Feb 12, 2014

BAB 10 OOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA



“Qistina sekejap.”

Aku dah agak tak sah bapak Danish ni kalau tak tegur aku.  Asal datang hantar atau ambil anak, dia tidak lupa untuk sapa aku.  Alahai kau dah jadikan ianya hobi ke mr widower?

“Ya Encik Luqman Hakimi. Ada apa boleh saya bantu?” Aku berbasa-basi sahaja.

“Awak ni tinggal kat mana?”

Huh! Soalan tak menarik langsung.  Soalan macam gaya budak sekolah menengah baru belajar mengorat.  Padanlah dengan kau Qis.  Kau kan budak sekolah menengah yang baru habis sekolah.

“Saya rasa itu tidak penting untuk saya beritahu pada orang luar. Saya tidak mahu jawapan saya nanti mengundang bahaya pada saya sekeluarga.”

“Kenapa mengundang bahaya? Saya tidak berniat jahat pun sekadar ingin tahu.”

“Ada apa-apa lagi Encik Luqman? Saya perlu memulakan sesi taska ini dengan segera. Saya tidak boleh curi tulang dengan melayan bapa kepada kanak-kanak bawah jagaan saya,” begitu diplomatik aku berbicara.  Kalau dia buat-buat tidak faham memang sah otak dungu.  Bukannya tunggang-langgang pun bahasa aku.

“Tiada apa-apa. Cuma saya amat berharap agar Qistina dapat memberi peluang pada saya. Peluang untuk mengenali diri Qistina dengan lebih dekat.”

Mengenali aku dengan lebih dekat?  Maaf seribu kali maaf mr widower.  Aku tidak pernah dan tidak akan sudi untuk itu.

Harapannya untuk mendapatkan peluang, aku biar tidak berbalas.  Aku tidak menyatakan apa-apa pun kepadanya.  Sebaliknya aku terus membawa Danish masuk ke dalam taska.  Kalau dia cerdik pandai tentu dia boleh baca maksud reaksi aku.  Jadi sewajarnya dia tidak perlu mengorak langkah jauh untuk mendekati aku.
            


Luqman Hakimi baru selesai bermesyuarat dengan kakitangan Luqman Holdings.  Laporan mengenai perkembangan projek mega syarikat mereka telah pun dibentangkan.  Luqman Hakimi berpuas hati dengan komitmen pekerja-pekerjanya.  Dia juga mampu tersenyum dengan projek bernilai ratusan ribu ringgit itu.
            
            Sebelum dia kembali ke biliknya, dia ada meminta setiausahanya untuk masuk ke biliknya.  Ada sesuatu yang ingin dia tanyakan pada setiausahanya yang telah berkahwin itu.
            
         “Ya, Encik Luqman. Ada apa?” Tanya Saleha yang telah lima tahun menjadi setiausaha kepada CEO Luqman Holdings.
           
           Ermm…..saya nak tanya pendapat awak tapi bukan pasal kerja.”
          
         “Ok, tanyalah,” kata Saleha dengan mesra.  Dia tidak kisah untuk memberi pendapat meskipun di luar bidang kerja.  Apalah sangat pendapat dari setiausaha sepertinya.
            
         “Pada pandangan awaklah kan……..gadis muda memang tak suka ke berkawan dengan lelaki baya saya?”
            
       “Saya rasa tiada masalah Encik Luqman tapi terserah kat individu tu sendiri. Kalau dia tidak kisah dengan perbezaan usia semestinya dia okay saja berkawan dengan lelaki yang jauh lebih tua.”
            
        “Sekalipun beza usia berbelas tahun?”
         
         “Contoh macam sayalah kan, saya tak kisah pasal umur. Yang penting lelaki tu ikhlas dan jujur hendakkan saya,” kata Saleha dengan meletakkan dirinya sebagai contoh supaya majikannya itu lebih faham.
            
         “Bagaimana pula dengan lelaki yang sudah mempunyai anak macam saya?”
        
           “Tak kisahlah ada anak sekalipun janji single, bukan suami orang.”
           
          “Itu awak Saleha kalau anak dara lain belum tentu.”
         
           “Encik Luqman ni dah jatuh cinta pada anak dara mana? Hebat sangat ke dia sampai Encik Luqman yang hensem lagi kaya ni dia tak nak pandang?”
          
          Meletus ketawa Luqman Hakimi. “Saya ni hensem?”
        
           “Hensemlah jugak….” Puji Saleha jujur.
             
          “Tak apalah Saleha terima kasih atas perkongsian pendapat itu. Saya menghargainya, tapi jangan pula awak bercerita pada staff kat luar tu tentang apa yang saya tanya.”
          
          “Baik, Encik Luqman saya janji. Tak sudi ke nak bagitahu saya siapa gadis itu?” Sempat lagi Saleha mengusik majikannya.
           
           Luqman Hakimi menggeleng-gelengkan kepalanya. “NoNoNo Saleha.”
         
            Saleha tersenyum nipis sahaja sebelum angkat kaki dari bilik majikannya.  Dia faham mana mungkin Luqman Hakimi akan memberitahunya mengenai hal peribadi itu.  Namun dia tumpang gembira kerana majikannya sudah menemui seseorang.  Seseorang yang mungkin telah menawan hatinya dan seseorang itu pasti bakal menjadi suri dalam hidup lelaki itu kelak.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

            Sudah setengah jam azan Asar berkumandang dan aku pun sudah selesai menunaikan kewajipan aku kepadaNya.  Aku ingat pesan umi supaya tidak melengahkan solat.  Jika azan berkumandang cepat-cepat umi suruh aku solat.  Katanya kita akan dapat banyak pahala sekiranya solat di awal waktu.
           
          Lagipun kalau aku tidak solat Asar di taska aku pasti lewat menunaikannya di rumah.  Balik dari taska pukul enam petang, setengah jam  kemudian baru sampai rumah.  Itupun kalau balik dengan Kak Ina.  Kalau balik dengan bas atau teksi pukul tujuh baru sampai rumah Kak Ina.
           
          Sekejap lagi mr widower tu akan tiba untuk mengambil Danish. Aku tidak mahu mereka alasan hari ini.  Nanti apa pula kata Kak Isma.  Nampak sangat aku cuba mengelak.  Kang tak pasal-pasal aku jadi bahan gossip di taska ni.
          
        “Danish, jom sayang. Papa dah datang tu,” ajak aku pada Danish yang masih leka bermain dengan robotnya.
             
         “Alah. Danish nak main robot ni lagi,” rengek Danish.
         
          “Danish boleh main lagi tapi esoklah pulak. Cikgu janji cikgu simpan Robocop ni elok-elok untuk Danish. Cikgu tak bagi orang lain ambil terutamanya Mia,” pujukku lembut.
           
         “Betul?”  Danish angkat jari telunjuknya dengan wajah comel.

Aku mengusap bahunya.  “Betul sayang. Pernah cikgu tipu Danish?”

Danish geleng.  “Okeylah……Danish bagi cikgu simpan.”  Robot di tangannya sudah dihulur pada aku.  Mudah sungguh dia termakan kata. 

Good boy! Cikgu tambah satu lagi bintang kasih sayang untuk Danish.”  Menjadi kebiasaan apabila Danish mendengar kata, aku akan memberinya bintang kasih sayang.  Bintang kecil-kecil yang aku buat sendiri dengan kertas warna-warni.  Danish ada balang untuk aku masukkan bintang kasih sayang itu untuknya.  Tak pernah sekali dia tinggalkan balang itu di taska.  Setiap kali hendak balik dia akan masukkan balang yang ada bintang itu ke dalam beg kecilnya.  Setakat ini balang bintangnya sudah separuh penuh.

“Satu je? Danish nak banyak. Nak beribu-ribu lemon,” pinta Danish dengan mengawangkan kedua-dua tangannya.

Aku mencuit hidungnya.  “Setiap hari cikgu bagi satu bintang kasih sayang, nanti lama-lama jadilah beribu-ribu lemon sayang.”

Danish sengih.  Teratur barisan giginya.  Berkelip-kelip keriangan pada wajah yang belum diselaputi dosa itu.  “Dahlah. Danish kena balik sekarang. Kasihan papa…….lama tunggu anak kesayangannya ni.”

Danish menurut.  Sebutir bintang kasih sayang berwarna hijau aku masukkan ke dalam balang kacanya.  Lalu balang itu Danish simpan elok-elok di dalam beg yang selalu dibawanya ke taska.

Dia mengekori aku untuk turun dari taska.  Sebelah tangan aku memimpin erat tangan Danish dan sebelah lagi memegang begnya.
            
           Luqman Hakimi yang bersandar di sisi kereta mewahnya menanggalkan cermin mata hitamnya sebaik melihat aku dan Danish yang telah mendekatinya.  Pintu kereta sebelah pemandu dibukanya untuk Danish.  Danish membolos masuk dan mendapatkan gajetnya yang tersedia di dalam kereta mewah itu.
          
          “Qistina, saya belanja awak minum petang. Lepas tu saya hantar awak balik,” cepat sahaja dia menawarkan pelawaannya.
            
          Letihnya aku dengan dia ni. Pagi tadi dia tanya alamat rumah aku.  Bila aku tak bagitahu….Nah! Sekarang hendak belanja minum. Siap nak hantar aku balik.  See that.  Tujuan utamanya adalah hendak tahu di mana aku tinggal.  Inilah jenis manusia yang tidak reti untuk berputus asa.  Nasiblah badan.
             
         “Maaf. Saya tak mahu,” aku menolak tanpa ragu-ragu.
           
         Dia berjeda seketika.  Ada riak hampa di balik kumis nipisnya. “Tempoh hari tu kakak awak ke?”
             
          Tanya pasal kakak aku pulak.  Mr widower ni amat merimaskan aku. “Ya, kakak saya. Kenapa?”
            
         “Biar saya telefon dia minta izin untuk belanja awak minum,” bicaranya dengan lembut namun itu sama sekali tidak akan menjadikan aku bersifat alkali.  Dia takkan boleh meneutralkan aku yang berasid ni.  Ingat sudah redha apabila pelawaannya aku tolak mentah-mentah.
           
         Lemasnya aku. Pelbagai taktik rupanya encik duda ni.  Banyak pengalaman mengorat perempuan apa dia ni? Biasalah orang pernah berkahwinlah katakan.  “Saya tidak perlu izin dia kerana saya sendiri boleh memutuskan. Saya memang tak sudi dengan pelawaan itu.”
           
          Dia mengerutkan dahi sebagai tanda tidak berpuas hati dengan jawapan aku. “Kenapa Qistina tidak boleh bertolak-ansur dengan saya?”
          
        “Kenapa saya mesti bertolak ansur dengan Encik Luqman? Waktu kerja saya untuk menjaga anak encik sudah pun tamat. Sekarang ini adalah masa peribadi saya. Jadi saya berhak untuk membuat keputusan sendiri mengenai masa peribadi saya itu,” dengan lantang aku memberitahunya. 

Level keberapa tahap kegeraman aku saat ini pun aku tak dapat sukat.  Yang penting aku mesti menjelaskan prinsip aku.  Dia jangan ingat gadis belasan tahun seperti aku ini mudah digoda.  Aku bukan dalam kategori itu.
           
         “Saya tidak faham kenapa Qistina tidak mahu berkawan dengan saya,” lirih suaranya seolah-olah ada sedikit kekesalan di situ.
           
         “Encik Luqman tidak perlu berteka-teki sendiri. Encik Luqman kena ukur baju di badan sendiri. Saya hanya bekerja di sini untuk sementara waktu. Selepas ini saya akan masuk universiti. Selari dengan usia saya yang masih muda bermakna perjalanan hidup saya masih jauh.  Saya langsung tidak berminat untuk berkawan dengan mana-mana lelaki especially mr widower macam Encik Luqman,” tegas dan berani aku menuturkannya.  Tak kisahlah kalau dia rasa aku sudah menjatuhkan air mukanya.
            
          Jatuh ke air muka dia? Aku bukan cakap depan orang ramai pun.  Anak dia pun duduk dalam kereta.  Mustahil untuk budak kecik dengar dan faham apa yang aku cakap kat bapak dia.
           
          Luqman Hakimi sedikit tersentap dan aku takut pula untuk memandang wajah duda hensem itu.  Aku tahu di sebalik kaca matanya itu dia sudah memandang aku dengan tajam.  Memandang bagai helang ingin menyambar ayam.  Scary nyerr aku!
             
        Sebelum dia membentak lebih baik aku cabut.  Sederasnya kaki aku melangkah masuk ke taska.  Aku perlu bersedia untuk pulang selepas duda itu merambuskan dirinya.
                                                           

8 comments:

  1. sentap dgn ayat qis...sian luq..sabar yek encik luqman...sy kan ade...hihi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Lavender nak masuk calon erk? Hehe....

      Delete
  2. Rasa cam kejam lak qistina ni sian kat luqman xper pasni usaha lagi pujuk n rayu ngan kasih sayang pasti qistina cair huhuhu

    ReplyDelete
  3. Kecian En.Luq.....x pa, skrg ni Qis tolak pelawaan En.Luq.....nnt esok2.....Qis plak yg mengajak En.Luq.....always thinking positive Luqman Hakim :)

    ReplyDelete
  4. Ciannya en luq...mesti dia terasa hati kan....
    huhu..hu.uji lgi please?

    ReplyDelete