Mar 11, 2014

Agar-agar Marmar


Di kala terik mentari tekak kita sering berasa dahaga.  Cuaca yang agak panas kebelakangan ini membuatkan saya rajin untuk menyediakan pencuci mulut ini.  Nyaman sekali dinikmati setelah ianya sejuk di dalam peti ais.

Agar-agar marmar ni amat senang untuk dibuat.  Kepelbagaian rasa di dalamnya membuat  kita tidak muak untuk menikmatinya.  Dengan warna seperti pelangi ia menarik minat kanak-kanak untuk merasainya.

Untuk agar-agar ini anda memerlukan satu paket serbuk agar-agar, gula, sehelai daun pandan, perisa anggur, perisa strawberry, perisa pandan, dua sudu pekat susu tin dan tiga sudu besar milo.

Serbuk agar-agar tadi perlu dimasak bersama 4 cawan air, sehelai daun pandan dan gula.  Setelah mendidih masukkan 3/4 ke dalam loyang.

Baki agar-agar tadi dimasak bersama sedikit tepung kastard.  Selepas itu asingkan kepada lima mangkuk.  Masukkan kelima-lima perisa seperti yang dinyatakan di atas ke dalam mangkuk.  Kacau sebati.

Setelah agar-agar di dalam mangkuk berperisa itu keras potonglah kecil-kecil seperti dadu.  Kemudian taburkan agar-agar perisa milo, susu, pandan, strawberry dan anggur itu ke dalam agar-agar tanpa warna tadi.

Sejukkan di dalam peti ais.  Selamat mencuba resepi mudah ini.

No comments:

Post a Comment