Feb 25, 2014

Bab 2 Biasan Cinta Semalam



Melia membuka almari pakaiannya.  Tidak banyak pakaian yang terisi di dalam almari itu.  Baju kurung yang tergantung elok pada penyangkut tidak lebih daripada sepuluh pasang.  Selebihnya baju-baju lama, baju-baju semasa di alam persekolahan.  Baju-baju Melia banyak berada di rumah sewanya di Kuala Lumpur.   

Setelah direnung dan ditelek tangan Melia mencapai sepasang baju kurung yang berwarna biru laut.  Baju kurung dari jenis kain cotton itu tampak lembut dengan taburan bunga hijau yang halus. 

Selesai digosok baju kurung itu disarungkan ke tubuhnya.

“Betul ke aku nak pergi ni?” Melia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Rambutnya yang basah masih kusut belum bersikat.

Nak ke tak nak…..kau kena pergi Melia.  Nazira tu dah sedia menunggu kau di ruang tamu.  Jangan nanti sampai dia masuk bilik tolong kau bersiap.

Rambutnya yang panjang melepasi bahu itu cepat-cepat dikeringkan dengan tuala.  Lalu disikat rapi. Kemudian dia mengoleskan wajahnya dengan bedak padat dan dicalit pelembab bibir Lipice kegemarannnya.  Gincu berwarna merah jambu turut dicalit sedikit pada bibir mungilnya. Dia bersiap ala kadar sahaja.

Rambut yang separuh kering dililit dan dimasukkan ke dalam anak tudung. Tudung bawal Aidijuma yang berwarna hijau lembut terus disarungkan ke kepalanya. Kerongsang dicucuk untuk menambahkan kekemasan tudung.  Nampak sesuai sekali dengan baju kurung biru itu.  Melia yang sememangnya cantik asli tidak perlu berdandan lebih.  Usai itu tanpa berfikir lagi Melia mencapai tas tangan Gucci dan menapak keluar.

“Cantiknya sepupu aku ni?” Puji Nazira sewaktu Melia keluar dari bilik.

“Tak payah puji tak payah bodek……..aku memang jadi nak pergi ni.”

“Huh! Puji pun marah. Mentang-mentanglah hati tu berat sebelah nak pergi,” sempat lagi Nazira memerli.

Melia hanya buat-buat tidak dengar.


Dari jauh sudah nampak kemeriahan di halaman rumah Linda.  Kelihatan ramai juga rakan taulan yang datang.  Ada yang sudah biasa bersua muka dan ada yang sudah lama tidak ditemui.  Mereka semua bekas pelajar tingkatan 5 Sekolah Menengah Tanjung Mas.

“Eh Melia, Nazira…..masuklah,” jemput Linda selaku tuan rumah.  Dia menarik tangan Melia.  Mereka berpelukan dan berlaga pipi.   

Lawyer kita ni sekali-sekala berbaju kurung memang lawa,” puji Linda kepada Melia dengan senyuman manis.    

“Takde maknanya kau puji aku. Aku ni datang tangan kosong saja tau. Memang sah hanya bawa diri.”
“Hamboi kau. Aku puji baik punya ikhlas kau cakap macam tu. Kau dah bawa diri datang majlis kita ni pun aku syukur sangat.”

“Ha..ha..haa.. Betul sangatlah tu. Tapi…kan serius aku cakap, kau lagi cun sejak jadi mak buyung.”

Bahu Melia ditepuk Linda dengan mesra.  “Cun erk? Terima kasih. Kalau seratus orang puji sebijik macam kau tak ralat sangatlah aku nak ber’buyung’ lagi tahun depan.”

Pecah gelak Melia mendengarkan kata-kata bersahaja temannya itu.  Nazira turut tergelak sama.


“Dah berapa bulan kandungan kau ni Linda?” usul Nazira dengan mimik muka menunjukkan ‘produktif juga si Linda ni’.

 “Dah masuk enam bulan dah,” jawab Linda mengenai kehamilan keduanya itu. Tangan kanannya mengusap perut yang membulat.

“Tak lama lagi jadi kakaklah Adelia,” balas Nazira.  Adelia yang dimaksudkan Nazira adalah anak sulung Linda yang sudah berusia dua tahun.

“Kau dah nak masuk dua orang anak Linda tapi aku ngan minah poyo ni usahkan anak, laki pun takde lagi,” seloroh Melia sambil tergelak kecil.

Wei……sape poyo aku ke kau? Aku kan dah betunang kau tu yang still single.  Ntah tunggu putera dari negara mana tak tahulah Linda,” perli Nazira kepada sepupunya itu.  Ada pulak aku yang dikatanya poyo.

Linda hanya menjongketkan bahu sebagai jawapan kepada persoalan yang diutarakan Nazira.  Baginya Melia terlalu memilih dalam soal teman hidup.  Gadis cantik dan bekerjaya seperti Melia mana mungkin pilih orang sembarangan.

Melia yang perasan sahabatnya itu beremosi memeluk bahu Nazira lalu berbisik, “relekslah sepupuku sayang……bucuk-bucuk. Kau sentap aku blah sekarang.”

Linda yang jadi pemerhati tersenyum lebar melihat keakraban dua sahabat itu.  Walaupun masing-masing bukan remaja lagi tetapi kalau bergurau boleh riuh satu rumah.  Bukan dia tidak tahu kekamcengan dua rakannya itu di sekolah dahulu.   

Melia meliar sekeliling.  Anak mata hazelnya cuba mencari kelibat seseorang.  

“Mujur tak ada,” desis hati kecilnya.

Melia terus menapak kedalam dan bertemu dengan semua rakan-rakan yang hadir. Mereka makan dan berborak dengan mesra.  Banyak cerita yang dibualkan setelah lama masing-masing tidak bersua-muka.

“Naemah kau kerja apa sekarang?” Tanya Melia kepada si gempal bekas penolong kelasnya dahulu.

“Aku jadi cikgu Mel. Kau juga yang hebat jadi lawyer,” jawab Naemah.

“Hebat ke lawyer? Biasa je Naemah,” Melia merendah diri. “ Kau pulak mengajar kat mana?”

“Kat Kuala Kangsar,” jawab Naemah yang sudah lima tahun bergelar pendidik itu.

“Jauh juga tu. Patutlah jarang jumpa. Kau mengajar subjek apa erk?”

“Geografi Mel.”

“Geografi? Bukan ke kau tak suka Geog?” Soal Melia mengerutkan kening. Peliknya aku dia ni.  Dulu kemain tak minat subjek tu tapi boleh pulak pergi study Geog.  Lepas tu sekarang siap mengajar lagi subjek yang tidak digemarinya itu.

“Tulah pasal. Sekali fikir aku nak ketawa sendiri pulak. Kau tahu ajelah aku mana minat Geografi. Masa cikgu Rohana mengajar dulu aku rasa nak pergi menyorok dalam tandas. Mana taknya asyik muka aku saja kenal soal.” Naemah tergelak kecil mengenangkan memori zaman sekolahnya itu.

“Aku ingat kau siap nangis masa dia soal kau pasal bentuk muka bumi asia tenggara,” balas Melia.  Dia juga hampir ketawa mengingatkan gelagat Naemah.  Bukan dia tidak nampak wajah tidak cukup darah Naemah kala itu.

“Dari saat tulah Mel aku study betul-betul subjek Geografi. Minat tu jadi datang serta-merta. Aku pun tak sangka dapat skor A.”

“Lucu sebenarnya bila ingat balik kan?  Zaman berhingus kita tu.  Sekarang masing-masing sudah meniti usia. Semua tu hanya tinggal kenangan. Kenangan yang indah untuk kita semua kenang.”

