Jun 25, 2014

Bab 12 Biasan Cinta Semalam


Semenjak kejadian itu Azrul dan Melia tidak bersama lagi.  Putuslah ikatan persahabatan yang suci di antara mereka.  Kebodohan Azrul melemparkan kata-kata menyebabkan dia sudah kehilangan gelak tawa gadis itu. 

Melia tidak lagi menyertai kumpulan perbincangannya seperti biasa.  Dia senang berkurung di rumah.  Dia juga cuba mengelak dari bertembung dengan Azrul walaupun kelas mereka hanya bersebelahan.  Jalannya lebih banyak tunduk ke lantai dari mendongak ke atas. 

Dia kini lebih banyak diam dari berkata-kata.  Luka yang parah di hatinya hanya dipendam sendiri.  Walau bagaimana pun dia tetap kuat mengulangkaji pelajaran demi peperiksaan yang bakal menjelang.  Dia sama sekali tidak akan merosakkan pelajarannya dek kerana lelaki yang sudah dibencinya itu.

Di pihak Azrul dia masih tidak sedar akan kesilapannya.  Dia bagaikan tidak kisah walaupun tidak berkawan dengan Melia lagi.  Belum terlintas di hatinya untuk memohon maaf pada gadis itu atas kelancangan mulutnya.  Dia juga tidak berusaha menegur Melia kerana gadis itu seringkali mengelak darinya.  Dia juga banyak menumpukan soal pelajaran daripada  berborak kosong.

“Mel, kenapa kau dengan Azrul? Dulu macam belangkas tapi sekarang umpama musuh.  Apa hal sebenarnya?” Tanya Nazira kehairanan kerana dia tidak lagi melihat Melia berkawan dengan Azrul.  Semetelah lagi Melia menolak tatkala diajak belajar bersama kumpulan mereka.

“Tak ada apa-apa lah Zira.  Kan tak lama lagi nak SPM .  Aku selesa belajar sendiri.  Aku ingin menumpukan perhatian sepenuhnya pada pelajaran,” dalih Melia merahsiakan perkara sebenar dari pengetahuan kawan baiknya itu.

“Sebenarnya kau bergaduh dengan dia kan?” Usul Nazira.  Minah ni nak jadi mamarazzi ke apa? Kemain lagi dia mengusul aku.  Argh! Aku tak boleh beritahu kebenarannya.

“Mana ada.  Kau tak payahlah nak sangka bukan-bukan,” jawab Melia tegas. Macam mana nak lari dari soalan wartawan yang tidak dilantik ini?

“Habis tu kenapa macam bermusuh pulak aku tengok?” Soal Nazira tidak berpuas hati.

Ya, memang bermusuh pun Zira.  Aku dah lancarkan perang dunia ketiga dengan dia. Kau tak tahu ke Zira? Kalau begitulah jawapannya makin banyak mulut murai ni tanya, makin haru aku nak jawab nanti.  Jawapan lainlah Mel.

“Beginilah Zira…..senang cerita aku cakap.   Aku ni sudah tidak sesuai berkawan dengan dia.  Dia tu siapa aku pulak siapa?  Dia budak bandar  yang ada rupa.  Semua budak perempuan suka dia, orang macam aku ni manalah layak,” mendatar suara Melia menuturkan.  Kesedihan yang membelit jiwanya tidak mampu dia luahkan kepada Nazira.

“Apasal macam tu pulak? Sebelum ni memang korang rapat apa,” ujar Nazira dengan nada tinggi.  Cerita Melia itu diraguinya.  Alasan seperti itu tidak berasas sama sekali namun dia akui Azrul memang diminati ramai.  Bukan dia tak perasan mata-mata budak junior memandang lelaki bandar itu.

“Dahlah Zira kau jangan tanya lagi.  Kalau boleh aku tak nak kau sebut pasal dia lagi,” balas Melia dengan air muka yang keruh.  Ternyata dia tidak mahu bercakap banyak mengenai hal itu.  Tidak mahu dia luruhkan air mata di depan sepupunya itu.  Cukuplah bebanan malu dan luka perasaannya tersimpul kemas dalam jiwanya sendiri.

Nazira dilanda seribu satu persoalan.  Dia berteka-teki sendiri, kerana Melia tidak mahu menceritakan perkara sebenar.  Dia pelik kenapa Melia tidak mahu bercerita padanya.  Kecil atau besar perkelahian mereka tiada siapa yang tahu.  Segalanya menimbulkan tanda tanya yang tidak berjawab.  Namun sebagai kawan rapat, dia  perasan yang Melia sudah tidak seceria dulu.


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
                                                           
            Langkah kaki yang ditahan serasa mahu dirempuh.  Namun ruang yang sempit dan mata lain yang memandang hajat dibantutkan sahaja.  Sesaknya dada mahu berdepan.  Senak pula bebola mata mahu memandang.  Sabarkan hati atau menolak tubuhnya ke tepi?

“Melia…tunggu sekejap. Aku tak habis lagi dengan kau.”

Nak apa lagilah mamat bajet bagus ni?  Cukup-cukuplah pasal hari tu, desis hati Melia tanpa mempedulikan kata-kata lelaki yang sudah dibencinya itu.  Dia tetap mahu mengatur langkah menjauhi Azrul yang tiba-tiba menahannya di blog C bangunan sekolah. 

“Kenapa kau tak join group kita macam biasa? Kau sengaja larikan diri dari jumpa aku dan menyebabkan kawan-kawan kita tertanya-tanya pasal kita. Jangan buat perkara bodohlah Melia. Cuba berpijak di alam realiti,” tempelak Azrul seolah-olah melepaskan dendam kesumat pada Melia.

Melia menjeling geram.  Sakit hatinya dengan kata-kata Azrul.  Kenapa perlu ditabur garam lagi pada luka yang sedia berdarah?  Mengapa mesti diperah limau atas hirisan luka yang belum sembuh? Tergamak seorang sahabat yang pernah dia kagumi bertindak sebegitu terhadapnya.  Kenapa kau begitu kejam Azrul?

“Diam tak selesaikan masalah Melia. Kau yang cari masalah jadi sepatutnya hadapilah dengan professional. Entah-entah kerja sekolah pun kau dah tak buat lepas hari tu. Study lagilah ke laut agaknya…….”  Azrul menyindir tanpa sebarang simpati.  Hatinya senang dapat memuntahkan semua itu kepada Melia. 

Sebak dada Melia tidak tertanggung lagi.  Manik-manik jernih mulai jatuh menodai pipi mulusnya.  Dalam kepayahan dia tetap mengeluarkan bicara.  “Kau nak apa sebenarnya? Persahabatan antara kita telah berakhir. Dan aku nak kau tahu aku menyesal mengenali orang macam kau.”

Azrul ketawa sinis.  “Menyesal? Menyesallah konon sampai jatuh hati pada aku. Ei aku pun tak pandang orang macam kau Melia. Persahabatan dengan cinta buat apa kau campur-adukkan? Bagi aku…….aku ok je untuk terus berkawan dengan kau dengan syarat pergi campak ke sungai perasaan ntah apa-apa kau tu.”
Ya Allah…inikah Azrul Khusyairi yang aku kenali?  Mengapa selepas hari itu dia bukan lagi Azrul yang aku kenali.  “Tak apalah Azrul anggaplah kita tidak pernah berkawan. Mulai detik ini kita bukan sesiapa. Anggaplah aku Nur Amelia Natasya tidak pernah wujud dalam hidup kau. Lumpuhkan ingatan kau dari mengingati kesilapan tulisan aku di dalam kad itu.”

Azrul melaharkan tawa. “Kesilapan tulisan? Mana mungkin jari yang mencoret itu menipu.”  Sinis sekali bibir memuntahkan kata-kata.

Melia jatuhkan kepala dengan menatap kasut sendiri.  Bibir terasa dimangga untuk memangkah kata.

“Kau ingat semudah itu aku nak lupakan apa yang kau tulis? Apa kata kau bagi kad tu balik pada aku sebab aku nak tunjuk dekat kawan-kawan kita. Lepas tu sebagai bukti ianya kesilapan kau….aku nak kau bakar depan mereka semua. Setuju?”

Lima jari diramas menahan perasaan yang sedang dicarik. “Cukuplah Azrul menyakiti hati aku. Apa sebenarnya yang kau nak dari aku?”

“Aku nak kau buat apa yang aku katakan tadi……”

“Aku dah lupuskan kad itu…….”

“Aku tak percaya!”

Melia menjengil geram.  “Tak percaya sudahlah bodoh!”

Bodoh?  Tersentap Azrul dibuatnya.  Mata Melia dipandangnya rakus.  Umpama mata pemangsa yang ingin menerkam mangsanya.  Tangan kirinya dikepal.

Melia tidak sanggup lagi menadah wajahnya yang memerah di depan Azrul.  Hatinya yang hancur-lebur bakal membuatkan dia lagi berbahasa kasar dengan Azrul.  Dengan luka yang parah Melia mengheret kakinya menjauhi Azrul. 

Azrul pula berpaling ke arah lain dan membawa haluan yang bertentangan dengan Melia.  Sorotan langkah kaki Melia dikerlingnya dengan ekor mata.  Melia berjalan dengan tunduk memandang muka lantai.  Air mata yang degil mahu jatuh tetap ditahannya.  Tidak rela air mata kekecewaannya menjadi tontonan buat mereka yang tidak mengerti.  

Setelah jauh dari Azrul.  Melia berlari masuk ke dalam tandas pelajar perempuan.  Dengan semangat yang rebah dia bersandar di dinding.  Keluarlah air mata sederasnya kerana selepas ini aku haramkan kau jatuh lagi disebabkan Azrul Khusyairi.  Duhai hati kenapa dia yang engkau pilih?  Duhai jiwa mengapa nama dia yang kau tulis di segenap penjuru?  Duhai jantung mengapa mesti kau bergedup kencang terpandangkan dia?  Duhai Nur Amelia Natasya mengapa engkau menyayangi dia?

Melia meraup wajah dan melorotkan tubuhnya yang lemah di sudut dinding bisu itu.  Dia berteleku di situ dengan sedu-sedan yang berpanjangan.  Lutut dipeluk dan wajahnya disorok di sebalik kain tudungnya yang sudah lencun itu.  Mujur waktu rehat sudah berakhir dan tiada pelajar lain yang berada di situ.

Dalam menggali kekuatan dan mengail impian baru terasa bahunya disentuh seseorang.  “Mel….kau kat sini rupanya. Puas aku cari kau. Nazira pun tadi ke hulu-hilir juga cari kau.”

Dalam kepayahan Melia mengangkat wajah dan cuba melorekkan senyum pada bibirnya yang sudah pucat.

“Mel….kau menangis? Apa masalah kau ni? Kau bergaduh dengan Zira ke?” Soal Linda bertubi-tubi.  Wajah sembab Melia dipandangnya dengan simpati.

Melia menggeleng.  “Aku tak apa-apalah Linda. Aku baik saja dengan Zira. Aku sakit perut sebenarnya. Period pain,” Melia mencipta alasan yang dia kira logik untuk dipercayai Linda.

“Kalau macam tu aku bawa kau ke bilik rehat sekolah kita. Nanti aku maklumkan pada cikgu yang bertugas minggu ni.”

“Eh…tak payah Linda. Aku dah makan panadol tadi. Sekarang kurang sikit memulas.”

