Dec 17, 2013

Bab 1 OOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA


Hari ini genap empat bulan aku bekerja di Taska Mithali.  Menjaga kanak-kanak di bawah usia empat tahun dan juga bayi.  Alahai apalah nasib kan umur baru nak masuk 18 tahun tapi dah kena main dengan baby.  Kalau anak sendiri tak apalah.  Ini anak orang.

Kadang-kadang aku rasa baik aku balik tolong umi kat warung.  Setakat tolong basuh pinggan dan buat air itu kacang je.  Konon nak cari pengalaman tapi kena jaga baby.  Asalnya aku nak minta jadi cikgu tadika tapi tiada kekosongan.  Tak kisahlah mengasuh budak pun dari aku tanam anggur di tempat orang.

Lepas habis SPM hari tu memang umi tawarkan aku bantu dia kat warung tapi aku ni ‘demand’.  Mentang-mentanglah aku ada kakak kat Kuala Lumpur ni jadi aku nak trylah merasa hidup kat sini.  Perasan aku ni ingat lulusan degree apa nak datang cari kerja kat KL.

Hendak tak hendak jadi pekerja taska sahajalah memandangkan aku cuma ada sijil SPM.  SPM pula cukup-cukup makan sebab tu tak dapat first intake.  Aku dapat panggilan kedua untuk ke UITM Shah Alam.  Tu yang aku nak kerja dulu tu.  Bolehlah buat duit poket memandangkan sesi pengajian aku bermula pada bulan Disember.

Mulanya aku nak apply jadi cikgu tadika kat sekolah Azfan.  Azfan tu anak saudara aku yang berumur lima tahun.  Tetapi tiada rezeki agaknya jadi tercampaklah aku kat taska ni.  Lagipun taska ni tak jauh dari tadika Azfan.  Em…tak kisahlah Qistina Airisa kerja apa pun janji masyuk.  Nak further study lambat lagi.  Tiada gunanya aku duduk di kampung dengan menghitung hari sahaja.

“Qis, pergi salin pampers baby Eisya. Dah basah dah tu,” suara Kak Azmah menerjah telinga aku.

Aku berpaling lalu tersengih.  Sengih yang tak mahu sengih sebenarnya.  Aku ni dah kembang pipi.  Kalau setakat salin pampers tu aku tak kisah tapi aku paling lemah bab budak-budak ni ‘tut’.

“Baik kak,” aku menjawab dengan patuh.  Kang kalau aku lambat jawab dikatanya aku ingkar pula.  Punggung yang tidak berat pun aku rasakan berat.

Aku mendapatkan baby Eisha yang sedang meniarap.  Bayi comel itu berusia lingkungan enam bulan.  Aku mendukungnya untuk dibawa ke bilik air.  Sudah semerbak bau yang kurang enak dari lampin jenama Huggies yang dipakainya itu.  Aku laksanakan jua tugas itu seikhlas hati.

Setelah siap ditukarkan pampers aku buatkan susu untuknya.  Aku dodoikan dia di dalam buaian.  Tidak sampai lima belas minit baby Eisya pun melelapkan mata.  Belum pun sempat aku menghela nafas lega terdengar tangisan kanak-kanak lain pula.

“Kenapa ni Mia?” Tanya aku kepada budak perempuan yang sedang menangis itu.

“Danish yang uat,” Mia pelat memberitahuku.

Mata aku mencerlung pada Danish.  Danish yang dibawah jagaanku itu memang selalu mengusik kanak-kanak lain. “Danish, kenapa usik Mia?”

“Danish nak anak patung tu,” kata Danish dengan jari telunjuk dituju pada anak patung Barbie yang dipegang Mia.

“Itu kan anak patung Mia,” ujarku dengan lembut.  Kena pandai psikologi dengan budak-budak.  Nanti kalau kita menengking mereka memberontak.

“Tapi Danish suka,” bentak Danish sambil menghentakkan kakinya.

Boy mana boleh main anak patung. Anak patung girl je boleh main,” aku cuba berdiplomasi dengan budak berusia tiga tahun lebih itu.  Kiranya itu nasihat paling cantik bagi aku.

Danish menjerit, “nak jugak!”

Aku menggaru kepala yang tidak gatal.  Huh! Bukan senang nak nasihat budak.  “Ok macam ni. Danish main robot dengan cikgu. Kita lawan nak?”

Danish nampak berminat dengan ajakan aku lalu memberikan anak patung kepada Mia.  Mia mengambil anak patungnya dan bermain dengan suka hati.

Main robot pun main robotlah Qistina Airisa.  Aku menarik tangan Danish dan mengambil robot di dalam bakul.  Aku berlakon menjadi budak kecil dengannya.  Melayan keletahnya bermain.  Ternyata Danish senang dilayan begitu.

Sejak aku tiba ke taska itu Danish lebih rapat dengan aku.  Dia tidak mahu dipujuk oleh pengasuh lain kecuali aku.  Mungkin kerana aku sering melayannya bermain.  Aku juga gembira kerana Danish gemar belajar dan bermain bersama aku.

Bapa Danish pernah mengucapkan terima kasih pada aku.  Katanya aku pandai menjaga anaknya.  Anaknya kerap kali memberitahu keseronokannya di bawah jagaan aku.

Bercakap pasal bapa Danish ni boleh buat aku angau satu macam.  Orangnya tinggi lampai, berkaca mata dan berkumis nipis.  Kulitnya sawo matang dan sedap mata memandang.  Setiap kali dia senyum terkesima aku dibuatnya.  Namun aku cepat-cepat istighfar.  Yalah tak baik macam tu.  Hensem-hensem dia pun laki orang, bapak orang.

Bapa Danish tu nampak macam golongan berada.  Setahu aku dia tu ahli perniagaan.  Datang ambil dan hantar Danish ke taska dengan BMW.  Umur dalam 33 tahun lebih kurang.  Seorang yang kemas dalam berpakaian.  Nampak tegas tapi kalau dengan aku dia murah dengan senyuman.  Hai nasib baiklah kau suami orang.

 Hesy! Tapi kalau dia bukan laki orang pun tak mungkin aku masuk jarum.  Aku yang masih belasan tahun ni tak mungkinlah nak bersuamikan lelaki yang tua tu.  Tua pada akulah.  Mana aku tak cakap tua beza umur kami lima belas tahun.  Bukankah tua itu namanya?  Apa-apa sajalah cik Qistina oi.

“Cikgu bacakan Danish buku ni,” pinta Danish seraya menghulurkan sebuah buku.  Agaknya dia sudah bosan bermain dengan robot.

Aku menyambut buku berkulit biru itu. “Oh! Bacakan buku Aladdin.”

Danish merapatkan tubuhnya pada aku.  Bersedia untuk mendengar pembacaanku.

Aku dengan senang menarik Danish ke dalam ribaan.  Aku mula membelek buku itu.  Halaman pertama kubaca. “Aladdin seorang budak yang cerdik tetapi pemalas. Pada suatu hari ibunya memarahi dan menyuruhnya pergi ke pasar untuk mendapatkan kerja. Di pasar Aladdin bertemu seorang tukang sihir. Si tukang sihir berjanji akan memberikan wang emas dan permata jika Aladdin menurut perintahnya. Aladdin berasa amat gembira lalu mengikut si tukang sihir.”

Belum pun habis buku nipis itu Danish terlena di dalam ribaan aku.  Kanak-kanak memang mudah terlelap apabila dibacakan buku cerita.  Bahkan lagi enak berada di dalam ribaan.

Aku merebahkan Danish ke atas tilam.  Aku perlu mengemas apa yang patut memandangkan jam sudah menginjak ke pukul lima petang.  Biasanya jam lima petang ke atas semua ibu bapa akan mula datang ke taska untuk mengambil anak masing-masing.

“Encik Luqman, Danish tidur. Tak sampai hati pula saya nak kejut memandangkan dia baru tidur,” aku memberitahu bapa Danish sebaik lelaki itu tiba ke taska untuk mengambil Danish.

Dia tersenyum. “Boleh awak tolong angkat?”

Erk! Ada ke patut disuruhnya aku angkat. Kalau anak dia tu seringan teddy bear tak apalah jugak.  Ini berat.  Budak tu kan kuat makan.  Mahu patah pinggang aku nak sampai ke kereta dia.

“Cikgu….cikgu….” panggil bapa Danish pada aku beberapa kali.

“Ya..ya…sa..ya…. tak….bo..leh…. angkat…” Apasal pulak aku tergagap-gagap ni?

Meletus ketawa lelaki yang aku kenal namanya Luqman Hakimi itu.

Aku buat-buat tidak tahu.  Membahang juga pipi aku sebab aku tidak minta diketawakan.  Entah apalah yang dilucukan sehingga dia boleh terkekek ketawa.  Kalau dia ni abang aku, mahu aku cekik leher dia.

Dia kembali serius. “Kenapa cikgu tak boleh angkat?”

“Saya tak ada kudrat. Saya puasa hari ini,” balas aku dengan senyum sinis.  Harap dia tak ambil kisah dengan bohong sunat aku tu.

Bapa Danish mengerutkan dahinya. “Bagusnya cikgu hari Selasa pun puasa sunat.”

“Saya puasa ganti,” dengan selamba aku masih menipu.  Nanti kalau aku cakap puasa sunat dia kata tak logik pula.  Yelah puasa sunat biasanya pada hari Isnin dan Khamis.  Itulah hari yang lebih afdal untuk kita berpuasa sunat.

“Oh! Puasa ganti,” tuturnya sambil menganggukkan kepala.  Itu tandanya dia berjaya ditipu.

“Naiklah angkat sendiri anak encik tu,” arah aku seolah-olah dia bukan pembayar yuran taska.  Tak ke sombong bunyinya Qistina? Gulp! Sorry.

Dia memandang aku sambil mengangkat keningnya.  Mungkin dia tidak berpuas hati dengan bahasa aku.

Aku masih lagi dengan muka seposen membuat isyarat mempersilakan dia naik.  Malas ambil kisah dengan aku dia menanggalkan kasut dan melangkah naik ke dalam taska.

Aku turut mengekorinya untuk mengambil beg Danish.  Aku lihat dia dengan penuh kasih sayang mengangkat anak lelakinya itu.  Dia mengucup pipi Danish yang lena tidur.

“Bertuah Danish mempunyai bapa yang begitu penyayang,” hatiku berbisik lembut.

Seketika kemudian Danish telah pun berada di dalam perut kereta.

“Ni beg Danish,” aku menghulurkan beg yang mengandungi buku dan pakaian Danish.

“Terima kasih. Selamat berbuka puasa,” balasnya dengan senyuman.  Beg itu bertukar tangan.

Sempat lagi sindir aku.  Dia tak menyindir kaulah Qistina.  Kau yang tadi mengaku berpuasa jadi tak salah untuk dia mengucapkan selamat berbuka berpuasa.

Aku hanya tersenyum tawar.  Dengan pantas berpaling ke belakang.  Tak sanggup rasanya ditenung suami orang lama-lama. Aku ni bukannya kuat iman sangat.  Nak-nak lagi ditenung lelaki kacak bergaya macam tu.

Perasannya aku.  Bila masa dia tenung aku?


9 comments: