Jan 12, 2014

Bab 5 OOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA

                                                  
                                    

Sekejapnya dua hari bercuti.  Hari ini dah kena kerja balik. Kenalah mengadap semua budak-budak kecil kat taska ni.  Bukannya ramai mana pun pun budak-budak kat taska ni.  Adalah dalam dua puluh lima orang termasuk bayi dan si Danish.  Taska tempat aku kerja ni kira besar jugaklah.  Dapat menempatkan lima orang bayi dan dua puluh orang lagi kanak-kanak yang berusia satu tahun ke atas.  Tahun depan kalau yang baya Danish dia orang tak duduk kat sini dah.  Budak-budak tu semua akan beralih ke tadika.

Belum puas jalan-jalan dengan Kak Ina hari ini sudah perlu masuk kerja.  Kak Ina ada belikan aku kain pasang masa pergi Masjid India.  Dia suruh aku jahit supaya boleh pakai ketika melapor diri ke UITM nanti.  Dia beli dua pasang untuk aku dan sepasang untuk umi.  Aha kan dah cakap dia bukan tangkai jering.  Sebelum pergi memang dia cakap macam liat nak beli tapi bila dah sampai habis dia balun.  Dia yang kelabu mata pula pilih untuk aku.  Itulah Norina kakak kesayangan aku.

Sekali tu nak tergelak pun ada dengan dia.  Mana taknya dia hendak beli kain tu macam dia yang hendak pakai.  Pilih punya pilih hendak ikut selera dia.  Kalau ikut selera dia maknanya ‘evergreen’lah aku.  Aku manalah suka corak-corak klasik ni.  Tak mahunya aku nampak tua sebelum usia.  Bertelagahlah dulu aku dengan dia walhal kami bukan nak beli sedozen pun.  Buat pening kepala mamak india tu saja kami ni.

Azfan yang ikut aku dengan mama pun dia pun boleh naik give up inikan pula tuan kedai.  Aduh! Parah main dengan kakak aku.  Maklumlah bila dia yang keluarkan duit……banyak ragamlah si pemunya duit itu.  Lepas tu belanja aku makan Pizza lagi. 

“Tak apa kak ni time akak keluar duit nanti bila Qis dah kaya Qis pulak belanja akak. Masa tu bukan Pizza lagi kak tapi Golden Horses Hotel.”  Itulah kata-kata aku saat kakak aku buat ‘duckface’ masa aku order pizza special yang agak mahal harganya.

“Banyaklah kau punya Golden Horses! Restoran Istana Bambu tu pun belum tentu.” Sekali dia ketuk bahu aku dengan purse dia.  Gurau-gurau manja.  Heheh……..


“Cikgu…..” cuping telinga aku sudah diusik dengan suara Danish.  Habis pergi bayangan kelmarin yang datang bertamu di minda.

“Danish…” balas aku mesra.  Budak kiut itu kuraih.  Dia mencium tangan aku.  Danish memang pandai mengambil hati aku.

“Boleh cikgu jawab soalan yang berbangkit minggu lepas?” Kali ni suara Luqman Hakimi pula menjengah ke jendela telinga aku.

Aku mengecilkan mata aku.  Aku menganalisa kata-kata itu.  Itulah kata-kata dari orang yang tidak berputus asa.  Sentiasa ingat soalan yang belum aku jawab.  Entah apalah yang istimewa jawapan aku tu sehingga dia masih mengungkit.  Apalah nasib kau Danish dapat bapa macam tu.  Jangan nanti kau report kat mak kau cakap bapak kau menggatal dengan pekerja taska sudah.  Tidak sanggup aku dicaci oleh bini orang yang sedang amarah lagi cemburu buta.

Err…..sebenarnya apa kepentingan Encik Luqman bertanyakan umur saya?”

“Saja hendak tahu. Takkanlah hendak tahu umur pun tak boleh.”

Well umur saya 17 tahun. Bulan November ni baru 18 tahun. Puas hati?” aku menyoalnya balik setelah soalan berbangkitnya itu aku jawab.

“Mudanya cikgu. Kenapa tak further study?”

Dasar mangkuk hayun. Ada lagi soalan darinya.  Perlukah aku jawab atau aku harus menjadikan soalan itu soalan yang bakal diungkit?

“Saya akan further study tapi bukan sekarang. Insyaallah hujung tahun ni,” jawab aku penuh diplomasi.

“Oh macam tu. Cikgu ni asal mana ya?”

Pagi-pagi sudah buat telinga aku berasap.  Bertubi-tubi soalan ni mengalahkan wartawan hiburan pulak.  Aku dah bagi betis dia nak paha pula.  Kalau ikukan hati aku yang membara ni mahu saja aku marah.  Sudah ada bini dengan anak tu buatlah cara sudah berpunya.  Janganlah berangan nak tackle anak dara macam aku ni sebab aku bukannya jenis melayan.

Tahulah dia tu orang kaya.  Setakat hendak beristeri dua  tiga tu lebih daripada mampu.  Tapi janganlah ‘usha’ aku.  Orang macam aku mana mungkin hendak jadi bini muda.  Berlambak lagi lelaki single dalam dunia ni.  Janganlah dikejar aku yang tak seberapa ni kerana walau kucing tumbuh tanduk sekalipun mana mungkin aku bersuamikan laki orang.  Cukuplah aku melihat kakak aku dimadu.  Kalau aku tak sanggup tengok dia dimadu sudah pasti aku juga tidak mahu menjadi madu.

“Saya berasal dari alam ciptaan tuhan ni. Bawah langit atas bumi,” terpacul jawapan yang tidak matang dari bibir aku.  Sekaligus jawapan yang boleh buat hati orang mendidih.  Ah! Lantaklah biar dia tahu aku tidak suka diusul sebegitu rupa.  Macam yang aku kata kalau dia bujang trang tang-tang tanyalah sejuta soalan pun aku pasti tidak kisah.  Soalan yang sejuta itu akan aku jawab dengan lemah gemalai dan berbunga-bunga.

“Maaf cikgu kalau saya ni banyak tanya. Saya pergi dulu,” dengan sopannya dia mengundur diri. 

Ai tersentap ke? Tua-tua pun mudah sentap.  Ada aku kisah?

Aku membawa Danish masuk ke dalam taska dan si banyak tanya itu membolos masuk ke dalam perut kereta mewahnya.

“Kau tak takut ke Qis dia buat aduan pada majikan kau yang kau seorang yang biadap. Sombong dengan bapa budak asuhan di taska. Nanti lepas ni kau akan hilang kerja,” aku diberi amaran oleh diriku sendiri.

“Tak kisah aku boleh minta kerja kat tempat lain,” aku menjawab dengan bongkak.

“Tak sayang nak tinggal Danish?”

Aku memandang wajah Danish. “Sayang….”

“Kalau sayang janganlah sombong sangat. Jawablah dengan baik dan bersopan-santun. Kita kan orang melayu ada adab sopan. Awakkan perempuan kena ada lemah lembut,” aku terus dinasihati oleh hatiku sendiri.  Hati aku ni umpama umi.  Kalau umi ada dialah dengan lemah lembut menasihati aku.  Sekarang ni aku kena nasihat diri sendiri sebab umi jauh di kampung.

“Danish dah makan? Kalau belum makan kita makan dahulu sebelum belajar,” tanya aku dengan lembut pada Danish.

“Danish dah minum susu kat rumah,” jawab Danish.

“Itu susu. Sekarang Danish dengan kawan-kawan kena makan cornflakes dulu. Lepas tu baru kita mula belajar.”

“Baik cikgu,” kata Danish dengan patuh.  Dia akur mengikut aku ke ruang makan.  Di situ telah ramai kawan-kawannya menunggu.



Luqman Hakimi memandu keretanya perlahan menyusur jalan raya.  Keadaan traffic pada waktu pagi memang sibuk.  Semua orang berlumba-lumba untuk ke tempat kerja.  Semua jalan-jalan utama di bandar Kuala Lumpur sudah mula sesak.

Dia mendengar alunan lagu di corong radio Hot FM.  Lagu dari Akim AF mendayu-dayu di halwa telinganya.

Hatinya sedikit terasa tadi dengan jawapan Qistina namun dia tidak menyalahkan gadis itu.  Dengan umur belasan tahun itu mana mungkin Qistina jadi sematang dirinya.  Qistina terlalu muda untuk mengenali erti hidup.  Qistina juga masih muda untuk bergelar seorang ibu.

Gadis itu mungkin suka dengan anaknya tetapi tidak suka pada dirinya.  Qistina bekerja di taska itu mestilah dia baik dengan Danish.  Dia sendiri terlalu muda untuk memberi kasih sayang persis seorang ibu.

Mana mungkin Qistina akan memenuhi impian Danish untuk menjadi mama Danish.  Qistina sendiri telah memberitahu yang dia akan menyambung pelajarannya hujung tahun ini.  Jelas sekali yang dia hanya bekerja sementara di taska itu.  Gadis semudanya sudah pasti akan menyambung pelajaran.  Bukan seperti zaman dahulu di mana anak gadis belasan tahun pun sudah bergelar ibu.

Rasanya dia perlu menahan niatnya dari terus cuba mendekati gadis itu.  Dia tidak boleh bermimpi di siang hari dek kerana permintaan anaknya.  Itu adalah sesuatu yang mustahil untuk dipenuhi.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Datin Rohani keluar minum dengan kawannya Datin Suraya di sebuah coffee house.  Dia dan Datin Suraya telah lama berkawan.  Mereka berdua sama-sama rajin berpersatuan. 

“Ani bila anak lelaki you tu nak kahwin?” Tanya Datin Suraya mengenai Luqman Hakimi.

“Entahlah Sue. Luqman tu memilih sikit. Lagipun dia nak seorang isteri yang boleh jaga Danish,” jawab Datin Rohani.

“Sayang benar dia dengan Danish ye…..”

“Iya. Teramat sayang. Dia tak kisah tak kahwin lagi demi kebahagiaan Danish.”

“Tulah kan. I nak tolong cari pun takut dia tak berkenan.”

I pun dah banyak kali perkenalkan dia dengan anak gadis kawan-kawan kita tapi Luqman menolak. Dia langsung tak berkenan.”

You tak kisah ke kalau nanti Luqman pilih gadis biasa jadi menantu you?” Soal Datin Suraya.  Dia hendak tahu juga samada kawannya itu cerewet atau tidak dalam hal memilih menantu.

Datin Rohani menghela nafas perlahan. Sepuluh saat kemudian dia bersuara, “I tak kisah siapa pun pilihan Luqman janji mereka bahagia.  I cuma harap bakal isteri pilihannya nanti benar-benar dapat menjaga Danish dengan baik.”

Datin Suraya meneguk kopi putih didepannya.  Dalam hatinya dia juga bersetuju begitu.

“Baguslah macam tu. Kita sebagai ibu kena terima siapa pun pilihan anak kita. Yang penting dia bahagia.”

Datin Rohani menganggukkan kepala.  Dia tidak berbohong pada sahabatnya itu.  Dia ikhlas dalam butir bicaranya itu.  Dia bukanlah dalam kategori datin yang riak.  Dia sama sekali tidak cerewet dalam hal calon menantu.  Cukuplah dengan derita yang pernah dilaluinya menjadi menantu yang tidak diterima mertua.  Tidak mungkin dia sekejam itu untuk membuat orang lain pula merasa sengsara itu.  Sementelah lagi kepada isteri Luqman Hakimi kelak.  

Yang penting bakal isteri Luqman kelak tahu menguruskan rumahtangga.  Tidak meninggalkan solat, ikhlas menerima Danish dan menghormati dirinya.







3 comments: