Mar 3, 2014

BAB 13 OOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA



Tugas sebagai pengasuh di Taska Mithali aku jalani seperti biasa memandangkan Kak Azmah menyuruh aku bersabar sehingga tempat aku digantikan dengan pekerja baru.  Tidak apalah bukan lama pun.
           
Pasal Luqman Hakimi tu aku boleh hadapi seperti biasa.  Selagi dia tidak melakukan perkara di luar batasan aku tidak akan mengambil tindakan.  Jika dia tidak berputus asa untuk terus memikat aku, apa yang mampu aku buat.  Teruskanlah usaha dia kerana aku yakin dia tidak akan berjaya kerana tak lama lagi aku bakal meninggalkan taska ini.  Mana mungkin dia mencari aku yang jauh di kampung.  Terlalu mustahil untuk dia menjejaki aku kerana dia tidak pernah tahu di mana aku tinggal.  Apatah lagi nama kampung aku.
           
Pagi tadi semasa dia hantar Danish dia tidak keluar dari kereta.  Dia hanya memberikan aku senyuman dan juga memberitahu yang dia perlu cepat kerana ada mesyuarat.  Kalau hari-hari macam tu pun bagus juga tidaklah aku risau dia nak tanya aku macam-macam.
           
Baju kurung moden merah jambu dan tudung  yang dia beri dulu aku ada nak pulangkan tapi dia yang tak mahu terima.  Agaknya dia ingat aku kemaruk sangat nak pakai.  Ada terperosok dalam almari baju.  Sengaja aku letak di bahagian paling bawah supaya mata aku ni tak sesak melihatnya.  Jika tuannya aku tak suka sementelah dengan barang pemberiannya.  Secantik atau semahal mana pun tidak mungkin untuk aku pakai.  Titik!
           
“Danish dah siap makan?” Tanya aku pada Danish.  Wajahnya yang comel aku pandang penuh kasih.  Alangkah indah jika punya anak seperti Danish.  Sudahlah comel bijak pula tu.  Dalam ramai-ramai budak di taska ni aku paling sayangkan Danish.  Dia begitu manja dan menawan hati aku.
           
Kalau macam tu Qistina kau jadilah mak dia.  Kasihan dia kecil-kecil sudah hilang kasih sayang seorang ibu.  Aku jadi mak dia? Kalau aku memilih untuk jadi mak dia bermakna aku perlu bersuamikan seorang duda.  Yarks! Itu tidak termasuk dalam senarai impian aku.  Mr widower itu tak mungkin aku pilih.  Biarlah sesayang mana pun aku pada Danish.
            
         Luqman Hakimi yang kaya raya tu boleh pilih pelbagai jenis ibu untuk Danish.  Ibu tiri, ibu angkat dan ibu apa-apalah……….Sepuluh kali dia petik jari pasti sepuluh yang datang.  Siapa yang tak nak hidup mewah di sisi lelaki itu? Hari-hari boleh naik Mercedes dan BMW.  Hendak shopping apa semua boleh.  Cakap saja nak pergi melancong ke mana orang berduit macam Luqman Hakimi tu mampu tunaikan.
           
Habis tu apa lagi Qistina? Rebutlah peluang tu.  No! Itu bukan aku.  Aku hendak berjaya di atas kaki sendiri.  Bermula dari bawah pun tidak apa.  Pertama sekali kena menimba ilmu dan memegang segulung ijazah.  Lepas tu cari kerja yang dapat menjamin masa depan.
           
Jika aku jenis perempuan yang mahu hidup mewah sekelip mata tentu aku sudah melayan dia.  Aku tidak mendambakan kemewahan.  Untuk apa hidup mewah dengan duit dari manusia yang kita tidak suka.  Itu tidak ikhlas.  Lagipun berdosa jika kita tidak mencintai suami sendiri.
           
Lepas bekerja kelak baru aku akan fikir mengenai perkahwinan.  Masa tu aku akan menemui prince charming idaman aku.  Kalau boleh beza usia dengan aku dalam dua tahun.  Oklah tu.  Tiadalah aku dapat suami tua.  Kalau mr widower tu agaknya bila aku dapat degree dia pun sudah kerepot.  Huh! Tak sesuai langsung dengan aku.  Bayangkanlah umur dia enam tahun akan datang.  Aku sendiri pun tidak sanggup membayangkannya.

 Begitulah kalau hati sudah benci.  Segalanya tidak kena untuk kita.  Cuba kalau aku tangkap cintan dengan dia tak pandang dah umur dia.  Yang penting kasih sayang.  Betul tak?

“Danish nak lagi tak kuih karipap tu?” Tanya aku pada Danish yang sudah menghabiskan dua biji kuih karipap.

Danish menggeleng-gelengkan kepalanya. “Tak nak.”

“Kalau tak nak, minum air. Lepas tu cuci tangan,” arah aku dengan lembut pada anak mr widower itu.  Aku menyuapkan air susu untuk Danish.  Kemudian aku membawanya ke sinki untuk mencuci tangan.  Tisu kuambil dan lapkan mulutnya yang sedikit comot.
“Cikgu……boleh tak cikgu jadi mama Danish?”  Pinta Danish tak semena.

Hah mama!  Takkanlah si duda tu dah racun minda anak dia kut.  Tak pun dia ajar Danish cakap macam tu.  Melampaui batas betul kau ya mr widower.  “Err……cikgu tak boleh jadi mama Danish. Cikgu kena masuk universiti dulu. Danish suruhlah papa carikan mama lain untuk Danish.”

Danish memuncungkan bibirnya.  “Danish sayang cikgu Qis. Danish cuma nak mama yang ni. Cikgu Qis sayang Danish tak?”

Kepalanya aku usap lembut.  “Cikgu sayang sangat pada Danish tapi itu tak bermakna cikgu kena jadi mama Danish.”

“Tapi papa dah janji yang cikgu Qis akan jadi mama Danish,” bentaknya.  Danish sudah tunjuk perangai protesnya.

Pandainya mr widower tu buat janji dengan anak dia.  Apa dia ingat mudah melenturkan aku dengan cara macam tu.  Tak guna betul!  “Danish kan good boy. Anak yang baik tak akan minta yang bukan-bukan tau. Kalau Danish buat perangai cikgu tak nak jadi mama Danish.”

“Danish janji tak buat perangai sebab Danish nak cikgu Qis jadi mama Danish.”

Promise?”

Promised!”  Danish mengangkat tangan kanannya untuk berikrar.  Yang lucunya tangan dia tekap atas telinga.  Aku ketawa dalam hati sahaja.

Okey….Danish dapat satu bintang kasih sayang.”

Yeay!”  Danish melompat keriangan.  Pipi aku diciumnya.  Aku tersenyum bahagia.  Semoga hal ini tidak ditimbulkan Danish lagi.  Tak apalah kerja aku pun bakal berakhir sedikit masa lagi.  Buat masa ni biarlah Danish merasa gembira.

“Cikgu papa dah sampailah……..” kata Danish menunjukkan jari telunjuknya ke luar.  Aku pandang jam di dinding.  Sudah pukul lima tiga puluh petang rupanya.

“Nanti cikgu ambil beg Danish,” balas aku sambil pergi mengambil begnya.

Kemudian aku memimpin tangannya turun ke taska.  Pantas Danish berlari mendapatkan papa kesayangannya.  Luqman Hakimi memeluk erat anaknya.  Aku hanya menjadi penonton.

“Qistina sihat?” Tanya encik duda itu kepada aku selepas Danish meleraikan pelukan.

Bila masa aku demam pun tak tahu yang dia boleh bertanya aku sihat atau tidak.  Habis modal agaknya untuk dia bertanya.

“Sihat alhamdulillah,” jawab aku sekadar berbasa-basi sahaja.

Erm…….hari tu Qis ada cakap nak pergi sambung belajar. Dapat universiti mana ya?”

Mata aku mencerlung padanya.  “Perlukah saya bagitahu Encik Luqman?”

Pertanyaan aku itu membuatnya serba salah. Dia tidak mengangguk atau menggeleng.

“Rasanya Encik Luqman tidak perlu ambil tahu pasal saya sebab saya pun tidak mengambil tahu pasal diri encik. Hubungan kita hanyalah setakat saya menjaga anak encik.”

“Saya ikhlas ingin berkawan dan mengenali Qistina.”

“Ikhlas atau pun tidak itu bukan pokok pangkalnya. Yang encik perlu tahu sekarang saya tidak berminat untuk berkawan dengan encik.”

Luqman Hakimi menunduk ke bawah.  Tengok rumput ke? Tak sanggup lah tu nak bertentang mata dengan aku.  Mungkin terasa kut dengan kata-kata aku.  I don’t care!

“Baiklah cik Qistina saya balik dulu.”  Dia meminta diri memandangkan riak wajah aku yang keruh untuk melayannya.  Keruh macam air sungai yang baru ditimpa hujan.  Keruh dan berselut.

“Dipersilakan,” balas aku seraya menghulurkan beg Danish. “Bye Danish…”

Bye cikgu. Muahh!” Danish pandai membuat ciuman sayang itu untuk aku

Aku tersengih memandang Danish.  Sempat aku mencubit pipi gebunya sebelum BMW Luqman Hakimi menyusur pergi.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

            “Kak Ina maafkan Qis. Tak baik tau bermasam muka melebihi tiga hari,” rayu aku pada Kak Ina.  Lengannya aku pegang.
           
“Qis rasa Qis bersalah ke?” Perli Kak Ina.
           
“Ya Qis bersalah. Qis tak patut meninggi suara dengan akak,” lirih aku menuturkannya.
           
“Habis tu nak buat lagi tak?” Soalnya samada aku mahu mengulangi sikap itu atau tidak.  Sikap yang keras dengan kakak sendiri.  Sikap bebal yang sentiasa mengatakan diri adalah sentiasa betul.  Ya ke aku macam tu?
            Aku menggelengkan kepala sampai rambut yang belakang pun datang ke depan. “Tak nak buat dah. Maafkan Qis ya?” Pinta aku lagi.  Rambut yang terjulur ke dahi aku selitkan di tepi telinga.
           
“Baik, akak boleh maafkan tapi akak nak nasihat sikit. Qis janganlah mudah angin satu badan. Belajar kawal emosi. Sekalipun Qis bencikan seseorang tu janganlah tunjuk sangat,” Kak Ina memberi nasihat.  Sekali dengar macam pakar kaunseling, dua kali dengar macam ustazah.
           
“Yalah. Qis cuba,” aku menabur janji.  Janji untuk mencuba apa yang dinasihatkannya.
           
“Jangan sekadar cuba tapi berjanji,” tinggi intonasi suara Kak Ina.
           
Janji? Aku takut untuk berjanji nanti aku tidak dapat menetepatinya.  Kalau janji tidak ditepati makanya akan berdosa.  Bila berdosa ianya akan memakan diri.  Adess!
           
“Kenapa diam? Angkat tangan dan cakap Qis berjanji,” kata Kak Ina dengan tegasnya.
           
“Tak payahlah Kak Ina main sumpah janji ni……..kan Qis dah kata tadi Qis akan cuba. Cukuplah tu,” aku membantah.  Macamlah aku buat jenayah berat sampai kena angkat tangan untuk berjanji bagai.  Tahulah dia tu bekas penolong ketua pengawas masa sekolah dulu tapi tak perlulah tunjuk kuasa kat ‘budak kecik’ ni.
           
“Kalau macam tu Kak Ina tak nak maafkan Qis lah,” Kak Ina pura-pura merajuk.
           
Aku memeluk lengan kakak kesayanganku. “Yelah……Qis janji,” aku mengalah.  Tangan aku angkat jua buat ikrar janji.  Nampaknya aku dah jadi macam Danish.  Eloklah siang tadi dia yang kena promise sekarang cikgunya pula.  Bulat sungguh bumi ini.
           
Kak Ina menguntum senyum.  Lantas kepala kulentokkan ke bahunya untuk bermanja.  Dia pun menggosok lembut kepalaku.  Tumpahlah kasih sayang seorang kakak kepada adiknya.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


            Aku berhajat untuk memberitahu umi yang aku dalam proses hendak berhenti kerja.  Tentu umi gembira aku hendak balik menemaninya.  Dia dahlah sorang-sorang kat kampung.  Tapi kalau malam sepupu aku yang tingkatan tiga tu selalu datang tidur kat rumah.  Aku yang suruh dia menemani umi sepanjang ketiadaan aku.  Lagipun rumah dia kat belakang rumah umi saja.
           
Kalau aku balik awal sikit ke kampung dapat tolong umi berniaga di warung.  Hilanglah sikit penat umi.  Lepas ni bila aku dah pergi sambung belajar aku sudah tak dapat duduk bawah ketiak umi.  Kami akan berjauhan.  Cuti semester baru kami dapat berjumpa.
           
Masa aku mula-mula cakap kat umi hari tu sebelum datang rumah Kak Ina liat juga umi nak lepaskan aku.  Umi macam tak percaya aku nak kerja kat sini.  Umi berat hati nak bagi aku duduk Kak Ina.  Aku faham perasaan umi.  Dia cuma ada aku dengan Kak Ina.  Kalau arwah abah ada lainlah umi masih ada teman.
           
Pujuk punya pujuk akhirnya umi dengan rela lepaskan aku.  Dia memberikan restu untuk aku menimba pengalaman di tempat orang.  Kata umi elok juga aku belajar berdikari dan menyesuaikan diri di tempat orang.  Yalah nanti senang nak pergi sambung belajar.  Lepas tu nak kerja lagi.  Semestinya bila sudah tamat belajar aku tidak akan bekerja di kampung.  Apalah sangat kerja yang ada di kampung.
           
Jika umi tidak memberikan restu aku tak sanggup untuk datang ke sini.  Restu umi adalah segala-galanya bagi aku.  Aku tidak mahu melawan cakap umi.  Syurga seorang anak kan terletak di bawah kaki seorang ibu.  Aku tidak lupa akan itu.
           
Aku mencapai telefon usang aku dan menelefon umi. “Assalamualaikum umi.”
           
“Waalaikumussalam,” jawab umi di dalam talian.  Tenangnya dengar suara umi.
            “Umi buat apa?” tanya aku pada umi.  Yelah umi bukan depan mata aku jadi aku tidak tahu apa yang dibuatnya di kampung.  Seeloknya aku bertanya sebelum topik utama aku buka.
           
“Potong daun pisang untuk bungkus nasi lemak pagi esok,” jawab umi.  Itu rutin biasa umi.  Kalau aku ada di rumah akulah yang selalu potong.  Nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang akan menjadikannya lebih harum berbanding nasi lemak tanpa daun pisang.  Tapi kat bandar jarang kedai lapik nasi lemak dengan daun pisang.  Almaklumlah daun pisang ni kan banyak kat kampung.  Kat bandar ni daun pisang hiasan adalah. “Kenapa Qis?”
           
“Qis nak bagitahu umi yang Qis sekarang dalam proses hendak berhenti kerja. Mungkin seminggu lagi kut,” aku mengutarakan topik utama aku menelefon umi.  Aku memang bertujuan untuk memberitahunya akan hal itu.
           
“Kata hari tu bulan depan nak berhenti,” kata umi yang seakan pelik dengan aku yang tiba-tiba ingin berhenti kerja.
           
“Saja je umi. Rasa nak balik teman umi pula,” dalih aku demi menyembunyikan hal sebenar.  Rasanya umi tidak perlu tahu tentang gangguan mr widower itu.
           
“Ya ke nak balik teman umi? Entah-entah Qis ada masalah kat tempat kerja,” umi menduga aku.
           
Err…… taklah umi. Mana ada masalah,” aku menafikan.  Betul kan naluri seorang ibu itu dapat membaca hati dan fikiran anaknya.  Kalau tidak masakan umi berkata begitu.  Namun aku tidak berniat untuk memberitahu umi.  Mungkin di kampung aku akan bercerita pada umi mengenai semua ini.
           
“Tak apalah kalau Qis tiada apa-apa masalah. Nanti dah berhenti kerja bagi tahu umi bila nak balik,” pesan umi.
           
“Baik umi. Sayang umi,” aku dengan manja menuturkannya.
            “Ya. Umi pun sayang Qis,” sambut umi dengan kasih sayang yang sememangnya tidak berbelah bagi untuk aku.
           
Selepas itu aku pun menamatkan talian.  Senang hati aku dapat mendengar suara umi.  Umi yang penyabar lagi penyayang pada aku.  Umi yang aku sayang dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment