Dec 31, 2013

Bab 4 OOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA




 Aeril Zafrel

Aku menggeliat kemalasan.  Bestnya weekend boleh bangun lewat.  Mentang-mentanglah tak perlu ke taska aku qada tidur sampai jam sebelas pagi.  Selepas solat subuh pagi tadi aku terus buat qada tidur.  Sekarang aku sudah puas ketiduran.   Masa sekarang adalah untuk mengisi perut aku yang sudah berbunyi.
             
            Aku mencapai tuala di penyidai lalu melangkah masuk ke bilik air untuk membersihkan diri.
           
           Usai menyarungkan  baju T-shirt dan seluar trek aku keluar dari bilik.
            
           “Azfan main apa ni?” Aku menegur anak saudara aku yang leka melekatkan cantuman pada permainan puzzle.
            
             “Main puzzle Maksu. Mehlah tolong Azfan buat.”
           
            “Kejap lagi maksu tolong. Sekarang maksu nak makan. Maksu laparlah,” balas aku sambil memegang perut.  Aku memang lapar pun.  Niat tadi memang hendak terus terjah ke dapur tetapi bila nampak Azfan aku tegurlah dia dulu.
           
           “Maksu makan cepat sikit tau,” pesan anak saudara aku itu.
            
            Okay,” kata aku sambil mengangkat tangan tanda berjanji.
           
            Aku menapak ke ruang dapur.  Aku tengok Kak Ina berada di sinki.  Mencuci pinggan barangkali.
           
           Morning Kak Ina,” bisik aku di telinga Kak Ina.
           
           Kak Ina berpaling dengan terkejut. “Heish! Budak ni apasal main bisik-bisik ni,” marah Kak Ina.
            
           “Alah nak usik sikit pun tak boleh.”
           
          “Meremang bulu roma akak tau tak!”
            
          “Hek eleh itu pun nak meremang bulu roma.  Ni bukan detik 12 malam tapi detik 12 tengahari.  Mana ada hantu tersesat punya,” tempelak aku.  Tudung saji aku buka.  Ada bihun goreng.  Aku menelan liur.
           
          “Oh! Tahu dah 12 tengahari.  Sedap kamu membuta.  Nanti kalau dah berlaki kebulur laki kamu tu nanti,” Kak Ina membebel.  Aduh! Kakak aku ni mengalahkan mak nenek.
           
          Aku yang baru hendak mencedok bihun ke dalam pinggan sedikit tersentak.  “Apa Kak Ina ni cakap pasal laki bagai. Aduh! Qis tak sukalah bab tu.”
             
           “Suka tak suka pun sampai masa kena berlaki jugak.” Sinis saja bunyinya.
            
           “Dahlah kak. Terbantut selera orang ni kang.”
             
            Kak Ina mencekak pinggang.  Nak bersilat ke apa Kak Ina ni? Setakat silat gayung tu aku boleh lawan punya.  “Ada akak kisah. Kalau selera kamu terbantut pun bukan akak yang lapar tapi perut kamu.”
             
            Aku dah tak peduli lagi apa yang dibebel Kak Ina.  Perut berbunyi minta diisi tapi telinga pula yang mendapat habuan.  Bihun goreng terus aku suapkan ke mulut.  Laju aku mengunyah bihun tu bagai seminggu tak jumpa nasi.
           
            Argh! Kak Ina air. Terlekat nih!” Aku melolong.  Tekakku tidak sempat bekerja dengan cepat menghantar bihun ke perut.  Apalagi tersekat di kerongkonglah.  Gelojohnya adik Norina ni.
            
            “Ya Allah budak ni. Makan main sumbat,” marah Kak Ina.  Pantas dia menuangkan air Milo untuk aku.
           
         Aaah…….lega,” kata aku selepas meneguk air Milo yang sudah sejuk itu.  Mungkin air Milo dalam jag itu dibuatnya sejak pagi tadi lagi.
             
           Kak Ina menggosok belakang tengkuk aku. “Makan tu baca Bismillah ke tak?”
             
          Aku tersengih. “Baca dalam hati.”
             
         Kak Ina mencebik.  Aku terus menyambung makan.  Kemudian dia menyambung bicara, “lepas Zohor nanti Qis tukar baju……..kita keluar.”
           
             Kakak aku ni mesti hendak pergi merendet. “Nak pergi mana kak?”
            
           “Kita pergi Masjid India. Kat sana banyak kain murah-murah,” balas Kak Ina dengan rasa teruja.  Hah sudah! Mood jualan kain melanda kakak aku.
           
          “Habislah duit Qis…...” Aku mengeluh.  Aku bukan kedekut sangat untuk beli pada diri sendiri tapi duit gaji aku nak simpan.  Yalah perjalanan hidup aku lepas ni kan further study.  Tentu banyak aku nak pakai duit untuk tujuan itu.
             
          “Kalau tak nak habis duit tak payahlah beli. Teman akak saja.”
          
            “Kalau setakat teman baik orang dok kat rumah. Macam nilah Kak Ina belanja Qis ye.”
             
           “Huh! Tengok bajetlah macam mana.”
           
           Aku memuncungkan bibir. “Kedekut tahi hidung masin.”
             
          Kak Ina yang baru hendak keluar dari ruang dapur kembali menoleh. “Hah! Apa dia?”
             
          Aku menggeleng-gelengkan kepala.  Kening aku angkat setingginya.
             
          Melihatkan tindakan refleks aku itu Kak Ina mendekatiku lalu berbisik,” dik, cakap siang pandang-pandang. Cakap malam dengar-dengar. Mengata akaklah tadi tu.”
             
            “Eh tak. Mana ada. Qis cakap bihun ni terlebih masin.”
            
            “Banyaklah kau terlebih masin. Dah licin satu pinggan baru kau tahu masin,” Kak Ina menempelak.
             
            Aku menjongket bahu.  Hakikatnya bihun tu memang tak masin.  Alasan refleks dari aku biasalah.  Alasan yang datang tanpa diundang.  Hehehe…..
            
          Huh! Telinga lintah apa kakak aku tu.  Sebenarnya kakak aku nan  seorang tu bukanlah kategori tangkai jering merangkap kedekut sekalipun.  Aku saja je cakap macam tu.  Mulut Qistina Airisa ni kan main lepas saja.  Sorry ya kak.  Nasiblah akak dapat adik perempuan macam Qis ni.
             
            Ermmmm……Rehat sekejap tentang kisah aku.  Sekarang ini kita rentas kehidupan umi di kampung menguruskan warungnya.  Alahai rindunya kat umi. 
             
          “Kak Jah bungkus nasi lemak tiga dengan kuih karipap dua ringgit,” kata Kak Milah yang sudah jadi pelanggan tetap umi.
             
           “Baiklah,” balas umi dengan mesra.
             
           “Kak Jah ni rajin benar meniaga. Kenapa tak suruh Qistina tolong?” Kak Milah membangkitkan tentang aku.  Mungkin dia tak tahu yang aku tiada di kampung.
             
           “Dia kerja kat Kuala Lumpur sekarang ni. Biarlah dia merasa duduk tempat orang Milah.”
            
           “Dia kerja apa kat sana? Tak nak sambung belajar ke?” Soal Kak Milah.
             
           “Kerja kat taska.  Dia nak sambung belajar tapi dapat panggilan kedua. Tu yang dia kerja tu. Bolehlah tambah duit untuk masuk universiti nanti,” terang umi.
             
          “Dia dapat universiti mana? Anak aku si Nadirah tu dah pergi UITM Arau bulan lepas.”
            
          “Qistina dapat UITM Shah Alam tapi tulah panggilan kedua.”
             
          “Tak kisahlah Kak Jah dapat panggilan pertama ke kedua janji dapat sambung belajar. Rugi kalau muda-muda tak sambung belajar.”
             
           “Betul tu Milah. Pelajaranlah yang dapat menjamin masa depan kita.”
           
           “Berapa ringgit Kak Jah nasi dengan kuih ni?” Tanya Kak Milah sebaik nasi dan kuihnya siap dibungkus.
            
            “Lima ringgit saja Milah,” jawab umi.
             
           “Nah duitnya,” Kak Milah menghulurkan duit untuk membayar harga makanan yang dibelinya.
             
          “Terima kasih. Jual ya,” umi menyambut duit dengan disertai ucapan terima kasih dan akad jual beli.
             
            “A’ah saya beli,” balas Kak Milah sebelum berlalu dari warung.

Dulu, masa arwah abah ada umi tak buka warung lagi.  Umi cuma buat kuih dan nasi lemak untuk dihantar ke kedai-kedai kopi sahaja.  Setiap pagi umi akan bangun awal untuk memasak nasi lemak dan membuat kuih.  Antara kuih yang biasa dibuatnya adalah karipap, donut dan kuih ketayap.  Kalau arwah abah tak sempat hendak pergi hantar kuih dan nasi lemak umi Kak Ina yang akan pergi hantar.  Kadang-kadang umi menjaja kuih dan nasi lemaknya itu. 
            
          Aku kagum dengan ketabahan umi.  Selepas abah meninggal kerana diserang angin ahmar umi memberanikan diri untuk membuka gerai.  Asalnya gerai tu kecil saja tapi lama-kelamaan menjadi warung.  Alah macam kedai-kedai kopi kat kampung lainlah.  Menjual air dan nasi.  Sekarang ni umi ada seorang pekerja yang membantunya membuat air di warung.
            
          Dengan duit hasil warung itulah Kak Ina menyambung pelajaran.  Kak Ina berjaya mendapat ijazah perguruan di Institut Perguruan dalam negara.  Alhamdulillah Kak Ina aku tu sudah berjaya sebagai guru.  Sekarang ni dia jadi penolong kanan di sekolahnya.
             
            Namun ada sesuatu yang aku sedih dengan Kak Ina tu.  Sehingga kini aku masih tidak faham kenapa dia masih bertahan dengan perkahwinannya.  Memang dia berkahwin suka sama suka dengan Abang Zaman tu tetapi masalahnya sekarang dia sudah diduakan. 

Kalau akulah dengan kerjaya yang professional macam tu tak hairanlah setakat abang Zaman tu.  Betul ke tak hairan? Yalah abang Zaman tu bukannya hartawan pun setakat engineer saja.  Bagi aku my lovely sister tu boleh dapat suami yang jauh lebih baik dari abang Zaman.  Abang Zaman pun dah ada second wife.  Kalau aku simpang malaikat 44 untuk bermadu.  Heish! Kalau aku lagi.  Itu kan Kak Ina bukan aku. 

Walaupun dalam tubuh kami mengalir darah yang sama mana mungkin hati dan pemikiran sama.  Yang aku tahu Kak Ina itu mempunyai tahap kecekalan dan kesabaran yang tinggi berbanding aku.  Padan dengan jawatan penolong kanan sekolah yang disandangnya.  Kalau kurang kesabaran tidak terdidik anak-anak muridnya.  Aku tabik spring dengan insan bernama Norina tu.  Norina a.k.a. Kak Ina.

“Qis, buat apa lagi kat dapur tu?” Terdengar suara Kak Ina melaung dari ruang tamu.
Hah buat apa? Aku kan berkhayal tadi.  Menerobos masa silam. “Kejap, Qis nak basuh pinggan.” Cepat-cepat aku bangun dari kerusi bersama pinggan dan gelas yang telah kosong.
Pinggan dan gelas itu aku basuh di sinki.  Selepas itu menapak ke ruang tamu.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx         
Luqman Hakimi melayan anaknya Danish bermain di halaman rumah.  Mereka berdua bermain bola bersama-sama.
            
           “Papa……..Danish dah penat,” rengek Danish.
             
          Luqman Hakimi menghampiri anaknya. “Kesiannya anak papa. Dah penat rupanya. Jom kita minum dulu.”
           
          “Jom,” balas Danish.
             
            Mereka berdua duduk di kerusi meneguk jus oren.
           
         “Papa, Danish sukalah dengan cikgu Qistina tu,” kata Danish yang terkenangkan pengasuhnya di taska.
             
          “Kenapa Danish suka dia?” Tanya Luqman Hakimi.
             
           “Dia baik. Dia sayang pada Danish,” jawab Danish dengan muka yang comel.
            
           “Bukan ke semua cikgu baik pada Danish?”
            
         “Ya…….tapi tak sama macam cikgu Qistina. Dia tak pernah marah Danish. Hari-hari dia layan Danish main.”
             
         Luqman Hakimi tersenyum mendengar kata-kata Danish.  Sebelum ni Danish tak pernah puji pekerja di taska itu sebegitu rupa.  Dia gembira kerana anaknya telah mendapat pengasuh yang serasi dengan jiwanya.  Sebelum kedatangan Qistina, banyak kali juga Danish merengek tidak mahu pergi ke taska.  Pernah dia terdetik untuk menukarkan Danish ke taska lain pada masa itu.  Namun sekarang dia sudah mampu menarik nafas lega.
             
       “Papa boleh Danish nak……..cikgu Qistina jadi mama Danish?” Si kecil mula membuat permintaan.
             
         Luqman Hakimi terperanjat.  Dia bagai tidak percaya dengan kata-kata anaknya.  Danish bukannya sudah bersekolah rendah ingin bertutur begitu.  Danish pun masih pelat selari dengan usianya.
            
          “Boleh tak papa?” Tanya Danish sekali lagi sambil menggoyang-goyangkan tangan papanya.
             
          “Tak boleh Danish,” hanya itu yang mampu dijawab Luqman Hakimi.  Bagaimana dia ingin mengiyakan sedangkan dia dan Qistina belum mempunyai apa-apa hubungan lagi.  Sementelah lagi hatiya belum berdetik begitu.  Dia sendiri sedang berusaha untuk mengenali gadis itu.
             
           Lagipun sikap dingin yang ditunjukkan Qistina menjelaskan yang dirinya tidak disukai gadis itu.  Dia sedar dia sudah berumur.  Bahkan lagi mempunyai anak.  Tidak mungkin gadis muda seperti Qistina akan memandangnya.
           
           “Kenapa tak boleh?” Jerit Danish.  Dia sudah hendak buat perangai kerana dia merasakan yang kehendaknya itu tidak akan dipenuhi papanya.
           
          “Danish sayang. Cikgu Qistina tu cuma mengasuh Danish. Dia bukan nak jadi mama Danish,” Luqman memujuk anaknya dengan lembut.
             
         “Danish nak cikgu Qistina jugak!” Danish membentak.
             
           “A’aa yalah,” Luqman mengalah. “Dah sayang, minum air ni,” kata Luqman seraya mengambil jus oren untuk diberi kepada anaknya.
             
           Mendengarkan papanya berkata begitu Danish minum jus oren itu dengan gembira.  Bibirnya sudah menguntum senyum.  Budak-budak macam tulah.  Bahkan lagi Luqman Hakimi sentiasa memanjakan putera tunggalnya itu.
             
           Luqman Hakimi mengelus-ngelus rambut hitam berkilat milik anaknya itu.  Rambut Danish sahaja yang menyerupai dirinya.  Yang selebihnya baik mata, hidung atau pun mulut langsung tidak menyamai wajahnya.
             
          Tiba-tiba dia didera perasaan hiba.  Melihat wajah Danish membuatkan dia teringatkan wajah seseorang.  Seseorang yang amat dia sayangi.  Seseorang yang telah meninggalkan alam fana ini.  Seseorang yang telah lama pergi dari hidup Danish.  Dari hidup seorang kanak-kanak kecil yang belum mengerti apa-apa.  Yang belum tahu tentang kehidupan.
             
           Alhamdulillah kasihnya tumpah pada Danish.  Dia sama sekali tidak akan membiarkan Danish bersedih.  Dia telah berjanji pada dirinya sendiri akan sentiasa membahagiakan Danish.  Dia rela melupakan kebahagiaan sendiri dari membiarkan darah dagingnya itu menangis.  Dia sama sekali tidak akan membuat Danish sengsara.
            
         Lantaran itulah dia masih belum beristeri.  Siang dan malamnya dia hanya memikirkan Danish.  Setiap hari dalam hidupnya adalah untuk Danish.  Dia tidak mahu Danish merasa hidupnya tidak lengkap tanpa kasih sayang seorang ibu.  Biarlah dia seorang sahaja yang menjadi ibu dan bapa Danish.  Dia tidak mudah untuk membawa orang luar untuk menjadi pengganti ibu Danish.  Hatinya amat takut mengenangkan kes penderaan yang kerap berlaku dewasa ini.
             
         Sekarang ini Danish sudah pandai meminta seorang ibu walhal dia sendiri belum berfikir ke  arah itu.  Dia mengerti perasaan budak kecil.  Bila sudah bersama dengan orang yang mengasihi dirinya sudah tentu naluri ingin memiliki itu wujud.  Danish mungkin baru mengalami simptom kasih seorang ibu.  Tidak apalah dia mengerti dan dia akan cuba untuk memahami.
            
          Bagi pihak dirinya sendiri dia akan berusaha untuk mengenali orang yang telah membawa simptom itu kepada anaknya.  Apabila telah kenal mana tahu hati akan terusik.  Apabila hati sudah terusik tidak mustahil naluri ingin memiliki akan terbit.  Di saat sudah terbit naluri itu maka akan tercapailah impian Danish untuk memiliki mama idamannya itu.
           
       “Insyaallah Danish papa akan buat apa sahaja untuk Danish,” desis hati kecilnya.



7 comments:

  1. jeng...jeng... luqman hakimi tengah pikir langkah nak ngorat qistina lak...

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Rina sudi singgah dan komen di sini.

    ReplyDelete
  3. Luqman Hakimi.....klu nk mengayat Qistina, meh sini...kita nk tolong...hehehe :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wah ini sudah baik. Hana nak tolong tapi masalahnya si bunga tu hatinya tepu....

      Delete
  4. anak dah suka ...ayah kena usahakan sampai dapat...

    ReplyDelete
  5. baiknya ayah danish semua kerana danish untung danish ada ayah camtu hihihi danish dah suka ngan cikgu qistina apa lagi luqman cepat2 a mainkan peranan sebelum terlepas ......

    ReplyDelete
  6. haish.. si kecik dh bg hint tu.. apr lg cpt la bertindak yer luq... ^_^

    ReplyDelete