Feb 25, 2014

Bab 3 Biasan Cinta Semalam


                               

            Cinta terpisah ruang waktu…..
Tetap cinta bersatu dalam hatiku…..
Walau raga kita tak mungkin bersama…..
Ku yakini hati kan tetap setia…..
Kupercaya ke mana  pun kau berjalan
            Suara cinta menuntun mu kepadaku….
            Kerna bila cinta sudah bersenandung….
            Takkan terpisah hati…..
Demi cinta dalam hatimu……
Kuyakin engkau untukku…….
Meski jejak pisahkan kita……. Cinta kan bawa kembali……

Alunan lagu Muara Hati bergema di telefon bimbit Melia menandakan ada panggilan masuk.Macam kena je lirik tu dengan tuan punya buat deringan.  Kalau Nazira dengar teruk ni Melia kena bahan.

Dia mencapai telefon dan menekan butang hijau.

“Mel, kenapa kau tadi cepat sangat nak balik?” Bunyi suara Nazira di talian.

“Amboi tak bagi salam pun.  Aku sakit perutlah tadi.”

“Alasanlah tu. Kau nak lari dari  jumpa Azrul kan?” Nazira melemparkan soalan serkap jarang.


“Eh tak lah. Aku sakit perut betullah,”suaranya ditekan untuk menggambarkan yang dia benar sakit perut.

“Macam aku tak kenal kau.  Jangan kelentonglah Mel,” bunyi suara Nazira di corong telefon seakan memerli.

Eh…Eh dia ni cakap aku bohong pulak.  Tukang sihir apa si Zira ni? “Dah tu buat apa tanya?” Melia malas hendak menokok tambah cerita rekaannya yang tidak berasas itu.  Dia pasti Nazira tidak akan mengambil pakai alasan itu.

“Saja aku nak kan kepastian,” balas Nazira bersahaja.

Kena ubah topik ni.  Nanti ahli sihir dalam telefon ni buat sihir sampai aku tunduk untuk bercerita perkara sebenar.  Itu memang tak boleh jadi. “Zira…..macam mana jadi tak kau nak pindah duduk dengan aku ni?”

“Cepatnya tukar topik.  Jadilah, apasal tak jadi pulak.  Nanti housemate kau tu keluar, aku angkut barang masuklah.”

“Beres my lovely friend.  Assalamualaikum” Talian terus dimatikan.

“Waalaikumussalam,” jawab Nazira walaupun talian sudah ditamatkan. 

“Sajalah tu cepat tekan merah.  Takut aku korek rahsia dia,” gerutu Nazira sendirian.  Buatlah jual mahal kat aku Melia, nanti tiba masanya aku juga yang kena tadah telinga dengar luahan hati engkau tu.

Melia lega Nazira tidak terus usul bertanya tentang dia dan Azrul.  Minah tu memang nak mengusul, aku je yang cepat tukar topik.  Aku juga yang lekas-lekas letak telefon sebelum dia menjawab salam.  Nampak sangat nak mengelak kan?  Ah! Biarlah…....

Lagipun kepastian Nazira untuk tinggal bersama dengannya juga penting.  Dia perlukan keputusan yang cepat memandangkan minggu depan teman serumahnya itu akan berpindah.  Anita bakal berkahwin dan akan tinggal dengan suaminya di tempat lain nanti.  Jika Nazira tidak memberikan persetujuan dia berniat ingin mencari penyewa yang lain. 



Malam itu Azrul tidak terus pulang ke Kuala Lumpur.  Dia menginap di rumah Azman.  Dia berkira-kira untuk ke rumah Melia pada keesokan harinya.  Azman pun sudah memberikan nombor telefon Melia kepadanya tetapi dia tidak berani lagi menghubungi gadis itu.  Dia buntu.  Dia juga segan untuk bertandang ke rumah anak dara orang. Azman pada mulanya agak takut untuk memberikan nombor telefon Melia kerana Nazira pernah memberitahunya yang Melia tidak sukakan Azrul.  Lantaran Azrul begitu bersungguh-sungguh Azman jadi murah hati pula untuk memberinya. 

“Rul, kau macam mana. Jadi tak nak pergi rumah Melia esok?” Tanya Azman kepada Azrul selepas mereka menikmati makan malam.  Mereka berdua duduk di anjung rumah menghirup kesegaran angin malam.

“Aku pun tak tahu. Bila difikir serba tak kena jadinya. Kau rasa macam mana?” Azrul yang bingung dengan situasi dirinya menanyakan pendapat Azman.

“Kalau aku pun segan juga. Tadi nampak sangat dia mengelak dari jumpa kau. Kalau kau pergi rumah dia sekalipun belum tentu dia layan Rul…….”

“Memang tak sesuailah kan kalau aku pergi,” tutur Azrul seakan lemah semangat.

“Tahu tak apa,” balas Azman.

Azrul tersenyum kelat.  Lebih baik aku cuba berhubung dengannya melalui telefon terlebih dahulu.  Tak guna aku ke rumahnya jika kunjunganku tidak diendahkan.  Nanti malu pula pada ibu dan abahnya.  Nombornya pun dah ada dengan aku jadi bila-bila masa pun aku boleh menghubunginya.



Pagi-pagi lagi Nazira sudah bertandang ke rumah Melia kerana tengahari nanti dia mahu bertolak balik ke Kuala Lumpur.  Esok pagi dia sudah perlu masuk ke pejabat.

“Mel, cuba kau beritahu aku apa masalah kau sebenarnya? Pelik aku dengan kau kelmarin,” usul Nazira.

“Tak ada apa-apa.  Aku ok kan ni,” jawab Melia bersahaja.

“Memanglah sekarang ok, masalahnya kelmarin kau tak ok masa nampak Azrul.”

Rupanya Nazira belum berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Melia dalam telefon semalam.  Dia masih tagihkan jawapan yang telus dari Melia.

“Kan semalam aku dah cakap yang aku sakit perut.  Jadi aku nak cepat, takkan aku nak melepas kat situ pulak,” Melia berseloroh.

“Macamlah kat rumah Linda tu tak ada tandas.  Mel……sudah 12 tahun zaman sekolah kita berakhir tapi kau tak pernah cerita kat aku pasal kau dengan Azrul.”

“Aku nak cerita apa Zira, memang tiada apa-apa.  Bukannnya kita orang ada masalah pun,” bentak Melia.  Geram pula dia apabila diasak soalan yang sama.  Naik bernanah telinganya mendengarkan nama Azrul.  Hati di dalam lagilah sakit dan pedih.

“Habis tu apasal kau nampak dia macam nampak hantu?” Tempelak Nazira.  Sengaja mencari pasal ke apa Nazira ni?  Lupa ke di depannya itu seorang peguam?

Melia mengerling tajam wajah sahabatnya.  Dia kehabisan ayat untuk mencipta alasan.  Berat baginya untuk bercerita perihal sebenar antara dia dengan Azrul.  Sudahnya dia diam, melempar jauh pandangannya keluar tingkap.  Malas mahu mengikut amarah hati. 

“Tak payah cakap pasal dia lah, ibu aku ada buat cekodok pisang. Jom kita pergi makan kat dapur,” ajak Melia setelah lama membisu.

“Aku bukan datang nak makan,” balas Nazira seakan merajuk.  Sajalah si Melia ni tukar topik.  Pantang kalau aku selidik lebih-lebih.

“Alah kau ni merajuklah tu.  Nanti sampai masanya aku cerita.  Sekarang aku belum bersedia,” bicara Melia.  Benar dia belum mahu Nazira mengetahui segalanya.  Rahsia yang diikat kemas itu biarlah dia buka perlahan-lahan.

“Jadi kau memang ada apa-apa lah dengan dia masa form five?” Usul Nazira lagi kerana tidak puas hati dengan apa yang dikatakan Melia.

