Jun 11, 2014

Bab 7 Biasan Cinta Semalam



“Kau ada apa-apa ke dengan Azrul, Mel?” Tiba-tiba Linda bertanya soalan itu kepada Melia sewaktu mereka berjalan bersama menuju ke kantin sekolah.

“Eh Linda soalan apa ni? Kenapa semua orang salah faham ni?” Aduh! Kenapa Linda tanya soalan tak relevan ni? Tak relevan ke Melia kalau tiada angin pohon bergoyang? Argh!

“Dulu kau hanya berkepit dengan Nazira dan geng discussion kita tapi sekarang kerap benar dengan Azrul,” ujar Linda.  Ai ada fakta rupanya minah ni bukan dia main serkap jarang saja.  Jadi sah-sah ada angin yang menyebabkan pohon bergoyang.

“Janganlah sangka yang bukan-bukan Linda.  Aku dengan dia biasa saja.  Macam aku dengan Azman.  Tolong jangan tanya lagi lepas ini. Lebih baik kita fikirkan pasal SPM,” balas Melia tidak mahu Linda salah sangka.

“Maafkan aku Mel, aku saja je tanya tapi kalau betul pun sesuai. Hehehehe……” kata Linda sambil ketawa kecil.

“Kau ni,” Melia mencubit lengan Linda dan mereka ketawa bersama.  Linda kata aku dengan Azrul sesuai.  Apa yang sesuai? Alahai apa-apa sajalah Mel.

Sebelum bertanya dengan Melia, Linda sebenarnya sudah mengusulkan soalan itu pada Nazira.  Namun Nazira menyuruh Linda menanyakan sendiri kepada empunya badan.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

“Salah ke kita rapat Mel? Hari tu si Kamal dengan Bob dok usik kita, nah hari ini Azman pun tanya benda yang sama.  Rimas aku,” kata Azrul ketika mereka sedang mengulang kaji di perpustakaan.  Rupanya Azman pun turut sibuk bertanyakan Azrul.  Aduh! Semua orang sudah jadi pohon bergoyang rupanya.

“Tulah…..Linda pun ada tanya aku.  Tapi bagus juga dia orang tanya.  Kalau tak tanya asyik serkap jarang sendiri lagi tak elok bukan,” balas Melia.  Tangannya masih membelek buku rujukan Kimia.

“Aku bukan apa tak mahu ada orang salah faham nanti.  Kita berkawan…..so bermakna kita kawanlah.  Kita ni tak lama lagi nak SPM benda remeh-temeh tu aku tak suka fikirkan.”

“Samalah aku pun.  Mereka semua kan sahabat kita, ahli kumpulan kita. Jadi dengan bertanya jelas dia orang mengambil berat Azrul.  Kau janganlah cepat melatah.”

“Serius Mel aku tak minat cintan-cintun ni.  Aku bukan  mamat  jiwang.  Kat sekolah lama dulu ada orang suka aku, tapi aku tak pernah layan.”

“Yalah kau hensem mesti ramai perempuan sukakan kau.”

Bodek ke apa tu? Tak apa lepas ni aku belanja kau makan ABC.”

“Tak ada maknanya aku bodek kau. Setakat ABC aku boleh beli sendirilah......” Bidas Melia.  Dia berjeda seketika. Matanya merenung lembut wajah kacak teman baiknya itu sebelum menyambung, “kau ni banyak cakap ya Azrul.  Buku tu baca…..bukan belek saja.”

Azrul tersengih lalu kembali menelaah buku di depannya.  Tiada disangka lelaki di hadapannya itu begitu optimis dengan pelajaran sehingga sensitif soal cinta.  Itulah yang sebaiknya memandangkan mereka masih di bangku sekolah.  Sesetengah pelajar tu tingkatan 1 pun dah pandai ‘couple’ bagai.  Kalau yang itu memang budaya tidak sihat.

Wei Mel jadi tak esok pergi dusun abah kau?” Terjah Kamal yang baru datang bersama Bob.

“Engkau ni datang-datang terus tanya pasal pergi dusun.  Kepingin sangat ke nak panjat pokok langsat kat dusun tu?”

“Alah Mel hari tu kau juga yang ajak. Esok kan tak sekolah. Boring asyik mengadap buku saja. Memanjat tu aktiviti yang keluarkan peluh tau.”

“Aku setuju tu,” sampuk Bob.

“Kau dengan Kamal je Bob? Mana yang lain. Aku dan Melia dah lama kat library ni.”

“Dia orang tu lenggang kangkung. Aku nampak tadi Azman, Nazira dengan Linda kat warung Pak Soh seberang jalan. Entah apa yang dibelinya pun tak tahu,” jawab Bob.

“Tak apa…….kita on dulu study group ni.  Sifu Biologi ni kan ada,” ujar Kamal dengan gaya seorang sifu.  Dia sudah masuk bakul angkat sendiri.

Hahaha!” Melia ketawa terbahak-bahak. “Banyaklah kau punya sifu. Kalau sifu sangat kenapa dalam kelas cikgu Masrina tadi kau tergagap-gagap? Dah kata sifu biologi jadilah pro dalam makmal bio tadi tu,” tempelak Melia.

Teringat dia gaya Kamal sewaktu disoal cikgu Masrina semasa subjek Biologi pagi tadi. Gaya macam kera kena belacan bila jawapan yang diberi Kamal jauh menyimpang dari soalan.  Kamal yang tidak gagap jadi tergagap tiba-tiba apabila ditengking cikgu Masrina.
“Naik ke bulan dia ni tadi Mel. Kita dalam makmal bio tapi dia kat atas awan sana tu,” perli Bob kepada Kamal.  Mereka selalu duduk bersebelahan di dalam kelas mahu pun di makmal.

Pap!” Belakang Bob ditampar Kamal.

“Sakitlah!” Bob mengaduh.  Tangannya pantas menggosok belakang badannya yang ditampar Kamal.  Berkerut-kerut dahinya.  Sia-sia saja berbadan besar.

“Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Kang dah kena tangan raksasa aku ni,” Kamal memberi amaran tanpa ambil pot kesakitan Bob.  Bob tu banyak lemak mustahil kena tepuk macam tu terasa sakit.  Manja saja yang lebih.

Azrul dan Melia ketawa dengan gelagat Kamal dan Bob. Dia orang berdua tu suka bergurau kasar tetapi tidaklah sampai bergaduh. Kerana adanya mat kepoh berdua itulah yang menjadikan kumpulan mereka tidak hambar.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Sekitar jam sembilan pagi tujuh sekawan itu sudah berada di dusun buah abah Melia. Aktiviti mengambil buah di dusun menjadi aktiviti mereka pada hari jumaat itu kerana di pantai timur hari tidak bersekolah adalah hari Jumaat dan Sabtu.

 Kamal dan Bob menjadi tukang panjat dan yang lain mengutip buah di bawah. Selepas sesi memanjat pokok mereka akan membawa buah-buahan itu ke rumah Melia dan makan bersama-sama.

“Manisnya buah langsat ni Mel,” kata Linda yang sedang makan buah langsat.

“Kalau masak betul memang manis Linda tapi kalau kita ambil yang sedang-sedang…….. masam jawabnya. Aku lagi suka buah duku ni,” balas Melia sambil menunjukkan buah duku di tangannya.

“Rajin abah awak tanam pokok buah-buahan kat dusun tu Mel. Macam-macam buah ada. Bila tiba musim buah macam ni memang seronok,” ujar Azrul sambil menikmati buah rambutan.

“Macam nilah kat kampung Azrul. Rajin tak rajin ianya sudah jadi sumber pendapatan kami. Lagipun tanam pokok buah ni bukan kena tanam banyak kali. Kita tanam sekali saja tapi hasilnya berpuluh kali.”

“Betul Azrul…..cuma nak tunggu pokok-pokok tu besar makan masa lah. Belum hendak tunggu berbuah lagi,” sampuk Nazira.  Tangannya laju mengupas kulit buah duku.

Kamal, Bob dan Azman begitu ralit memakan buah langsat. Sambil-sambil itu mereka bercerita. Kamal tinggal di kampung ini bersama neneknya.  Ibu dan ayahnya menetap di Gua Musang.  Manakala Bob ibunya memang orang kampung ini tetapi ayahnya berasal dari Kedah.  Azman pula bukan anak jati kampung ini tetapi dia dilahirkan  di Kuala Terengganu.  Selepas dia lahir baharu ibu dan bapanya berpindah ke sini lantaran bapanya berasal dari kampung ini.

“Eh, kenapa kaki kau tu Azrul? Berdarah………”  Melia gusar apabila melihat ada darah yang menitis pada betis Azrul.  Terpercik perasaan risau yang teramat di hatinya.

“Kena gigit pacat ke Azrul?” Soal Azman pula.

Aaa……tadi masa kat dusun aku tak perasan kena gigit. Tahu-tahu dah berdarah,” jelas Azrul mengenai betisnya.  Dia seolah-olah tidak kisah sangat memandangkan kesan gigitan pacat itu tidak meninggalkan rasa sakit kepadanya.

Melia digayuti rasa bimbang.  “Kejap…..nanti aku ambil minyak gamat.” Melia berlari naik ke atas rumahnya mencari minyak gamat.

Azrul melihat kekalutan Melia dengan hujung matanya.  Luka kecil sebegitu pun sudah menggusarkan hati Melia.  Azrul hanya diam sahaja.

Tak sampai dua minit dia sudah sedia dengan minyak gamat dan plaster di tangan. Dengan berhati-hati Melia mengelap darah di betis Azrul dengan kain.  Tanpa mempedulikan sesiapa tangannya pantas menyapukan minyak gamat pada betis Azrul.  Selepas itu ditampal dengan handyplast. 

Azman, Nazira, Linda, Kamal dan juga Bob berpandangan sesama sendiri.  Dalam fikiran masing-masing telah mentafsir sesuatu. 

Mata mereka menyaksikan betapa Melia begitu mengambil berat akan Azrul si budak bandar.  Jika dilihat dari mata kasar begitu sayangnya Melia kepada sahabatnya itu walau dinafi oleh Melia dan Azrul.  Perasaan yang bertamu di hati Melia tidak akan diketahui oleh teman-temannya, tetapi jika dilihat dari luaran pasti perasaan itu tidak boleh disangkal lagi.

“Dah pukul 12 tengahari ni. Mari kita balik Azrul, Kamal, Bob. Orang perempuan tak apa dok sini lagi tapi kita kena pergi solat jumaat.  Nak balik mandi lagi. Badan aku kemain berpeluh kat dusun tadi,” kata Azman mengingatkan kawan-kawan lelakinya.

Wei apa lagi Kamal, jom gerak,” ajak Bob yang sudah berdiri.  Dia mengibas-ngibas bajunya.  Panas agaknya kerana orang yang berbadan besar ni ada haba lebih.

Wokey!” Kamal bingkas dituruti juga Azrul. Mereka berempat datang ke rumah Melia menaiki motosikal tadi.  Azrul membonceng motosikal Azman dan Kamal membonceng bersama Bob.  Melia sempat menghulurkan saki-baki buah langsat dan rambutan yang dipanjat tadi kepada kawan-kawan lelakinya untuk dibawa pulang.

 Selepas mengucapkan terima kasih enjin motosikal menderum membawa mereka pergi. Manakala Linda, Nazira dan Melia masih berborak di atas pangkin di depan rumah Melia.

Mereka bertiga buka kelab anak dara pingitan pula di kala itu.  Kelab untuk bergossip sampai ke petang.

2 comments:

  1. Salam Uji, lama betul tak melawat sini....linda nak order buku Uji tajuk Kasut Merah tu :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wslm. Boleh. Nanti Linda email uji n bg no tel. ni alamat email ujinorizqi@gmail.com

      Delete