Apr 9, 2014

Bab 18 OOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA

Sudah dua minggu aku membantu umi berniaga di warung.  Kadang-kadang terbit juga rasa rindu pada Taska Mithali.  Rindu pada Kak Azmah, Kak Isma, Mia, Eisya dan Danish.  Rindu pada semuanya.

 Lumrah bila tiada di mata kita akan rindu.  Namun aku tiadalah sampai kena demam rindu.  Sesekali biasalah dihambat rasa dan kenangan itu.  Aku tidak sakit pun kerana itu.  Tiada salahnya merindu kenangan yang pernah tercipta dalam hidup kita.

Hah! Luqman Hakimi? Sorry! Aku langsung tidak terlintaskan dia.  Aku tenang di sini daripada terus dikacaunya.

Umi melihat aku menerawang entah ke mana.  Dia yang sedang membungkus nasi mengarahkan aku untuk membuat air. “Qis, buat air untuk Pak Ali dengan Pak Mat.”

Aku tersedar dari khayalan.  Aku memandang umi seketika. “Baik umi.” Dengan patuh aku menuju ke ruang dapur warung umi.

Pak Ali dengan Pak Mat tu pelanggan tetap warung umi.  Aku pun tahu air kegemaran dia orang.  Air yang paling senang sekali untuk dibuat.  Air teh o.

“Nah airnya Pak Mat….Pak Ali,” kata aku sambil meletakkan dua cawan berisi air panas itu di atas meja di depan mereka.

“Terima kasih,” balas Pak Mat dengan senyuman.  Walaupun muka Pak Mat sudah berkedut aku nampak senyuman yang terpamer di balik giginya yang sudah jarang.  Pak Mat ni rasa-rasa aku……macam Tok Dalang dalam animasi Upin dan Ipin.

“Qistina bila nak pergi belajar?” Soal Pak Ali pula.  Pak Ali ni kira member kamceng Pak Mat.  Tak sah kalau dia orang tidak semeja berdua.

“Lambat lagi Pak Ali. Lima belas haribulan Disember baru daftar.”

“Habis tu kenapa berhenti awal sangat kerja kerja kat Kuala Lumpur tu?”

“Saja je Qis nak balik teman umi. Nanti bila pergi belajar lagilah tak dapat bersama umi.”

Biarpun itu bukan sebab utama mana mungkin aku membuka mulut tentang Luqman Hakimi.  Kepada umi pun aku tidak bercerita apatah lagi ingin diberitahu kepada orang luar.  Biarlah nama Luqman Hakimi itu hanya dikenali aku sahaja.

“Baguslah macam tu Qis. Kesian juga umi kamu sorang-sorang bila kamu tak ada. Kalau dah pergi belajar tu lainlah.”

Aku menganggukkan kepala pada kata-kata yang dituntaskan oleh Pak Mat.  Apa yang dikatanya betul.  Umi bukannya ada anak ramai.  Hanya ada aku dan Kak Ina sahaja.  Bila Kak Ina sudah berkeluarga akulah yang menjadi penghipur lara buat umi selama ini.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

            Luqman Hakimi mundar-mandir di dalam kamar pejabatnya.  Dia resah.  Dia gagal menumpukan perhatian pada kerjanya.  Semenjak dia tidak dapat menemui Qistina di taska jiwanya terasa kosong.
          
           Danish pula hari-hari mengamuk dan meragam sehingga dia seringkali lewat masuk ke pejabat.  Kadang-kadang dia meninggalkan Danish dengan pembantu rumah sahaja kerana Danish liat untuk ke taska sejak Qistina berhenti kerja.
            
           Anaknya itu sebati benar dengan Qistina agaknya.  Pernah dia meracau di tengah malam memanggil nama Qistina.  Dia dapat merasakan yang anaknya menanggung kerinduan yang sarat pada Qistina seperti mana dia kosong tanpa Qistina.
           
           Hebat penangan Qistina sehingga membuatkan dia dan Danish tidak betah tanpa dirinya.  Entah apa yang istimewanya gadis itu sehingga mendapat tempat paling istimewa dalam hati dia dan Danish.

 Hatinya yang telah lama kosong tidak berpenghuni berjaya diketuk Qistina.  Jiwanya yang telah lama pudar tanpa cinta telah cerah dengan warna yang bergemerlapan.  Hati yang gersang telah dicurah hujan oleh Qistina.  Hujan cinta dan rindu.  Malap hatinya yang dulu jadi terang-benderang kerana gadis itu.

Tapi kenapa mesti Qistina? Gadis belasan tahun yang tidak matang.  Kenapa hatinya boleh dibuka gadis itu sedangkan gadis itu tidak menyukai dirinya? Mengapa tidak dihadirkan wanita matang yang bila-bila masa sudah bersedia menjadi isteri dan seorang ibu?

Mengapa dia mesti kusut kerana gadis itu?  Gadis yang baru tamat alam persekolahannya. Kalau orang lain tahu mesti dia disangka gila.  Umpama orang yang baru belajar bercinta agaknya.  Enteng saja untuk orang mentertawakan perasaannya itu.

Luqman mencengkam rambutnya.  Dia amat tertekan.

Serta-merta datang idea untuk mengorek perihal Qistina dari Kak Azmah.  Dia tidak mahu berkira-kira lagi.  Dia mesti mengusul tentang alamat Qistina.  Dia wajib tahu di mana Qistina tinggal.  Dia tidak mahu membuang masa lagi.

“Saleha…..saya hendak keluar. Jika ada orang mencari saya katakan saya ada urusan di luar,” ujar Luqman kepada setiausahanya.

Saleha kaget.  “Tapi…….sekejap lagi kan Encik ada appointment dengan client.”

“Awak suruh Kamal uruskan dulu. Appointment saya tu awak tetapkan semula.”

Sudah namanya pekerja Saleha akur sahaja. Kalau dia tu Datin Rohani mahu saja dia bantah. Susah-susah dia atur temujanji senang pula majikannya suruh cancel.  Entah apa yang bosnya itu urgent kan sangat.  “Baik Encik Luqman.”

Luqman mengatur langkah keluar dari pejabat Luqman Holdings.  Dia hendak ke Taska Mithali menemui Kak Azmah.



Setengah jam kemudian dia tiba ke taska.

“Kenapa Encik Luqman datang jumpa akak? Kan pagi tadi Encik Luqman sudah maklumkan yang Encik Luqman tidak menghantar Danish hari ini,” tanya Kak Azmah sebaik Luqman datang menemuinya.  Dia kelihatan terperanjat dengan kedatangan Luqman Hakimi yang tidak semena.

“Saya nak alamat Qistina Airisa,” dengan laju Luqman memberitahu niat sebenarnya.

Kak Azmah terkesima.  Dia mengelipkan mata beberapa kali.  Kak Azmah ni memang tabiat suka mengelipkan mata.  Jangan sampai Luqman kata itu tanda hendak mengoratnya sudah. 

“Kak Azmah saya nak alamat Qistina,” ulang Luqman dengan nada yang lebih tinggi.  Pekak ke apa dia ni?  Dahlah kelip-kelip mata pada aku.

“Kenapa Encik Luqman nak alamat dia?” Soal Kak Azmah takut-takut.  Ketegasan lelaki itu mengecutkan hati tikusnya.

“Saya hendak jumpa dia.” 

Berkerut dahi Kak Azmah.  Wajah tampan di depannya itu nampak serius benar. “Untuk apa?”  Kak Azmah ni buat-buat tanya pula.  Waima dia tahu mengenai Luqman dan Qistina sebelum ini.  Takkanlah hari ini mindanya separa sedar.

“Saya perlu jumpa dia. Saya mempunyai urusan dengan dia. Cepatlah bagi Kak Azmah,” desak Luqman.  Resah hatinya memikirkan si bunga hati yang telah pergi membawa diri.

