Mar 7, 2014

Bab 6 Biasan Cinta Semalam



Lima Kenanga mula riuh selepas Cikgu Rohana keluar.  Masing-masing sibuk berlumba keluar dari kelas memandangkan waktu rehat sudah bermula.  Melia dengan Nazira tidak terkecuali memandangkan perut mereka sudah galak berbunyi.  Melia yang hanya minum segelas Milo sahaja pagi tadi sebelum berkejar ke sekolah mula terasa pedih perut.

“Melia……lepas makan nanti kau naik pejabat jumpa Cikgu Baihaki,” kata Naemah penolong kelas 5 Kenanga.

Apa hal pulaklah cikgu Bahasa Melayu ni panggil aku waktu rehat?  Tercekik-cekiklah aku makan nak kejar masa nanti.  “Kenapa dia nak jumpa aku Naemah?”

“Manalah aku tahu,” jawab Naemah sambil menjongket bahu. “Tadi masa aku naik pejabat hantar latihan amali Kimia, dia panggil aku. Dia cakap suruh panggil kau.”

“Esok pagi-pagi lagi ada masa dia, nape plak nak panggil aku time ni?”

“Eh kau ni dah dia panggil pergi ajelah….tak perlu banyak songeh,” bebel Naemah.

“Aku lapar ni…….perut pun sakit. Kang lorat makan tercekik aku.”

“Ikut engkaulah Mel. Aku dah sampaikan amanah dia. Sekarang aku nak pergi kantin dulu,” balas Naemah.  Kakinya sudah dihayun untuk keluar dari kelas.
“Mel, ntah-ntah Cikgu Baihaki panggil kau sebab dia nak mengorat kau tak?” usik Nazira.

Ada pulak yang kena pelangkung ni.  Perut aku dah terjerit-jerit minta diisi boleh pulak minah ni buat lawak antarabangsa.  Lengan Nazira dicubit Melia sekuatnya.

“Adoii! Kau ni aku usik sikit pun tak boleh,” kata Nazira yang mengaduh kesakitan.  Lengannya yang memerah digosok.

“Ha…..lain kali cakaplah macam tu lagi. Perut aku dah lapar bebenor ni. Tak pasal-pasal kau yang aku telan nanti,” marah Melia pada sahabat baiknya. 

“Apa badan kau tu besar sangat ke nak telan aku? Kalau spesis gergasi kecut jugak perut aku ni,” Nazira menyindir.

“Lantak kaulah Zira. Aku nak pergi makan dulu. Layan engkau tak makan aku. Nak jumpa anak teruna tua tu lagi,” leter Melia sambil berlalu pergi.  Langkahnya dihala ke kantin.

Nazira membuntuti langkah Melia ke kantin sekolah.  Usai membeli makanan mereka mengambil tempat di kerusi yang masih kosong.  Melia makan dengan laju kerana bimbang Cikgu Baihaki lama menunggunya di pejabat.

Selepas makan Nazira kembali ke kelas dan Melia menaiki tangga untuk ke pejabat guru.  Sesampainya di meja Cikgu Baihaki, lelaki yang berumur tiga puluh lima tahun itu sudah sedia menanti.

“Assalamualaikum Cikgu,” Melia memberi salam tanda hormat kepada guru yang mengajar subjek Bahasa Melayu di kelasnya itu.

“Waalaikumussalam. Duduklah Nur Amelia,” Cikgu Baihaki menjawab salam Melia dan mengarahkan pelajar itu supaya duduk.
“Kenapa ya cikgu panggil saya?” Tanya Melia sebaik melabuhkan punggung ke kerusi berhadapan meja Cikgu Baihaki.

“Tidak lama lagi bulan bahasa, jadi sekolah akan mengadakan pertandingan bahas peringkat kelas.  Awak sememangnya cukup dikenali sebagai pemidato terbaik sebelum ni. Jadi saya nak awak aturkan pertandingan ini dengan memilih calon yang layak berbahas.”

“Maksud cikgu saya yang jadi ketuanya?”

“Yalah. Saya mahu awak hantar wakil daripada setiap kelas bagi tingkatan lima. Untuk tingkatan satu hingga empat mereka perlu mewakili kategori lain seperti sajak, pantun dan syair.”

“Wajib ke cikgu bagi penyertaan setiap kelas ni?”

“Mestilah wajib. Selain mendapat sijil pihak sekolah akan memberi hadiah kepada pemenang bagi setiap kategori.”

“Bilakah saya perlu menghantar nama peserta pertandingan bahas ni pada cikgu?”

“Secepat mungkin. Selewat-lewatnya akhir minggu depan. Selepas itu saya nak setiap peserta berlatih sebelum tibanya bulan bahasa tu.”

“Baik cikgu. Saya akan cuba mencari pelajar yang hendak masuk bertanding.”

“Untuk kelas kita, awak tetap perlu berbahas ya.”

“Ingatkan saya jadi pengurus program saja cikgu.”

“Mana boleh. Awak kan harapan saya. Kalau awak tak masuk, kalah kelas awak nanti,” ujar Cikgu Baihaki dengan senyuman melirik.  Sesungguhnya dia amat kagum dengan bakat yang dimiliki oleh pelajar comel itu.

Kalau sudah cop aku ni pemenang baik tak payah bertanding cikgu oi. Dahlah suruh aku arrange, pesertanya pun still aku. Tahulah yang aku ni terror berbahas.

“Tajuk perbahasannya apa cikgu?” Tanya Melia tergesa-gesa kerana tidak mahu berlama di depan guru lelaki yang masih solo itu.  Gemuruh pula dadanya mengingatkan usikan Nazira.

“Kebaikan dan keburukan media sosial kepada para pelajar,” laju sahaja Cikgu Baihaki menyatakannya.

“Oklah cikgu, kalau macam tu saya pergi dahulu. Sekarang ni subjek Pendidikan Islam. Takut-takut ustaz masuk kelas pula.”

Emm……baiklah,” kata Cikgu Baihaki sambil menganggukkan kepalanya.

Melia berpaling dan mengatur langkah menuju ke tangga. Kakinya dihayun menuruni satu persatu anak tangga untuk ke kelas 5 Kenanga.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Melia berbincang mengenai perbahasan itu dengan rakan-rakan study groupnya sebelum memulakan ulangkaji seperti biasa.

“Azman, Azrul kau wakil 5 Teratai ya untuk perbahasan ni? Nanti cari sorang lagi peserta. Setiap kelas perlu ada tiga peserta,” Melia mengemukakan cadangan kepada Azman dan Azrul.

Mereka berdua berpandangan sesama sendiri dengan kerutan di dahi.  Selepas itu Azrul bersuara, “Mel……..saya tak pandai berbahaslah.”

“Aku pun,” sampuk Azman.

“Alah kan boleh berlatih. Nanti aku ajar.”

“Kelas kau siapa yang wakil?” Tanya Azman.

“Aku, Nazira dan Naemah.”

“Kalau engkau yang berbahas, confirm kami ni kalah.”

Relekslah Azman. Kita cuma nak ceriakan bulan bahasa. Kalah menang tu adat bertanding. Kalaupun kalah kamu semua tetap dapat sijil penyertaan tau tak.”

“Kelas mana yang akan mewakili pihak pencadang?” Soal Azrul.

“Kelas 5 Kenanga akan jadi pencadang, kelas-kelas lain sebagai pembangkangnya. Ini bermakna aku bahaskan tentang kebaikan media sosial, korang kena carilah keburukannya pula. Kemudian tulislah isi-isi hujahan.”

“Malasnya hendak mengarang,” Azman beralasan.

Wei Man, apa pulak malas. Dengan mengarang teks perbahasan tu kau dapat asah minda untuk subjek BM tau tak,” tempelak Nazira.

Yelah mak cik,” ejek Azman.

“Kalau aku mak cik kau tu pak cik,” kata Nazira sambil menjuihkan bibirnya kepada Azman.

“Mek Zira dengan Pok Man ni nak bergaduhlah pulak. Kang aku suruh kahwin baru tahu,” leter Kamal.  Lucu pulak gelaran yang diberi oleh budak Kamal ni.

Uih! Sape nak kahwin dengan mamat hitam ni? Tolonglah!” Nazira mencuka.

“Habis tu aku teringin ke dengan minah kelabu macam kau ni?” Bentak Azman.  Terasa agaknya dikata hitam oleh Nazira.

Wei Zira, hitam-hitam si tampuk manggis walaupun hitam Azman ni manis,” Bob mencelah.

Uwekk! Manis kau kata? Manis lagi mat negro!” Balas Nazira dengan membuat gaya hendak muntah.  Mukanya cemberut seolah-olah sedang menahan rasa loya yang menerpa.

“Kalau mat negro tu manis, sah-sah mata kau tu rabun!” Bentak Azman.

“Ya Allah. Nak jadi anjing dengan kucing ke korang berdua ni? Kan kita nak study,” nasihat Linda pula.  Kepalanya digeleng-gelengkan beberapa kali.

“Sudahlah…..jom buka soalan matematik moden,” ajak Melia demi merungkaikan pasangan tidak sebulu itu. Tangannya mula membelek beberapa helai kertas yang terkandung soalan matematik.

Tujuh sekawan itu akur untuk menelaah pelajaran.  Topik tentang perbahasan itu ditangguhkan dahulu untuk sementara waktu.  Namun sempat juga Nazira menghadiahkan jelingan maut pada Azman.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Bulan Bahasa di SMK Tanjung Mas berlangsung dengan meriah.  Pelbagai ragam peserta yang mengambil bahagian dapat dilihat.  Melia paling gemar melihat pelajar tingkatan tiga bersyair.  Pelbagai bunyi lenggok yang dialun membuatkan dia berasa geli hati.  Perserta tingkatan satu juga menyerlah dalam memperdengarkan pantun mereka. 

Peserta tingkatan dua pula begitu bersemangat mendeklamasikan sajak.  Manakala tingkatan empat hebat dalam pertandingan bercerita.  Itulah menariknya bulan bahasa.  Bak kata pepatah yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu adalah bahasa.

Pertandingan perbahasan yang disertai Melia untuk kelas 5 Kenanga menjadi juara.  Kehebatan Melia berhujah memang tidak dapat ditandingi orang lain.  Walaupun dia di pihak pencadang, namun gaya persembahannya sentiasa menawan hati juri.

“Tahniah Mel. Awak memang pandai berbahas,” puji Azrul kepada Melia sebaik gadis itu dinobatkan sebagai pembahas terbaik.

Melia membalas dengan senyuman.  “Terima kasih Azrul.”

“Walaupun saya salah seorang peserta tapi saya suka tengok persembahan awak.”

“Tak payahlah puji lebih-lebih Azrul,” tolak Melia malu-malu.

“Saya ikhlas. Awak memang berbakat. Rugi saya tak berpeluang sebelum ni melihat awak bersyarah, bersajak dan berpidato.”

Melia mengerutkan keningnya. “Mana awak tahu saya pernah masuk pertandingan tu?” Pelik juga Melia apabila Azrul mengetahui yang dia pernah menyertai semua pertandingan itu.

 “Ahli group kitalah. Kata mereka sejak form one lagi awak aktif dengan aktiviti dalam bidang sastera ni. Sampai saya naik hairan. Yalah awakkan pelajar aliran sains,” jawab Azrul jujur.  Tidak disangka gadis pintar aliran sains itu begitu berbakat.

“Tak kiralah aliran sains atau sastera Azrul, janji kita ada minat. Bila ada minat semua benda jadi,” tutur Melia dengan ceria.  Benar jika kita mempunyai minat terhadap sesuatu perkara pasti kita boleh laksanakannya.

Em….betul juga.  Saya ni pula tak minat semua tu. Saya lebih suka meneroka bidang sains.”
           
“Kalau macam tu awak boleh jadi angkasawan negara ganti Dato’ Syed Muzzafar Syah,” Melia berseloroh.  Senyuman nipis terhias di bibirnya.
           
“Ke situ pulak awak ni.  Apa kata awak jadi pengganti Usman Awang, sasterawan negara tu,” usik Azrul pula dengan ketawa kecil.
           
“Pengganti tu taklah Azrul. Jadi pelapis tu bolehlah…..tapi sebenarnya saya bukan minat sangat menulis atau mengarang. Saya ni minat bercakap dan berhujah.”

“Saya rasa awak sesuai jadi lawyerMel,” Azrul cuba melontarkan cadangan bernasnya mengenai kerjaya yang sesuai diceburi Melia.  Ting! Dia memetik jari tanda ideanya boleh dipakai.

 Melia menggelembungkan sebelah pipinya dengan kening dinaikkan sedikit. “Best ke?”

“Seronok apa! Hari-hari boleh date dengan tuan hakim.”  Sempat Azrul sepetlah kedua-dua belah matanya dengan sengihan lawak.

“Uih! Pandailah awak.” Bahu Azrul ditolak perlahan.  Dalam hatinya bertutur kalau kau yang jadi tuan hakim sepuluh persepuluh aku setuju.

“Dahlah borak…..jom kita pergi jumpa Cikgu Baihaki untuk dapatkan sijil penyertaan,” ajak Melia seraya menamatkan perbualan kosong di antara mereka.

Azrul mengangguk dan mengikut sahaja langkah Melia.

1 comment:

  1. Hurmmm...dari situ rupanya pencetus kerjaya cik Melia kita ni ye....hehehe

    ReplyDelete