Feb 26, 2014

Bab 4 Biasan Cinta Semalam

Kucilok pic Izzue dari drama Aku Bukan Mistress



Cuti Melia sudah berakhir dan hari ini dia sudah kembali bekerja.  Pagi-pagi lagi dia perlu ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan kes pecah  amanah  anak Datuk Khairul.

Assalamualaikum. Mel kenapa awak
tidak mahu jawab call saya?

 
Tertera Sistem Pesanan Ringkas yang dihantar Azrul kepadanya.  Sudah berpuluh kali nombor telefon yang tidak dikenali menelefonnya.  Dia amat yakin itu adalah nombor Azrul. Dia sengaja tidak mahu mengangkatnya.  SMS lelaki itu pun tidak dibalasnya.  Azrul pula masih tidak berputus asa untuk menghubunginya.
           
Selepas selesai makan tengahari Melia terus naik ke pejabat, kerana menurut pembantunya Sherry ada pelanggan sedang menunggunya di pejabat.
           
“Mana orang yang nak jumpa saya tu Sherry?” Tanya Melia sebaik naik ke pejabat.
           
“Ada dekat ruang menunggu.  Nanti saya panggilkan,” jawab Sherry lalu menuju ke ruang menunggu.  Melia pula bergegas ke biliknya.
           
“Jemput masuk,” Melia mempersilakan lelaki yang disangka pelanggannya masuk.
           
“Sila duduk,” Melia mempelawa lelaki itu duduk tanpa memandangnya.
           
“Mel,” suara itu menggetarkan jiwanya.  Dia mendongak.  Wajahnya berubah melihat Azrul.  Pipinya terasa panas dek kerana malu bersemuka dengan Azrul. 

Bagaimanalah dia mahu mengawal perasaannya tatkala kenangan semalam mula hinggap di memorinya.  Tidak terlintas di mindanya selama ini untuk menemui Azrul lagi setelah apa yang berlaku 12 tahun dulu. Dia sudah lama menguburkan perasaannya.  Dia sudah menganggap lelaki itu tidak wujud dalam kamus hidupnya.
           
 “Maafkan aku Mel sebab tak beritahu dulu nak datang pejabat kau,” Azrul memulakan bicara lantaran Melia hanya membisu.
           
“Mana kau tahu pejabat aku kat sini? Azman ke yang  cakap?” Tanya Melia dengan nada sedikit tinggi.  Tidak senang benar dia akan kedatangan lelaki itu.
           
“Mel, siapa pun beritahu itu tidak penting. Yang penting aku nak jumpa kau,” jawab Azrul dengan bersungguh.  Susah payah dia mencari pejabat Melia namun gadis itu tidak menyukai kedatangannya.  Tidak bersyukurkah dia dipertemukan semula dengan aku?
           
“Maaf Encik Azrul.  Ini pejabat tempat saya bekerja dan berurusan dengan client. Saya tidak berminat melayan orang yang tiada urusan kerja dengan saya,” kata Melia dengan angkuh.
           
Tenang wajah Azrul menyambung bicara, “Ya, aku faham.  Aku tidak akan ambil masa lama untuk berurusan dengan kau.”  Azrul tidak mahu menyakitkan hati gadis itu dengan kedatangannya. 

Dia sedar dia kini di depan seorang peguam.  Zahirnya nampak begitu cantik dipandang tetapi di dalamnya tersembunyi ketegasan.
           
“Baguslah.  Sekarang  beritahu apa urusan kau dengan aku?” Melia berkata dengan sombong.  Dia tidak mahu berbudi bahasa dengan lelaki itu.  Mengenali lelaki itulah yang membuat dia jadi begitu. 

Dia begitu kental selama ini demi membalut luka yang paling tajam yang pernah lelaki itu tinggalkan untuknya.  Walaupun mereka pernah berkawan rapat dulu namun bagi Melia semua itu sudah tiada erti.

“Mel, apa lagi cara yang aku ada supaya dapat bercakap dengan kau selain datang ke sini.       Semua panggilan aku tidak kau jawab.   SMS yang aku hantar langsung kau tak balas.”

Melia merenung wajah lelaki di depannya itu. Lelaki yang pernah wujud dalam hidupnya dulu. Azrul masih lagi tampan seperti di zaman sekolah dulu, cuma yang berubah gaya rambut, pemakaian, kumis nipis dan sedikit janggut yang tumbuh di dagunya. 

“Penting ke kau nak jumpa aku?” Soal Melia yang masih tidak senang akan kedatangan lelaki itu ke pejabatnya.  Takut nanti ada yang salah faham mengenai tetamu yang tidak diundang itu.  Sebelum ini pelanggan-pelanggan yang datang berurusan di pejabat tiada yang sekacak Azrul.  Ada pulak macam tu.  Mel…..Mel…..

Azrul….Azrul kau juga yang kacak di mata aku.  Mimpi di siang hari lagi ke Melia?

“Ya penting.  Sebenarnya aku nak minta maaf dengan kau atas apa yang berlaku antara kita dulu,” jawab Azrul pada gadis bersuit hitam di depannya itu. 

“Minta maaf untuk apa?” Melia seolah-olah memperlekeh ucapan Azrul itu.  Mamat ni datang terjah pejabat aku nak minta maaf.  Mengapa tak minta maaf sebelum SPM lagi?  Kalau awal-awal kau minta maaf dulu jawabnya aku dah jadi bini kau sekarang.  Ini ambil masa sampai 12 tahun mana tak jadi batu hati aku ni.
  
 “Untuk kata-kata aku dulu yang telah mengguris hati kau.  Kalau boleh aku nak kita bersahabat macam dulu,” Azrul membuat pengakuan pada Melia.  Dia ikhlas untuk menjalin semula hubungan dengan gadis bermata hazel itu.  Bertahun dia di Russia namun dia tidak jumpa bayangan gadis seperti Melia.   Silau matanya untuk melihat wanita lain.        

“Azrul…….aku ada banyak kerja ni.  Aku ‘busy’ sebenarnya. Tahu sajalah skop kerja aku ni.”  Melia mencipta alasan.

“Aku tunggu lepas kau habis kerja,” Azrul masih menaruh harapan walaupun gadis itu sudah menyatakan kesibukannya.  Azrul buat-buat tidak faham dengan kata kiasan Melia untuk menghalaunya keluar.  Dia masih berusaha menebalkan mukanya.  Demi kemaafanmu Mel sehari bertenggek kat sini pun aku rela.

 Dia ni tak faham bahasa apa.  Kang aku keluar suara loudspeaker aku macam dalam court terus lari tak cukup bumi gamaknya.  Hehe……mana boleh, kena control ayu depan lelaki.  Yang penting harus jual mahal.  Kau kena tahu yang aku ‘demand’ dah sekarang.

“Azrul, aku harap kau faham.  Di sini bukan tempat kau mengungkit masa silam.  Aku tidak berminat dengan apa yang kau katakan tadi,” suara Melia sedikit meninggi.

“Mel, berilah peluang pada aku untuk membetulkan segalanya,” lirih suara Azrul merayu.

“Kau baliklah Azrul.” Melia sudah cuak dengan Azrul.  Jika ikutkan hati mahu saja fail keras di hadapannya dihentak ke kepala Azrul.  Biar lega keparahan jiwanya selama ini.

Azrul tidak faham mengapa Melia begitu sekali tidak mahu bercakap dengannya.  Apalah salahnya jika dia diberi peluang bercakap atau menerima saja permohonan maaf darinya. 

“Baik…..aku boleh pergi tapi jangan kau ingat pertemuan kita habis setakat ini.” Azrul mengalah dan bingkas dari kerusi.  Dia menarik daun pintu bilik Melia dan berlalu pergi. 

Melia pula berpura-pura menaip sesuatu di komputernya.  Peringatan dari Azrul itu terasa membedil hatinya.  Nyaris berkaca matanya tapi cepat-cepat dia hambat pergi ketidakkeruan itu.

Pemergian Azrul tidak dihiraukannnya.  Namun siapa tahu itu hanya lakonan zahirnya. 

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
 
            Azrul duduk sendirian di luar rumah berdekatan taman mini ciptaan ibunya.  Mata bundarnya fokus memandang bintang yang bersinar di langit.  Sesekali datang angin malam menyapa tubuhnya yang hanya memakai T shirt nipis.  Sejuknya terasa ke tulang sumsum namun fikirannya masing menerawang jauh.  Bintang cerah di langit itu ibarat Melia, indah di pandang namun jauh untuk dicapai tangan.  Hanya menjadi halwa mata namun tidak bisa jatuh dalam genggaman.  Itukah dirimu Mel?
           
“Tak sejuk ke duduk sorang-sorang kat luar ni?” Sapaan ibunya mengembalikan Azrul ke alam nyata.  Dia berpaling dan memberi senyuman.     
           
“Rul, dah makan ke belum?” Soal puan Zaiton kerana dia melihat anak terunanya tadi termenung jauh.
           
“Belum mama,” jawab Azrul lemah.
           
“Kenapa termenung je mama tengok ni?  Ramai patient ya hari ini?”
           
“Taklah ma. Macam biasa saja.  Rul cuma nak ambil angin malam ni.”
           
“Rul……mama nak tanya Rul ni,” Puan Zaiton teragak-agak untuk bertanya pada anak terunanya.  Dia risau soalannya nanti memberi tekanan kepada Azrul.

“Tanyalah mama.  Takkan nak tanya anak sendiri mama minta izin.  Selagi Rul boleh jawab…….Rul akan jawab. Tapi kalau Rul tak boleh jawab Rul geleng jelah,” jawab Azrul jujur pada ibu kesayangannya.  Ibu mana yang tidak risau jika nampak anaknya bermasalah.

“Dulu, Rul pernah beritahu mama kalau Rul tak jumpa gadis yang Rul cari sampai umur  30 tahun, Rul akan terima pilihan mama.  Jadi sekarang macam mana?”

“Oh tu……soalan mama rupanya.  Mama, kan Rul baru 29 ni.  Belum pun jadi bujang terlajak.” Memang sebelum ini dia ada menyatakan begitu kepada ibunya kerana wanita itu seringkali bertanya mengenai teman wanita.  Ibunya juga ada menawarkan calon isteri sebelum ini.
           
“Ya…..mama tahu sebab tu mama tanya.  Tak lama lagi dah nak masuk 30 tahun kan, jadi kalau kamu tak ada calon memang mama nak cari.”
           
“Dah agak mama akan cakap macam tu.  Baiklah ma, Rul nak bagitahu yang sebenarnya Rul dah jumpa dia.”
           
“Alhamdulillah.  Habis bila nak bawa balik jumpa mama?” Tanya ibunya tidak sabar untuk melihat gadis yang dicari anaknya selama ini.  Lega hatinya mendapat perkhabaran itu.
           
“Sabarlah ma.  Kami perlukan masa untuk memperbaiki hubungan kami,” jawab Azrul.  Dia tidak mahu bercerita lanjut pada ibunya mengenai Melia kerana dia tidak mahu ibunya terlalu menaruh harapan.  Realitinya memang mereka perlukan masa. 
            “Kenapa? Mama tak fahamlah sayang.” Puan Zaiton kurang mengerti maksud anaknya.  Apa yang hendak diperbaiki sedangkan mereka baru bertemu?  Orang muda bercinta macam-macam ragam agaknya.
           
“Rul pernah sakitkan hati dia.  Insyaallah jika hubungan kami dah baik Rul pasti akan bawa dia jumpa mama,” itu sahaja yang mampu Azrul beritahu ibunya.  Harap-harap suatu masa nanti dia berjaya membawa Melia menemui ibunya.
           
Puan Zaiton mengangguk kepalanya, dia tidak mahu mengusul banyak perkara kepada anak bujangnya itu.  Dia percaya anaknya sudah cukup matang untuk menangani segala masalah yang menimpa.  Sebagai ibu dia selalu mendoakan yang terbaik untuk anak-anaknya. “Baguslah macam tu.  Mama doakan segalanya berjalan dengan baik.  Tak payahlah termenung lagi jom kita pergi makan.”
           
“Baiklah mamaku sayang,” kata Azrul demi menceriakan ibunya.  Dia mengekori ibunya masuk ke dalam rumah.

2 comments:

  1. Sempat lagi mencilok gambar izzue tu ye....hahaha...den likee

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sebab dah tak sabar nak tengok dia berlakon sebagai Mikael..
      Hehe...

      Delete