Jun 22, 2014

Bab 11 Biasan Cinta Semalam


Masa begitu pantas berlalu seolah-olah cemburu dengan keakraban Melia dan Azrul.  Sedar tidak sedar hanya tinggal sebulan lagi untuk mereka semua menduduki peperiksaan sebenar.  Peperiksaan percubaan telah mereka tempuh dan tujuh sekawan itu mendapat keputusan yang sangat membanggakan.  Walaupun itu hanya percubaan tetapi mereka semua yakin keputusan itu adalah cermin kepada keputusan sebenar nanti.

“Mel, awak ada tak buku rujukan sejarah Pelangi?” Tanya Azrul sewaktu mereka sedang makan di kantin.

“Ada.  Kenapa?” Soal Melia balik sambil menikmati bihun goreng.

“Saya nak pinjamlah.  Saya nak buat nota  ringkas.   Malas rasanya nak pergi library pinjam. Nanti bila pinjam kena hantar ikut tarikh pulak. Nak beli baru pun dah serba salah.”

“Boleh je awak nak pinjam tapi hari ni saya tak bawalah. Ada kat rumah. Nanti esok saya bawa.”

“Terima kasih Mel. Awak memang baik,” kata Azrul. Sebiji kuih karipap berinti keledek disuapkan ke mulut.

“Alah kecil punya hal Azrul.  Saya tak kisah,” balas Melia dengan senyuman manis yang terukir di bibir.

“Saya seronok kawan dengan awak Mel. Saya harap persahabatan kita ni kekal sampai bila-bila.” Azrul turut tersenyum.  Tinggi impiannya terhadap hubungan itu.

“Saya pun seronok kawan dengan awak.  Saya pun harap macam tu juga.”  Kalau engkau berharap begitu, aku ni lagilah Azrul.  Kadang-kadang rasa tak sanggup berpisah dengan kau. 

Eh Mel kau dengan dia bukannya bercinta sampai tak sanggup berpisah bagai ni.  Jangan cari pasal Azrul tu jenis anti cinta.  Huh! Kalau dia anti cinta biar aku jadi antidotenya tak pun antibiotik.  Ahaks.

“Harap-harap lepas SPM  nanti kita dapat belajar satu universiti kan Mel,”kata Azrul lagi menaruh harapan.  Azrul-Azrul, boleh ke kita seuniversiti?  Kalau bapak kita yang tentukan senang sangat jawabnya.  Apa-apa pun kena tengok result dan kos yang kita pilih.

“Itu terpulang  pada result masing-masing.  Kalau ada rezeki kita dapat cemerlang SPM dapatlah kita sambung belajar sekali Azrul.  Sekarang ni walaupun dah trial kita tetap kena ulangkaji pelajaran dan tengok soalan-soalan peperiksaan tahun-tahun lepas,” tutur Melia.

Em……betul. Soalan-soalan dari negeri lain pun kita kena buat.  Saya tengok contoh soalan dari negeri Perak susah juga terutamanya Fizik.”

“Sebab tu kita kena banyakkan soalan Azrul.  Bila kita banyak tengok soalan nanti kita akan kalis sendiri dengan trick soalan. Bila kita faham trick soalan mudah bagi kita apabila menjawab soalan SPM sebenar nanti.”

“Ya, saya setuju tu.” Azrul menganggukkan kepalanya.

“Apapun sambil study kena buat sembahyang hajat juga,” ujar Melia mengakhiri perbualan mereka memandangkan masa rehat sudah tamat dan mereka perlu kembali ke kelas masing-masing.

“Insya-Allah saya tak lupa tu,” balas Azrul.  Kerap kali dia buat solat hajat kebelakangan ini.  Melia pun selalu mengingatkannya agar tidak meninggalkan solat hajat di samping solat fardhu.

Solat hajat dua rakaat itu memang penting bahkan lagi menjelang peperiksaan yang besar.  Bukankah dalam hidup ini selain berusaha kita perlu bertawakkal padaNya?  Bila usaha ditambah tawakkal ia akan menjadi lebih afdal.  Insyaallah pasti doa kita akan dikabulkan.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Melia menyerahkan buku rujukan Sejarah kepada Azrul tanpa menyedari yang dia                          terselit sekeping kad di tengah-tengah halaman buku itu.   Dia terlupa mengeluarkannnya kerana kad itu dijadikan penanda buku jika membaca buku di rumah.  Kecuaiannya itu sebenarnya bakal menjadi satu titik pengakhiran kepada hubungan persahabatannya dengan Azrul.  Azrul pula terus mengambil buku itu kerana dia ingin menelaahnya bermula malam nanti.

Azrul senang hati menerima buku dari Melia pagi tadi. Dia berjanji selepas menyiapkan nota ringkas, dia akan memulangkan semula buku itu pada pemiliknya secepat mungkin.  Sedang dia membelek helaian demi helaian buku itu sekeping kad terjatuh mengenai kakinya.  Dia mengutip kad itu dan tanpa sengaja telah  terbaca isi kandungan kad itu.

Hidupku kini terlalu indah dengan kehadiranmu teman.  Aku tidak mengerti akan perasaan yang bertamu di hati ini.  Ianya begitu sukar untuk ditafsirkan.   Debaran yang melanda jiwa ketika bersamamu tidak pernah aku alami.  Apakah ini cinta?

Azrul, andainya kau tahu perasaan aku selama ini adakah kau juga akan mengatakan perkara yang sama?  Aku sentiasa berharap kau juga merasakannya.  Kadang-kadang aku rasa ingin luahkan kepadamu kerana aku tidak mampu memendamnya lagi.  Bolehkah kau mengerti wahai sahabat? Aku mencintaimu…..
  Melia#Azrul#Melia#Azrul#Melia#Azrul#Melia#Azrul#Melia#Azrul#

Terkesima Azrul membaca tulisan Melia pada kad itu.  Sengajakah Meliamenyelitkankaditu supaya dia dapat membacanya?  Azrul tidak  menyangka yang Melia telah meluahkan perasaannya di atas sekeping kertas. 

‘Betulkah apa yang aku baca ni?’ detik Azrul di dalam hati.

Dia bagaikan tidak percaya dengan bait-bait ayat itu.  Benarkah kata-kata itu ditujukan buat dirinya dari seorang sahabat yang disayanginya?  Benarkah ianya ayat cinta dari seorang gadis yang amat dihormatinya?  Dia masih sangsi terhadap tulisan yang tertera di kad itu.  Dia mengamati tulisan itu sekali lagi dan dia yakin itu memang tulisan Melia.

Azrul berfikirsendiri.  Melia yangdikenalinyaadalah seorang pelajaryang sangat berdedikasi, pintar dan menjadi kesayangan guru di sekolah. Dia seorang yang berdisiplin dan begitu mementingkan pelajaran tetapi Azrul tidak menyangka Melia boleh menulis begitu.  Baginya ayat begitu tidak sesuai Melia selitkan dalam buku pelajaran.  Bahkan lagi ayat itu ditujukan buat dirinya. 

Azrul menggeleng-gelengkan kepalanya.  Dia tidak dapat menerima isi kandungan kad itu.  Persepsinya terhadap Melia mula berubah kini.




Pagi esoknya pada waktu rehat dia telah menemui Melia di luar kelas.   Dia nekad untuk memulangkan segera buku dan kad itu pada Melia.  Buku rujukan Sejarah itu telah sedia di tangannya.

“Mel, apa kena dengan kau ni?” Tengking Azrul dengan amarah.  Dia sudah ber’aku’ kau dengan Melia.  Bunyi kasar sekali suara itu menikam benak Melia.

“Apa dia? Kenapa awak tiba-tiba marah ni?” Melia pelik dengan sikap Azrul pagi itu.  Jauh di sudut hati dia mula terasa dengan tindakan tidak semena Azrul itu.

“Aku tak sangka kau ni.  Aku seronok kawan dengan kau tapi tak terlintas pulak aku nak bercintan-cintun time sekolah ni.”

“Kau cakap apa ni Azrul? Kenapa tak ada angin tak ada ribut kau datang sound aku? Aku buat salah apa dengan kau?” Tanya Melia dengan geram kerana selama ini Azrul tidak pernah bercakap kasar dengannya.  Dia juga menukar ganti nama awak kepada kau.

“Kau tak payah pura-pura buat tak tahu Mel.  Kau memang sengaja selit kad tu kan?”

“Kad apa?” Soal Melia dengan kening terangkat.

“Aku hairanlah dengan kau ni, SPM dah tak lama kau masih nak main-main. Kau kena ingat kita ni masih belajar,tak sesuailah nak bercinta monyet ni.  Aku bukan jenis macam tu. Kalau nak berkawan dengan orang berkawanlah dengan ikhlas tak payah ada udang di sebalik batu.”

Kata-kata Azrul sangat menikam hatinya.  Pipinya mula berbahang.  Dia masih kurang mengerti.  Dia terdiam dan menunduk ke bawah.  Matanya tidak berani memandang wajah Azrul yang bagaikan singa lapar itu. 

