Mar 30, 2014

Bab 16 OOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA


Hari ini hari terakhir aku di Taska Mithali.  Aku berasa riang sekali sebab selepas ini aku tidak perlu mengadap encik duda itu lagi.  Aku juga tidak perlu lagi memekakkan telinga dengan bunyi bingit tangisan budak-budak di taska ini.  Aku juga dapat balik melepaskan rindu pada umi.  Lepas ni aku akan bermanja sepuasnya dengan umi sebelum masuk universiti.

“Qistina nampak lain hari ni. Nampak macam happy sangat. Tak nak kongsi ke dengan saya?”  Aku ditegur oleh Luqman Hakimi sewaktu dia menghantar Danish ke taska.

Ya ke aku nampak happy?  Walhal aku tak bersorak depan dia pun.  Pandai juga dia ni tilik wajah orang. 

Aku gembira sebab aku nak tinggalkan kau tahu tak!  Heheh takkanlah aku nak cakap macam tu kat dia.  Kalau aku cakap macam tu mahunya dia merayu pada aku supaya jangan pergi.  Aku tidak mahu dirayu oleh dia atau pun dipujuk oleh dia.  Aku akan pergi senyap-senyap dan esok dia tidak akan menemui aku lagi.

“Saya biasa saja Encik Luqman Hakimi. Tiada yang lainnya.”

“Mana tahu awak dapat berita gembira tapi tak mahu beritahu saya.”

“Kalau ada sekalipun saya memang tak akan beritahu encik. Encik Luqman bukannya adik beradik saya untuk saya berkongsi segalanya.”  Pedasnya bicara aku.

“Yelah…saya sedar siapa saya. Hidung tak mancung pipi pula tersorong-sorong.”

“Janganlah macam tu Encik Luqman. Hidung awak memang mancung pipi pun licin. Saya ni yang hidung kemek, yang tak lawanya.”

Luqman Hakimi hanya tersenyum tawar.  Tahu pula Qistina mengambil hatinya tatkala dia terasa dengan gadis itu.  Sukar dimengertikan gadis itu.

“Baiklah jumpa petang nanti. Saya pergi dulu,” pamitnya sebelum membuka pintu kereta importnya itu.  Hari ini dia datang dengan Mercedes S class pula.

Aku mengangguk sahaja.  Lantas membawa Danish masuk ke taska.

“Danish, nanti kalau cikgu dah tak kerja sini. Danish jangan nakal-nakal tau,” aku berpesan pada Danish.

Aku lihat Danish memandang aku dengan sayu.  Aku tahu sebenarnya dia tidak mengerti apa-apa. 

“Cikgu nak pergi mana?” Tanya Danish.  Riak kehairanan terbit di wajahnya.

Aku mengelus-elus rambut Danish.  Lebat rambutnya.  Hitam berkilat.  “Cikgu nak pergi belajar di universiti. Kan hari tu cikgu dah beritahu Danish. Ingat tak?”

“Ingat.”  Hanya itu yang keluar dari bibir kecil Danish, bahkan lagi bila Mia sudah menghampirinya. Kanak-kanak manalah reti mengusul lebih-lebih.  Entah-entah dia pun tak faham maksud aku nak pergi belajar tu.  Tak apalah Danish, nanti Danish besar Danish fahamlah. 

Andai ada pertemuan Danish akan jumpa cikgu lagi tapi rasanya masa tu Danish sudah tidak kenal cikgu kut.  Nak kenal macam mana sebab Danish pun dah besar, mana mungkin ingat aku lagi.  Aku sendiri barangkali tidak cam apabila dia sudah besar kelak.  Wajah kanak-kanak pasti berubah apabila meningkat dewasa.

“Cikgu, Mia nak kencing.”  Alahai Damia.

“Mari cikgu bawa pergi tandas,” ajak aku pada Mia.  Mia yang baru belajar tidak memakai pampers pernah terkencing dalam seluar jika aku lambat membawanya ke tandas.  Budak-budak banyak karenah dan kita selaku pengasuh kena banyak bersabar.

Mia cepat-cepat mengikut aku pergi ke tandas.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Luqman Hakimi meraup wajahnya.  Dia agak keletihan selepas lama mengadap komputer di dalam pejabatnya.  Kertas kerja untuk projek mega Luqman Holdings perlu ditelitinya dengan cermat sebelum diberikan kepada pelanggan.  Bahkan lagi Luqman seorang yang teliti dalam menguruskan urusan syarikatnya.

“Saleha, buatkan saya kopi,” arah Luqman kepada setiausahanya melalui intercom.

“Baik Encik Luqman,” jawab Saleha akur.

Luqman bingkas dari kerusi empuknya.  Dia membetulkan badannya yang keletihan.  Dengan membuat sedikit pergerakan badan ia boleh mencergaskan kita yang lama mengadap komputer.

Luqman menyelak langsir di dalam pejabatnya itu.  Melihat keindahan bandar Kuala Lumpur di balik cermin kaca.

Dia mengeluh.  Dia mempunyai wang dan kemewahan yang melimpah-ruah, sayangnya dia tidak mempunyai permaisuri.  Permaisuri yang melengkapi hidup seorang lelaki.  Permaisuri yang akan membuatkan dia bahagia dan dicintai.