“Ke situ pulak kau ni.  Kan aku dah cakap nanti. Sabar jelah…….”

“Yalah……tapi aku nak cakap ni yang Azman dah terbagi nombor telefon kau kat Azrul. Jangan marah ya.”

Melia membesarkan matanya.  Dia terkejut sangat-sangat.  Azman ni nak kena bagi nombor telefon orang tanpa keizinan.  Susah ke Azman hendak minta izin pada aku terlebih dahulu?  Lepas tu wakilkan tunang bagitahu aku.  Huh!

“Apa hal mamat tu minta nombor telefon aku? Azman tu pandai-pandai bagi tanpa tanya aku dulu tu kenapa? Banyak macho muka dia main pass nombor aku sesuka hati.”

Sorry,” Nazira meminta maaf apabila melihat sepupunya itu bagaikan marah dalam terkejut.  Nazira mati kata kerana menyedari kesalahannya tidak mengingatkan Azman terlebih dahulu.  Lagipun Nazira tidak campur semasa mereka rancak berborak.  Dalam kereta barulah Azman memberitahunya.  Ah! Mati aku dimarah Melia kali ni.

“Kau tak salah,” kata Melia mengawal perasaannya.  Dia perasan riak wajah bersalah di muka Nazira.  Hendak dimarahkan Azman pun tidak boleh juga kerana dia tidak tahu cerita.  Salahkan Nazira pun tiada gunanya.  Mereka berdua bukan tahu apa-apa.

Apakah sekarang masa yang sesuai untuk aku berterus-terang dengan Nazira? Perlukah aku bercerita dari A hingga Z kepadanya? Pentingkah untuk dia tahu sekarang kisah aku?

Andainya dia tahu tiada apa pun yang akan berubah.  Jika aku bercerita mungkin aku akan berasa lega dan Nazira pula tidak terus dilanda tanda tanya.

Maaf Zira rasanya aku belum bersedia.  Segalanya masih tertutup rapat.  Meskipun selama ini kita saling berkongsi cerita dan rahsia namun rahsia yang ini biarlah aku pegang dulu.  Biarlah rahsia yang 10% ini kupendam dahulu.  Sebabnya 90% lagi kau memang dah sedia tahu.

“Senang cerita, dia telefon aku tak payah angkat.  Buat apa nak fikir-fikir,” putus Melia yang tidak mahu memanjangkan hal itu lagi.

“Terserah pada kau Mel, kau buatlah yang  terbaik.  Aku sebagai sahabat sentiasa nak tengok kau bahagia,” ujar Nazira sambil menepuk-nepuk bahu sahabatnya.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

            Berkali-kali Azrul menekan nombor sepuluh angka itu di telefon bimbitnya.  Namun satu pun tidak lekat.  Tiada satu pun panggilan yang dibuatnya berangkat.  Begitu juga dengan pesanan ringkas.  Sekadar dihantar tetapi tidak mendapat balasan.  Seolah-olah nombor itu tidak mempunyai pemilik.
            
       “Betul ke nombor yang Azman bagi ni? Entah-entah bukan nombor dia. Tak pun dia dah tukar nombor,” Azrul mengomel seorang diri.

Kalaulah betul ini nombor kau Melia kenapa begitu payah untuk kau angkat?  Ataupun  sememangnya kau seorang yang susah angkat phone? Tak pun kau jenis orang yang tidak melayan nombor yang tidak dikenali?

Mungkin Melia sengaja tidak mahu bercakap dengan aku.  Kalau sudah terjumpa pun mahu lari apatah lagi panggilan telefon.  Mustahil rasanya untuk aku mendengar suara dia di dalam talian.

Cara lain akan kufikirkan untuk menemui kau Mel.  Aku mesti guna kaedah efektif untuk mendekati kau.  Aku perlu mengambil alternatif lain untuk bercakap denganmu.

1 comment:

  1. Nape pulak beria2 benar si Azrul tu nk conteck Melia....hmmmmm

    ReplyDelete