“Betul tu Mel. Kenangan itu tidak dapat kita temui di tempat lain dan kenangan itu juga tidak mampu untuk diulang,” balas Naemah bersetuju dengan pandangan Melia.

'Ya Naemah. Kenangan memang tidak dapat diulang……ia hanya dapat diimbas kembali.  Zaman sekolah kita hanya sekali.  Jika pahit yang diharungi semestinya ia akan kekal pahit.  Kalau manis sampai ke tua pun kita mampu tersenyum saat mengingatnya kembali,' bicara Melia itu hanya bergema di dalam hatinya sahaja.  Lidahnya kelu untuk lantunkan bait yang mempunyai makna itu di depan Naemah. 

Terlalu dalam maksud yang ingin disampaikannya.  Biarlah ia menjadi rahsia hati sahaja.


Di suatu sudut Nazira rancak berbual dengan Azman.

“Man……Azrul datang tak ni?” Tanya Nazira pada  Azman bekas ketua kelas 5 Teratai
 dahulu.  Azman kini sudah menjadi tunangannya.  Hujung tahun nanti mereka akan disatukan.  Dia dan Azman tidak menyangka cinta akan berputik setelah masing-masing meninggalkan alam persekolahan.    
          
     “Entahlah Zira……abang pun tak tahu,” Azman sudah membiasakan dirinya abang sejak bergelar tunangannya tetapi Nazira masih kekok dan malu berbicara begitu.
            
       “Ada tak awak hubungi dia, ingatkan pasal majlis ni?” Soal Nazira lagi sambil menyuapkan bihun goreng ke mulutnya.
          
       “Memang abang ada telefon dia.  Dia kata kalau tak ada apa-apa aral sampailah dia kat sini,”  jelas Azman.
     
       Sebuah kereta Honda Accord berwarna hitam telah tiba di perkarangan rumah Linda.  Seorang lelaki segak berbaju kemeja biru  gelap turun dari kereta itu.

           Semua mata tertumpu kepada lelaki yang kelihatan bergaya itu.
   
         Azman bingkas dari kerusinya untuk menghampiri lelaki yang baru tiba itu.         
   
         “Azrul, ingat dah tak datang,” sapa Azman lalu bersalaman dengan  Azrul. 
   
         “Eh datang…….tapi lewat sikit,” balas Azrul dengan mesra.  Mereka berpelukan seketika.   
  
         Melia sudah tidak tentu arah melihat ketibaan lelaki itu.  Dia mati-mati menganggap Azrul  tidak datang memandangkan sudah satu jam majlis berlalu.  Jantungnya mula berdegup tidak keruan ibarat baru tiba ke garisan penamat untuk acara maraton.              
     
    “Alahai diamlah jantung, kau buat aku gelabah nanti.” Dia berkata-kata sendiri di dalam hati.  Sedaya-upaya dia cuba menahan debaran perasaan yang melanda.  Suhu badan naik tiba-tiba, 40 celcius pun dah lebih gamaknya ni.  Demam terkejut apa aku ni?
           
        Melia mula rasa serba tidak kena.  Duduk pun salah, berdiri pun salah.  Ke kanan atau ke kiri yang perlu aku toleh untuk menyorokkan wajah?              
          
         “Zira, aku balik dulu.  Kau balik dengan Azman ya nanti,” Melia cepat-cepat memberitahu Nazira.
            
      “Eh, apasal pulak?” Nazira kehairanan dengan gelagat Melia yang tiba-tiba mahu pulang.  Namun dia mengangguk faham tatkala kelibat Azrul singgah di matanya.  
             
      Oh……patutlah nak cepat balik nampak Azrul rupanya,” dengan bersahaja Nazira menuturkannya.  Mulutnya masih mengunyah bihun goreng.
        
       Melia tidak mempedulikan kata-kata Nazira.  Dia langsung berlalu pergi.  Melia tidak mahu bertembung mata dengan Azrul, sebab itu dia tergopoh-gapah meminta diri.
       
       Err……cepatnya kau nak balik,” Linda juga kaget dengan Melia yang tiba-tiba bersalaman dengannya dan meminta diri untuk pulang.  Tindakan Melia nampak terlalu drastik di matanya. 
          
      Emm,” hanya itu yang mampu keluar dari bibir merah Melia. 
    
        Baru sahaja dia mahu angkat kaki ada suara memanggilnya, “Melia, tunggu……”  Suara yang sudah dua belas tahun tidak didengarinya hinggap jua di gegendang telinganya. 

Terasa mahu luruh tangkai hatinya.  Kembang-kencup jantungnya kuat bekerja mengepam darah.  Peluh dingin membasahi dari dalam tudung yang dipakainya.
       
       Melia tidak mahu menoleh walaupun hakikatnya dia teringin benar menatap wajah pemilik suara itu. Melia melangkah laju meninggalkan perkarangan rumah Linda menuju ke keretanya.              
         
       Azrul hanya mampu melihat gadis berkurung biru itu pergi.  Dia tidak sempat menatap wajah manis yang pernah akhrab dengannya sewaktu di sekolah dulu.  Azrul tahu gadis itu sengaja mengelak dari bertemu dengannya.  Dia sudah nampak riak di wajah Melia tadi.    
   
         “Azrul, hei jomlah makan.  Tenung apa lagi, dia dah balik kan…..” usik Azman pada Azrul yang dilihat leka memandang kawan baik tunangnya yang sudah berlalu pergi.

            Azrul hanya tersenyum tawar.  Dia mencapai segelas air sirap dan duduk di sebelah Azman.  Lama mereka berborak disertai Kamal dan juga Bob.  Kamal dan Bob yang terkenal dengan panggilan mamat kepoh  di sekolah dulu adalah teman rapat Azrul dan Azman.  Mereka berdua digelar begitu kerana mereka suka menyakat pelajar-pelajar lain. 

Azrul terhibur dapat berjumpa teman-teman lamanya itu.  Dalam pada itu dia sempat mengorek perihal Melia dari mereka.  Dia teringin benar untuk tahu tentang Melia walaupun dia tahu gadis itu sudah membencinya.  

           Nazira menunggu Azman yang sedang berjabat tangan dengan kawan-kawan lelakinya.  Majlis sudah berakhir dan dia bersedia untuk pulang bersama Azman.  Terdetik juga di hatinya kenapa Melia begitu drastik ingin pulang sedangkan tadi Melia begitu gembira berbual dengan Linda dan Naemah.  Selama ini pun memang Melia melenting kalau dia berbicara tentang Azrul.  Pantang benar sepupunya itu mendengar nama Azrul Khusyairi.  Nazira tidak pasti apa sebenarnya yang terjadi antara Melia dan Azrul.  Setahu Nazira mereka memang akrab di sekolah sehinggalah sebulan menjelang SPM, dia tidak lagi melihat Melia bersama lelaki itu.  

Melia pula langsung tidak mahu bercerita padanya dan menyebabkan Nazira pun malas untuk bertanya.  Nazira tidak mahu ‘busy body’ sehingga mengguris perasaan sahabat yang disayanginya itu.   

Tidak elok menjaga tepi kain orang nanti tepi kain sendiri terkoyak pun tidak sedar.  Sikap suka menjaga tepi kain orang bukannya disukai sesiapa pun.  Hendak hilang kawan buatlah begitu.  Hilang kawan mendapat lawan.                                                                        

5 comments:

  1. Replies
    1. Takdelah baru sangat sebab dulu tajuknya kenangan cinta semalam. Sekarang tukar tajuk selepas buat penambahbaikan.

      Delete
  2. Rasa x sabar nk baca next page...muahahaha

    ReplyDelete