Mar 30, 2014

Bab 16 OOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA


Hari ini hari terakhir aku di Taska Mithali.  Aku berasa riang sekali sebab selepas ini aku tidak perlu mengadap encik duda itu lagi.  Aku juga tidak perlu lagi memekakkan telinga dengan bunyi bingit tangisan budak-budak di taska ini.  Aku juga dapat balik melepaskan rindu pada umi.  Lepas ni aku akan bermanja sepuasnya dengan umi sebelum masuk universiti.

“Qistina nampak lain hari ni. Nampak macam happy sangat. Tak nak kongsi ke dengan saya?”  Aku ditegur oleh Luqman Hakimi sewaktu dia menghantar Danish ke taska.

Ya ke aku nampak happy?  Walhal aku tak bersorak depan dia pun.  Pandai juga dia ni tilik wajah orang. 

Aku gembira sebab aku nak tinggalkan kau tahu tak!  Heheh takkanlah aku nak cakap macam tu kat dia.  Kalau aku cakap macam tu mahunya dia merayu pada aku supaya jangan pergi.  Aku tidak mahu dirayu oleh dia atau pun dipujuk oleh dia.  Aku akan pergi senyap-senyap dan esok dia tidak akan menemui aku lagi.

“Saya biasa saja Encik Luqman Hakimi. Tiada yang lainnya.”

“Mana tahu awak dapat berita gembira tapi tak mahu beritahu saya.”

“Kalau ada sekalipun saya memang tak akan beritahu encik. Encik Luqman bukannya adik beradik saya untuk saya berkongsi segalanya.”  Pedasnya bicara aku.

“Yelah…saya sedar siapa saya. Hidung tak mancung pipi pula tersorong-sorong.”

“Janganlah macam tu Encik Luqman. Hidung awak memang mancung pipi pun licin. Saya ni yang hidung kemek, yang tak lawanya.”

Luqman Hakimi hanya tersenyum tawar.  Tahu pula Qistina mengambil hatinya tatkala dia terasa dengan gadis itu.  Sukar dimengertikan gadis itu.

“Baiklah jumpa petang nanti. Saya pergi dulu,” pamitnya sebelum membuka pintu kereta importnya itu.  Hari ini dia datang dengan Mercedes S class pula.

Aku mengangguk sahaja.  Lantas membawa Danish masuk ke taska.

“Danish, nanti kalau cikgu dah tak kerja sini. Danish jangan nakal-nakal tau,” aku berpesan pada Danish.

Aku lihat Danish memandang aku dengan sayu.  Aku tahu sebenarnya dia tidak mengerti apa-apa. 

“Cikgu nak pergi mana?” Tanya Danish.  Riak kehairanan terbit di wajahnya.

Aku mengelus-elus rambut Danish.  Lebat rambutnya.  Hitam berkilat.  “Cikgu nak pergi belajar di universiti. Kan hari tu cikgu dah beritahu Danish. Ingat tak?”

“Ingat.”  Hanya itu yang keluar dari bibir kecil Danish, bahkan lagi bila Mia sudah menghampirinya. Kanak-kanak manalah reti mengusul lebih-lebih.  Entah-entah dia pun tak faham maksud aku nak pergi belajar tu.  Tak apalah Danish, nanti Danish besar Danish fahamlah. 

Andai ada pertemuan Danish akan jumpa cikgu lagi tapi rasanya masa tu Danish sudah tidak kenal cikgu kut.  Nak kenal macam mana sebab Danish pun dah besar, mana mungkin ingat aku lagi.  Aku sendiri barangkali tidak cam apabila dia sudah besar kelak.  Wajah kanak-kanak pasti berubah apabila meningkat dewasa.

“Cikgu, Mia nak kencing.”  Alahai Damia.

“Mari cikgu bawa pergi tandas,” ajak aku pada Mia.  Mia yang baru belajar tidak memakai pampers pernah terkencing dalam seluar jika aku lambat membawanya ke tandas.  Budak-budak banyak karenah dan kita selaku pengasuh kena banyak bersabar.

Mia cepat-cepat mengikut aku pergi ke tandas.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Luqman Hakimi meraup wajahnya.  Dia agak keletihan selepas lama mengadap komputer di dalam pejabatnya.  Kertas kerja untuk projek mega Luqman Holdings perlu ditelitinya dengan cermat sebelum diberikan kepada pelanggan.  Bahkan lagi Luqman seorang yang teliti dalam menguruskan urusan syarikatnya.

“Saleha, buatkan saya kopi,” arah Luqman kepada setiausahanya melalui intercom.

“Baik Encik Luqman,” jawab Saleha akur.

Luqman bingkas dari kerusi empuknya.  Dia membetulkan badannya yang keletihan.  Dengan membuat sedikit pergerakan badan ia boleh mencergaskan kita yang lama mengadap komputer.

Luqman menyelak langsir di dalam pejabatnya itu.  Melihat keindahan bandar Kuala Lumpur di balik cermin kaca.

Dia mengeluh.  Dia mempunyai wang dan kemewahan yang melimpah-ruah, sayangnya dia tidak mempunyai permaisuri.  Permaisuri yang melengkapi hidup seorang lelaki.  Permaisuri yang akan membuatkan dia bahagia dan dicintai.

Selama ini dia hanya memikirkan soal kerja dan Danish sahaja.  Sudah berbuih mulut Datin Rohani menyuruhnya berkahwin namun dia tidak hiraukan.

Kini dengan kehadiran Qistina hatinya terdetik alangkah indah mempunyai isteri.  Isteri yang akan membahagiakan seluruh hidupnya.  Apabila dia penat bekerja ada isteri yang boleh memicitnya.  Apabila dia hendak tidur dia mempunyai teman di sebelah.

Namun dia tidak mahu isteri yang lain.  Dia mahukan Qistina Airisa yang tidak menyukai dirinya.  Mahukan gadis belasan tahun yang belum matang itu.  Wajar sekali sahabatnya Farid mentertawakan dirinya.  Macamlah tiada wanita lain di dalam dunia ini.  Memang dia tidak nafikan di bandar metropolitan ini berlambak wanita yang boleh dia dapat dengan menayangkan kereta mewah dan kad kredit platinumnya.  Tapi bukan itu yang dia mahu.

Dia sendiri sangsi sama ada dia mampu atau tidak memiliki Qistina.  Dia sendiri tidak tahu apakah gadis itu tercipta untuknya.  Kalau cinta gadis itu boleh dibelinya dia tidak kisah sama sekali dengan harga yang bakal diletakkan.  Tetapi gadis muda itu bukan mahukan duitnya.  Kadang-kadang timbul juga rasa kagum dengan pendirian gadis itu meskipun dia hanya dipandang sebelah mata oleh Qistina.

Tok! Tok! Tok! Pintu biliknya diketuk sekaligus menghambat bayang Qistina di dalam mindanya.

“Masuk,” ujar Luqman dari dalam.

Saleha masuk dengan membawa kopi yang dimintanya tadi. “Kopinya Encik Luqman.”

“Letaklah dulu di atas meja,” arahnya pada Saleha.

Setiausahanya itu patuh.  Usai itu Saleha menapak keluar dari bilik majikannya.

Luqman kembali melabuhkan punggung ke kerusi.  Tangannya mencapai cawan yang berisi kopi panas itu.  Dia menghirupnya perlahan-lahan.  Terasa segar matanya untuk terus menyambung kerja.




Luqman Hakimi kelihatan hairan melihat aku yang mencium Danish bertubi-tubi di depannya.  Dia nampak kaget dengan tindakan aku itu.  Mungkin dia tertanya-tanya apa motif aku bertindak demikian sedangkan sebelum ini aku tidak pernah bertindak begitu.

“Qistina……….are you okay?” Soalnya dengan kerutan di dahi.

Aku berpaling padanya. “I’m okay.”

“Kenapa cium Danish macam lama tak jumpa?”

Terbalik ke apa soalan dia ni? Sepatutnya dia kena tanya kenapa aku cium Danish macam minggu depan tidak boleh jumpa.  Sungguh tidak prihatin mr widower ni.

“Saja…….sebab saya sayang dia,” spontan jawapan aku.  Takkanlah nak kata, sebab ini ciuman terakhir saya untuk dia.  Ciuman kali terakhir? Uwaaa! Aku rasa nak menangislah pulak sebab selepas ni aku akan rindukan keletah Danish.

“Qistina sayang anak saya jadi apa salahnya sayangkan bapanya sekali.”

Aku tersentak.  Aku salah dengar ke……? Dia meminta aku sayangkan dia? Biar betul dia ni! Sorry mr widower. You are not my taste!  “Jangan merepek boleh.”

“Saya tak merepek. Saya serius,” sedikit tinggi suaranya menerjah gegendang telinga aku.  Kalau intonasinya tinggi ternyata dia tidak bergurau.  Anak beruang anak cicak, anak rusa makan duku, bergurau atau tidak, itu tidak terkesan di hati aku.  Ceh! Best jugak pantun spontan aku.

Aku mendengus dan berpaling darinya.  Malas aku hendak melayannya.  Selamat tinggal Luqman Hakimi.  Esok kau takkan jumpa aku lagi.  Aku harap kau jangan sesekali cari aku kerana aku tidak berminat untuk menemui kau lagi.  Good bye mr widower!  Selamat tinggal juga untuk Taska Mithali.

Aku masuk ke taska untuk bersalam dan bermaafan dengan Kak Azmah dan semua pekerja lain.  Manakala Luqman Hakimi telah menghilang dengan Mercedesnya.  Takkanlah dia hendak tunggu lagi apabila aku sudah tidak mempedulikannya.

Kami semua saling berpelukan.  Semoga mereka semua terus ikhlas berkhidmat di situ.  Menjaga semua kanak-kanak seperti menjaga anak-anak sendiri.

Aku gembira beroleh pengalaman di sini.  Segala kenangan akan kusematkan dalam ingatan.  Apa yang baik aku jadikan sempadan, apa yang buruk aku jadikan tauladan.  Sesungguhnya pengalaman itu mahal harganya dalam hidup kita.  Tidak mampu untuk kita beli kerana pengalaman itu perlu dirasai sendiri.

Menurut Heinrich Heine pengalaman boleh diandaikan sebagai sekolah terkenal tetapi pembiayaan untuk ke sana adalah terlalu mahal.

Siapa Heinrich Heine tu?  Pandai-pandailah korang google sendiri memandangkan zaman sekarang segalanya di hujung jari.  Macam tu pulak……..


Mar 17, 2014

BAB 15 OOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA




Aku mengemas permainan yang disepahkan oleh kanak-kanak di dalam satu ruang di taska.  Satu persatu aku masukkan ke dalam bakul kerana sekejap lagi masa kerja akan tamat.

“Qis, lusa pekerja baru akan datang masuk kerja,” beritahu Kak Azmah pada aku yang sedang terbongkok-bongkok mengutip permainan.

Hidup perlu berbuat baik.....hari ini aku dapat berita baik.....

Aku ingin melonjak semahunya ibarat kera mendapat bunga. Ini bermakna lusa aku boleh balik kampung.  Dan ini juga bermakna yang lusa aku tidak perlu datang ke taska lagi.  Yang penting sekali ialah aku tidak perlu mengadap mr widower itu lagi. Yeay!

“Ya ke Kak Azmah? Jadi esok last Qis kerja kat sini kan?”  Aku bertanya dengan begitu teruja.  Pantas sahaja aku menghampirinya.

“Kiranya begitulah,” jawab Kak Azmah.  Jawapan itu cukup indah bagiku.  Rasa macam menang peraduan pulak.

“Wah! Bestnya. Qis dapat balik jumpa umi.” Aku bersorak girang.  Lagak seperti kanak-kanak baru dapat aiskrim.

“Amboi sukanya dia. Sedihlah akak dengan budak-budak tak dapat jumpa Qis lagi.”

Sayu pulak aku dengar.  “Sayang juga Kak Azmah dekat Qis ya…..…”

“Mestilah. Walaupun Qis masih muda dan belum matang tapi akak seronok dapat kenal Qis. Qis pandai jaga budak-budak ni semua.”

Aku peluk lengan Kak Azmah.  “Kak Azmah janganlah sedih. Qis tak akan lupakan akak. Kalau rindu Kak Azmah boleh telefon Qis bila-bila masa akak suka. Nanti Qis datang KL lagi Qis akan datang jenguk taska ni.”

“Harap-harap macam tulah. Jika berjaya ke menara gading jangan pula lupa akak. Qis nak kahwin kena jemput akak,” pesannya.

“Insyaallah Qis tak lupa tapi bab kahwin tu lambat lagi tau,” sempat lagi aku mengingatkan Kak Azmah mengenai hal itu.

“Ye ke lambat? Qis kan cantik ramai orang suka. Tengok encik……….”

“Akak…….” Belum sempat Kak Azmah sebut nama mr widower tu cepat-cepat aku memintas.

Kak Azmah tersipu-sipu. “Eh…..panjang umur dia Qis. Baru sebut dah sampai. Nak ambil Danishlah tu.”

Aku berpaling.  Ternyata BMW milik Luqman Hakimi sudah tersadai di hadapan pagar taska.

“Danish………” Aku memanggil Danish yang sedang bermain dengan Mia.  Baik pula mereka berdua hari ini.  Siap boleh jadi geng kamceng.  Kebetulan ibu Mia pun turut sama lewat datang mengambilnya.

“Ya cikgu,” sahut Danish.

“Ambil beg. Papa dah datang tu,” aku mengarahkan budak comel itu mengambil begnya.

“Baiklah cikgu,” Danish akur.  Bye Mia.” 

Dengan cepat Danish meluru ke bawah untuk mendapatkan papanya.  Danish lari macam arnab tapi aku berjalan macam kura-kura.  Lembik saja time nak kena hantar Danish ke keretanya.

“Qis ni tak makan nasi lagi ke?” Tanya mr widower itu apabila aku berjalan macam itik pulang petang.  Danish telah pun masuk ke dalam kereta.

Soalan yang boleh buat aku berdesing telinga.  Perli akulah tu. “Saya diet.”

“Kurus melidi macam ni pun diet?” Soalnya dengan terkejut.  Boleh pulak mr widower ni percaya.  Jenis mudah ditipu agaknya dia ni.

“Kena dietlah jimatkan duit. Saya bukannya orang kaya dapat makan sedap-sedap. Duit yang saya kerja ni pun nak guna untuk sambung belajar.” Pandai kan aku menipu? Tapi bukan untuk meraih simpati.

“Kesiannya kat awak. Kalau macam tu biar saya taja awak belajar sebagai upah extra awak menjaga Danish.”

Serius ke mamat ni? Kalau bunyi taja ni nilainya mestilah banyak. Aku kan dibayar gaji jaga Danish kat sini. Dia juga telah membayar yuran yang mahal pada taska ini.  Tak pernah pulak aku dengar pekerja taska dapat upah lagi dari ibu bapa.  Lainlah kalau aku jaga Danish di rumah dia.  Bolehlah dia bayar extra.  Aiseyman! Terlajak dermawan pula encik duda ni.

“Tak apa. Tak apa Encik Luqman. Saya tak nak duit encik. Terima kasihlah banyak-banyak. Kalau dah rasa duit tu melimpah sangat bagi je pada anak yatim.”

Anak yatim? Kau pun anak yatim Qistina.  Aku dah besar panjang bagi pada yang kecik-kecik di rumah anak yatim tu.
Luqman Hakimi tersengih menampakkan barisan giginya yang putih bersih.  Kacak juga dia ni.  Nasib baik aku tak tergoda.

“Lepas bagi pada anak yatim melimpah lagi sebab tu saya nak bagi pada awak,” dengan selambanya mr widower itu berkata.

Sengalnya dia ni!  Bebal sungguh.  Tak makan saman apa yang aku cakap.  Huh! Malas nak layan,” aku mendengus dan berlalu.

Ada-ada saja yang dia nak cakap.  Konon nak ambil hati aku.  Ingat aku ni silau mata ke duit dia? Aku tak silaulah dengan semua tu.  Jangan kau ingat kau kaya kau boleh beli hati perempuan dengan duit.  Mungkin gadis lain ya tapi bukan Qistina Airisa.  Aku tidak serendah itu.

Emosionalnya kau Qistina.  Dia tak cakap pun nak beli cinta kau.  Dia cuma cakap hendak taja kau belajar.  Kenapa kau suka berprasangka buruk padanya? Biarlah.  Ada aku kisah?

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Aku menikmati makan malam bersama Kak Ina, Abang Zaman dan Azfan.  Sedap tomyam seafood buatan Kak Ina.  Aku tengok Abang Zaman begitu berselera sampai menambah nasi.  Agaknya second wife dia masak tidak sesedap masakan Kak Ina.  Pandai-pandai je aku ni padahal aku tak pernah tahu pasal isteri kedua dia.  Jumpa pun tidak pernah dan aku tidak berangan untuk terjumpa dengan madu kakak aku itu.

Lebih baik aku tidak kenal siapa wanita yang merampas suami kakak aku.  Aku cukup pantang dengan orang yang menjadi perosak rumahtangga kaum sejenisnya.  Kalau aku jumpa dia tentu amarahku tidak mampu dikawal.  Melukakan hati Kak Ina samalah macam melukakan hati aku.  Umpama peribahasa cubit paha kanan paha kiri terasa juga. 
Meskipun Kak Ina telah menerima madunya itu dan redha suaminya berpoligami tapi aku tidak boleh menerimanya.  Kalau aku suami nak bernikah lagi boleh tapi kenalah izinkan aku berundur terlebih dahulu.  Aku lain Kak Ina lain.  Kak Ina penyabar bukan hati keras macam aku. 

Setiap orang mempunyai persepsi sendiri tentang hidup berpoligami.  Ada yang boleh terima ada yang tidak boleh.  Namun sebagai orang Islam jika suami kita mampu kita kena terima.  Lagipun itukan sunnah Rasulullah SAW.   Orang yang berpoligami itu pula mesti mampu zahir dan batin dan juga boleh berlaku adil.  Kalau tidak senget sebelah dia di akhirat kelak.

“Jadi ke Qis berhenti kerja esok?” Tanya Abang Zaman sekaligus melenyapkan khayalan aku.  Khayalan yang melibatkan dirinya itu.  Dulu masa aku tahu dia kahwin lagi aku rasa nak ketuk-ketuk kepala dia.  Rasa ingin menghadiahkan penampar percuma.  Muka dia pun  aku meluat nak pandang.  Teruk kan adik ipar macam aku ni.  Emosi melebihi orang yang mengalami.

“Jadi…..sebab lusa orang baru dah masuk,” jawab aku.  Kak Ina pun mesti sudah beritahu dia pasal tu.

“Kenapa awal sangat nak berhenti kerja? Bukan lambat lagi lapor diri.”

“Memang lambat lagi Abang Zaman. Qis saja hendak balik teman umi pulak,” aku mencipta alasan padahal sebab utama adalah ingin mengelak dari mr widower itu.  Sorry aku nak bagitahu Abang Zaman akan kemunculan duda itu dalam hidup aku.

“Sunyilah Kak Ina kamu lepas ni.”

“Tak apalah abang. Ina kan ada Azfan. Umi kat kampung tu sorang-sorang je. Nasib baik malam-malam anak Pak Long si Mira tu datang temankan dia,” sampuk Kak Ina.

“Habis tu lusa ke Qis balik Pahang?” Soal Abang Zaman lagi.

“Ingat macam tulah,” balas aku sambil meneguk air sirap.  Nasi dalam pinggan sudah pun aku habiskan.

“Nanti lepas habis mengajar Ina hantar Qistina. Yelah keesokannya kan hari minggu,” Kak Ina memberitahu suaminya tentang hajat untuk menghantar aku pulang ke kampung.  Bukan aku eksyen tidak mahu naik bas tetapi Kak Ina yang beria-ia hendak hantar.  Katanya dia boleh balik jenguk umi sekali memandangkan hari aku balik tu petang jumaat.

“Kalau macam tu abang ikut sekali.”

“Bukan ke hari tu giliran….”

“Tak apa. Nanti abang ganti hari lain,” pintas Abang Zaman.  Amboi baik hati pula abang ipar aku kali ni nak ikut kami balik kampung.  Elok juga Kak Ina tidak perlu memandu jauh.  Dalam perjalanan kembali semula ke Kuala Lumpur nanti tidaklah aku dengan umi risau sebab Abang Zaman ada sekali.

Mar 11, 2014

BAB 14 OOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA



Aku mengelipkan mata beberapa kali melihat sejambak bunga ros merah yang dihulur kepada aku.  Seumur hidup aku, aku mana pernah mendapat bunga.  Dulu kan aku bersekolah siapa yang nak bagi bunga pada budak sekolah.  Usah nak bagi bunga pada kau Qistina masuk dekat pun lelaki takut.  Sekali kau mengaum tak cukup tanah dia orang lari.  Garang macam singa betinalah katakan.

Sebagai seorang yang bernama perempuan semestinya aku sukakan bunga tapi bila ianya datang dari si duda itu aku jadi teragak-agak untuk menerimanya.  Mata kata mahu tapi hati kata tak mahu.

Entah mimpi apa bapak Danish petang ni.  Janganlah kau dilanda mimpi jadi mat romeo kerana aku tidak sudi untuk jadi julietnya.  Datang hendak ambil anak tapi sempat bawa bunga.  Kenapa dia perlu memberi aku bunga? Adakah kerana dia tahu perempuan sinonim dengan bunga? Kalau aku cakap aku ni antonim dengan bunga macam mana?

“Qistina, terimalah bunga ni,” katanya dengan gaya seorang kekasih memberikan bunga buat buah hatinya.  Mualnya aku.

“Kenapa Encik Luqman bersusah-payah belikan saya bunga? Saya tidak perlukannya,” balas aku dengan jual mahalnya. 

“Tidak susah pun. Ambillah saya ikhlas.”  Dia menghulurkan jambak bunga itu lebih dekat kepada aku.

“Tapi saya tidak sukakan bunga. Saya allergic,” aku berdalih.  Aku picit-picit hidung macam aku alahan dengan bunga di tangannya itu.

Aku lihat wajah Luqman Hakimi serba-salah dan kelihatan keruh.  Tiba-tiba aku rasa hendak sakat dia.  Sebelum ni kerap benar dia ketawakan aku.  Kali ni aku nak ketawakan dia.
Aku meledakkan ketawa.  Dia terpinga-pinga melihat aku yang tiba-tiba ketawa.  Mesti dia kata gila ke apa budak ni tiba-tiba ketawa.  Biar dia anggap aku gila sebab lepas ni tidak perlu cuba nak ‘usha’ aku.

“Kenapa Qistina ketawa?” Tanya mr widower itu dengan teragak-agak.

“Percaya ke perempuan macam saya tidak sukakan bunga? Percaya yang saya allergic bunga?” Soal aku sambil mengangkat kening.  Ketawa yang aku ledakkan tadi sudah tidak bersisa.

“Entahlah saya tidak tahu sama ada Qistina allergic bunga atau tidak. Yang saya tahu semua perempuan suka bunga,” ujar dia pada aku.  Betullah tu perempuan tidak boleh dipisahkan dengan bunga. 

“Stereotaipnya Encik Luqman ni,” dengus aku.

“Tak kisahlah Qistina nak cakap saya apa pun. Yang penting terima bunga ni. Andai kata cik Qistina tak suka…….balik nanti bagilah pada kakak awak.”

Huh! Dia ni tak dapat mengorat aku ada hati nak test Kak Ina pula.

“Encik Luqman kakak saya sudah punya suami. Awak tak perlu try ok,”  kata aku dengan tegas.  Cemburu ke Qistina? Sampai bagi amaran macam tu. Dia tak kata pun dia nak mengorat kakak kau.  Yarks! Nonsense.  Tak kuasa aku nak cemburu.

Luqman Hakimi tersenyum sinis.

Aku mengerutkan kening.  Hampir bertaut kening di sebelah kiri dan kanan.  “Kenapa senyum macam senyum kambing tu?”
Nothing. Oklah saya balik dulu. Nah ambik bunga ni.” Dia mendekatkan jambak bunga itu sehingga hampir terkena hidung aku.  Nak suruh aku telan ke apa! Dahlah bagi cara paksa. Ditonyoh pula pada kita.

Aaa…..chummm!” Aku terbersin.  Tulah pandai sangat mengaku alahan pada bunga.  Sekarang terbukti aku menerima balasan. 

“Alhamdulillah,” dengan pantas dia menjawab bersin aku. “Betul allergic rupanya. Sorry,” sambung Luqman Hakimi.

Dia ni sengaja nak kenakan aku ke? Mentang-mentanglah aku jual mahal.

“Balik nanti simpan elok-elok. Letak cantik-cantik dalam pasu tapi jangan cium selalu. Awakkan allergic, nanti asyik achum-achum,” pesan mr widower itu.  Dan aku dapat merasakan yang pesanan itu seolah-olah memperli aku.

Aku merengus geram.

“Assalamualaikum. Bye,” katanya sebelum membolos masuk ke dalam BMW miliknya.

Aku hanya menjawab salam dalam hati sambil memandang bunga yang sudah kejap di tangan aku.  Habislah aku kena perli dengan Kak Azmah dan Kak Isma nanti.  Kalau kat rumah giliran Kak Ina yang menyakat.  Nasiblah…
           
Ehem…ehemm,” Kak Azmah sengaja berdehem selepas kereta Luqman Hakimi meluncur pergi.  Aku tahu dia dia berdehem untuk aku.
           
“Kak Azmah nak ambillah,” kata aku lalu menghulurkan jambangan bunga ros merah segar itu.
            Hek eleh Encik Luqman bagi dia hulur kat kita pulak….. Bertuah Qis dapat pakwe orang kaya.” Bila masa pulak mr widower tu pakwe aku?  Janganlah gosip Qis dengan dia wahai Kak Azmah.  Tak moo…tak moo….
           
“Eh…eh…dia bukan pakwe Qis lah Kak Azmah. Qis langsung tak sukakan dia.”
           
“Tak percaya akak Qis tak suka dia. Encik Luqman tu dahlah kaya kacak lagi. Ha entah-entah Qis nak berhenti kerja awal ni sebab nak balik siapkan perkahwinan Qis dengan dia kut…” Kak Azmah melemparkan serkap jarangnya pada aku.  Kak Azmah serkap tu bocor tak kena ikan punya.
           
“Astagfirullahalazim akak ni,” aku beristighfar tanda menafikan telahan Kak Azmah.  “Mana ada. Qis ni baru habis SPM tahun lepas.. Tak terlintas langsung pasal nikah kahwin ni,” tinggi suara aku menyatakannya.
           
Tersengih Kak Azmah apabila serkapnya tidak mengena.  Dah namanya serkap jarang ikan mana yang lekat.  Hehe… akak agak je.”
           
“Kak Azmah jangan cakap macam tu lagi. Sekalipun dia suka Qis tapi itu tidak bermakna Qis akan sukakan dia,” aku mengingatkan Kak Azmah.
           
“Yelah,” dia mengangguk faham. Mungkin dia sudah tersentap tatkala aku meninggikan suara tadi.  Kut ya pun pandai-pandai dia serkap jarang.
           
Bunga di tangan aku campakkan di dalam bakul sampah di taska.  Aku tidak ingin membawanya pulang.  Kalau aku bawa balik Kak Ina pula yang banyak soal.  Lebih baik aku buang saja.  Aku tidak mahu sebarang pemberian dari mr widower itu.  Fullstop!

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

            “Kau serius ke dengan dia Luq?” Tanya Farid ketika mereka berdua keluar minum bersama.  Jika Luqman kelapangan di sebelah malam kerap juga dia keluar dengan Farid.  Biasalah orang lelaki tak sahlah kalau tidak keluar bersembang dengan kawan-kawan.
           
“Entahlah Farid. Aku pun tak tahu. Yang nyata aku tenang sangat bila dapat tengok wajah comel dia. Aku gembira dapat mendengar suara dia,” jawab Luqman Hakimi mengenai perasaannya.  Jujur dia tidak membohongi sahabatnya itu.
           
“Kalau begitu dah sah kau jatuh cinta,” ujar Farid.
           
Luqman Hakimi meletakkan tangan ke dada bidangnya.  “Jantung aku dup dap dup dap bila sampai depan taska.”
           
Farid melihat gaya Luqman umpama orang mabuk bercinta. “Berat dah kau ni.”
           
“Memang pun berat. Suka pada budak baru lepas SPM. Kalau dia pun suka aku tak apalah jugak,” Luqman Hakimi menempelak diri sendiri.
           
“Jadi kau syok sendiri.  Bertepuk sebelah tangan?” Tanya Farid yang sepertinya terkejut.  Kurang percaya pun ada kerana orang sekacak dan sekaya Luqman boleh syok sendiri.
           
“Ye kut…..” ujar Luqman teragak-agak.  Jus tembikai laici itu disedutnya perlahan.
           
“Kau ni memang sakitlah. Dahlah tangkap cintan dengan budak tak cukup umur lepas tu kau kena penyakit SS pulak. Kalau aku taklah…..….” leter Farid.
           
Lerr….kau ni cinta tak kenal siapa. Aku tak minta degupan cinta hadir dalam hati aku buat gadis belasan tahun. Tapi andai itu yang Allah takdirkan untuk aku, aku dengan redha lagi senang hati terimanya,” luah Luqman Hakimi dengan bersungguh-sungguh.
           
Farid merengus. “Masalahnya budak tu tak suka kau.”
            “Sebab tu sedaya upaya aku nak tawan hati dia. Petang tadi aku bagi dia bunga,” Luqman tanpa segan memberitahu Farid sikap mat romeonya itu.
           
“Hahaha!”  Farid ketawa terkekek-kekek dengan pengakuan Luqman Hakimi memberikan bunga pada budak yang dianggap bawah umur itu.  Geli hatinya membayangkan jejaka hensem lagi kaya memberikan bunga pada gadis yang baru belajar kenal erti hidup.
           
Hei kau ni kenapa? Ketawa macam tengok cerita Mr Bean,” marah Luqman pada kawannya itu.  Entah apa yang menggeletek hati kawannya itu.  Rasanya tiada apa yang melucukan apabila si jejaka memberi bunga pada sang gadis.
           
Farid menghapuskan ketawanya. “Kau tulah jadi mr romantic pada budak hingusan.”
           
“Kau ni mulut tak ada insurans erk? Aku saman baru tahu,” ugut Luqman.  Ugut
bergurau.  Mana mungkin Farid disamannya.
           
Farid membuat muka biasa. “Oklah aku serius. So dia terimalah bunga kau?”
           
“Mestilah terima perempuan kan suka bunga tapi liat sikitlah nak ambil tu.”
           
See! Liat nak ambik maknanya dia tak suka kau.”
           
“Habis nak buat macam mana aku suka dia.”
           
“Penyakit apalah yang serang kau ni Luq? Budak tu esok lusa hendak pergi sambung belajar. Manalah dia nak bercinta dengan orang yang lebih tua dari dia. Kalau tua setahun dua tu tak apalah, ni berbelas tahun.  Dia terlalu muda untuk kau Luq.”
           
Luqman Hakimi menarik nafas dalam-dalam. “ Entahlah. Aku pun tak reti nak cakap.”
           
Farid menjongket bahu. Dia juga tidak mampu komen apa-apa lagi.  Jus durian belanda yang berada di atas meja disedutnya.  Sedap rasa air buah itu menyejukkan kerongkongnya.
           
Dia tertanya sendiri secantik mana gadis itu sehingga mampu membuatkan Luqman Hakimi terkena penyakit cinta.  Apakah gadis itu persis bidadari yang membuatkan Luqman lupa yang dia tidak sesuai untuk bersama dengan gadis belasan tahun?
           
Pada fikirannya gadis itu tidak matang.  Bagaimana ingin berganding dengan businessman seperti Luqman Hakimi?  Bagaimana ingin menyesuaikan hidup dengan golongan kelas atasan sedangkan gadis itu baru belajar mengenal hidup?  Rendah pandangan Farid pada Qistina Airisa.
           
Belajar pun setakat SPM yang semua orang sudah melepasinya.  Tidak cukup ilmu lagi gadis itu untuk bersama Luqman.  Apa sebenarnya yang menyebabkan sahabatnya itu gila bayang kepada gadis belasan tahun?  Luqman…….Luqman……..