Apr 16, 2014

Bab 20 OOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA

    
  Luqman Hakimi tersenyum sendiri saat membaca pesanan ringkas yang masuk ke Iphone nya.  Pesanan ringkas dari nombor yang tidak dikenalinya tetapi telah membuatnya tersengih sampai ke telinga.
            
      Pesanan ringkas dari kakak Qistina.  Dia yakin itu nombor Norina.  Mesej itu menyatakan alamat kampung Qistina.  Akhirnya kakak gadis itu lembut hati untuk menunaikan permintaannya.  Itu pun setelah tiga hari dia menanti.  Terdetik juga ingin pergi lagi ke rumah Norina andai dia belum mendapat alamat Qistina.  Hari ini dia telah memperolehinya.  Jadi bermakna dia tidak perlu lagi mengganggu kakak gadis itu.
            
      Luqman membalas mesej itu dengan ucapan terima kasih.  Dia amat menghargai keprihatinan Norina mengenai permintaannya.
            
      Luqman Hakimi menghampiri anaknya yang begitu leka mengira bintang kasih sayang. Bintang kasih sayang yang dibuat Qistina menjadi peneman setia Danish kini.  “Danish, nak jumpa cikgu Qistina tak?”
            
       “Nak! Nak!” Danish melonjak kegirangan.  Gembira benar dia mendengarkan nama Qistina Airisa.
            
        “Nanti kita pergi Pahang jumpa dia,” kata Luqman sambil mendakap Danish.
            
       “Yeay!” Sorak Danish.  Balang bintang kesayangannya dicium.  Mungkin baginya balang itu umpama cikgu Qistina.
          
         “Suka ye nak jumpa dia?”
       
     Danish mengangguk beberapa kali.  Bintang-bintang kesayangannya dikutip lalu dimasukkan semuanya ke dalam balang.  Penat agaknya asyik mengira bintang-bintang itu.
      
      “Danish suka……papa lagi suka sayang,” kata-kata itu hanya bergema di dalam hati Luqman sahaja.
  
          “Kalau Danish suka nak jumpa dia, Danish jangan buat perangai lagi. Kena makan dan jangan selalu menangis,” pesan Luqman pada anak kesayangannya.
    
        “Baik papa,” balas Danish sambil mencium pipi Luqman.

           Luqman tersenyum lebar.  Anaknya memang pandai mencuit hatinya.  Meskipun kadang-kadang ragam Danish membuatkan dia hilang sabar namun kasih sayangnya tidak pernah pudar buat Danish.  Apalah yang kanak-kanak sekecil Danish tahu.  Dia tidak mengerti apa-apa.  Bahkan lagi Danish tidak merasa kasih sayang seorang ibu.
     
       Sebab itu dia memberikan Danish dengan kasih sayang yang melimpah-ruah.  Dia enggan Danish kehausan kasih sayang.  Dia mahu Danish merasa sepenuhnya kasih sayang, biarpun hanya kasih sayang dari dia dan Datin Rohani.  Dia mahu Danish berasa lengkap.  Permintaan Danish tidak pernah dia tidak tunaikan.  Pintalah apa saja kerana dia memang mampu dari segi wang.

            Kini Danish meminta Qistina Airisa menjadi mamanya.  Danish umpama baru merasa kasih seorang ibu dengan kehadiran Qistina.  Hairan kan gadis semuda Qistina mampu menambat hati Danish.  Gadis yang langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang anak-anak.

            Istimewanya seorang Qistina Airisa pada Danish.  Dia bersyukur walaupun seketika sahaja Qistina mencurahkan kasih sayang buat Danish.  Kerana itu kasih sayang yang tidak dibuat-buat.  Kasih sayang yang ikhlas dari dalam diri gadis itu.  Luqman Hakimi amat yakin tentang itu.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

            “Semalam Qis cakap dengan siapa? Lama bergayut dalam bilik?” Soal umi ketika aku menolongnya membungkus nasi lemak.
         
       Telinga lintah juga umi aku ni.  Padahal dia sedang mengaji Al-Quran masa tu.  Barangkali kerana aku bercakap lama dengan Kak Ina.
    
        “Qis bercakap dengan Kak Ina.”

            “Lama juga Qis bercakap dengan dia. Bincang pasal apa?”

            Alamak! Takkan aku nak bagitahu umi topik apa yang kami bincangkan.  Aku tak nak umi tahu pasal mr widower tu.

            “Bincang pasal nak persiapan nak pergi UITM umi,” aku berbohong.  Maaf ya umi tak dapat berterus-terang lagi.

            “Hai bincang pasal tu pun macam dok bergayut dengan pakwe. Entah-entah bukan Kak Ina yang call tapi buah hati Qis,” umi melemparkan serkap jarangnya pada aku.

            Gulp! Aku menelan liur.  Umi ni sejak bila pandai bercakap pasal buah hati bagai ni.  Dia pun tahu yang anak bongsunya ini bukan jenis melayan lelaki.  Masa sekolah bukan tiada yang mengorat aku tapi satu pun tak lekat.  Sebabnya aku memang tak nak.

            “Qis mana ada pakwe umi. Qis kan nak belajar dulu capai cita-cita. Dalam hati Qis ni belum terlintas hendak ada buah hati.”

            Umi tersengih. “Mana tahu kut-kut tersangkut masa kat KL hari tu.”

            “Umi!” Teriakku manja.

            Pandai je umi aku buat telahan kan.  Telahan dia memang betul pun tapi mustahil untuk aku mengaku.  Bukan mengaku aku ada hubungan dengan duda tu tapi mengaku yang duda tu ‘usha’ aku.  Aku langsung tak tersangkut pun pada mr widower tu tapi dia yang sudah sangkut pada aku.

            “Umi, Qis ni hendak capai cita-cita dulu. Nak belajar tinggi-tinggi. Lepas tu baru boleh fikir pasal benda lain.”

            “Eloklah tu. Anak umi ni pun masih muda. Panjang lagi perjalanan hidup yang perlu ditempuhi Qis.”

            “Ya umi. Qis tidak mahu mensia-siakan umur muda Qis dengan membuat sesuatu yang tidak berfaedah. Qis mahu jadi orang berjaya. Maaf keputusan SPM hari tu tidak membanggakan umi.”

            “Tak apalah Qis. Hal tu dah berlalu. Yang penting Qis tetap dapat tawaran ke universiti. Umi tak kisah walaupun ianya panggilan kedua,” kata umi sejujurnya.

            Aku gembira dengan umi.  Dia memang ibu yang baik.  Meskipun aku tidak mencapai target namun dia terima keputusan SPM aku dengan redha.  Dia tidak melenting sebaliknya memberi nasihat untuk terus maju ke depan.

            “Terima kasih umi. Qis sayang umi.”

            Aku peluk umi dan mencium pipinya.  Umi hanya mengukir senyum di bibir senjanya.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

            Aku merebahkan badan ke katil bujang aku.  Aku mula berfikir mengenai perbualan aku dengan Kak Ina tentang Luqman Hakimi yang mahukan alamat rumah umi.  Ini bermakna bila-bila masa sahaja dia akan tiba ke kampung aku.  Bukannya jauh mana pun Kuala Lumpur dengan Pahang ni.
           
       Apa yang harus aku buat? Apa persediaan aku untuk menghadapinya di rumah umi? Apa yang harus aku beritahu umi tentang si duda itu? Tentu umi akan pelik dengan kedatangan orang yang tidak dikenalinya secara tiba-tiba.  Adess!
       
      Bagaimana kalau umi tahu yang mr widower itu sukakan aku? Apa tindakan umi?

      Menggelegak jiwa aku dengan semua ini.  Aku sanggup berhenti kerja awal dari perancangan sebenar kerana mahu mengelak dari dia.  Tak sangka pulak dia hendak menjejaki aku sampai ke kampung.
           
       Ini semua sebab Kak Ina yang murah hati sangat nak bagitahu pasal kampung kami.  Cuba Kak Ina zip mulut dia yang terlebih ramah tu. 
      
      Mr widower tu pulak tahu dari mana rumah Kak Ina? Rasanya masa kat tasik rekreasi tu dia tak bagi alamat rumah. 

      Ops! Taska Mithali.  Ya Taska Mithali kan ada resume aku.  Aku buat resume tu menggunakan alamat rumah Kak Ina.  Senang saja untuk dia dapat alamat rumah Kak Ina melalui Kak Azmah.

Entahlah malas aku nak fikir lagi.  Kalau aku boleh menyorok masa dia datang tu aku menyoroklah.  Aku sembunyikanlah diri aku ni dari dia.  Kalau tak sempat menyorok aku buat tak kenal dia.

Heish! Mana boleh buat tak kenal dia.  Danish kan kenal aku.  Kesian pulak kat budak kecik tu kalau aku buat tak kenal dia.

Aku buat don’t know jelah kat mangkuk hayun tu tapi bukan pada si comel Danish.  Geram pula aku nak cubit pipi Danish yang gebu tu.  Danish…….Danish…….

8 comments:

  1. Gee up bab 21...
    x sabar nk tau camner le rupanya si Luq tu jumpa ngan Qis....mesti gempak kn....huhuhuhhhhuuuu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alaa minggu depan hang dah dapat 'feluk' Sya...

      Delete
  2. Akak sabar menanti novel Uji ni :)

    ReplyDelete
  3. seronok nya..dh byk novel sya baca tp ending mcm x lojik je ...
    tp novel ni menarik sya suka x sabr nk tunggu seterusnya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Ruhani. Bab seterusnya boleh baca dalam versi cetak..

      Delete
  4. dah keluar ker??nk pg cari....yeayy

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya amy. Novelnya sudah berada di pasaran...

      Delete