Jan 18, 2014

Bab 6 OOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA




“Cikgu….” Ada suara yang menunjal telinga aku.

Aduh! Apahal pulak bapak Danish ni? Aku ingatkan dah balik.  Dia ni nak apa lagi dari aku?

“Kenapa Encik Luqman tak balik lagi? Kan taska ni sudah tutup, Danish pun dah ada dalam  kereta tu?” Intonasi aku bertanya masih di tahap biasa.

“Saya tunggu cikgu,” jawabnya sebaris.

Takde kerja agaknya dia ni tunggu aku.  Apakah faedah yang bakal diperolehinya dengan  menunggu aku?  Entah apa-apa dia ni…

“Buat apa tunggu saya? Saya memang dah nak balik ni!” aku menyoal lagi tapi dengan volume yang sedikit meninggi.  Tak kiralah nak kata tak ada budi bahasa ke apa.  Realitinya aku ni dah berangin satu badan dengan laki orang ni!

Err…saya nak tolong hantarkan cikgu balik.”

Kena penyakit Tibi apa dia ni? Tak pun penyakit miang keladi, makin tua makin menjadi.  Entah angin ribut sebelah mana datang tup-tup nak hantar aku balik.  Kalau macam ni gaya boleh buat aku hilang kewarasan.  Tahulah aku ni muda belia, anak dara dahi licin lagi tapi agak-agaklah.  Silap orang ni…..

“Boleh ke?” Soalnya menagih kepastian.  Gedik pula aku rasa Encik Luqman Hakimi ni.

Ingat telinga aku pekak ke nak repeat soalan.  Telinga aku masih boleh mendengar wahai bapak Danish. “Terima kasih daun keladi, saya boleh balik sendiri.” Hem amacam pantun aku? Ha….apalagi dipersilakan balas.  Seronok juga kalau ada sesi berbalas pantun.

Pantun yang aku jual tidak dia beli sebaliknya dia galak ketawa.  Spesis tidak pernah mendengar pantun ke dia ni? Kalau sudah tak reti nak beli pantun pun tak payahlah gelak sakan.  Bikin hati aku panas saja.  Nasib baiklah semua pekerja Taska Mithali ni dah balik.  Cuma aku saja yang terkial-kial dekat sini menunggu kakak aku datang ambil.

“Pandai awak berpantun. Maaf saya tak reti hendak membalasnya.” Sopannya ayat dia.  Bapak Danish oi kalau kau tu bukan laki orang seribu pantun lebih hebat dari ni pun aku boleh cipta.  Tetapi disebabkan kau laki orang aku jadi geli geleman nak melayan kau.

Excuse me. Saya pergi dulu kakak saya dah sampai tu.”  Dengan sepantas kilat aku membolos masuk ke dalam kereta Honda Civic milik Kak Ina.  Dengan pandangan ekor mata aku juga melihat Luqman Hakimi telah masuk ke perut BMW nya.

“Siapa tu Qis? Kenapa Qis berjalan ke sini macam nampak hantu?” Tanya Kak Ina sambil matanya melihat BMW hitam yang telah melintasi kami.

“Bapa pada pelajar taska inilah,” beritahu aku pada Kak Ina.

“Qis buat apa dengan dia tadi?” Kak Ina menyoal lagi sambil tangannya cekap memulas stereng kereta.

Kami sedang melakonkan babak gadis sunti digoda suami orang Kak Ina untuk drama bersiri di TV1.  Heheh! Apa daa.  Takkanlah jawapan tu kut. “Borak-borak kosong je sambil tunggu akak datang.”

“Qis jangan layan sangat tau. Dia tu semestinya sudah beristeri,” Kak Ina memberi amaran.

Sing! Berdesing telinga aku.  Belum apa-apa aku sudah mendapat amaran dari kakak tercinta.  Wahai kakak kesayanganku sebelum dikau mengingatkan daku, adikmu ini telah pun memberi lampu merah untuk dirinya sendiri.  Qistina Airisa ini tidak mungkin sama sekali akan menjadi perosak rumahtangga orang.

“Kak Ina, mana ada Qis layan dia. Qis tahulah dia laki orang. Dah dia tegur Qis jawab, lagipun anak dia tu manja dengan Qis.”

“Ha sedar diri tak apa. Kak Ina tak mahu dengar hal-hal pelik tau.”

Ye Qis tahu dan Qis berjanji yang Qis tidak akan buat yang pelik-pelik.”

“Apa yang pelik-pelik tu?” Tanya Kak Ina sekadar menduga.

“Bercinta dengan suami orang,” jawab aku pantas.

“Bijak-bijak.” Kak Ina angkat ibu jari tanda like.

Aku tersenyum nipis.  Kak Ina…Kak Ina….Laki dia dirampas tidak apa pula tapi bila adiknya ini berborak dengan laki orang tak boleh.  Sepatutnya dulu dia warning kat madu dia jangan berbual dengan Abang Zaman.  Hish! Macam mana nak warning kenal pun tidak bakal madu tup-tup abang ipar aku tu cakap mahu beristeri lagi.  Kalau aku duduk tempat Kak Ina melayang periuk belanga dulu atas kepala gamaknya sebelum turunkan tandatangan.

Kak Ina oh Kak Ina adikmu ini mengerti yang madu itu manis hanya buat Abang Zaman tapi pahit bagi akak.  Walaupun bukan adik yang minum tapi adik dapat merasakannya.  Alahai jiwang seorang kau Qistina.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

            Sekejap aku mengiring ke kanan sekejap aku mengiring ke kiri.  Payah pulak mata aku malam ni untuk dikatup.  Masa aku membaca novel tadi kemain lagi mulut aku menguap tapi bila dah rebah badan atas katil ni mata pula yang culas.
             
            Malam ni giliran Abang Zaman balik rumah Kak Ina.  Lepas makan malam tadi aku terus masuk bilik.  Aku memerap dalam bilik ini sambil menelaah novel yang aku beli minggu lepas.  Aku sengaja tak mahu kacau daun.  Biarlah mereka berdua tengok tv sama-sama.  Nanti kalau aku ada sekali segan pula diaorang berdua hendak bergurau-senda.  Dahlah Abang Zaman tu kena gilir-gilir rumah.  Aku bukan apa risau takut Kak Ina ketandusan kasih sayang.  Pandai-pandai je aku ni kan? Kak Ina tidak pernah pun mengeluh begitu tapi aku yang buat spekulasi.  Otak remajalah katakan.
             
           Rasa nak telefon umi pulak.  Jam pun baru pukul sepuluh tiga puluh malam.  Biasanya umi belum tidur waktu ini.  Masa tidur umi adalah tepat jam sebelas malam.
            
           Aku mencapai handphone paling tidak canggih aku.  Handphone ni kalau zaman sekarang langsung orang tak pandang.  Orang buat baling anjing agaknya.  Namun aku dengan bangganya tidak kisah janji aku dapat menghantar pesanan ringkas dan dapat menelefon orang.  Padanlah dengan taraf aku budak baru habis SPM.
             
          Cer teka jenis handphone aku? Old version punya telefon.  Telefon ni milik arwah abah. Nasib baik masih boleh guna.  Umi suruh aku pakai untuk sementara waktu katanya.  Telefon ni walaupun versi lama tapi dialah yang paling kukuh.  Heheh handphone apa lagi Nokia 3310 lah jawapannya.  Kalau kat taska mahu tebal tiga inci muka aku saat ringtone polifonik itu berbunyi.
             
           Aku mendail nama umi.  Tidak sampai lima belas saat panggilan aku sudah dijawab umi.
           
          “Assalamualaikum umi,” salam terus kuhulur buat umi tercinta.
           
         “Waalaikumussalam. Tak tidur lagi Qis?” Tanya umi kesayanganku.  Apakah umi menganggap ini sudah sudah detik dua belas malam sehingga dia begitu teruja bertanya mengapa aku belum ketiduran? Umi…Umi…Umi sendiri kan masih belum tidur.

“Belum lagi umi. Anak umi ni sedang merindui umi…...”

“Umi pun rindu Qis,” balas umi pada aku.  Kalau kat depan aku ni mesti dia akan cakap alolo anak umi yang kiut ni kesiannya rindu umi.  Pasti pipi aku akan diusapnya. “Kerja kat taska macam mana?”

“Ok je umi. Yang tak ok tu sebab ada laki orang usha Qis.”

Erk! Cik mulut kenapa kau tersasul?  Kut ye pun nak mengadu tapis dahulu.  Pup! Aku tepuk dahi sendiri tapi perlahan saja.

“Apa Qis cakap? Ada laki orang mengorat?” Soal umi. Suaranya sudah gelabah di dalam talian.

“Eh tak. Bukan. Silap cakap. Qis baca novel sambil telefon umi ni. Yang tadi tu dialog dalam novel. Yang Qis tengah cakap nilah yang betul,” alasan itu akhirnya terpacul dari bibir aku.  Menipu sunat kat umi.  Confirm umi percaya punyalah.  Kalau dia depan aku lainlah.  Tentu dia akan nampak aku tidak membaca novel sambil menelefon.  Novel itu bukan berada di tangan aku  pun tetapi nun atas meja sana.

“Kamu ni Qis ada-ada saja. Kamu ni nak bercakap dengan umi ke nak baca novel?” tempelak umi.  Aduhai umi dengan novel pun nak sensitif.  Janganlah dibandingkan novel dengan dirimu.

“Alah umi ni. Mestilah Qis nak cakap dengan umi. Ok sekarang Qis tutup novel.” Menipu lagi.  Menipu pasal tutup novel saja tau bukan tipu berpura-pura cakap dengan umi.

“Ina dengan Azfan dah tidur ke?” Perihal cucu dan anak sulungnya ditanya.

“Azfan dah tidur. Kak Ina tengah tengok tv dengan Abang Zaman.”

“Kenapa Qis tak tidur awal-awal? Esok pagi kan nak bangun awal….” Kata umi berupa nasihat.

“Qis memang nak tidur dah ni. Saja nak dengar suara umi dulu. Lepas dengar suara umi tentu Qis dapat bermimpi indah.”

Aku dengar umi ketawa kecil di corong telefon.  Umi sedang gembira dengan luahan anak bongsunya ini. “Yalah tu. Pandai bodek umi.”

“Bukan bodek umi tapi kenyataan,” tekan aku bersungguh.

“Umi percaya. Nanti sebelum tidur ambil wudhuk dulu. Baca doa tidur baru tidur kita tidak diganggu.”

“Baik umi. Selamat malam umi.”

“Selamat malam,” balas umi sebelum menamatkan talian.

Aku meletakkan telefon di bawah bantal sebelum aku bingkas untuk mengambil wudhuk.  Aku akan sentiasa mendengar nasihat umi.  Meletakkan telefon di bawah bantal tu memang tabiat aku.  Aku kunci alarm telefon tu setinggi-tinggi volume dan aku akan meletakkan handphone murah itu di bawah bantal.  Cara itu berjaya membuatkan aku bangun pagi.  Getarannya kuat bergema meskipun berada di bawah bantal.  Senang aku tidak perlu beli jam loceng bukan.

Rasulullah SAW bersabda, barang siapa tidur di malam hari dalam keadaan suci yakni berwuduk, maka malaikat akan tetap mengikutinya.  Lalu ketika ia bangun nescaya malaikat itu akan berucap, Ya Allah ampunilah hambamu si fulan keran ia tidur di malam hari dalam keadaan yang selalu suci.

Tiga kelebihan berwuduk sebelum tidur adalah ia dapat menenangkan otot-otot kita sebelum kita berehat.  Dengan berwuduk juga ia boleh mencerahkan kulit wajah dan kita akan sentiasa didoakan oleh malaikat.  Jadi kita tidak mudah mudah mendapat mimpi buruk kerana malaikat telah memohon perlindungan kepada kita.

6 comments:

  1. Teruskan menulis Uji yg berbakat...;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Novel nilah yang bakal terbit nanti Linda. Uji publish bab-bab awal ni di blog untuk promosi.

      Delete
  2. Nanti bgtau tau bila dah terbit...linda nak beli ;)

    ReplyDelete
  3. Mak aii garang cikgu qis kita ni...tp bgus jgk juai mahai...tp ssh la abam luq nk ngorat

    ReplyDelete