“Mel, aku nak pulangkan balik buku dengan kad cinta kau ni! Kau simpan elok-elok, jangan pulak kau bagi orang lain baca.  Cukuplah aku seorang yang baca ayat power kau tu.  Nanti tak pasal pasal timbul gossip lain pulak pasal kau dengan aku.  Aku tak mahu dengar tu.”

Sebelum sempat Melia menyambut bukunya itu Azrul sempat manambah, “next time fokuslah pada pelajaran.  Jangan bikin malu.”

Melia terkedu.  Panas terasa di wajahnya.  Muka putih gebunya mula memerah.  Lidahnya sudah keras untuk mengeluarkan kata-kata.  Sebak hatinya mengenangkan sahabat yang begitu tega menghinanya.  Dia mengambil buku itu daripada Azrul dengan kasar dan meluru masuk ke kelas.  Sungguh dia tidak sengaja menyelitkan kad itu.  Dia ingatkan kad itu terselit pada buku rujukannya yang lain.  Dia tidak pernah berharap Azrul tahu rahsia hatinya.  Hakikatnya dia memang tidak mahu Azrul membaca kad itu melainkan Azrul meluahkan perasaannya terlebih dahulu.  Dia benar benar malu dan terhina dengan kata-kata Azrul.

Melia menyembamkan mukanya ke meja.  Air matanya mengalir laju.  Sedaya upaya dia akan menyorokkan hal itu daripada diketahui sesiapa termasuk Nazira. 

Tergamak Azrul mengeluarkan kata-kata yang begitu menghiris hatinya.  Hinakah dia pada Azrul kerana mempunyai rasa cinta? Bodohnya dia kerana jatuh cinta pada lelaki berhati kayu itu.  Perasaan itu datang sendiri tanpa dimintanya. 

Kalaulah dia kaki bercinta masa sekolah sudah tentu sebelum kedatangan Azrul lagi dia mempunyai kekasih.  Betapa buta mata lelaki itu menilai dirinya.  Melia bertekad tidak mahu memaafkan Azrul andai lelaki itu memohon maaf sekalipun.  Hatinya bagai dirobek-robek.  Sakitnya seperti tidak tertanggung.  Retaknya ibarat tidak boleh bercantum lagi.


 xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


            Terketar-ketar tangan Melia memegang kad cinta yang ditulisnya itu.  Terkumat-kamit bibirnya membaca tanpa suara.  Sendu wajahnya menatap kad cantik yang dibuatnya itu.
            
             Kata-kata Azrul berdentam-dentum memetir di tepi telinganya.  Serta-merta benci datang menerpa.  Rasa jelik dia melihat kad itu.  Dengan benci yang meluap-luap kad itu menjadi mangsa jemarinya.  Rakus sekali Melia mengoyak kad itu untuk melampiaskan segala rasa yang berkecamuk.
            
          “Puas hati aku tengok kau dah hancur!”  Bentak Melia seorang diri di dalam biliknya.  Tetapi sekejap sahaja rasa puas hati itu kerana ada pantulan pilu pula yang menyapa.
          
         Melia menangisi luahan hatinya yang telah koyak itu.  Cebisan kad itu diambilnya lalu dibawa ke dada.  Kenapa dengan aku ni ya Allah?  Kenapa dugaan sebegini datang menguji aku di saat aku bakal menghadapi SPM? Kenapa cinta ini datang andai ianya hanya untuk menyakitkan aku?  Mengapa terbias rinduku padanya andai ianya mustahil untuk bersambut?
           
        Bertepuk sebelah tangan memang tidak akan berbunyi…..tapi salahkah aku kerana menyinta?  Hinakah aku menaruh harapan padamu Azrul?  Mengapa kau begitu ego terhadap aku yang naif ini? 
           
       Dalam bersoal jawab sendiri Melia mengutip semua cebisan kad itu.  Kad yang sudah relai itu dicantumkan semula seperti melengkapkan kepingan puzzle.  Penuh sabar Melia menjahit kad itu dengan cintanya yang belum boleh dihambat pergi.
            
          Usai itu dia menampal pelekat pada kepingan kad yang telah dikoyaknya tadi.  Tak cukup dengan itu manila kad ditampal lagi supaya kad itu kembali kukuh.
           
            Melia……Melia…...
           
            Diciumnya kad itu sebelum disimpan rapi di dalam laci meja belajarnya.

1 comment:

  1. hurm begitu la robeknya hari melia...
    begitu rupanya knp melia bgitu "terkesan" dgn kata2 cinta...

    begitu rupanya kisah yg terjadi... semoga cinta indah cinta luruh melia hanya layak bg yg menghargainya sahaja

    well done uji.. cepat2 n3 yg baruuu

    love
    kak itasukri

    ReplyDelete