Jan 30, 2014

Bab 8 OOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA


Aku mengintai di balik langsir.  Hai Danish ni dah sihat ke? Takkan dua hari saja rehat kat rumah.  Mungkin Encik Luqman dan isterinya tidak dapat bercuti lama untuk menjaga Danish.  Sebab tu hari ni Encik Luqman sudah datang ke taska.  Erm......tapi aku tak nampak pulak si Danish.

“Qis........"  Aku berpaling.  Kak Azmah rupanya.  Alamak!

"Tak payah buat muka cicak tertelan kapurlah. Kau pi skodeng dia buat apa? Tuannya kan dah terpacak kat depan tu.

Segannya bila gelagatku dilihat Kak Azmah.  Sudahlah aku dilasernya.  Harap-harap dia tak syak yang bukan-bukan.  "Qis tak intai dialah Kak Azmah. Qis tengok sama ada Danish datang atau tidak hari ini."

Kak Azmah tersenyum senget.  "Dia datang nak jumpa Qis, bukan nak hantar Danish."

Nak jumpa aku? Mengigau lagi agaknya bapak Danish tu.  Setakat hendak beritahu pasal Danish boleh je telefon taska bagitahu.  Ini sanggup pula dia datang ke mari. “Kenapa dia nak jumpa Qis?”

“Mana akak tahu. Pergilah tanya dia sendiri.  Dia tunggu dekat kereta tu,” balas Kak Azmah yang macam tak ambil pusing saja.  Terus dia meninggalkan aku untuk ke ruang kanak-kanak.

Kurang asam betul bapak Danish ni.  Kang kalau aku tak pergi Kak Azmah marah.  Pergi sajalah……..

“Encik Luqman kenapa nak jumpa saya? Danish belum sihat lagi ke?”

“Dia dah sihat. Cuma hari ini nenek dia yang mahu menjaganya.  Tu yang saya tak bawa dia ke sini.”
            
            “Oh, kalau setakat nak beritahu pasal tu kenapa tak telefon taska sahaja?” Tanya aku yang sedang berdiri memeluk tubuh.

            "Kenapa Qistina tak suka tengok saya datang ke?"

            "Tiada sebab untuk saya suka Encik Luqman........"

            Dia diam tapi wajahku tidak segan dipandangnya.  Kata-kataku ditelannya payah.  Tentu sukar untuk dia hadam kata-kata sinisku itu.  Melihatkan dia tidak mengeluarkan sebarang kata aku menyambung, "ibu bapa kepada pelajar taska ni datang jika mahu menghantar dan mengambil anak mereka sahaja.  Kes encik pagi ni lain sikit sebab datang seorang diri tanpa membawa anak. "Apa agenda encik sebenarnya?"

            “Sebab saya nak bagi ni pada Qistina,” jawabnya seraya menghulurkan paper bag berwarna ungu pada aku.
             
            Oh ini tujuan kau sebenarnya.  “Apa ni? Untuk apa encik beri pada saya? Sebarang unsur rasuah tidak diterima di sini.”
            
             Dia menggeleng.  Ada senyuman halus terbirat di balik mukanya.  “Bukan rasuah. Saya tahu berdosa besar memberi rasuah ni. Janganlah main tembak saja cik adik.”
            
             Ceh! Cik adiklah pulak panggil aku.  Lempang baru tahu.  “Habis tu untuk apa?” Soal aku yang belum menyambut pemberiannya.
             
            “Just untuk ucap terima kasih pasal hari tu. Saya rasa terhutang budi pada Qistina.  Dahlah jaga Danish di taska, lepas tu susah-susah temankan saya ke klinik pula."

        "Itu memang kerja saya jaga Danish. Pasal pergi klinik tu saya ikhlas. Encik tak perlu rasa terhutang budi ke apa. Jika encik rasa sudah susahkan saya, anggap sajalah saya terpaksa tempoh hari."

       "Kalau macam tu anggap saja saya memaksa Qis terima hadiah ni. Bila saya memaksa awak akan jadi terpaksa. Oleh yang demikian sudikanlah diri untuk menerima,” pujuknya dengan menayang wajah mengharap.

          "Geramnya aku dia ni.  Aku cakap terpaksa dia pula yang memaksa. “Saya ikhlas hari tu,” balas aku pendek.  Paper bag ungu itu tidak juga aku ambil.  Tiada guna memanjangkan perbualan dengan isu paksa-memaksa ini.
           
            “Saya pun ikhlas. Ambillah,” pinta bapa Danish lagi.  Ada sedikit rayuan di situ.
              Macam mana ni?  Tak makan saman dia ni.  Tak pasal-pasal masa kerja aku terbuang sebab dia.  Mengalah sajalah.  Aku sambut juga tetapi dengan riak tidak gembira. “Thanks,” ucapku kurang ikhlas.
             
           “Welcome,” balasnya dengan kuntuman senyum.  Senyum macam bunga kekwa.  Bunga kekwa pun reti senyum ke?  Bunga kekwa tu bukan bunga kesukaan aku jadi aku cakaplah dia senyum macam bunga kekwa.  Kalau aku cakap dia senyum macam bunga ros alamat aku sukalah tu.

“Saya masuk dulu,” aku meminta diri.  Dia menganggukkan kepalanya dan aku pun melangkah masuk ke taska.

“Amboi, bestnyer dia dapat hadiah,” aku diusik Kak Azmah.  Tersengih-sengih Kak Azmah tengok aku.  Sengih yang tersimpan seribu makna.

“Agaknya dia syok kat Qis……..” sampuk Kak Isma pula.

“Hish apalah Kak Isma ni. Dia kan laki orang.”

Kak Azmah mencebik. “Laa….……tak tahu rupanya.”

“Encik Luqman tu mana ada isteri cik Qistina oi,” balas Kak Isma pula sebagai sambungan kepada kata-kata Kak Azmah.

“Sebab tu dia nak mengorat kau. Takkan nak mengorat akak yang sudah bersuami ni,” tempelak Kak Azmah.

Aku memandang wajah Kak Azmah dan Kak Isma dengan silih berganti.  Rasa macam tak percaya pun ada.  Tapi atas sebab apa untuk aku tidak bercaya?  Aku telah pun diberitahu.  Mana mungkin mereka berdua sengaja menipu aku.  Adakah ianya satu gurauan?

“Betul ke Kak Isma?”  Tanyaku yang masih kurang percaya.

“Betullah cik adik manis oi. Tak ada sebab kami nak mereka cerita,” jawab Kak Isma sebelum berlalu mendapatkan baby Eisha.  Terdengar tangisannya.  Tadi elok saja dia tidur.

Aku pandang Kak Azmah.  Yes. It’s correct.”  Mak ai dia speaking.  Bolehlah Kak Azmah.  Alright.”  Aku percaya. 

Ini bermakna Luqman Hakimi itu seorang duda beranak satu.  Mungkin isterinya telah meninggal dunia atau pun mereka telah bercerai.  Patutlah Danish suka sangat dengan kasih sayang yang aku curahkan.  Benar dia tandus.  Tandus dengan belaian seorang ibu.  Aku membuat rumusan sendiri tanpa bertanyakan kepada Kak Azmah mahu pun Kak Isma.  Tak kuasa aku hendak selidik lebih-lebih pasal lelaki itu.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

            Usai solat Maghrib aku mengaji Al-Quran sementara menanti waktu Isyak masuk.  Umi selalu mengingatkan jika tidak sempat membaca Al-Quran pada waktu lain seeloknya baca selepas sembahyang Maghrib.  Sementara menunggu Isyak lebih baik mengaji.  Kata umi rumah yang dibaca Al-Quran di dalamnya akan dikunjungi para malaikat dan dijauhkan dari iblis laknatullah.  Hati kita yang berkarat boleh dibersihkan melalui amalan membaca Al-Quran. Semasa hendak menyimpan kitab suci itu aku terlihatkan paper bag ungu di atas meja.
             
          Siang tadi semasa di taska aku tidak sempat untuk melihat isi kandungannya.  Lagipun aku malu jika diusik Kak Azmah.  Bahkan lagi aku sibuk dengan budak-budak pada masa tu.  Jadi aku berniat untuk melihatnya di rumah sahaja.
             
          Aku mencapai paper bag ungu itu.  Aku mengeluarkan isi dalamnya.  Sepasang baju kurung moden berwarna merah jambu.  Tudung pun ada sekali.
             
          Wah cantiknya! Kainnya lembut dan wangi.  Sempat baju kurung itu aku bawa ke hidung.  Ini semestinya keluaran butik yang terkemuka.  Harga baju ini pasti mahal.  Kain jenis crepe ni.  Aku gigit bibir.  Kenapalah bapak Danish bersusah payah beli untuk aku?
             
           Dia kan nak mengorat kau.
             
           Siapa cakap?
           
           Siang tadi kan Kak Azmah yang cakap.
           
           Sorry! Taste aku bukan duda. Aku tak berminat dengan duda. Lagipun aku masih muda.  Aku tidak pernah berharap untuk berkahwin dalam usia yang masih muda.  Sekalipun aku ingin bercinta aku tak akan cari orang tualah.  Sementelah lagi berstatus duda.
             
           Serta-merta baju kurung merah jambu itu aku campak ke bawah meja.  Tak nak aku pakai.  Kalau duda tu letak minyak pengasih habis aku.  Dibomoh dengan minyak dagu kang naya aku yang masih dara ni.
           
          Tipikal kampung kan fikiran aku?  Macamlah orang bandar percaya benda tahyul.  Lantaklah.  Janji aku berhati-hati.  Luaran nampak baik tak semestinya hati baik.  Rambut sama hitam babe tapi hati lain-lain.  Lain ke? Bukan hati kau dengan dia sama merah ke? Huh!
           
          Luqman Hakimi kau jangan perasan ya.  Kau ingat kau handsome plus kaya aku boleh cair.  Nope! Ini Qistina Airisa.  Aku seorang yang berpegang pada prinsip.

Jan 28, 2014

Novel yang bakal bertukar tuan


Kiut miut pulak gambar novel-novel ni. Ahaks! Mentang-mentanglah kita mahu berpisah sayang-sayang ni nampak begitu cantik di mataku.  Ahai jahat sungguh......

Novel-novel ni bakal menjadi milik sahabat zaman sekolah ku. Lantaran dia menetap jauh dari negeri serambi mekah ini terpaksalah hartaku ini dipos laju kepadanya.

Asalnya dia nak let go novel-novel dia pada saya tapi akhirnya tak jadi. Saya cadangkan kami guna sistem barter sahaja. Barter kerr....? Barterlah kut main tukar suka sama suka ni. Kua....kua.....

Novel-novel miliknya telah pun saya perolehi. Sekarang masanya untuk saya menghantar novel saya pula. Hope novel-novel ini kekal elok meskipun bertukar tangan. Huhu...
Sedih bebenor......

Semoga dikau selamat sampai ke destinasi ya sayang-sayang. Uhui......

Jan 27, 2014

Saya Tunggu Awak


Novel tarbiah ini adalah keluaran galeri ilmu hasil tulisan Bonda Nor. Saya mendapatkan novel ini sebab saya tahu ia sarat dengan ilmu. Saya mengambil masa selama dua hari untuk menghabiskan bacaan novel berunsur islamik ini. Alhamdulillah saya suka dengan sentuhan penulis ini.

Novel ini berkisar tentang ustazah Hanna Mardiah. Seorang isteri yang dilema cinta lelaki lain. Bukan mudah dia melawan perasaan dan menghadapi ujian itu. Namun saya kagum dengan dia yang sentiasa meminta petunjuk dariNya.

Dugaan paling hebat adalah kehilangan suami tersayang. Jatuh air mata saya dengan ketabahannya. Kesetiaannya untuk bersama suami sehingga ke syurga wajar dicontohi. Sekuat mana pun cinta Rafiq, Hanna hanya dambakan kasih suaminya. Seperti kata Rafiq Allah tetap menunaikan hasratnya meskipun dengan cara yang berbeza. Keluarganya dan keluarga Hanna bersatu jua namun dengan cara yang lebih sempurna. Saya petik kata-katanya, kekecewaan yang pernah kita lalui mungkin akan menjadi satu nikmat yang bakal kita syukuri suatu masa nanti.

Sesungguhnya tidak ada musibah pun yang menimpa di muka bumi ini dan tidak pula pada dirimu melainkan telah tertulis di dalam kitab Lohmahfuz sebelum kami menciptakannya. Sungguh yang demikian itu sangat mudah bagi Allah. Kami jelaskan yang demikian itu agar kamu tidak berdukacita terhadap apa yang luput daripadamu dan supaya kamu tidak terlalu bergembira terhadap apa yang dia berikan kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap yang sombong lagi membanggakan diri. (Al-Hadid 57: 22-23)




Jan 22, 2014

Bab 7 OOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA




Aku menilik-nilik bisnes card yang kecil itu.  Ternyata Encik Luqman Hakimi itu benar-benar ingin mengenali aku dengan lebih rapat.  Pagi tadi dia sempat bertanyakan nombor telefon aku.  Apabila aku berpura-pura tidak dengar dia memberikan aku bisnes kad itu.  Siap pesan lagi suruh save nombor telefon dia kat dalam contact aku.  Adess! Ini yang buat aku gatal kulit kepala ni.

Tak apalah buat apa aku kusutkan minda dengan kad yang tidak menyedut oksigen ni.  Tumpuan aku kini beralih kepada Danish.

“Danish sayang………..kenapa monyok ni?” Soal aku pada Danish.  Aku lihat dia tidak riang seperti biasa.  Selalunya dialah pencetus kemarahan Kak Azmah apabila sering mengacau Mia.

Danish membatu.  Tiada suara yang dituntaskan melalui ulas bibir kecilnya.

Aku menjamah dahinya.  Mukanya yang putih sudah kemerahan.  Macam udang kena bakar saja.  Aku yakin Danish tidak sihat.  Dia demam.

“Kak Azmah Danish tak sihat ni,” beritahu aku kepada Kak Azmah yang sedang membancuh susu kepada bayi.

Kak Azmah adalah pekerja paling senior di taska itu.  Dialah yang paling banyak mengajar aku.  Meskipun dia bengis namun kadang-kadang dia melucukan.

Kak Azmah menghampiri Danish.  Tangannya turut menjamah dahi dan tubuh Danish.

“Qis telefon Encik Luqman. Cari nombor dia dalam buku rekod,” arah Kak Azmah tegas.

“Tak payah cari Kak Azmah sebab Qis dah ada ni…….” balas aku seraya menunjukkan kad kecil itu.

Kak Azmah melihat sepintas sahaja bisnes card milik Luqman Hakimi.  Dia tidak berminat untuk mengusul mengenai kad kecil itu di saat kami dalam kecemasan. “Hah apalagi pergilah call cepat. Takut melarat pula demam budak ni.”

Terkulat-kulat aku bangun mencapai telefon taska.  Aku tekan satu persatu nombor Luqman Hakimi seperti yang tertera di dalam kad itu.  Aku sabar menanti panggilan bersahut.

“Apa Danish demam? Tadi dia baik-baik saja. Macam mana boleh demam ni..…” gusar bunyi suara Luqman Hakimi sebaik aku memaklumkan tentang Danish.  Jelas dia terkejut.

“Ya tadi memang elok-elok saja Encik Luqman tapi sekarang badannya panas. Saya harap Encik Luqman dapat datang dengan segera. Dia perlu ke klinik.”

“Baik saya datang segera.”  Dengan pantas dia meletakkan telefon.  Mesti dia kalut untuk bergegas ke sini.

Aku ke ruang dapur untuk membuat air asam jawa.  Masa kecik-kecik dulu umi selalu lapkan air itu ke dahi aku jika aku demam.  Kata umi itu petua tradisional.

“Danish, cikgu lapkan dengan air ni dulu ya. Sekejap lagi papa datang.  Dia akan bawa anak comel cikgu ni pergi klinik,” tutur aku sehabis lembut pada Danish.

