Dec 21, 2013

Bab 2 OOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA





“Amboi khusyuknya tengok tv,” aku ditegur oleh kakak aku.
          
  “Mestilah khusyuk tengok hero kegemaran,” balas aku yang belum mengalihkan mata dari TV LED 42 inci itu. “Azfan dah tidur Kak?”
         
  “Dah. Macam mana Qis kerja kat taska hari ni?” Soal Kak Ina yang sudah menghenyakkan punggungnya di sofa.
         
   “Biasa je kak. Hari-hari kena layan karenah budak-budak,” jawab aku mengenai rutin harian aku.  Tiada yang menarik pun.
         
   “Eloklah tu belajar dari sekarang. Nanti dah ada anak sendiri senang.”
        
    Anak sendiri? Apalah kakak aku ni.  Aku yang masih muda belia ni dikaitkan pasal anak.  Mentang-mentanglah adikmu ini jadi pengasuh budak.
        
  Hish! Kak Ina ni ke situ pulak. Qis tak fikir sampai ke situlah. Umur Qis ni baru 17 tahun. Dalam otak ni tak fikir bab kahwin ke bab anak tau tak,” sedikit tegas bunyi suara aku.  Almaklumlah isu sensitif bagi remaja seperti aku ni.
          
 “Hek eleh perasan 17 tahun lagi. Kamu tahun ni dah meningkat satu tahun lah,” tempelak Kak Ina.  Sajalah tu nak suruh aku rasa tua.
          
  “Ops pembetulan. Bulan November ni baru cukup 17 tahun ok,” aku membuat ‘correction’ pada statement kakak aku itu.
          
  “Ah samalah tu. Kira tahunlah senang dik. Nanti tak payah kamu tu perasan muda sangat.”
         
   “Apa lak perasan muda? Memang orang ni muda apa.”
          
  “Ikut kamulah Qis. Kamu ni nak kerja sampai bulan berapa? Hujung tahun ni dah nak daftar ke UITM.”
         
  “Alah kak relekslah. Ni baru bulan Julai. Qis plan nak berhenti bulan 11. Lepas tu bolehlah buat persiapan apa yang patut sebelum pergi belajar.”
          
  “Sukalah tu agaknya kerja kat situ.”
          
  “Hendak kata suka sangat-sangat tu taklah kak tapi bolehlah. Daripada Qis goyang kaki kat rumah lebih baik kerja. Dapat duit dan pengalaman.”
       
     “Ini tang paling bagus pasal adik akak ni. Rajin dan berdikari.”
      
      Kak Ina ni buat hidung aku kembang saja. 
     
       “Hari tu lepas SPM Qis dah tolong umi kat warung. Lepas kuar result Qis ikut akak datang KL cari kerja. Kenapa Qis tak ambil form six saja?” Soal Kak Ina mengenangkan yang aku masih berpeluang untuk belajar di tingkatan enam.
         
   “Qis tak minatlah form six,” jawab aku dengan jujur.  Aku sebenarnya memang tak minat untuk ambil STPM.  Bagi aku lebih baik aku ambil diploma dari STPM.  Walhal sebenarnya baik STPM mahupun Diploma sama sahaja bagi lulusan SPM.  Cuma bezanya diploma tiga tahun dan belajar di institut pengajian tinggi.  Manakala STPM dua tahun sahaja dan perlu belajar di sekolah.
       
     “Belajar ni mana boleh minat tak minat dik. Nasib baik surat tawaran second intake dah dapat, kalau tak terpaksa kamu masuk tingkatan enam jugak,” Kak Ina memberikan nasihat buat aku adik yang disayanginya ini.
         
   “Qis ni bukan apa kak. Dah jemu pakai baju putih dengan skirt blue black tu. Kalau pergi IPT bebas berpakaian biasa,” dengan bersahaja aku memberi alasan.  Alasan mengalahkan budak darjah satu.
          
  Kak Ina mengerling tajam.  Aku tersengih macam kerang busuk.  Mungkin baginya tak masuk akal langsung alasan aku.  Apa punya alasanlah Qistina ni…..
           
 Huh! Tak relevannya alasan kamu. Form six kan pakai baju biru bukan baju putih lagi.”
         
   “Samalah tu kak baju sekolah juga,” balas aku selamba.  Betul apa aku kata tak kisahlah baju sekolah tu warna ungu ke, baju pengawas sekolah ke, baju pengawas perpustakaan sekalipun.  Kalau sudah namanya baju sekolah aku memang dah tak minat nak sarung.
          
 “Banyak songehnya dia ni,” Kak Ina mengomel.
          
  “Tak kenal Qistina Airisa lagi ke kak?” Tanya aku sambil buat kening terangkat macam Ziana Zain menyanyi lagu Anggapanmu.  Aku memang suka buat gaya begitu dengan Kak Ina.
          
  “Kenal. Kenal sangat-sangat,” perli Kak Ina apabila melihat keningku sudah terangkat.  Mana mungkin seorang kakak tidak kenal adiknya.  Dia tahu sangat perangai aku.  Kalau aku dah kata nak kerja bagilah apa-apa helah pun aku tetap tak makan saman.  Kalau dia paksa aku ambil form six sekalipun tak ada maknanya.  Pasti STPM aku jatuh merudum.  Buat sesuatu dengan terpaksa faham-faham sajalah.

Mata Kak Ina turut fokus ke kaca tv tetapi tidak lama.  Barangkali dia tidak berminat dengan siaran yang aku tonton.

“Akak masuk tidur dulu ya. Lepas tengok tv jangan lupa padamkan lampu,” Kak Ina mengingatkan aku sebelum dia masuk ke bilik.
        
    “Baik madam,” balas aku gaya seorang bibik yang mematuhi arahan.
        
    Kak Ina bingkas dari sofa untuk menuju ke biliknya.  Aku masih lagi setia menatap hero drama kesukaan aku.  Siapa lagi kalau bukan Fahrin Ahmad.  Hehehe…Qistina Airisa si peminat tegar pelakon yang masih single itu.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

            Luqman mengusap pipi comel Danish yang sedang menghisap susu botol.  Meskipun Danish sudah hampir empat tahun dia masih gemar menghisap susu botol.  Namun tidaklah kerap sangat kerana Luqman sudah mengajarnya untuk minum susu dengan gelas.  Kalau masa dia merengek barulah susu Anmum Essensial itu dibuat di dalam botol.  Begitu juga semasa Danish berada di taska.
          
  “Danish dah tidur ke Luq?” Tanya Datin Rohani kepada anak lelakinya.
      
     “Belum lagi mummy. On the way,” jawab Luqman sambil menepuk-nepuk lembut belakang anaknya.
         
  Mummy nak tanya Luq ni,” kata Datin Rohani seraya duduk di sisi Luqman.
          
  “Ya mummy. Tanyalah,” balas Luqman mesra.
           
 “Kamu ni bila nak carikan ibu buat Danish? Kamu pun bukannya muda lagi.”
     
       Luqman sebenarnya sudah mengagak ibunya akan melontarkan lagi soalan itu buatnya.  Sebelum ini pun soalan itu sudah kerap singgah ke gegendang telinganya.  Soalan itu sudah kalis diutarakan buatnya.  Bukan ibunya sahaja, saudara-mara dan kawan-kawannya juga ada bertanya. 

Lumrah manusia bila kita belum kahwin akan ditanya bila nak kahwin.  Bila dah kahwin akan tanya pula bila nak ada anak.  Memang begitulah takkan pernah habis.  Kesimpulannya kita tidak perlulah ikut kata orang.  Jodoh itu kan rahsia Allah bukannya rahsia manusia.

            Mummy nak cari seorang ibu tidak semudah mencari isteri. Luq tak nak Danish disia-siakan,” tutur Luqman dengan telus.  Pandangannya jatuh pada anak tercinta.

            “Isteri dengan ibu tu sama je untuk kamu Luq. Mummy nak tolong carikan Luq tak nak.”

            Mummy tak faham. Luq perlu cari seorang isteri yang boleh jadi seorang ibu terus. Luq tak nak bakal isteri Luq nanti tidak dapat menerima kewujudan Danish.”

            “Kalau dia tak boleh terima, mummy boleh jaga Danish.”

            Mummy….Mummy pun tahu sedalam mana sayang Luq pada Danish. Luq tak boleh berenggang mahu pun berpisah dengan Danish. Danish adalah segala-galanya dalam hidup Luq.”

            Datin Rohani menggeleng-gelengkan kepalanya.  Dia tahu anak lelakinya itu amat menyayangi Danish.  Semenjak Danish lahir hidup Luqman banyak dihabiskan untuk Danish.  Danish menjadi penghibur buatnya.  Danishlah penawar jiwa dan lara.  Tiada siapa yang dapat menyangkal kasih Luqman terhadap Danish.

            Dia selaku seorang nenek pun tidak se’caring’ Luqman.  Maklum sajalah pangkat datin yang ada padanya membuat dia agak sibuk.  Dia sibuk berpersatuan sana sini.  Di mana ada function di situ ada dia.  Meskipun dia tidak sentuh lagi hal syarikat kerana Luqman sudah turun padang namun dia sibuk dengan geng ‘datin’ nya.  Bukan dia tidak mahu menjaga cucunya itu sepenuhnya tetapi sejak dari muda lagi dia jenis yang ligat.  Tidak betah dia duduk di rumah sahaja tanpa terlibat dengan aktiviti luar.

            Memandangkan hal itulah dia mahu Luqman mencari isteri.  Sekurang-kurangnya Danish dapat merasa kasih seorang ibu.  Jika lewat Luqman beristeri bermakna Danish semakin membesar.  Sudah pasti budak itu lebih sukar untuk menerima orang baru.  Sekarang dia masih kecil dan belum mengerti apa-apa. 

Masalahnya Luqman pula yang belum mempunyai calon isteri.  Dia kenal sangat dengan anak lelakinya itu.  Terlampau memilih. Cari miss perfect agaknya.  Dia pun sudah cuak untuk terus bertanya.  Kalau ikutkan hatinya mahu sahaja dia jodohkan dengan anak-anak datin yang dikenalinya. 

Namun mustahil baginya kerana Luqman pasti tidak akan bersetuju.  Luqman bukan sahaja mencari seorang isteri tetapi seorang ibu untuk Danish.  Kalau anak-anak datin yang dia kenal pasti tidak layak untuk menjadi ibu bidan terjun kepada Danish.  Anak-anak gadis elit hendak turun ke dapur memasak pun belum tentu inikan pula hendak menjadi seorang ibu.

Anak gadis moden sekarang hanya suka bersosial.  Bukannya seperti anak gadis zaman dahulu yang pandai membuat kerja rumah.  Segalanya jauh berbeza.  Sebab itu baginya sukar untuk Luqman mendapatkan isteri dua dalam satu itu.  Boleh menjadi isteri sekaligus menjadi ibu.  Jika gadis-gadis muda di kota ni memang taklah.  Jauh panggang dari api.




7 comments: