Nov 13, 2013

Bicara seorang IBU

Alhamdulillah kupanjatkan syukur pada Allah S.W.T.  Girang tidak terkira sebenarnya hati ini.

Inilah agaknya yang selalu orang-orang tua kata 'sejuk perut ibu yang mengandung.'

Pagi ini aku ke sekolah untuk meraikan kejayaan puteri sulung aku.

Masih aku teringat di awal persekolahan dia kerap buat hal untuk tidak mahu ke sekolah.  Puas aku dan suami pujuk tapi bila dia kata tidak mahu pergi memang dia tak akan pergi.  Hati ibu bapa tidak sedih dan terkilan kala itu.

Berkat doa dan inisiatif yang kami berdua ambil puteriku tidak liat lagi ke sekolah.  Terima kasih juga buat guru yang sudi memberikan dorongan.

Pada awalnya dia biasa-biasa sahaja di dalam kelas sehinggalah aku mendapat buku rekod pertengahan tahunnya.  Syukur dapat 5A.

Hari ini hari persekolahan terakhir sekaligus hari untuk meraikan pelajar-pelajar cemerlang.  Di dalam tujuh belas orang pelajar tahun 1 yang mendapat 5A anakkku salah satu daripadanya.  Bangganya hati seorang ibu.

Anakku sayang ibu doakan kamu terus cemerlang pada tahun-tahun hadapan dan seterusnya.  Walaupun ibu sibuk dengan penulisan dan bridal ibu akan terus berusaha mendidikmu untuk kejayaan di dunia dan akhirat.  Moga dikau menjadi contoh terbaik buat adikmu.



Nov 3, 2013

Ungkapan KATA lahir dari hati





→Dalam menghayun langkah mana mungkin tidak pernah tersepak batu. Dalam meniti perjalanan mana mungkin tiada badai menanti. Dalam meneruskan perjuangan bukan semua akan memahami namun jangan mudah melatah. Hanya kita yang mampu garap kehendak diri sendiri. Hanya kita yang tahu apa yang diri kita mahukan dan perlukan dalam meniti hidup ini.

☆ Jangan biarkan ketewasan semalam menghapus azam hari ini. Bangunlah, bertatihlah dan akhirnya bisa berlari laju menuju puncak impian.

♣ Percayalah dalam setiap apa yang kita lalui meski kita rasa payah, meski luka dan berderaian air mata, Allah akan selalu bersama kita. Dia Maha Tahu apa yang terbaik untuk hambanya dan dia menguji selari dengan kemampuan kita untuk menggalasnya.

→ Biar lelah kaki berlari, biar lenguh tangan yang bergerak, biar kelu lidah untuk terus berbicara namun semangat jangan lentur. Kuatkan tekad demi cita-cita yang belum terjamah.

★ Jadilah sahabat yang sentiasa bersedia menyandarkan bahu di saat sang teman memerlukan pautan. Jadilah sahabat yang setia mendengar keluhan kawannya di kala derita menyapa. Jadilah sahabat yang boleh memimpin tangan temannya yang mahu rebah. Jangan ditinggalkan walau dia telah kalah kerana itulah sebenarnya sahabat sejati.