang berkaitan tentang alkana.  Setiap orang perlu mempunyai sepuluh soalan dan sepuluh jawapan.  Esok saya nak tugasan kamu semua sampai ke meja saya sebelum waktu rehat.”
“Baik cikgu.” Serentak suara pelajar 5 Kenanga menjawab arahan yang dikemukakan oleh cikgu matapelajaran Kimia itu.
Selepas Cikgu Maria melangkah keluar, pelajar berbual sesama sendiri sementara menanti guru matematik datang.
“Kau tengok siapa tadi Mel?” Tanya Linda tersengih-sengih.  Macam sengih tak cukup sifat saja.  Sengajalah tu nak mengenakan orang yang sudah diterpa malu tadi.
 
“Tengok pakwe lalulah Linda,” Nazira tolong menjawab.
 
Melia menjengilkan mata. “Kau jangan dengar si Zira ni Linda. Dia ni suka bergosip.”
 
“Kau tak takut ke ngan cikgu mata empat tu Mel? Suara dia dahlah nyaring macam harimau.  Sekali dia mengaum satu kelas kecut perut.”
 
“Aku mana takut tapi orang kat sebelah aku ni nyaris terkencing.”

Wei mana ada,” tepis Nazira bila terasa dirinya terkena.
 
“Kau tengok Linda ada orang terasa.”
 
“Kau makan cili ke Zira?” Soal Linda berseloroh.
 
“Saja erk korang nak kenakan aku. Pergi duduk tempat kau tu nanti cikgu matematik masuk marah pula dia.”
 
“Alah cikgu bujang terlajak tu bukannya garang pun,” balas Linda selamba. “Ops! Silap bukan bujang terlajak, dudalah girl,” sempat lagi Linda membetulkan ‘statement’ nya.
 
“Sedapnya kau cakap cikgu Naim macam tu. Nanti jadi laki kau baru tahu.”
“Pap!” Bahu Melia dipukul Linda. “Apa lak laki aku? Kau yang minat kaulah yang ambil.”
 
Hahha Linda kau takkan tak kenal Melia ni. Nak yang hensem macam Azrul. Kalau setakat cikgu separuh abad tu mana dia pandang. Perut pun dah boroi,” kata Nazira sambil ketawa.
 
“Kau ni kan kalau tak kaitkan aku dengan Azrul memang tak sah kan. Aku rasa kau yang minat kat dia sebenarnya ni.”
“Zira ni minat kat Azman kau tau tak Mel?” Linda mengusik Nazira.
“Kau jangan merepek Linda. Mamat kelabu asap plus hitam legam tu yang kau rekomen kat aku. Huh! Tolonglah.”  Kemain Nazira mengata si Azman.  Kasihan mentang-mentanglah lelaki itu tidak terkategori sebagai pelajar tampan SMK Tanjung Mas.
 
Shhh! Cikgu Naim dah datang tu.” Melia meletakkan jari telunjuk di bibirnya sebagai isyarat untuk kawan-kawannya diam.
 
Linda cepat-cepat berlalu ke tempatnya.  Selepas para pelajar memberi salam kepada Cikgu Naim pembelajaran Matematik Moden untuk hari itu diteruskan sepeti biasa.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Tujuh sekawan itu rancak menelaah pelajaran di perpustakaan.  Mereka berbincang bersama-sama bagi menjawab soalan yang susah.  Bab yang sukar mereka lebihkan buat latihan.  Setelah dua jam setengah belajar mereka akan pulang.
 
“Mel, awak tak sihat ke?” Tanya Azrul kepada Melia bila melihat gadis itu asyik terbersin.
 
“Rasa macam selsema saja,” balas Melia dengan suara perlahan.  Sebelum datang studygroup lagi tekaknya sudah rasa perit tapi dia gagahkan diri juga untuk datang belajar.
 
“Hidung awak pun nampak merah. Larat tak….nak kayuh basikal?” Soal Azrul mengambil berat akan sahabatnya itu.
“Tak ape saya boleh,” jawab Melia yang sedang berjalan berdua dengan Azrul. Nazira berjalan dengan Linda di belakang mereka sambil berbual.
 
“Kalau awak tak larat awak bonceng motor saya, biar saya yang hantarkan awak balik,” ajak Azrul dengan baik.
‘Gulp! Bonceng motor? Aku tak pernah bonceng motor dengan bukan muhrim. Kalau aku membonceng pun dengan abang aku Kimi,’ gumam Melia dalam hati.
 
“Eh tak naklah.”
 
“La apa salahnya. Saya ikhlas nak tolong.”
Huh! Beraninya dia. Nak kena kejar dengan parang tumpul abah aku ke apa.
“Habis basikal saya siapa yang nak bawa balik?” Tanya Melia dengan niat beralasan. Kang cakap macam tu dituduhnya abah aku garang.  Jawabnya tak ingin kau bermertuakan dia.  Erk! Bermertua? Berangan!
“Basikal awak tu nanti saya hantar dengan Azman. Awak tu tak sihat. Macam mana nak kayuh basikal balik,” balas Azrul menunjukkan ihsannya.
 
“Azrul tak payahlah susah-susah. Lagipun saya segan nak naik motor dengan awak.  Terima kasih sajalah,” ujar Melia sambil menuju ke tempat letak basikalnya.
 
“Zira, Linda bawa basikal tu nanti tengok-tengokkan Melia juga ni. Dia tak sihat. Nanti kalau korang laju tertinggal pulak dia kat belakang,” pesan Azrul kepada Linda dan Nazira sebelum pergi mendapatkan motosikalnya.
Nazira dan Linda menganggukkan kepala tanda memahami.
 
“Mel, hati-hati saya pergi dulu. Esok tak sekolah tak payahlah pergi mana-mana. Makan ubat dan rehat kat rumah ya.”
 
Terharunya. “Insyaallah. Terima kasih ambil berat pasal saya.”
 
“Biasalah kita kan kawan. Seorang kawan yang baik perlu ambil berat akan kawan-kawannya barulah jadi best friend forever,” ujar Azrul dengan sebirat senyuman.
 
Melia membalas senyuman Azrul. Selepas itu tangan kanannya dilambai pada lelaki itu yang sudah pun menghidupkan enjin motosikal.
 
Selepas Azrul berlalu mereka bertiga menyorong basikal masing-masing.
 
“Amboi Mel, kemain lagi pakwe kau ambil berat ya?” seloroh Linda.
 
“Janganlah cakap pakwenanti marah pula dia. Azrul tu memang caring dengan kawan-kawan dia Linda,” sanggah Melia.  Sungguh perkataan itu membuatkan dia takut.
 
Linda mencebik bibir. “Dengan aku tak caring pun.”
 
“Buat apa dia caring dengan kau? Selama ni pun dia memang rapat dengan Melia kan,” sampuk Nazira.
 
“Macam-macam lah korang ni. Jomlah balik aku dah tak larat ni. Aku nak balik makan ubat selsema, nanti kalau melarat tak pergi sekolahlah aku hari Ahad ni.”
 
“Kau ok ke Mel nak kayuh basikal ni?”
 
“Aku ok Zira. Cepatlah.”
 
         Mereka bertiga mengayuh basikal beriringan untuk balik ke rumah masing-masing.  Petang-petang begitu dengan cuaca yang redup dan angin sepoi-sepoi bahasa memang seronok mengayuh basikal.  Peluh pun tak menitik
Melia mengayuh basikal dengan perlahan-lahan sahaja.  Nampak liuk lentoknya lemah gemalai macam menari ulit mayang.  Barangkali dia sudah rasa tidak bermaya. 
 
Hidungnya yang tersumbat mula berair.  Berkali-kali dia mengelap hidungnya dengan sapu tangan yang dibawa. 

3 comments:

  1. Kimia....bila nk sampai bab yg depa 2 0rng tu falling in love..

    ReplyDelete
  2. Sabar sya...pasti akan sampai bab tu :-)

    ReplyDelete
  3. Uji

    Akak ni sabar menanti punca "yg menyebabkan Mell jadi ice berg

    thanks
    kak ita

    ReplyDelete