Projek memikatnya tak menjadi aku juga yang perlu menghulurkan kerjasama. Nasiblah kau Luqman nakkan budak Qis tu.  “Sekejap ya Encik Luqman.  Akak pergi cari,” kata Kak Azmah sambil berlalu.  Dia menuju ke meja utama pentadbiran.  Fail pekerja dikuaknya.  Dia tercari-cari resume milik Qistina.

Ada pun resume pengarang jantung kau Luqman.  Maaf ya Qis akak bocorkan alamat adik.  Semoga cinta kamu berdua bersatu hendakNya.  Kak Azmah mencapai kertas kecil dan menyalin alamat Qistina seperti yang tertera di dalam resume milik gadis itu.

Dengan sepantas kilat dia menyerahkan note kecil itu kepada Luqman Hakimi.  Dia tidak mahu lelaki kaya itu menunggu lama.

Luqman menyambut kertas kecil itu dan membacanya sekilas.  Kak Azmah hanya memandangnya tanpa riak.  Mahu ditayang sengih takut ada sisa lada yang terlekat di gigi.  Mana taknya tadi dia menikmati sambal udang.

“Terima kasih Kak Azmah. Saya balik dulu,” Luqman meminta diri.  Tidak sampai satu minit dia sudah berada di perut kereta.

Dia memandu membelah jalan raya menuju ke alamat yang tertera di note kecil itu.  Harapannya hanya satu dapat menemui Qistina di rumah itu.

Akhirnya dia sampai di depan sebuah rumah teres dua tingkat.  Rumah bercat merah muda itu adalah kelihatan sederhana besar sahaja.  Bukan kategori rumah mewah.

Luqman membaca sekali lagi alamat di kertas kecil itu dan ternyata dia tidak silap.  Itulah rumah yang dia cari.

Dia keluar dari keretanya dan melilau di luar pagar.  Nampaknya rumah itu tidak berpenghuni.  Dia menelek jam tangan Rolex yang dipakainya.  Jarum pendek menunjukkan pukul dua belas tengahari.

Tiada satu pun kereta di garaj, pintu dan pagar rumah berkunci.  Itu menandakan pemilik rumah memang tiada.

“Kerjalah agaknya masa ni,” gerutu Luqman Hakimi sendirian.

Habis Qistina? Dia kan dah berhenti kerja. Atau mungkin dia kini berada di universiti? Luqman bertanya kepada dirinya sendiri.

Ai universiti mana pula yang ambil pelajar bulan ni? Setahu akulah IPT membuat pengambilan pelajar pada bulan Jun dan Disember, telahnya sendiri.

Luqman menggaru-garu kepalanya.  Bukan gatal kepala tapi tindakan refleks bila dalam kebuntuan barangkali.  “Lebih baik aku balik dulu. Petang esok datang lagi.”

Dia kembali duduk ke sit pemandu.  Note kecil itu disisipkan seeloknya di dalam walletnya.  Dia tidak mahu note kecil itu hilang seperti mana Qistina hilang dari hidupnya dan Danish.

Seketika kemudian BMW hitam itu menderum pergi dari perkarangan rumah Norina.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

“Danish, makanlah. Kalau Danish tak mahu makan nanti saya susah,” pujuk Sari pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Villa milik Datin Rohani.

“Tak mau!” Danish membentak.  Nasi putih bersama lauk ayam kegemarannya langsung tidak dipandang.

“Jangan macam tu Danish sayang. Nanti bapak marah sama bibik.”

Danish mencerlung matanya kepada pekerja Indonesia itu.  Dengan perasaan geram dia menolak pinggan nasi itu sehingga nasi jatuh bertaburan di atas lantai.

“Astagfirullah, astagfirullahalazim…” Sari mengurut-ngurut dadanya akan tingkah tuan kecil itu.  Dia membongkokkan badan untuk mengutip pinggan dan nasi yang sudah bertaburan.


Danish merengus kasar dan berlari ke ruang tamu.

3 comments:

  1. Kesian danish... kesian abg luq....

    ReplyDelete
  2. terbaik..kak gee..jalan cerita yang menarik..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah. Terima kasih Nur Syuhada...

      Delete