Danish diam sahaja namun dia tidak membantah.  Barangkali dia tiada kudrat untuk bersuara.

Aku mengelap dahi Danish dengan tuala kecil yang telah aku basahkan dengan air asam jawa.  Tuala itu aku usap lembut sehingga ke ubun-ubunnya.  Mengelus-ngelus rambutnya.  Kemudian tubuh itu aku peluk.  Meresap kasih aku padanya.

Danish juga senang dengan belaian aku.  Seketika kemudian dia terlena.  Andai haba panas di badannya boleh dipindahkan kepada aku, demi Allah aku rela menerimanya.  Entah kenapa hatiku berasa dekat dengan kanak-kanak comel ini.  Di mata kecilnya ada sinar tapi sinar yang tidak berkilau.  Serasa dalam mata itu tersembunyi sesuatu.  Sepertinya dia tidak lengkap kasih sayang.  Ah! Perasaan aku mungkin.


“Danish….Danish…Danish….” panggil Luqman Hakimi yang sudah pun masuk ke dalam taska.  Cepatnya dia sampai.  Naik flight apa dia ni?  Tak pun kereta dia boleh buka sayap.

Dia terpana melihat aku yang sedang meriba Danish.  Aku tidak faham akan pandangan matanya itu.  Aku tidak mempunyai sebarang magik untuk mentafsir makna panahan mata itu.

“Cikgu ikut saya hantar Danish ke klinik boleh?” Pintanya pada aku penuh harap.

Aku mengerutkan dahi. “Kenapa saya perlu ikut?”  Dalam hati aku sebenarnya……nak cakap………saya tak boleh ikut.

“Cikgu tolong pangku Danish dalam kereta nanti.”

Aku serba-salah.  Jantung aku pula berdegup tatkala dia mengangkat Danish dari ribaan aku.  Dia ni kan tunggulah aku letak Danish kat bawah dulu.  Ambil kesempatan betul.  Tak pasal-pasal ternoda paha aku ni.  Kalau tak ingatkan anak dia demam memang aku marah.  Sarang tebuan jangan dijolok.  Ramai apa yang jadi arwah kerana disengat dek binatang tu.
            
 “Pergilah Qis,” kata Kak Azmah pada aku yang sudah bertukar menjadi patung.  Patunglah sangat.  Patung yang boleh bercakap dalam hati. 

Lambat-lambat aku mengekori bapa Danish ke keretanya.  Aku masih buntu samada perlu mengikutnya atau tidak.  Kereta mewah itu aku pandang sepi.  Seumur hidup aku kereta itu hanya mampu aku lihatnya di tv.  Di kampung aku mana ada orang yang berkereta BMW lima siri tu.

“Cikgu masuklah. Cikgu duduk belakang dengan Danish pun tak apa,” pelawanya mesra.  Mungkin dia dapat baca riak serba salah di wajahku.

Aku memandang Luqman Hakimi.  Lama.  Gulp!  Aku menelan liur pahit. Aku menghenyakkan jua punggung ke dalam kereta mewah itu dengan memangku kepala Danish.  Aku jadi tidak menentu sehingga lidahku kelu.  Perasaan apa sebenarnya ni?  Aneh…….

Suasana hening menyelubungi kami sehingga tiba ke destinasi.  Tiada sebarang suara yang terbit di antara kami.  Aku mengikut sahaja langkahnya untuk masuk ke Klinik Fattah.

Mujur klinik lengang memandangkan hari ini hari bekerja.  Selepas mendaftar Luqman terus membawa Danish masuk ke bilik doktor untuk diperiksa.  Manakala aku hanya duduk di ruang menunggu.  Aku rasa serba tak kena saat pembantu klinik itu memandang aku.  Mesti dia pelik aku selaku seorang ibu tidak masuk bersama suami dan anak.  Ah! Lantaklah! Takkan aku nak bagitahu dia yang aku hanya pekerja taska, lainlah kalau dia tanya.  Buat bodoh sudahlah Qis.

Sekitar sepuluh minit Danish sudah keluar bersama Luqman.  “Cikgu tengokkan Danish, saya hendak ambil ubat di kaunter.”

Aku meraih Danish ke atas ribaan.  Menggosok-gosok kepalanya.  Dalam hati berdoa moga dia cepat sembuh.

Sejurus selesai mengambil ubat kami bertiga kembali ke perut kereta.  Kami bertiga duduk dalam posisi tadi.  Sebelum Luqman memulakan pemanduan aku bertanyakan keadaan Danish kepadanya.  “Doktor cakap apa pasal Danish tadi?”

“Danish demam biasa sahaja. Nasib baik cepat bawa ke klinik jadi tidaklah melarat nanti. Jika makan ubat mengikut aturan insyaallah cepat baik.”

“Alhamdulillah. Lega saya. Bimbang juga kalau Danish demam teruk. Yalah zaman sekarang ni macam-macam penyakit. Kanak-kanak ni antibodinya rendah.”

“Terima kasih sebab tadi lapkan kepala Danish dengan air asam tu. Ingat orang muda macam cikgu tak tahu petua orang-orang lama,” tuturnya yang sudah menekan pedal minyak.

Aku mencemik.  Tolonglah! Pandang aku sebelah mata apa dia ni.  Kalau aku tak tahu petua orang lama sekalipun pakcik Google ada.  Pakcik tu setia dengan aku tau tak.  Tanya saja dia tak lokek memberi jawapan janji internet tu aku bayar.

Aku nampak dia tengok cermin pandang belakang.  Curi tengok akulah tu.  “Saya hantar cikgu balik ke taska dulu.   Danish saya akan bawa pulang ke rumah.”

“Okey,” balas aku sepatah.  Simplenya jawapan.  Kereta terus meluncur membelah jalan dan aku tidak berminat untuk melarutkan perbualan dengannya.

“Kenapa………cikgu macam tak suka saya?”

Soalan apa pulak dia ni……..?  Patutnya ucaplah terima kasih sebab aku teman dia ke klinik.  Tapi ni tanya soalan yang aku tak suka.  Mahu bernanah telinga mendengarnya.  “Bukan tak suka. Saya cuma tidak selesa.”

“Sebab saya ni beza belasan tahun dengan Qistina?” Soalnya dengan melirik pada aku.

Qistina? Dia panggil aku dengan nama pula.  Mana hilang ‘cikgu’ dia tu?

“Saya tahu kita banyak beza dari segi usia tapi ramai pasangan di luar sana yang suaminya lebih tua.”

Adess! Cakap pasal pasanganlah pula.  Ya Allah tolonglah hambamu ini.  Aku tidak mahu digoda suami orang.

“Danish sukakan cikgu dan saya sendiri tidak ada masalah untuk itu.”

Aduh! Apa maksud dia ni?  “Cukup…..cukup Encik Luqman,” potongku.  “Saya rasa encik ni dah salah tempat.”

“Salah tempat? Jalan ni betul untuk ke Taska Mithali.”  Lurus pulak bapak Danish ni.

“Ooo…..tak apalah kalau betul. Ingat dah salah jalan tadi.”  Fuh! Selamat aku. Dia salah faham dengan istilah salah tempat tu.  Jadi kiasan darinya tadi berjaya aku sekat.  Harap-harap dia sudah tak berani untuk sambung.

“Kita dah sampai. Terima kasih Qistina sebab sudi teman saya,” ujarnya sebaik tayar kereta mewahnya mendarat pada tar di depan Taska Mithali.  Nampaknya dia sudah mula membiasakan mulutnya untuk memanggil aku dengan nama.  Tapi aku pula yang janggal bila dia sebut nama.  Aduhai…...

“Sama-sama,” balas aku sambil melemparkan senyum tidak ikhlas semasa turun dari keretanya.  Aku nampak dia senyum juga.  Senyuman dia memang menawan tapi aku sama sekali tidak akan tertawan.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

“Kak Ina boleh tak Qis tanya satu soalan?” Aku mengusul soalan pada Kak Ina dengan ragu-ragu.  Soalan yang bakal aku tanya itu actually sudah lama berlegar-legar dalam minda aku.  Jadi malam ini aku nekad jua untuk bertanya.  Penting untuk aku tahu tentang itu.

“Tanya sajalah Qis. Apa dia…….?” Tanya Kak Ina sambil tangannya ligat melipat kain.  Kain yang sudah satu raga menimbun.  Biasalah kain ni kalau nak melipat hari-hari memang malas.  Bila dikumpul menggunung juga jadinya.

“Kenapa Kak Ina tak minta cerai saja dari Abang zaman?” Dengan beraninya aku menyoal.  Menanti reaksi Kak Ina resah aku dibuatnya.  Teragak-agak aku menarik sehelai kain batik dan cuba melipatnya.

Terbuntang mata Kak Ina.  Ada perubahan cuaca pada wajah bujur sirihnya.  Mungkin dia tidak menyangka yang soalan itu akan aku usul.  Dalam usia belum cukup dewasa tidak pantas aku bertanya begitu.  Lagipun bergegar tiang arasy nanti jika isteri meminta diceraikan.

Aku mula serba-salah dan rasa bersalah. “Maaf Kak Ina. Qis tak bermaksud apa-apa. Qis cuma hendak tahu. Yelah Abang Zaman pun dah ada isteri lain.”

Kak Ina menghela nafas.  “Qis walaupun Abang Zaman telah berkahwin lain tapi itu tidak bermakna antara kami tiada lagi cinta.  Kak Ina terima ketentuan takdir untuk hidup bermadu.  Selagi Abang Zaman tak mensia-siakan kami anak-beranak tidak ada sebab untuk akak meminta cerai.”

“Bagus Kak Ina ni. Ramai isteri tidak mahu dimadu. Mereka rela hidup sendirian daripada bermadu. Kak Ina tak rasa sakit hati ke?” Aku masih mengasak Kak Ina.  Mentang-mentanglah dia kakak aku soalan pedas pun aku tanya.  Kalau kakak orang lain mahu kecut perut aku nak busybody.

“Dulu, masa mula-mula Abang Zaman cakap dia nak kahwin lagi memang akak sakit hati. Akak menangis semahunya. Akak berniat untuk meminta cerai tapi lepas akak tenung wajah Azfan hati akak jadi sejuk. Akak tak sanggup tengok dia hilang kasih sayang seorang bapa kerana sikap selfish kakak,” terang Kak Ina sejujurnya.

“Habis sekarang Kak Ina dah terima madu akak tu?”

“Ya terima. Kami boleh berkawan tapi dengan syarat akak tak nak tahu perihal rumahtangga mereka. Dengan mengelak dari mengetahuinya………..hati akak tidak terluka.”

“Contoh macam malam ni, Abang zaman balik rumah bini muda dia…….Kak Ina tak sedih ke? Tak rasa sepi dan sunyi?” Aku lontarkan soalan cepu emas.

“Macam yang kakak cakap tadi……..awal-awal dulu terasalah. Now dah kalis dik. Sekarang ni akak banyak muhasabah diri dan beribadat pada Allah,” jawab Kak Ina dengan tulus.  Setenang air di kali.

Aku jatuh kagum dengan kakakku itu.  Kagum dengan ketabahan dan kecekalan hidup bermadu.  Bukan senang untuk menemui isteri seperti Kak Ina.  Bagi pendapat aku Kak Ina boleh cari lelaki lain kerana dia wanita bekerjaya.  Dia bukannya tidak mempunyai rupa.  Anak pun baru seorang.  Namun bukan itu yang dikejar kakak aku itu.  Semoga dia akan mendapat payung emas di syurga Allah kelak.

Ayat 96 dari Surah Al-Nahl ada mengatakan, ‘sebenarnya apa yang ada pada kamu akan hilang dan habis iaitu lenyap. Hanya apa yang ada di sisi Allah yang akan kekal.  Sesungguhnya kami membalas orang-orang yang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.’

Ayat 39-41 dari Al-Najm pula menyatakan bahawa sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang melainkan balasan apa yang diusahakannya.  Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan kepadanya pada hari kiamat kelak.  Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna.