Apr 5, 2014

Bab 17 OOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA


“Apa! Dia sudah berhenti kerja?” Luqman Hakimi bertanya dengan mata terbeliak.  Dia terkejut bukan kepalang.  Patutlah pagi tadi bukan Qistina Airisa yang menyambut Danish tetapi pekerja baru.

“Ya……sudah berhenti Encik Luqman. Kelmarin tu hari last dia,” jawab Kak Azmah.

Luqman termenung sejenak.  Patutlah kelmarin dia cium Danish bertubi-tubi.  Rupanya itu tanda dia tidak akan menemui Danish lagi.  Kenapalah aku tidak syak? Kalau tidak boleh aku memujuknya.

“Kenapa dia berhenti Kak Azmah?” Soal Luqman lagi.

“Dia nak sambung belajar,” balas Kak Azmah tidak berselindung.

“Kak Azmah tahu dia sambung belajar kat mana?” Usul Luqman mengenai tempat pengajian Qistina.

“Dia ada bagitahu tapi akak lupa universiti mana,” tutur Kak Azmah dengan jujur.  Benar dia tidak ingat.

“Papa, jomlah balik,” jerit Danish.  Dia mula menangis.  Hari ini juga dia banyak buat hal kerana terpaksa berkomunikasi dengan pengasuh baru.  Berkali-kali dia memanggil nama Qistina.  Ke hulu ke hilir dia cuba mencari kelibat cikgu kesayangannya.  Kak Azmah sampai naik pening melayan ragam Danish. 

“Kejap sayang,” pujuk Luqman Hakimi.  Dia masih ingin mengusul Kak Azmah lagi mengenai Qistina.

“Nak balik!” Danish meraung-raung.  Menghentak tangan dan kaki sebagai tanda protes kepada bapanya.

Luqman mengeluh.  Dia membolos masuk ke dalam keretanya dengan perasaan yang bercampur-baur.  Terkilan merajai hatinya kerana terlewat tahu tentang pemergian Qistina.

Dia menghidupkan enjin dan terus memandu pulang.

Di mana aku nak cari dia? Sekalipun kakak dia kata mereka tinggal tidak jauh dari tasik rekreasi itu tapi aku tiada alamatnya.  Bagaimana aku hendak menemuinya selepas ini? Adakah Qistina berhenti kerja kerana ingin lari daripada aku? Kenapa dia tidak beritahu aku kelmarin yang dia ingin pergi? Sampainya hati dia pergi macam tu saja…….

Sedihnya hati Luqman Hakimi kerana telah ditinggalkan Qistina Airisa.  Dia tidak sangka secepat itu dia akan kehilangan Qistina.  Dia juga sedih kerana anaknya Danish telah kehilangan pengasuh yang baik.

Luqman memandang wajah Danish yang masam mencuka.  Anaknya itu duduk memeluk tubuh.  Tunjuk mogok agaknya.

“Kenapa dengan anak papa ni?” Tanya Luqman sambil sebelah tangannya menyentuh kepala Danish.  Diusapnya kepala Danish dengan penuh kasih sayang.

Danish meraung, “Danish nak cikgu Qis!”

“Sayang………cikgu Qis pergi belajar. Nanti bila dia dah habis belajar dia datang jumpa Danish,” Luqman memujuk anak tunggalnya itu dengan lembut.

“Bila dia habis belajar papa?”

“Lambat lagi sayang…….”

Danish merengus.  Dia memuncungkan bibirnya.

“Papa belanja Danish makan KFC nak?” Pancing Luqman.

“Tak nak!” Bentak Danish.

“Kan Danish suka ayam goreng,” Luqman masih berusaha memujuk anak lelakinya itu.

“Tak suka!” Jerit Danish.

“Kalau macam tu Danish yang bagitahu papa apa yang Danish nak makan.”

“Tak mahu makan!” Danish meraung.  Dia memukul kusyen kereta dengan tangannya.

Luqman mati kata.  Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. 

Ini semua salah papa. Cikgu Qis tak suka papa tapi papa ganggu dia. Sebab papa dia tinggalkan Danish. Maafkan papa sayang…….keluh Luqman di dalam hati.

Danish jarang berperangai begitu melainkan tika ada sesuatu yang tidak menyenangkan dirinya.  Dia tahu anaknya itu memberontak kerana ingin menunjukkan perasaan sedihnya kerana kehilangan Qistina.  Namun apalah daya Luqman kerana dia sendiri tidak tahu di mana Qistina. 

Jika anaknya sedih kerana tiada lagi insan bernama Qistina Airisa untuk melayan karenahnya, dia pula dihambat kepiluan kerana bakal dilanda rindu kepada gadis itu.

Apakah tiada sekelumit rasa pun Qistina terhadap aku? Adakah dia langsung tidak memikirkan tentang Danish?

Ah! Dia terlalu muda untuk punya perasaan sebegitu.  Dia tidak matang untuk mengenal rasa cinta andai rasa itu telah berputik dalam dirinya sekalipun.  Dia juga mentah untuk merasa naluri sayang seperti seorang ibu.

‘Biarlah dia pergi kerana aku pun sudah terlepas peluang untuk menahannya dari pergi,’ desis hati Luqman Hakimi.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Aku mengerling sekilas bilik yang bakal aku tinggalkan itu.  Meliar mata aku bimbang ada barang yang tertinggal.

“Qis dah siap?” Tanya Kak Ina.

“Dah siap cuma tengah tengok kut-kut ada barang yang Qis tak ambil,” jawab aku yang masih berada di depan bilik.

“Alah, macam lepas ni tak boleh datang lagi rumah Kak Ina.”

“Bukan macam tu……..” kendur suara aku.  Semestinya aku datang lagi rumah Kak Ina selepas ini tapi aku tak tahu bila, sebab aku takut terserempak dengan si duda itu.  Mungkin aku akan mengambil masa yang lama sebelum menjejakkan kaki ke sini lagi.

“Mari beg tu Kak Ina masukkan dalam kereta,” kata Kak Ina pada aku yang masih termangu.

Aku menyerahkan beg pakaian aku kepada Kak Ina.  Daun pintu bilik tetamu di rumah Kak Ina itu aku tarik.  Aku menghayun kaki keluar menuju ke MPV milik Abang Zaman.

Abang Zaman dan Azfan sudah berada di dalam kereta.  Aku berdiri di tepi kereta menunggu Kak Ina mengunci rumahnya.

“Berangan apa lagi ni?” Tegur Kak Ina tetapi ianya bagai angin lalu sahaja di telinga aku.

Apabila aku belum berganjak Kak Ina menegur aku lagi. “Qis masuklah dalam kereta. Kenapa mengelamun lagi?”

Tanpa menjawab aku membuka pintu kereta dan duduk di bahagian belakang bersama Azfan.

Dengan lafaz bismillahirrohmanirrohim Abang Zaman memulakan perjalanan kami.

Aku nampak Kak Ina menunjukkan reaksi pelik dengan sikap aku.  Aku rasa jika Abang Zaman tiada antara kami pasti bertubi-tubi soalan dia aju pada aku.  Kak Ina bukan boleh tengok aku lain macam.

Sebenarnya aku terkenangkan si comel Danish.  Danish yang telah aku jaga selama tujuh bulan.  Danish yang buat aku tertawa dengan sikapnya.  Danish yang bijak berkata-kata.  Keletah Danish amat menghiburkan aku selama aku bekerja di taska.

Hari ini aku sudah tinggalkan dia.  Entah bagaimana keadaan Danish di taska tatkala dia melihat cikgu kesayangannya ini sudah tiada di situ.  Tiba-tiba terbit perasaan sayu terhadap kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu itu.

‘Maafkan cikgu sayang kerana tinggalkan Danish. Cikgu sayang Danish,’ bicara hatiku di dalam sendu.  Mata aku yang berkaca kuhalakan ke tingkap.  Melihat pemandangan sekitar jalan yang kami lalui.


Cikgu terpaksa pergi kerana ingin lari daripada bapamu Danish dan juga demi cita-cita cikgu.  Cikgu berdoa semoga Danish akan mendapat pengasuh yang lebih baik dari cikgu dan bakal mendapat ibu yang akan menyayangi Danish sepenuhnya.  

2 comments:

  1. Mesti danish jatuh sakit nnti kn...tiba2 aja kehilangan...sampai ati qis...

    ReplyDelete