Jun 17, 2014

Bab 10 Biasan Cinta semalam


Kamal dan Bob monyok di meja masing-masing.  Selepas Cikgu Baihaki keluar tadi mereka masih membatukan diri.  Mungkin kepenatan kerana telah didenda ‘pumping’ dua puluh kali.  Si Kamal tu mampulah bertahan lagi tapi kalau Bob naya nak angkat dada.  Maklumlah indeks jisim badan (BMI) sudah terlebih.

“Mel, mana Bob dengan Kamal?” Tanya Azrul yang tiba-tiba terjongol di pintu kelasnya.

Melia mengangkat jari telunjuknya dan berkata, “tu…...”

Azrul mengerutkan dahinya. “Apa hal tu? Tak nak rehat ke diaorang?”

“Letih kena pumping agaknya.”

“Kenapa kena pumping?”

“Dah namanya mat kepoh mestilah suka buat bising masa cikgu mengajar.”

Lerr….”

“Awak nak ajak diaorang rehat ke?”

Yelah……”

“Azman mana?” Soal Melia apabila tidak nampak kelibat Azman.

“Mesyuarat pengawas. Erm…..demam awak dah ok ke Mel? Maaflah saya tak pergi melawat awak kat rumah. Seganlah…….”

Melia tergelak kecil.“Apalah awak ni Azrul. Saya ni demam selsema saja, bukannya demam denggi. Tak perlu susah-susah nak melawat.”

“Mana tahu takut demam awak melarat.”

“Kalau melarat tak datang sekolah lah saya hari ini.”

“Ya tak ya juga kan.” Azrul menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Awak tak rehat ke?”

“Rehat. Saya tunggu Nazira. Dia pergi tandas kejap.”

“Kalau macam tu kita rehat sama-sama. Saya panggil Kamal dengan Bob dulu.”

Melia menganggukkan kepalanya tanda bersetuju.

Wei mat kepoh pun monyok juga ke?” Azrul menyergah Kamal dan Bob yang duduk berteleku di meja mereka.

Kamal dan Bob sama-sama terkejut. “Argh kau!” Wajah Azrul ditenung mereka.

“Jom rehat. Kita makan dulu.”

“Aku penatlah. Kau tolong beli boleh. Aku nak makan kat sini,” kata Bob yang gempal.  Dia dahlah berbadan besar bila kena pumping memang kram otot-ototnya.

“Kau nak makan dalam kelas Bob. Datang cikgu disiplin kena rotan kat bontotlah kau nanti,” Azrul memberi amaran.

“Entahnya dia ni. Tak cukup dengan pumping nak merasa kayu rotan tu pula,” Kamal pula bersuara.

“Dia mana ada minggu ni. Pergi kursus!” Bentak Bob. Mungkin kerana letih bercampur lapar dia menjadi bengis sedikit.

“Oh…aku baru teringat. Kalau macam tu kau duduk dalam kelas, aku dengan Azrul chaww dulu.”

Kamal dan Azrul ingin berlalu tetapi ditahan Bob. “Kejap, kejap. Korang beli makanan saja tau. Jangan makan kat kantin tapi teman aku makan dalam kelas ni.”

“Aku nak makan kat kantin sekali dengan Melia. Nanti biar Kamal yang beli makanan untuk kau,” balas Azrul.

“Rul, kalau nak dating tunggu habis sekolah lah. Waktu rehat tu ciput mana sempat nak berasmara,” sakat Kamal.  Dia mula ketawa terbahak-bahak diikuti dengan Bob.

Azrul menyeringai.

Melia mula mencekak pinggang.  Telinga lintahnya sempat menangkap ayat ‘asmara’ yang dilontarkan Kamal.

Erk!” Kamal dan Bob berhenti ketawa.

Please repeat. Telinga aku bunyi berdesing je tadi,” tukas Melia kepada Kamal dan Bob.  Matanya mencerlung tajam.

“Nak ulang apa aku tak cakap benda pun,” ujar Bob takut-takut.  Badan saja besar tetapi hati tikus.  Mata bulatnya dikerling kepada Kamal.

“A…ku nyanyi…la..gu….bisikan…asmara…”Suara Kamal tergagap-gagap. “Bisikan asmara yang pertama, terpahat untuk selamanya. Tercipta pengalaman yang indah hingga kini masih terasa,” tanpa sedar Kamal menyanyikan korus lagu itu.

Sedap pulak suara mat kepoh ni.  Bolehlah lepas SPM nanti mencuba nasib kat Akademi Fantasia.  Untung-untung boleh buat album.

“Wah! Ada audition ke kat sini?” Sampuk Nazira yang baru datang.

Lapan pasang mata itu berpaling padanya.

“Cinta mengukir rasa rindu di bawah angin setuju. Dalam meniti hariku tak sabar untuk bersamamu,” Nazira menyanyi menyambung lagu Bob.

“Ah sudah! Rosaklah lagu Siti Nurhaliza macam ni. Dahlah aku ni siang malam berangan nak berduet dengan dia,” Kamal memangkah.

Pecah ketawa Azrul, Bob dan Melia.  Kalau di rumah, mahu Melia gelak sampai berguling-guling.  Tak jadi dia hendak marah.

Nazira terpinga-pinga.

“Dahlah korang. Sakit perut perut aku bantai gelak. Makan lagi sedap kut,” tutur Melia sambil memegang perutnya.

“Kenapa kau nyanyi lagu Siti tu Kamal? Aku ingat sekolah kita nak buat audition mencari bakat baru,” soal Nazira.

“Sejak bila sekolah kita buat pertandingan menyanyi? Setakat suara macam katak panggil hujan menyanyi majlis orang kahwin pun tak lepas ni,” sindir Melia.

“Suara merdu bak buluh perindu ni kau cakap macam katak Melia?” Kamal mempertahankan dirinya.  Masuk bakul angkat sendiri.

“Yalah. Haru!” Balas Melia seraya menarik tangan Nazira untuk bergerak ke kantin. “Jomlah Azrul.” Azrul tetap tidak dilupa.

“Ajak pakwe dia sorang aje? Kita tak ajak,” Bob menyakat lagi.

Melia berpaling. “ Kau ni memang nak kena!” ugut Melia dengan geram.  Dia mengetap bibir dan mengepal-ngepal tangannya.

Bob bingkas dari kerusi dan terkocoh-kocoh melarikan diri.  Mulut memang berani tapi hati macam tikus.  Badan besar tapi hati kat dalam tu tak tahulah kecil mana.  Belum kena penumbuk Melia awal-awal dia dah cabut.

Azrul menguntum senyum sahaja.  Dia tidak tahu hendak komen apa.  Baginya mereka semua itu amat meriangkan. Walaupun saling mengusik namun ia menyeronokkan.

Rencah dalam persahabatan ada masin, manis dan pedasnya.  Dengan ramuan yang cukup pasti rencah persahabatan bertambah serinya.  Umpama masakan jika kurang ramuannya pasti tidak enak.  Tidak cukup hanya dengan masin perlu ada manis, pedas dan juga lemaknya.  Begitu juga dengan persahabatan.

Azrul tidak mahu ambil pusing dengan usikan ‘asmara’ itu.  Dia sudah kalis disakat Kamal dan Bob mengenai dirinya dan Melia.  Sama sekali dia tak ambil ‘pot’.

Apa yang hendak digusarkan kerana mereka bukannya betul bercinta.  Sekadar menjadi kawan karib tiada yang anehnya.

Melia pula memang pantang diejek begitu.  Mungkin sifat gadis remaja mudah sensitif dengan hal-hal sebegitu.

Kamal dan Bob memang mulut tiada insurans.  Tidak mengira siapa pun ingin disakat.  Sebab itulah Cikgu Baihaki naik angin tadi.  Semasa dia mengajar Kamal dan Bob buat tidak endah dan membaling kertas kepada murid perempuan di depan mereka.  Bunyi suara mereka bercakap dan berbisik-bisik telah didengari Cikgu Baihaki.

Memang padanlah muka didendapumping.  Lain kali tentu mereka tak berani buat lagi.



Melia menemani Azrul menunggu bapanya di wakaf depan sekolah.

“Mel, awak janganlah ambil pusing sangat dengan kata-kata diaorang tu. Saya langsung tak kisah sebab saya tahu mereka tu suka mengusik,” kata Azrul agar tiada salah faham antara mereka.

“Saya pun tak kesah,” tutur Melia meskipun di hatinya lain bicara.

Betul ke Azrul ni tak kesah? Tak marah ke dia diusik begitu? Kalau betul kami ni couple tak apalah jugak.

“Kita tak makan nangka jadi tak terkenalah getahnya,” Azrul berbicara dengan peribahasanya.

“Awak tak makan angka erk? Saya makan nangka. Sedap isinya. Tambah-tambah lagi nangka madu,” Melia berseloroh biarpun dia tahu maksud peribahasa itu.

Azrul tersenyum. “Pandai awak berlawak. Memang pun saya tak makan nangka sebab saya lebih sukakan cempedak.”

“Kat dusun abah saya ada pokok cempedak. Nanti kalau buahnya masak saya bawa untuk awak ya.” Melia bermurah hati.

“Janganlah bawa nanti terbau satu kelas, marah cikgu-cikgu kita nanti.”

“Awak tak sudi?” Soal Melia beriak kecewa.  Itulah perempuan mudah sangat ambil serius.

“Bukan begitu cik adik yang comel. Saya sudi terima apa saja pemberian awak tapi kalau pasal makan buah cempedak tu awak tak payahlah susah-susah bawa. Saya sendiri akan berkunjung ke rumah awak untuk menikmatinya.”

Terkebil-kebil mata Melia.  Dia kata aku comel? Mahu kembang-kempis hidung aku ni.  Melia berasa bagai burung yang sedang berterbangan di langit tinggi.  Indahnya jadi burung bebas di atas awan.  Berterbangan melihat keindahan alam.

“Mel…Mel…Mel…” panggil Azrul berkali-kali.  Dia memetik jarinya di depan muka Melia kerana kawannya itu kelihatan leka.

Entah apalah yang si Melia angankan.  Ingatkan budak target tak reti berkhayal.

Melia kembali ke bumi. “Hah, ye……”

“Papa saya dah datang tu. Jumpa petang nanti ya. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam,” jawab Melia sambil matanya menghantar Azrul ke perut kereta Proton Wira papanya.

No comments:

Post a Comment