Mar 6, 2014

Bab 5 Biasan Cinta Semalam



Selepas makan malam Melia masuk ke bilik.  Anita teman serumahnya pula begitu sibuk mengemas barang-barangnya.  Anita akan keluar dari rumah sewanya lusa memandangkan majlis perkahwinannya tinggal beberapa hari saja lagi.  Dia telah memaklumkan pada Anita yang Nazira akan pindah masuk ke rumah itu sebaik saja dia keluar.

Mindanya terlintaskan Azrul.  Dia tidak mengerti mengapa lelaki itu bersungguh benar meminta maaf darinya.  Dua belas tahun berlalu membuatkan dia bagai tidak mengenali lelaki itu lagi.  Namun…….mampukah dia menghapuskan kenangan yang pernah tercipta antara mereka?

Mungkin bibirnya boleh berkata yang dia sudah melupakan lelaki berkulit cerah itu, tetapi dia tidak dapat menyangkal yang mereka pernah ada sejarah. Ya, sejarah yang dilipat kemas dalam memori hatinya.  Dia yakin Azrul juga belum melupuskannya.   Kalau tidak masakan lelaki idaman semalaya itu  berusaha menjejakinya.

Pintu kenangan silam mula terbuka.  Terlayarlah di ruang mata Melia ketika dia dan Azrul masih dibangku sekolah.



“Mel, petang ni kau jangan lupa kita ada group discussion macam biasa.”

Wokey! Tak lupa punya,” kata Melia kepada Nazira sambil menyandang beg sekolahnya.

Walaupun sesi persekolahan tingkatan 5 mereka baru bermula 2 bulan lepas tetapi Melia dan kawan-kawannya sudah menubuhkan kumpulan perbincangan selepas waktu sekolah.  Dari tingkatan 4 lagi mereka suka berkumpul untuk berbincang tentang pelajaran.  Jadi sementara peperiksaan besar menjelang mereka lagi kuat belajar.  

“Azman cakap ada orang baru nak menyertai group kita,” beritahu Nazira pada Melia.       

“Siapa?” Tanya Melia seakan berminat untuk tahu.   

“Kawan sekelas dialah.  Baru je kelmarin masuk sekolah ni,” terang Nazira.  

“Ya ke? Tak tahu pula aku Azman dapat kawan baru.” 

 “Petang nanti kita boleh tengok sendiri.  Kenapa kau macam excited je Mel aku tengok,” usik Nazira.

“Kau jangan merepek.  Salah ke aku tanya?” Geramnya  minah ni ada pula aku tanya dikatanya teruja.  Hesy! Tolonglah. 

“Tak salah, mana ada salah.  Heheh,” Nazira ketawa geli hati.

Oitt kau ni sengih macam kerang busuk.  Cepat sikit jalan tu nanti tak pasal-pasal kau jalan sorang,” bebel Melia mempercepatkan langkahnya.  Apa yang dilucukan dia tak tahulah…..

Huh! Takkan sentap kut……” Nazira melajukan langkah untuk seiring dengan Melia menuju ke wakaf tempat menunggu bas sekolah.                  

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Seperti dijanjikan pukul 3.30 petang mereka bertemu di perpustakaan sekolah. Begitulah rutin enam sekawan itu jika tiada kelas tambahan selepas sesi persekolahan.  Melia, Nazira, Linda, Kamal dan Bob sudah pun bersedia dengan buku masing-masing.  Mereka menunggu kedatangan Azman dan ahli baru baru yang akan menyertai kumpulan mereka.

Selepas ini mereka akan menjadi tujuh sekawan. Melia dan rakan-rakannya itu dari kelas 5 Kenanga, hanya Azman sahaja dari 5 Teratai.  Walaupun berlainan kelas Azman tetap selesa belajar bersama kumpulan mereka.  Ini kerana Azman ‘kamceng’ dengan Kamal dan Bob.

“Kawan-kawan semua mari saya kenalkan kawan baru kita, Mohd Azrul Khusyairi Bin Mustaffa. Mulai hari ini dia akan menyertai kita untuk group discussion ni,” Azman memperkenalkan Azrul kepada kawan-kawannya.

Azrul menghulurkan tangan bersalam dengan Bob dan Kamal.

“Yang ni Nur Amelia Natasya, Siti Nazira dan Maslinda,” Azman memperkenalkan kawan-kawan perempuannya pula.

Mereka semua berbalas pandang dan memberikan senyuman.   

“Ya Allah handsome nya mamat ni,” hati kecil Melia berbicara.

“Saya Mohd Azrul Khusyairi, panggil saja Azrul,” suara pelajar baru itu menyentak khayalan Melia.  Suaranya pun lemak merdu.  Padan dengan tuannya.

“Saya Nur Amelia Natasya.  Panggil Mel je,” jawab Melia tersipu-sipu.

Selesai sesi perkenalan mereka bertujuh mula mengulangkaji pelajaran.  Kali ini mereka fokus kepada subjek Matematik Tambahan.  Subjek yang sukar itu dikuasai Melia kerana antara mereka hanya Melia yang pernah mendapat A.  Melia pula begitu bersemangat dengan kehadiran Azrul.  Dia seolah-olah menjadi guru pada matapelajaran itu pula.

“Awak tinggal kat mana Mel, Zira?” Tanya Azrul kepada sepasang sahabat yang baru dikenalinya selepas sesi pembelajaran berkumpulan itu selesai.

“Kami tinggal di Kampung Jambu.Tak jauh mana pun dari sekolah ni,” jawab Melia.

“Habis balik dengan apa?” Soal Azrul lagi.

“Balik dengan basikal,” jawab Melia ramah.“Awak pula pindah ke sini duduk kat mana?”

“Saya tinggal kat kuarters kerajaan. Atas sikit dari sekolah ni. Sekejap lagi papa datang  ambil,” ujar Azrul si budak baru itu.

“Untunglah awak…..papa hantar dan ambil dari sekolah,” celah Nazira pula.

 “Dia kan orang baru sini Zira, mestilah kena berhantar berambil.  Nanti kalau dah biasa tak apalah. Kan Azrul?” Belum apa-apa Melia sudah backing Azrul.  Takkanlah jatuh cinta pandang pertama kut…….

“Betul tu.  Nanti esok jumpa lagi ya, papa saya dah sampai tu.  Bye,” kata Azrul sambil berlalu apabila kereta papanya sudah ada di depan pintu pagar sekolah.

Melia dan Nazira menuju ke  tempat basikal mereka.  Sebelum pulang mereka berhasrat untuk singgah di gerai Kak Dah untuk minum air batu campur.  Melia memang gemar akan ABC di gerai itu.  Nanti kelapangan dia berniat untuk mengajak Azrul menikmati ABC sedap di kampungnya itu.
                                   

Hari-hari persekolahan yang dilalui Azrul di tempat baru amat menyenangkan hatinya. Dia bersyukur dipertemukan dengan enam sekawan itu yang begitu mengambil berat tentang dia selaku pelajar baru. Dia terhibur dengan Melia dan Nazira yang bagai mulut Murai.  Begitu juga Kamal dan Bob yang memang kaki kepoh.

Walaupun Azrul menetap di bandar sebelum ini tetapi dia selesa berada di kampung Melia.  Dia faham tugas papanya sebagai pegawai daerah yang tidak kekal di satu daerah sahaja.  Sebelum ini pun sudah dua kali dia bertukar sekolah.

Melia pula gembira dapat berkawan dengan Azrul. Bahkan lagi dapat belajar secara berkumpulan dengannya. Dalam waktu yang singkat mereka sudah mesra. Melia tidak kedekut ilmu mengajar matapelajaran yang boleh dikuasainya.  Hubungan mereka adakalanya salah ditafsirkan oleh pelajar lain yang menganggap mereka mempunyai hubungan istimewa.  Maklumlah sebelum ini Melia jarang dilihat berjalan dengan lelaki melainkan berdua dengan Nazira sahaja. 

Semenjak kedatangan Azrul sifat kegadisan Melia terserlah.  Sebelum ini Melia agak kasar dengan mana-mana lelaki.  Melia mempunyai rupa yang dikategori cantik, alis matanya lebat menarik perhatian orang yang memandangnya.  Dia seringkali menjadi perhatian abang senior dari tingkatan 6 namun dia tidak pernah sangkut.

“Mel, betullah awak cakap ABC kat sini sedap,” kata Azrul pada Melia sewaktu mereka menikmati minuman berais itu  di gerai Kak Dah.

“Kan aku dah cakap dulu.  ABC tempat lain tak sama dengan yang kat sini.  Kau nak tambah Azrul?”

“Boleh jugak.  Rasa tak cukup pula satu mangkuk.”

“Oo makan ABC tak ajak kita orang,” suara Kamal menerjah tiba-tiba. Datang tidak diundang mengejutkan orang pula.  Sengajalah nak kacau daun.  Mat kepohlah katakan.

“Duduklah Kamal, Bob.  Jom minum biar aku belanja hari ini,” ajak Azrul.
“Nanti ganggu korang berdua pula.  Tak elok kacau orang dating ni,” usik Bob dengan sengihan penuh makna.

Uhuk!” Tersembur cendol di mulut Azrul mendengar usikan Bob.  Terbatuk-batuk dia dibuatnya.

“Kau cakap apa ni Bob? Kesian Azrul, tercekik nanti sape nak jawab kat papa dia. 
Tak mainlah dating-dating ni beb.  Kita kawan macam aku kawan dengan korang,” bidas Melia yang turut tidak senang dengan gurauan nakal itu.

“Ala….. sorry Azrul,” Bob meminta maaf kerana menyebabkan Azrul tersedak.

Sorry-sorry naik lori.  Next time korang tak payah gurau isu sensitif ni.  Serius aku tak
suka! Lagipun tadi asalnya kami berempat tapi Azman dengan Zira ada hal jadi dia orang balik dulu.”     

Melia tersentak juga tatkala Azrul mengatakan itu adalah isu sensitif.  Dia mula
memikirkan yang Azrul jenis anti couple.  Takut dia memikirkan andai Azrul menolak untuk terus berkawan dengannya jika dihatinya nanti tumbuh cinta buat lelaki itu.
           
Duhai hati……duhai jiwa……janganlah datang perasaan itu. 

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Pagi minggu yang ditemani kicau burung.  Turut menghiasi suara ayam kampung yang jinak. Nazira berada di halaman rumah Melia dengan menggalas beg sandangnya lengkap dengan pakaian beruniform.

Hajah Aminah yang sedang memberi makan ayam peliharaannya disapa Nazira. Mengerti tujuan kedatangan anak saudaranya itu anak dara suntinya dipanggil.  “Mel…..Zira datang ni,” laung Hajah Aminah.

“Ya…….kejap,” sahut Melia dari dalam rumah.  Bersambung dengan sahutan itu dia menapak ke depan.

“Eh…..apasal kautak siaplagi? Kau nak pergi ke tak?” Tanya Nazira pada Melia yang masih memakai baju tidur.

Sekolah mereka mengadakan perjumpaan bagi Unit Beruniform pada hari sabtu itu.  Nazira dan Melia adalah ahli Persatuan Bulan Sabit Merah sekolah.  Melia pula memegang jawatan  penolong kepada ketua persatuan itu.

“Aku tak laratlah nak pergi Zira,” suara Melia lemah.  Dia juga buat muka kurang bermaya.

“Mana boleh Mel, kau tu naib pengerusi.  Perjumpaan ini penting memandangkan tidak lama lagi trial SPM.  Lepas ni kita sudah dapat pelepasan dari persatuan.  Kau tak nak sijil ke?”

Melia memegang kepalanya seolah sedang menanggung sakit migrain. “Bukan macam tu.

Kepala aku pusing sangat hari ni.”


“Amboi tak jumpa sehari kepala dah pusing.  Aku tahulah dia bukan ahli PBSM.”

“Apa maksud kau ni? Tak ada kaitan dengan Azrul lah,” sangkal Melia.  Sebal pula hatinya apabila Nazira sengaja mengaitkan nama itu dengan situasinya.

Nazira senyum sumbing.  Kepak…kepak…kepung….Suara gendang bertalu-talu… Pura-pura bingung….hati di dalam bagai digaru.  “Tengok, aku tak sebut nama dia pun kau dah tahu.”


“Kau ni memang sengaja nak kenakan aku kan?  Duduklah dulu nanti aku tukar baju.”Melia beralah lalu menujuke kamarnya. Hatinya tidak sanggup disindir Nazira dengan dibabitkan Azrul.  Dengan separuh perasaan dia menyalin uniform persatuan itu sebelum pergi bersama Nazira.

Nazira menggeleng-gelengkan kepala dengan karenah sahabat baiknya itu.  Sekejap tadi sakit kepala tetapi apabila disebut nama Azrul baik serta-merta pula.

“Dia kesian kut aku pergi sorang-sorang,” Nazira bersoal jawab sendiri.  

Nazira sebenarnya perasan akan perubahan teman sekelasnya itu.  Dari senyuman Melia dia dapat merasakan adanya bunga-bunga cinta di taman hati gadis itu.  Namun dia tidak berani mengutarakan soalan cepu emas itu. Bahkan lagi hujung tahun ini mereka semua akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia.  Rasanya tidak sesuai lagi topik itu dibicarakan.  Mungkin selepas selamat menjalani peperiksaan dia akan mengusul Melia mengenai perkara itu.

5 comments:

  1. Salam jumaat juga uji...hmmmm cepat upkn bab baru ye yunk...x sabar nk tahu kisah cinta pertama cik Melia kita ni...hehe

    ReplyDelete