Apr 16, 2014

Bab 20 OOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA

    
  Luqman Hakimi tersenyum sendiri saat membaca pesanan ringkas yang masuk ke Iphone nya.  Pesanan ringkas dari nombor yang tidak dikenalinya tetapi telah membuatnya tersengih sampai ke telinga.
            
      Pesanan ringkas dari kakak Qistina.  Dia yakin itu nombor Norina.  Mesej itu menyatakan alamat kampung Qistina.  Akhirnya kakak gadis itu lembut hati untuk menunaikan permintaannya.  Itu pun setelah tiga hari dia menanti.  Terdetik juga ingin pergi lagi ke rumah Norina andai dia belum mendapat alamat Qistina.  Hari ini dia telah memperolehinya.  Jadi bermakna dia tidak perlu lagi mengganggu kakak gadis itu.
            
      Luqman membalas mesej itu dengan ucapan terima kasih.  Dia amat menghargai keprihatinan Norina mengenai permintaannya.
            
      Luqman Hakimi menghampiri anaknya yang begitu leka mengira bintang kasih sayang. Bintang kasih sayang yang dibuat Qistina menjadi peneman setia Danish kini.  “Danish, nak jumpa cikgu Qistina tak?”
            
       “Nak! Nak!” Danish melonjak kegirangan.  Gembira benar dia mendengarkan nama Qistina Airisa.
            
        “Nanti kita pergi Pahang jumpa dia,” kata Luqman sambil mendakap Danish.
            
       “Yeay!” Sorak Danish.  Balang bintang kesayangannya dicium.  Mungkin baginya balang itu umpama cikgu Qistina.
          
         “Suka ye nak jumpa dia?”
       
     Danish mengangguk beberapa kali.  Bintang-bintang kesayangannya dikutip lalu dimasukkan semuanya ke dalam balang.  Penat agaknya asyik mengira bintang-bintang itu.
      
      “Danish suka……papa lagi suka sayang,” kata-kata itu hanya bergema di dalam hati Luqman sahaja.
  
          “Kalau Danish suka nak jumpa dia, Danish jangan buat perangai lagi. Kena makan dan jangan selalu menangis,” pesan Luqman pada anak kesayangannya.
    
        “Baik papa,” balas Danish sambil mencium pipi Luqman.

           Luqman tersenyum lebar.  Anaknya memang pandai mencuit hatinya.  Meskipun kadang-kadang ragam Danish membuatkan dia hilang sabar namun kasih sayangnya tidak pernah pudar buat Danish.  Apalah yang kanak-kanak sekecil Danish tahu.  Dia tidak mengerti apa-apa.  Bahkan lagi Danish tidak merasa kasih sayang seorang ibu.
     
       Sebab itu dia memberikan Danish dengan kasih sayang yang melimpah-ruah.  Dia enggan Danish kehausan kasih sayang.  Dia mahu Danish merasa sepenuhnya kasih sayang, biarpun hanya kasih sayang dari dia dan Datin Rohani.  Dia mahu Danish berasa lengkap.  Permintaan Danish tidak pernah dia tidak tunaikan.  Pintalah apa saja kerana dia memang mampu dari segi wang.

            Kini Danish meminta Qistina Airisa menjadi mamanya.  Danish umpama baru merasa kasih seorang ibu dengan kehadiran Qistina.  Hairan kan gadis semuda Qistina mampu menambat hati Danish.  Gadis yang langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang anak-anak.

            Istimewanya seorang Qistina Airisa pada Danish.  Dia bersyukur walaupun seketika sahaja Qistina mencurahkan kasih sayang buat Danish.  Kerana itu kasih sayang yang tidak dibuat-buat.  Kasih sayang yang ikhlas dari dalam diri gadis itu.  Luqman Hakimi amat yakin tentang itu.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

            “Semalam Qis cakap dengan siapa? Lama bergayut dalam bilik?” Soal umi ketika aku menolongnya membungkus nasi lemak.
         
       Telinga lintah juga umi aku ni.  Padahal dia sedang mengaji Al-Quran masa tu.  Barangkali kerana aku bercakap lama dengan Kak Ina.
    
        “Qis bercakap dengan Kak Ina.”

            “Lama juga Qis bercakap dengan dia. Bincang pasal apa?”

            Alamak! Takkan aku nak bagitahu umi topik apa yang kami bincangkan.  Aku tak nak umi tahu pasal mr widower tu.

            “Bincang pasal nak persiapan nak pergi UITM umi,” aku berbohong.  Maaf ya umi tak dapat berterus-terang lagi.

            “Hai bincang pasal tu pun macam dok bergayut dengan pakwe. Entah-entah bukan Kak Ina yang call tapi buah hati Qis,” umi melemparkan serkap jarangnya pada aku.

            Gulp! Aku menelan liur.  Umi ni sejak bila pandai bercakap pasal buah hati bagai ni.  Dia pun tahu yang anak bongsunya ini bukan jenis melayan lelaki.  Masa sekolah bukan tiada yang mengorat aku tapi satu pun tak lekat.  Sebabnya aku memang tak nak.

            “Qis mana ada pakwe umi. Qis kan nak belajar dulu capai cita-cita. Dalam hati Qis ni belum terlintas hendak ada buah hati.”

            Umi tersengih. “Mana tahu kut-kut tersangkut masa kat KL hari tu.”

            “Umi!” Teriakku manja.

            Pandai je umi aku buat telahan kan.  Telahan dia memang betul pun tapi mustahil untuk aku mengaku.  Bukan mengaku aku ada hubungan dengan duda tu tapi mengaku yang duda tu ‘usha’ aku.  Aku langsung tak tersangkut pun pada mr widower tu tapi dia yang sudah sangkut pada aku.

            “Umi, Qis ni hendak capai cita-cita dulu. Nak belajar tinggi-tinggi. Lepas tu baru boleh fikir pasal benda lain.”

            “Eloklah tu. Anak umi ni pun masih muda. Panjang lagi perjalanan hidup yang perlu ditempuhi Qis.”

            “Ya umi. Qis tidak mahu mensia-siakan umur muda Qis dengan membuat sesuatu yang tidak berfaedah. Qis mahu jadi orang berjaya. Maaf keputusan SPM hari tu tidak membanggakan umi.”

            “Tak apalah Qis. Hal tu dah berlalu. Yang penting Qis tetap dapat tawaran ke universiti. Umi tak kisah walaupun ianya panggilan kedua,” kata umi sejujurnya.

            Aku gembira dengan umi.  Dia memang ibu yang baik.  Meskipun aku tidak mencapai target namun dia terima keputusan SPM aku dengan redha.  Dia tidak melenting sebaliknya memberi nasihat untuk terus maju ke depan.

            “Terima kasih umi. Qis sayang umi.”

            Aku peluk umi dan mencium pipinya.  Umi hanya mengukir senyum di bibir senjanya.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

            Aku merebahkan badan ke katil bujang aku.  Aku mula berfikir mengenai perbualan aku dengan Kak Ina tentang Luqman Hakimi yang mahukan alamat rumah umi.  Ini bermakna bila-bila masa sahaja dia akan tiba ke kampung aku.  Bukannya jauh mana pun Kuala Lumpur dengan Pahang ni.
           
       Apa yang harus aku buat? Apa persediaan aku untuk menghadapinya di rumah umi? Apa yang harus aku beritahu umi tentang si duda itu? Tentu umi akan pelik dengan kedatangan orang yang tidak dikenalinya secara tiba-tiba.  Adess!
       
      Bagaimana kalau umi tahu yang mr widower itu sukakan aku? Apa tindakan umi?

      Menggelegak jiwa aku dengan semua ini.  Aku sanggup berhenti kerja awal dari perancangan sebenar kerana mahu mengelak dari dia.  Tak sangka pulak dia hendak menjejaki aku sampai ke kampung.
           
       Ini semua sebab Kak Ina yang murah hati sangat nak bagitahu pasal kampung kami.  Cuba Kak Ina zip mulut dia yang terlebih ramah tu. 
      
      Mr widower tu pulak tahu dari mana rumah Kak Ina? Rasanya masa kat tasik rekreasi tu dia tak bagi alamat rumah. 

      Ops! Taska Mithali.  Ya Taska Mithali kan ada resume aku.  Aku buat resume tu menggunakan alamat rumah Kak Ina.  Senang saja untuk dia dapat alamat rumah Kak Ina melalui Kak Azmah.

Entahlah malas aku nak fikir lagi.  Kalau aku boleh menyorok masa dia datang tu aku menyoroklah.  Aku sembunyikanlah diri aku ni dari dia.  Kalau tak sempat menyorok aku buat tak kenal dia.

Heish! Mana boleh buat tak kenal dia.  Danish kan kenal aku.  Kesian pulak kat budak kecik tu kalau aku buat tak kenal dia.

Aku buat don’t know jelah kat mangkuk hayun tu tapi bukan pada si comel Danish.  Geram pula aku nak cubit pipi Danish yang gebu tu.  Danish…….Danish…….

Temui saya di PBAKL 2014


Dalam tujuh hari lagi maka akan bermula lah pesta buku yang ditunggu-tunggu oleh semua ulat buku.  Saya juga tidak terkecuali.

Tahun ini kehadiran saya ke pesta buku bukan lagi sebagai pembeli novel tetapi sebagai penulis jemputan di booth Love Novel Publication (LNP).

Seperti yang tertera di dalam jadual di atas saya Uji Norizqi boleh anda temui pada 2hb Mei pada pukul 11 pagi hingga 12.30 tengahari.  Pada keesokannya pula saya akan berada di booth untuk sesi tengahari dengan berganding bersama Wan Rohayu.

Justeru itu jemputlah datang semua untuk memeriahkan PBAKL 2014.  Jumpa anda di sana.  Selamat memborong :-)

Cover Novel Pertamaku


Alhamdulillah keluar sudah cover untuk novelku yang berjudul Oops! Suami Aku Bukan Duda.  Cover ini telah pun lulus ISBN dan akan digunakan untuk muka depan nanti.

Cover merah menyala ini begitu indah dan menyerlah.  Saya amat sukakannya.  Terima kasih kepada pihak Love Novel Publication kerana menghasilkan 'wajah' menarik ini untuk bakal naskah sulung saya.

Sekarang ini ianya akan mula dicetak dan akan menemui anda di pesta buku antarabangsa (PBAKL 2014) yang bertarikh 24 April hingga 4 Mei.

Sungguh tidak sabar untuk saya memeluk 'kasut merah' ini.  Penantian saya selama ini bakal ternoktah dengan kehadirannya dalam versi cetak nanti.

Harapan saya semoga 'bayi sulung' ini dapat diterima oleh semua penggemar novel.  Teruskan memberi sokongan pada saya yang baru bertatih ini. 

u

Apr 11, 2014

Bab 19 OOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA

Norina a.k.a Kak Ina keluar dari pintu utama rumahnya apabila telinganya menangkap suara seseorang memberi salam.

“Cari siapa?” Tanya Norina tanpa membuka pintu pagar rumahnya.  Matanya menganalisa lelaki berkemeja kuning itu.  “Rasa macam kenal,” Norina bersuara sebelum sempat Luqman membuka mulut.

Luqman tersengih. “Kakak Qistina kan?”

“Ya….saya,” balasnya seraya membuka pintu pagar. “Bukan awak ke yang saya jumpa masa jogging hari tu?”

Luqman mengangguk kecil.

“Dapat pula awak cari rumah saya walhal hari tu saya tak bagi alamat pun.”

“Saya ada JPS,” balasnya sambil ketawa.  JPSlah sangat……padahal dapat alamat dari Kak Azmah.

“Yelah tu. Kenapa….err……Luqman kan?” Norina ingin memastikan yang nama lelaki itu benar-benar Luqman.

“Ya Luqman Hakimi.”

“Kenapa ya Encik Luqman datang kemari?” Sengaja dia bertanya meskipun dia dapat mengagak akan tujuan sebenar lelaki itu.  Lelaki itu sukakan adiknya semestinya lelaki itu datang mencari Qistina.  Takkan hendak mencari dia yang sudah bersuami ini.

Adakah kakak Qistina ini tahu aku sukakan adiknya?  Apakah Qistina bercerita padanya? Kalau dia tahu semestinya dia tidak akan bertanya.  Mungkin dia belum tahu.  “Saya cari Qistina.”

Aku memang dah agak dia cari Qistina.  Berusaha sungguh nampaknya lelaki ini mencari Qistina sampai rumah aku dijejakinya.  “Dia tidak tinggal di sini.”

Jawapan Norina itu sedikit sebanyak telah mengecewakan Luqman Hakimi.  Dengan jawapan itu besar kemungkinan dia tidak dapat menemui gadis itu.

Luqman terperanjat.  Jika Qistina tidak tinggal di sini di mana pula gadis itu tinggal? Takkanlah dia menyewa di rumah lain sedangkan ini alamat semasa yang diberi oleh Kak Azmah.  “Kan dia adik awak. Kenapa pula dia tidak tinggal di sini?”

“Memanglah dia adik saya tetapi itu tidak bermakna dia duduk kat sini. Tempoh hari dia tinggal sini kerana bekerja di taska. Sekarang bila sudah tidak bekerja di taska……..dia balik ke rumah umi di kampung,” terang Norina panjang lebar.

“Kampung mana?”

“Di Pahang,” jawab Norina sepatah.  Dia tidak berniat untuk memberitahu nama kampungnya kepada Luqman memandangkan Qistina pernah berpesan padanya.

“Boleh saya dapatkan alamatnya di kampung?” Luqman mencuba nasib.

“Maaflah Encik Luqman. Saya berpegang pada amanah.”

“Janganlah macam tu. Saya perlu jumpa Qistina. Anak saya pula sering meragam sejak Qistina berhenti kerja.”

“Encik Luqman kena faham yang Qistina memang tak nak jumpa encik. Dia balik kampung pun sebab hendak lari dari encik. Jika saya sengaja memberi alamat kampung saya itu bermakna saya sudah susahkan dia.”

Luqman Hakimi mengeluh kehampaan.  Suasana hening seketika.  “Please,” rayu Luqman meraih simpati dari kakak aku.

“Maaf. Saya tak boleh,” Kak Ina bertegas.

“Kalau begitu tolong beri nombor telefonnya.”

“Itu pun tak boleh. Encik Luqman baliklah. Tak manis encik lama di sini memandangkan suami saya pun tiada di rumah,” kata Kak Ina meskipun mereka berdua hanya berborak di luar rumah.

Luqman Hakimi meraup mukanya. “Bantu saya untuk Danish,” pintanya.

Norina memandang dalam-dalam wajah itu.  Wajah seorang lelaki yang kacak pada pandangan matanya.  Bergaya sekali sesuai dengan kereta mewah yang dimiliknya.  Tiada cacat celanya lelaki itu untuk Qistina.  Dia sendiri bingung kenapa Qistina begitu membenci lelaki di depannya.  Dia selaku seorang kakak amat berkenan andai lelaki itu menjadi adik iparnya.  Lelaki yang mempunyai masa depan yang cerah.  Sementelah lagi kematangan lelaki itu akan membuatkan adiknya lebih dilindungi.

“Boleh ye…….” Luqman Hakimi merayu.

Norina serba-salah.  Jika dia memberitahu alamat rumah umi bermakna Luqman akan mencari adiknya sampai ke Pahang.  Dalam masa yang sama dia juga akan disalahkan kerana semestinya alamat itu dia yang berikan.  Qistina pasti memarahinya kerana pandai-pandai memberitahu Luqman.

“Tolonglah,” Luqman merayu lagi kerana Norina masih belum berkutik.  Dia tahu wanita di depannya itu serba-salah.  Dia tahu Norina sedang berfikir samada perlu memberitahunya atau tidak.

Norina merasakan bagai ada sesuatu yang terlekat di kerongkongnya.  Hendak diluah tidak boleh, hendak ditelan pun tidak mampu.  Ibarat pepatah ditelan mati emak, diluah mati bapak.  Dia buntu.

“Ok, saya boleh bagi tapi saya perlu tahu kenapa encik begitu bersungguh untuk menemuinya. Encik nak buat apa padanya?”

“Saya hendak memperisterikannya. Saya nak dia jadi ibu Danish,” spontan Luqman bertutur di bawah takat kewarasannya.

Norina terpana.  Matanya terbuntang luas.  Mulutnya melopong membentuk huruf ‘O’.  dia tidak menyangka sama sekali lelaki itu begitu serius dengan adiknya.

“Encik Luqman adik saya tu masih muda. Baik tarik balik kata-kata encik tu. Saya rasa encik ni sudah tidak waras.”

“Maafkan saya,” kendur suara Luqman.  Dia menyedari yang dia terlalu emosional yang menyebabkan wanita itu tersentap.

“Macam nilah. Bagi saya masa untuk berfikir. Saya perlu bercakap dengan Qistina terlebih dahulu.  Encik Luqman boleh datang lain kali.”

“Baiklah, ini kad saya. Apa-apa hal……nombor saya ada di dalam kad itu,” kata Luqman sebelum berlalu.

Norina menyambut huluran bisnes kad itu.  Dia teruja melihat pangkat Luqman selaku CEO Luqman Holdings.  Manakala kelibat BMW Luqman telah pun menghilang dari kawasan perumahan itu.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

            Irama polifonik biasa yang bergema di telefon bimbit mengejutkan aku dari asyik melayan keindahan cinta di dalam novel yang sedang aku baca.  Aku meletakkan penanda buku pada halaman novel berkulit hijau itu sebelum menjawab panggilan yang masuk.  Novel Tirai Dosa Kelmarin karya Arsha Wee yang meruntun jiwa itu aku tinggalkan seketika.
            
           Kak Ina rupanya. “Assalamualaikum,” aku memberi salam di corong telefon.
           
          “Waalaikumussalam. Qis buat apa?” Kak Ina menjawab salam sekali dengan melontar soalan.
          
          “Baca novel Kak Ina.”
            
          “Tu sajelah yang dia tahu. Umi?”
          
         “Mengaji Al-Quran dalam bilik. Kenapa kak?”
            
          “Dah beli ke barang-barang untuk dibawa ke universiti?”
            
          “Dah beli dah sikit-sikit.”
          
         “Ermm…..Qis ada orang cari Qis kat rumah akak,” beritahu Kak Ina.
           
          “Siapa kak?” Aku bertanya untuk tahu.  Siapalah yang cari aku sampai ke rumah Kak Ina.  Takkanlah Kak Azmah kut….
         
        “Luqman,” jawab Kak Ina sepatah.
            
         Dup! Jantung aku berdegup.  Luqman cari aku rumah Kak Ina?  Hendak apalah mr widower tu  tu cari aku?  “Kenapa dia cari Qis?”
           
       “Boleh dia tanya. Dah cari Qis mestilah sebab dia nak jumpa Qis. Dia dengan anak dia tu sudah demam rindu pada adik akak ni.”
          
        Aku tergelak.  Ceh! Demam rindu.
            
        “Kenapa gelak? Suka erk?” Usik Kak Ina.
        
         Suka? Sorry meluat lagi ada. “Apalah Kak Ina ni. Bila masa Qis suka dia? Tolonglah……..”
            
        “Mana tahu bila sudah berjauhan macam ni baru Qis rasa rindu dan cinta pada dia.  Mulalah adik akak nan seorang ni makan tak jatuh ke perut, mandi pula tak basah, tidur kurang lena………..” Kak Ina menyindir.
           
          Uwekk! Aku rasa nak muntah dengan ayat itu.  Makan memang sah jatuh ke perut akak oi, kalau tak jatuh ke perut takkan nak jatuh kat dalam perigi buruk belakang rumah tu.  “Kak Ina jangan merapu boleh!”
            
        “Betul Qis tak ingat langsung pada dia?” Kak Ina cuba menduga perasaan aku.
        
       “Tak!” Balasku dengan yakin.
      
         “Dia kata, anak dia asyik meragam saja lepas Qis berhenti kerja.”
  
          Danish asyik meragam? Ya Allah kesiannya pada Danish! Tentu dia tidak dapat terima pengasuh baru di taska tu.  Hati aku dipagut sayu teringatkan Danish.
            
        “Qis kenapa diam?” Tanya Kak Ina yang menyedari tiada bicara yang aku tuntaskan.
           
         Aku mengeluh perlahan.  “Habis Qis nak buat apa kak? Qis tak jadi pengasuh Danish lagi. Qis kan dah berhenti kerja kat taska tu.”
           
        “Qis jumpa Danish.”
            
         “Kak Ina, berjumpa Danish bermakna Qis kena jumpa bapak dia.  Qis tak nak!” Aku sedikit membentak.
           
        “Qis tak kasihan ke pada Danish?” Soalnya lembut.  Ada simpati yang dipancingnya untuk aku.
            
         “Kasihan tu kasihanlah…..tapi Qis tak boleh buat apa. Qis hanya mampu berdoa semoga dia baik-baik saja walau siapa pun yang jadi cikgu dia di taska tu,” mendatar aku bertutur. 
            
        “Encik Luqman tu nak bawa Danish jumpa Qis kat kampung.”
           
         Mata aku terbuntang.  Bergegar daerah hati aku dibom dengan kata-kata itu.  Kata-kata yang aku harap tidak akan terjadi.
            
         “Kak Ina bagitahu alamat kampung kita?” Soal aku dengan terperanjat.  Aku sudah tidak senang duduk.  Telinga pun sudah rasa panas kerana telefon telah lama melekap di situ.

 Kak Ina ni tak sayang kredit apa borak lama-lama dengan aku? Kalau aku baik SMS saja jimat sikit.  Alah inikan pelan family Qistina, semestinya murah.  Lima belas sen saja seminit.

“Yelah. Dah dia minta,” bohong Kak Ina.  Hakikatnya dia belum pun memberitahu Luqman.  Dia cuma ingin menguji adiknya itu.

“Kak Ina kenapa akak bagi? Kan Qis dah pesan,” marah aku pada Kak Ina.

Kak Ina ni kenapalah semudah itu memberi alamat kampung pada si mr widower tu.  Aku dah banyak kali pesan jangan beritahu sekiranya si duda itu datang bertanya.  Aku memang dah agak dia akan cari aku.  Dasar lelaki hidung belang.  Tak reti putus asa.

Erk! Hidung belang bukankah untuk lelaki playboy? Playboy ke mr widower tu? Lantaklah apa pun……

“Akak ni pantang dirayu. Mudah kasihan pada orang. Kalau dia datang nanti layan tetamu elok-elok tau. Dia tu CEO Luqman Holdings,” sengaja Kak Ina tekankan perkataan CEO itu supaya memandang Luqman sebagai lelaki yang hebat.

“Huh! CEO ke bapak CEO ke…..Qis tak heran. Kalau dia berani sangat datanglah. Tengok apa Qis akan buat.”

“Qistina Airisa tak baik macam tu. Tetamu kena layan elok-elok. Hal lain tu belakang kira. Jangan sampai nanti umi marah dengan perangai Qis,” pesan Kak Ina.

Yes madam. Ok bye!” Aku terus menekan punat letak.  Telinga aku dahlah panas, hati lagilah panas.  Sebelum meletup baik aku releks dulu.  Aku tak nak bertekak dengan Kak Ina dalam telefon. 

Sudahlah telefon buruk lagi tak canggih ni tak boleh buat loudspeaker.  Naik lenguh aku pegang.  Eh jap! Kalau buat loudspeaker akan membuatkan umi dengar pasal bapak Danish tu.  Aku tak nak umi tahu.  Nasib baik kau tak boleh buat loudspeaker kan sayang.  Kucium juga telefon buruk yang tak punya nyawa itu. 

Mungkin Kak Ina membebel di hujung sana dengan tindakan aku yang cepat-cepat menamatkan talian.  Alah dia bukan tak faham dengan adik dia ni.  Mudah angin satu badan.  Bukan mudah nak terima nasihat orang.  Remajalah katakan.  Mudah memberontak.  Suka ikut kepala sendiri.

Aku mengetap bibir.  Aku geram sendiri.  Kenapalah mr widower  tu harus ganggu hidup aku? Tak bolehkah dia biarkan aku tenang di sini? Argh!!!


Apr 9, 2014

Bab 18 OOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA

Sudah dua minggu aku membantu umi berniaga di warung.  Kadang-kadang terbit juga rasa rindu pada Taska Mithali.  Rindu pada Kak Azmah, Kak Isma, Mia, Eisya dan Danish.  Rindu pada semuanya.

 Lumrah bila tiada di mata kita akan rindu.  Namun aku tiadalah sampai kena demam rindu.  Sesekali biasalah dihambat rasa dan kenangan itu.  Aku tidak sakit pun kerana itu.  Tiada salahnya merindu kenangan yang pernah tercipta dalam hidup kita.

Hah! Luqman Hakimi? Sorry! Aku langsung tidak terlintaskan dia.  Aku tenang di sini daripada terus dikacaunya.

Umi melihat aku menerawang entah ke mana.  Dia yang sedang membungkus nasi mengarahkan aku untuk membuat air. “Qis, buat air untuk Pak Ali dengan Pak Mat.”

Aku tersedar dari khayalan.  Aku memandang umi seketika. “Baik umi.” Dengan patuh aku menuju ke ruang dapur warung umi.

Pak Ali dengan Pak Mat tu pelanggan tetap warung umi.  Aku pun tahu air kegemaran dia orang.  Air yang paling senang sekali untuk dibuat.  Air teh o.

“Nah airnya Pak Mat….Pak Ali,” kata aku sambil meletakkan dua cawan berisi air panas itu di atas meja di depan mereka.

“Terima kasih,” balas Pak Mat dengan senyuman.  Walaupun muka Pak Mat sudah berkedut aku nampak senyuman yang terpamer di balik giginya yang sudah jarang.  Pak Mat ni rasa-rasa aku……macam Tok Dalang dalam animasi Upin dan Ipin.

“Qistina bila nak pergi belajar?” Soal Pak Ali pula.  Pak Ali ni kira member kamceng Pak Mat.  Tak sah kalau dia orang tidak semeja berdua.

“Lambat lagi Pak Ali. Lima belas haribulan Disember baru daftar.”

“Habis tu kenapa berhenti awal sangat kerja kerja kat Kuala Lumpur tu?”

“Saja je Qis nak balik teman umi. Nanti bila pergi belajar lagilah tak dapat bersama umi.”

Biarpun itu bukan sebab utama mana mungkin aku membuka mulut tentang Luqman Hakimi.  Kepada umi pun aku tidak bercerita apatah lagi ingin diberitahu kepada orang luar.  Biarlah nama Luqman Hakimi itu hanya dikenali aku sahaja.

“Baguslah macam tu Qis. Kesian juga umi kamu sorang-sorang bila kamu tak ada. Kalau dah pergi belajar tu lainlah.”

Aku menganggukkan kepala pada kata-kata yang dituntaskan oleh Pak Mat.  Apa yang dikatanya betul.  Umi bukannya ada anak ramai.  Hanya ada aku dan Kak Ina sahaja.  Bila Kak Ina sudah berkeluarga akulah yang menjadi penghipur lara buat umi selama ini.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

            Luqman Hakimi mundar-mandir di dalam kamar pejabatnya.  Dia resah.  Dia gagal menumpukan perhatian pada kerjanya.  Semenjak dia tidak dapat menemui Qistina di taska jiwanya terasa kosong.
          
           Danish pula hari-hari mengamuk dan meragam sehingga dia seringkali lewat masuk ke pejabat.  Kadang-kadang dia meninggalkan Danish dengan pembantu rumah sahaja kerana Danish liat untuk ke taska sejak Qistina berhenti kerja.
            
           Anaknya itu sebati benar dengan Qistina agaknya.  Pernah dia meracau di tengah malam memanggil nama Qistina.  Dia dapat merasakan yang anaknya menanggung kerinduan yang sarat pada Qistina seperti mana dia kosong tanpa Qistina.
           
           Hebat penangan Qistina sehingga membuatkan dia dan Danish tidak betah tanpa dirinya.  Entah apa yang istimewanya gadis itu sehingga mendapat tempat paling istimewa dalam hati dia dan Danish.

 Hatinya yang telah lama kosong tidak berpenghuni berjaya diketuk Qistina.  Jiwanya yang telah lama pudar tanpa cinta telah cerah dengan warna yang bergemerlapan.  Hati yang gersang telah dicurah hujan oleh Qistina.  Hujan cinta dan rindu.  Malap hatinya yang dulu jadi terang-benderang kerana gadis itu.

Tapi kenapa mesti Qistina? Gadis belasan tahun yang tidak matang.  Kenapa hatinya boleh dibuka gadis itu sedangkan gadis itu tidak menyukai dirinya? Mengapa tidak dihadirkan wanita matang yang bila-bila masa sudah bersedia menjadi isteri dan seorang ibu?

Mengapa dia mesti kusut kerana gadis itu?  Gadis yang baru tamat alam persekolahannya. Kalau orang lain tahu mesti dia disangka gila.  Umpama orang yang baru belajar bercinta agaknya.  Enteng saja untuk orang mentertawakan perasaannya itu.

Luqman mencengkam rambutnya.  Dia amat tertekan.

Serta-merta datang idea untuk mengorek perihal Qistina dari Kak Azmah.  Dia tidak mahu berkira-kira lagi.  Dia mesti mengusul tentang alamat Qistina.  Dia wajib tahu di mana Qistina tinggal.  Dia tidak mahu membuang masa lagi.

“Saleha…..saya hendak keluar. Jika ada orang mencari saya katakan saya ada urusan di luar,” ujar Luqman kepada setiausahanya.

Saleha kaget.  “Tapi…….sekejap lagi kan Encik ada appointment dengan client.”

“Awak suruh Kamal uruskan dulu. Appointment saya tu awak tetapkan semula.”

Sudah namanya pekerja Saleha akur sahaja. Kalau dia tu Datin Rohani mahu saja dia bantah. Susah-susah dia atur temujanji senang pula majikannya suruh cancel.  Entah apa yang bosnya itu urgent kan sangat.  “Baik Encik Luqman.”

Luqman mengatur langkah keluar dari pejabat Luqman Holdings.  Dia hendak ke Taska Mithali menemui Kak Azmah.



Setengah jam kemudian dia tiba ke taska.

“Kenapa Encik Luqman datang jumpa akak? Kan pagi tadi Encik Luqman sudah maklumkan yang Encik Luqman tidak menghantar Danish hari ini,” tanya Kak Azmah sebaik Luqman datang menemuinya.  Dia kelihatan terperanjat dengan kedatangan Luqman Hakimi yang tidak semena.

“Saya nak alamat Qistina Airisa,” dengan laju Luqman memberitahu niat sebenarnya.

Kak Azmah terkesima.  Dia mengelipkan mata beberapa kali.  Kak Azmah ni memang tabiat suka mengelipkan mata.  Jangan sampai Luqman kata itu tanda hendak mengoratnya sudah. 

“Kak Azmah saya nak alamat Qistina,” ulang Luqman dengan nada yang lebih tinggi.  Pekak ke apa dia ni?  Dahlah kelip-kelip mata pada aku.

“Kenapa Encik Luqman nak alamat dia?” Soal Kak Azmah takut-takut.  Ketegasan lelaki itu mengecutkan hati tikusnya.

“Saya hendak jumpa dia.” 

Berkerut dahi Kak Azmah.  Wajah tampan di depannya itu nampak serius benar. “Untuk apa?”  Kak Azmah ni buat-buat tanya pula.  Waima dia tahu mengenai Luqman dan Qistina sebelum ini.  Takkanlah hari ini mindanya separa sedar.

“Saya perlu jumpa dia. Saya mempunyai urusan dengan dia. Cepatlah bagi Kak Azmah,” desak Luqman.  Resah hatinya memikirkan si bunga hati yang telah pergi membawa diri.

Projek memikatnya tak menjadi aku juga yang perlu menghulurkan kerjasama. Nasiblah kau Luqman nakkan budak Qis tu.  “Sekejap ya Encik Luqman.  Akak pergi cari,” kata Kak Azmah sambil berlalu.  Dia menuju ke meja utama pentadbiran.  Fail pekerja dikuaknya.  Dia tercari-cari resume milik Qistina.

Ada pun resume pengarang jantung kau Luqman.  Maaf ya Qis akak bocorkan alamat adik.  Semoga cinta kamu berdua bersatu hendakNya.  Kak Azmah mencapai kertas kecil dan menyalin alamat Qistina seperti yang tertera di dalam resume milik gadis itu.

Dengan sepantas kilat dia menyerahkan note kecil itu kepada Luqman Hakimi.  Dia tidak mahu lelaki kaya itu menunggu lama.

Luqman menyambut kertas kecil itu dan membacanya sekilas.  Kak Azmah hanya memandangnya tanpa riak.  Mahu ditayang sengih takut ada sisa lada yang terlekat di gigi.  Mana taknya tadi dia menikmati sambal udang.

“Terima kasih Kak Azmah. Saya balik dulu,” Luqman meminta diri.  Tidak sampai satu minit dia sudah berada di perut kereta.

Dia memandu membelah jalan raya menuju ke alamat yang tertera di note kecil itu.  Harapannya hanya satu dapat menemui Qistina di rumah itu.

Akhirnya dia sampai di depan sebuah rumah teres dua tingkat.  Rumah bercat merah muda itu adalah kelihatan sederhana besar sahaja.  Bukan kategori rumah mewah.

Luqman membaca sekali lagi alamat di kertas kecil itu dan ternyata dia tidak silap.  Itulah rumah yang dia cari.

Dia keluar dari keretanya dan melilau di luar pagar.  Nampaknya rumah itu tidak berpenghuni.  Dia menelek jam tangan Rolex yang dipakainya.  Jarum pendek menunjukkan pukul dua belas tengahari.

Tiada satu pun kereta di garaj, pintu dan pagar rumah berkunci.  Itu menandakan pemilik rumah memang tiada.

“Kerjalah agaknya masa ni,” gerutu Luqman Hakimi sendirian.

Habis Qistina? Dia kan dah berhenti kerja. Atau mungkin dia kini berada di universiti? Luqman bertanya kepada dirinya sendiri.

Ai universiti mana pula yang ambil pelajar bulan ni? Setahu akulah IPT membuat pengambilan pelajar pada bulan Jun dan Disember, telahnya sendiri.

Luqman menggaru-garu kepalanya.  Bukan gatal kepala tapi tindakan refleks bila dalam kebuntuan barangkali.  “Lebih baik aku balik dulu. Petang esok datang lagi.”

Dia kembali duduk ke sit pemandu.  Note kecil itu disisipkan seeloknya di dalam walletnya.  Dia tidak mahu note kecil itu hilang seperti mana Qistina hilang dari hidupnya dan Danish.

Seketika kemudian BMW hitam itu menderum pergi dari perkarangan rumah Norina.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

“Danish, makanlah. Kalau Danish tak mahu makan nanti saya susah,” pujuk Sari pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Villa milik Datin Rohani.

“Tak mau!” Danish membentak.  Nasi putih bersama lauk ayam kegemarannya langsung tidak dipandang.

“Jangan macam tu Danish sayang. Nanti bapak marah sama bibik.”

Danish mencerlung matanya kepada pekerja Indonesia itu.  Dengan perasaan geram dia menolak pinggan nasi itu sehingga nasi jatuh bertaburan di atas lantai.

“Astagfirullah, astagfirullahalazim…” Sari mengurut-ngurut dadanya akan tingkah tuan kecil itu.  Dia membongkokkan badan untuk mengutip pinggan dan nasi yang sudah bertaburan.


Danish merengus kasar dan berlari ke ruang tamu.