Linda menghulurkan tangan pada Melia dan cuba mengangkat sahabatnya tu bangun.  “Aku pimpin kau. Kita masuk kelas sama-sama.”

Melia menyambut.  “Terima kasih Linda.”

“Tak payah ucap terima kasih Mel. Kau kawan aku sewajarnya aku menghulurkan bantuan.”

Melia hanya mengangguk dan melangkah perlahan dengan dipimpin Linda.

“Mel…maaf aku tanya. Kenapa kau dah tak join kumpulan kita. Kau ada masalah dengan siapa?”
Melia menghela nafas.  Cuba menaikkan semangat untuk mentuntaskan kata yang sewajarnya buat Linda.  “Linda….tali yang panjang itu ada penghujungnya, hayat bumi ini juga ada pengakhirannya, kisah yang berepisod pasti akan ada penamatnya begitu juga dengan sesuatu hubungan. Untuk kumpulan kita itu aku putuskannya cukup sampai di sini. Bukan mahu putus kawan tapi aku selesa menyendiri sekarang. Aku harap kau dan yang lain-lain boleh faham.”

“Tapi Kamal dengan Bob cakap semua ini berpunca dari Azrul.”

“Linda kau pun tahu mulut mat kepoh berdua tu. Tolong jangan salah faham pada Azrul. Tentang aku tak perlu kau fikirkan. Dua minggu lagi kita nak hadap peperiksaan besar. Berikanlah sepenuhnya perhatian pada SPM. Aku sendiri dah tak mahu fikir apa-apa yang tidak berkaitan,” tutur Melia tenang.  Azrul yang sebegitu kejam mengoyak perasaannya…...dia bela lagi di depan Linda.  Kenapa kau buta Azrul menilai gadis seperti Melia?

“Mel….apa jua yang kau harungi aku harap kau tabah.”

Melia menepuk bahu Linda.  Senyum dia ukirkan bersama ungkapan terima kasih atas ucapan Linda yang berbaur galakan itu.


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

            Hendal basikal Melia dipegang.  Kejap dan membuatkan Melia pegun di situ.  Mata Azrul mencerun dalam ke matanya.  Berombak dada Melia menahan rasa.
            
           Gerr! Lahabau ni nak apa lagi.  “Lepaslah! Aku nak balik ni.”
            
       Azrul koyak senyum senget dengan kedua belah tangannya masih memegang hendal basikal milik Melia.  Dia sengaja menahan Melia apabila mereka terserempak di hadapan kedai runcit Kampung Jambu.  “Kau mahu tak aku balas cinta kau?”
            
          “Gila punya orang!”
            
          “Kau yang gilakan aku. Aku pula kau kata gila. Sekarang jawab dulu soalan aku.”
           
          “Tepilah. Aku tak perlu balasan cinta kau sebab dalam hati aku ni…..aku teramat bencikan kau.”
           
         “Really? Aku tak percaya. Cool Melia. Syarat aku mudah saja. Kau bagi aku bibir kau untuk aku rasa. Itu namanya bukti cinta. Lepas tu kita boleh couple.”
          
          Melia kemam bibir. Wajah putihnya bertukar tona.  Sungguh dia tidak menyangka Azrul punya sifat sekeji itu.  Terasa sekali dirinya dihina.  “Murahnya aku pada pandangan kau tapi kau silap. Cinta itu suci. Ia tidak memerlukan sebarang bukti. Hari ini kau sudah tunjuk siapa Azrul Khusyairi sebenarnya. Kau tak layak langsung untuk dicintai!”
           
         Azrul tertawa panas hati.  Sebelah tangan Melia direntap.  “Kau ingat aku kemaruk sangat ke nak cium kau? Cinta engkau pun buat aku geli apatah lagi bibir kau. Jangan perasan. Aku cakap begitu tadi cuma mahu menguji hati budak hingusan macam kau. Kalau kau rela bermakna kau sama saja dengan bohsia di luar sana.”
            
        Pang! Sebelah tangannya yang masih bebas laju naik menyepak pipi Azrul. Statik tangan Melia yang dicengkam dia lepaskan. “Kau memang melampau Azrul. Terlalu kurang ajar! Sanggup lidah kau tuturkan itu semua buat aku. Apa salah aku dihina begini? Hanya kerana di hati aku berputik cinta buat kau? Lalu kau memberi aku hukuman dengan mengerat-ngerat hati aku bersenjatakan lidah kau yang tajam itu.”
           
          Air mata jatuh.  Hiba.  Dia kesat perlahan.  Bibir masih mahu menyambung bicara.  “Cukuplah Azrul. Cukuplah setakat ini. Anggaplah kita tidak pernah kenal. Maaf buat kau susah hati dengan ‘rasa’ itu.”
           
        Hendal basikalnya ditarik kuat.  Sedang Azrul masih mengeras di situ.  Melia tidak peduli dengan hadiah penampar itu.  Dia tidak sanggup pandang wajah bekas sahabatnya itu.  Dia jijik dengan sikap Azrul.  Ikutkan hati yang marah mahu naik sebiji lagi penampar tetapi takut pula dirinya dimengapakan.
           
           Kaki tekan kuat pedal basikal.  Dia mengayuh laju dengan air mata yang tidak jemu turun menemani.
           
           


            Di keheningan malam Melia berjaga untuk menelaah pelajaran.  Ditemani suara radio Melia membaca buku sejarah.  Tetapi lagu yang berkumandang itu telah mengganggu emosinya.  Mata hazelnya mula berkaca apabila lirik lagu itu telah menyentuh hatinya yang masih berdarah.
           
Ku menyaksikan dedaun kekeringan…...
gugur ke bumi gersang tiada penghuni….
           Tiada mentari awan kesuraman…...bagaikan waktu yang terhenti……
          Ku menyaksikan seraut wajah cinta yang kehampaan tiada lagi bermaya….
           Kini kehilangan sebuah harapan bagaikan cinta yang terkubur……
           Adakah mungkin untukku menghindari gurisan kasih luka di hati…..
           Jiwaku resah apakah kesudahan…..kecewa atau pun bahagia……
            Ku yakinkan diri demi rinduku penawar hanya dari wajah kekasih…..

           Tidak terdaya dia mendengar bait seterusnya lantas radio itu dimatikan.  Ya Allah sakitnya rasa yang bertandang.  Pedih rupanya cinta tidak berbalas ini….
            
           Ya Allah bantulah aku untuk melenyapkan kesedihan ini.  Janganlah kau biarkan perasaan beremosi ini mengganggu pelajaranku.  Aku tidak mahu mengingati lelaki itu lagi.  Cukuplah dia toreh-toreh hati ini dengan kata-katanya siang tadi.
            
        Azrul…..pergilah engkau dari hidupku.  Jangan sekali-kali kau muncul lagi di hadapanku.  Seribu tahun lagi pun aku tak ingin menemui kau……..  

1 comment:

  1. Thanks uji

    Cepat sambung... tak sabar rasa nya melihat pembalasan yg Azrul terima... sesungguhnya penghinaan itu pedih... sesungguhnya penghinaan itu perlu sedikit pembalasan... bkn dgn penghinaan juga...tetapi dgn penyesalan yg tak terhingga... penyesalan Azrul tetapi Mel hanya balas dengan "sudah lama ku bebaskan kau dari hati ku... sudah lama ku lupakan kebodohan tinta ku... sudah lama biasan cinta semalam ku benam di dasar hati ku yg paling dalam... kini nama Azrul tiada lagi di ingatan seorang bernama Melia" apa la agaknya rasa Azrul kiranya ini yg melia ckpkan

    Thanks Uji

    love
    kak itasukri

    ReplyDelete