Selama ini dia hanya memikirkan soal kerja dan Danish sahaja.  Sudah berbuih mulut Datin Rohani menyuruhnya berkahwin namun dia tidak hiraukan.

Kini dengan kehadiran Qistina hatinya terdetik alangkah indah mempunyai isteri.  Isteri yang akan membahagiakan seluruh hidupnya.  Apabila dia penat bekerja ada isteri yang boleh memicitnya.  Apabila dia hendak tidur dia mempunyai teman di sebelah.

Namun dia tidak mahu isteri yang lain.  Dia mahukan Qistina Airisa yang tidak menyukai dirinya.  Mahukan gadis belasan tahun yang belum matang itu.  Wajar sekali sahabatnya Farid mentertawakan dirinya.  Macamlah tiada wanita lain di dalam dunia ini.  Memang dia tidak nafikan di bandar metropolitan ini berlambak wanita yang boleh dia dapat dengan menayangkan kereta mewah dan kad kredit platinumnya.  Tapi bukan itu yang dia mahu.

Dia sendiri sangsi sama ada dia mampu atau tidak memiliki Qistina.  Dia sendiri tidak tahu apakah gadis itu tercipta untuknya.  Kalau cinta gadis itu boleh dibelinya dia tidak kisah sama sekali dengan harga yang bakal diletakkan.  Tetapi gadis muda itu bukan mahukan duitnya.  Kadang-kadang timbul juga rasa kagum dengan pendirian gadis itu meskipun dia hanya dipandang sebelah mata oleh Qistina.

Tok! Tok! Tok! Pintu biliknya diketuk sekaligus menghambat bayang Qistina di dalam mindanya.

“Masuk,” ujar Luqman dari dalam.

Saleha masuk dengan membawa kopi yang dimintanya tadi. “Kopinya Encik Luqman.”

“Letaklah dulu di atas meja,” arahnya pada Saleha.

Setiausahanya itu patuh.  Usai itu Saleha menapak keluar dari bilik majikannya.

Luqman kembali melabuhkan punggung ke kerusi.  Tangannya mencapai cawan yang berisi kopi panas itu.  Dia menghirupnya perlahan-lahan.  Terasa segar matanya untuk terus menyambung kerja.




Luqman Hakimi kelihatan hairan melihat aku yang mencium Danish bertubi-tubi di depannya.  Dia nampak kaget dengan tindakan aku itu.  Mungkin dia tertanya-tanya apa motif aku bertindak demikian sedangkan sebelum ini aku tidak pernah bertindak begitu.

“Qistina……….are you okay?” Soalnya dengan kerutan di dahi.

Aku berpaling padanya. “I’m okay.”

“Kenapa cium Danish macam lama tak jumpa?”

Terbalik ke apa soalan dia ni? Sepatutnya dia kena tanya kenapa aku cium Danish macam minggu depan tidak boleh jumpa.  Sungguh tidak prihatin mr widower ni.

“Saja…….sebab saya sayang dia,” spontan jawapan aku.  Takkanlah nak kata, sebab ini ciuman terakhir saya untuk dia.  Ciuman kali terakhir? Uwaaa! Aku rasa nak menangislah pulak sebab selepas ni aku akan rindukan keletah Danish.

“Qistina sayang anak saya jadi apa salahnya sayangkan bapanya sekali.”

Aku tersentak.  Aku salah dengar ke……? Dia meminta aku sayangkan dia? Biar betul dia ni! Sorry mr widower. You are not my taste!  “Jangan merepek boleh.”

“Saya tak merepek. Saya serius,” sedikit tinggi suaranya menerjah gegendang telinga aku.  Kalau intonasinya tinggi ternyata dia tidak bergurau.  Anak beruang anak cicak, anak rusa makan duku, bergurau atau tidak, itu tidak terkesan di hati aku.  Ceh! Best jugak pantun spontan aku.

Aku mendengus dan berpaling darinya.  Malas aku hendak melayannya.  Selamat tinggal Luqman Hakimi.  Esok kau takkan jumpa aku lagi.  Aku harap kau jangan sesekali cari aku kerana aku tidak berminat untuk menemui kau lagi.  Good bye mr widower!  Selamat tinggal juga untuk Taska Mithali.

Aku masuk ke taska untuk bersalam dan bermaafan dengan Kak Azmah dan semua pekerja lain.  Manakala Luqman Hakimi telah menghilang dengan Mercedesnya.  Takkanlah dia hendak tunggu lagi apabila aku sudah tidak mempedulikannya.

Kami semua saling berpelukan.  Semoga mereka semua terus ikhlas berkhidmat di situ.  Menjaga semua kanak-kanak seperti menjaga anak-anak sendiri.

Aku gembira beroleh pengalaman di sini.  Segala kenangan akan kusematkan dalam ingatan.  Apa yang baik aku jadikan sempadan, apa yang buruk aku jadikan tauladan.  Sesungguhnya pengalaman itu mahal harganya dalam hidup kita.  Tidak mampu untuk kita beli kerana pengalaman itu perlu dirasai sendiri.

Menurut Heinrich Heine pengalaman boleh diandaikan sebagai sekolah terkenal tetapi pembiayaan untuk ke sana adalah terlalu mahal.

Siapa Heinrich Heine tu?  Pandai-pandailah korang google sendiri memandangkan zaman sekarang segalanya di hujung jari.  Macam tu pulak……..


7 comments: