Oct 23, 2013

Karyaku di media cetak

Alhamdulillah cerpen aku tersiar di Berita Harian Ahad lepas.  Itulah karya pertama aku yang tersiar di media cetak setelah tiga bulan aku menulis. Apalagi tersengih sampai ke telingalah aku. Hehe.....

Dengan tersiarnya karya itu ia akan menjadi peniup semangat untuk aku terus menulis.  Semoga selepas ini ada lagi karya aku yang bakal tersiar di dada akhbar dan majalah.  Sama-sama kita doakan.

Okay.....kat bawah ni uji selitkan gambar dari petikan akhbar mingguan itu.



Oct 2, 2013

Cerpen sempena Aidiladha

Cerpen bertemakan kekeluargaan ini Uji nukilankan sempena Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang tiba.  Penuh makna untuk kita singkap sekeping hati yang kudus milik Rosmira yang dalam dilema setelah mengetahui status  dirinya sebagai anak angkat.



         RENDANG DAGING KORBAN    




Rosmira menguap beberapa kali di depan komputernya.  Entah kenapa dia rasa mengantuk sangat pagi itu.Jejarinya terasa cuak untuk terus menekan papan kekunci komputer.Dia benar-benar hilang mood.

Mungkin kerana pertemuan dengan Abang Ngahnya semalam masih menerpa di minda.Masih terngiang-ngiang suara lelaki yang tidak ditemuinya lebih lapan tahun itu.Bahkan lagi itu pertemuan yang tidak disengajakan.

Dia tidak menyangka akan terserempak dengan lelaki itu sewaktu menjamu selera di Wangsa Maju.Dia seboleh-bolehnya tidak mahu bersua muka dengan lelaki itu.Dia belum bersedia.

Peristiwa lapan tahun lepas amat merobek hatinya.Umpama telah mencalarkan seluruh kehidupannya.Waktu itu dia terluka sangat.Luka yang tidak nampak dilihat tetapi pedihnya sukar untuk digambarkan.Kecewa yang teramat-amat sehingga dia tidak tahu samada dia perlu untuk terus berjalan atau berpatah balik.

Seminggu sebelum pernikahannya walid membuka mulut.  Sama sekali dia tidak menyangka yang walid akan menolak untuk menjadi walinya.Namun dia tidak kisah kerana dia masih ada Abang Ngah.Tidak seindah realiti kerana Abang Ngah juga tidak boleh menjadi wali.

Umi akhirnya tabah untuk bercerita.Katanya aku anak tidak sah taraf.Umi membela aku sebagai anak angkat sahaja.  Ada orang telah tinggalkan aku di depan rumah umi.  Umi sendiri sudah puas berusaha mencari siapa ibu dan bapa aku namun umi gagal menemuinya.  Umi terus membesarkan aku sehingga aku ingin berkahwin pada usia 26 tahun kala itu.

Patutlah walid tidak mahu menjadi wali.Dia bukan tidak mahu tetapi dia tidak boleh.Dia tidak mampu berahsia saat itu.Dia tidak mahu menanggung dosa menipu semua orang yang aku ini anak kandungnya.  Mungkin selama ini aku berjaya dibohongi kerana aku berbintikan nama walid.  Walidku yang bernama Abdullah.

Kaki terasa berat untuk meneruskan pernikahan walaupun tunangku itu tidak kisah akan status itu.  Memang dia tidak kisah tetapi aku teramat malu.Bimbang aku tidak layak untuk bersama dirinya.

Alhamdulillah.Meskipun tidak berwalikan seorang bapa aku sah menjadi isteri kepada seorang suami.Suami yang aku sayang dan hormati itu masih bersamaku sehingga kini.Terima kasih wahai Encik Rosman kerana menerima diri ini seadanya.

Selepas selamat majlis sambut menantu di rumah Rosman aku bernekad mahu mengasingkan diri dari mereka.Mengasingkan diri dari keluarga yang telah bersamaku selama 26 tahun.

Sejak itu aku tidak lagi pulang ke kampung berjumpa umi dan walid.Aku juga telah menukar nombor telefon.  Aku tidak memberitahu di mana  rumah yang telah dibeli Rosman untuk aku.  Aku benar-benar ingin jauh dari mereka.  Biarlah aku dikatakan kacang lupakan kulit sekalipun  kerana pedih hati ini hanya aku yang tanggung.

Pertemuan dengan Abang Ngah semalam mengganggu emosiku.Sehingga membangkitkan rasa rindu pada umi dan walid.Berkali-kali dia merayu agar aku pulang ke kampung menjelang Aidiladha nanti.Katanya Walid buat kenduri sempena Aidiladha.

Ah! Walid memang selalu buat makan-makan sempena Hari Raya Haji.Tiap-tiap tahun walid menunaikan ibadat korban.Daging korban selalu walid agihkan pada orang kampung.Dan umi selalu membuatkan rendang istimewa dari daging korban itu.

Sedapnya rendang daging umi masih terasa di lidahku.Sudah lapan tahun aku tidak merasanya.Aroma daging korban itu umpama menggamit aku untuk pulang.

“Kring! Kring! Kring.”Deringan itu menunjal-nunjal telinga.Telefon bimbit dicapai.

“Assalamualaikum abang.”

“Waalaikumussalam.Kenapa Ros tak turun lagi? Abang ada kat bawah dah ni,” bunyi suara Rosman di dalam talian.

“Sorry. Kejap ye nanti Ros turun,” balas Rosmira sebelum menamatkan talian.

Kuat sangat berkhayal sampai lupa hendak keluar ‘lunch’ dengan  suami.  Rosmira cepat-cepat mencapai tas tangan sebelum menapak keluar dari pejabatnya.

“Lama abang tunggu?” Tanya Rosmira sebaik menghampiri suaminya.

“Baru je,” balas Rosman seraya membukakan pintu kereta di sebelah penumpang.

Rosmira membolos masuk.
Rosman melabuhkan punggung ke sit pemandu.  Dia memasukkan gear dan keretanya terus meluncur pergi.

“Ros, apakata sehari sebelum Aidiladha nanti kita balik ke kampung Ros.Beraya dengan umi dan walid,” cadang Rosman ketika sedang memandu.

Berdebar seketika jantung Rosmira mendengarnya.Meskipun itu bukan kali pertama Rosman mengajaknya namun dia jadi tidak keruan.Adakah kerana pertemuan dengan Abang Ngah semalam yang membuatkan suaminya kembali mengusul?

“Kenapa Ros tak jawab?”Soal Rosman lagi apabila isterinya diam tidak berkutik.

“Ros tak nak balik.Ros belum bersedia,” tutur Rosmira perlahan namun tetap sampai ke gegendang telinga Rosman.

“Abang tak fahamlah dengan Ros ni. Umi dengan walid tak salah apa pun pada Ros. Walid tidak mahu walikan pernikahan kita dulu sebab dia tidak boleh.Memang dia boleh menipu tapi ianya tetap salah.Walid menanggung dosa nanti.”

“Umi dan walid tak salah apa-apa cuma Ros yang tak dapat terima.Ros rasa bagai orang asing kerana walid dan Abang Ngah bukannya muhrim Ros.”

“Ros jangan ikut perasaan.Mungkin Ros terluka tapi Ros kena ingat jasa umi dan walid pada Ros.Sekalipun mereka keluarga angkat Ros tetapi merekalah yang menjaga Ros selama ini.”

Rosmira menghela nafas.Dia mengeluh.“Itu Ros tahu tapi entahlah.Ros sukar nak jawab.”

“Ros Aidiladha kali ni kita balik kampung Ros.Balik jumpa umi dan walid.Abang tahu mereka pasti rindukan Ros.”

“Buat apa rindukan Ros?Ros bukannya anak mereka macam Kak Long dan Abang Ngah.”

“Ros jangan cipta jurang itu sendiri.Abang yakin umi dan walid tidak membezakan Ros dengan anak-anak mereka.”

“Tanggungjawab umi dan walid dah berakhir untuk Ros.”

“Tapi Ros tak boleh lupakan jasa mereka.”

“Ros tak pernah lupa jasa mereka.Setiap bulan Ros masukkan duit ke akaun umi dan walid sehingga umi dan walid boleh ke Mekah tahun lepas.”

“Masalahnya Ros menidakkan hak mereka untuk bertemu Ros dan mendengar suara Ros.Duit tidak mampu menghapus rasa rindu dan sayang Ros.Ros asingkan diri dari mereka, sehingga mereka tidak boleh berjumpa dan menghubungi Ros.Adilkah begitu?”

Rosmira membatukan diri.Kata-kata suaminya itu banyak benarnya.Dia yang ego sendiri.Dia yang menghukum diri sendiri.Dia yang sengaja mengasingkan diri.Dia menafikan rindu yang bertamu buat umi dan walid.Dia bersikap tidak adil pada dirinya sendiri dan pada umi serta walid.

“Dahlah.Kita turun makan dulu.Nanti Ros fikirkanlah semula kata-kata abang itu,” kata Rosman selepas mematikan enjin kereta.

Rosmira menganggukkan kepalanya.Dia membuka pintu kereta lalu menapak turun.
Mereka berdua berjalan seiringan untuk masuk ke restoran nasi campur itu.


“Angah jumpa adik?”Tanya Nurul dengan terperanjat.

“Syhh! Perlahanlah sikit Along nanti umi dan walid dengar. Angah tak nak umi sedih,” Sufian mengingatkan Kak Longnya.

“Angah jumpa adik kat mana?”Nurul bertanya dengan teruja.

“Kat kedai makan di Wangsa Maju,” jawab Sufian dengan jujur.

“Habis tak ajak adik balik jumpa umi dengan walid ke?”

Wajah Sufian beriak kecewa.“Dah ajak dah tapi adik tak nak.”

“Tak minta nombor telefon adik?Tanya tak dia tinggal kat mana?”Soal Nurul lagi.

“Ada tapi adik tak cakaplah.Angah rasa adik betul-betul dah buang kita.”

“Kesian kat umi rindukan adik.Tiap-tiap tahun umi buat rendang untuk dia,” Nurul seakan-akan mengeluh.

“Tulah Angah pun kesian.Adik dah ada dua orang anak tau tak.Seorang lelaki dan seorang perempuan.Comel sangat.

“Alhamdulillah.Bertambah nampaknya cucu umi dan walid.”

“Kalau kita dapat berkumpul semula sempena Aidiladha nanti tentu umi dan walid gembira.”

“Betul tu Angah. Kalau Along tahu di mana adik tinggal Along sendiri akan pergi pujuk dia,” ujar Nurul dengan semangat.

“Kita hanya mampu berdoa Along. Kita doakan yang adik akan balik juga jumpa umi dan walid suatu hari nanti,” tutur Sufian.

“Insyaallah sama-samalah kita,” balas Nurul penuh harapan.

            Seminggu lagi Hari Raya Haji akan menjelang tiba.  Rosmira belum lagi dapat membuat keputusan sama ada ingin balik ke kampungnya atau tidak.  Selama enam tahun ini dia hanya balik ke Nilai rumah mertuanya.
         
            Rosmira masih sangsi dengan dirinya.Kadang-kadang dia rasa segan untuk balik menemui keluarga angkatnya itu.Dia malu dengan status dirinya.Dia rasa bagai tidak layak untuk berada di sisi umi dan walid.
             
           Tetapi sampai bila dia harus mengelak?Anak-anaknya ada bertanya tentang nenek dan datuk mereka.Tidak tega untuk dia menipu pada anak-anaknya yang masih kecil.Mereka berhak untuk kenal nenek dan datuk mereka.Cuma mereka tidak berhak tahu yang dia anak luar nikah.  Itu sama sekali anak-anaknya tidak perlu tahu.
          
            “Mereka tak boleh tahu siapa aku!”Hati Rosmira membentak.
             
             Mungkin itu juga sebab Rosmira tidak mahu pulang ke kampung.Dia tidak mahu anak-anaknya tahu status dirinya.Dia takut andai budak-budak itu terdengar orang bercakap.  Dia amat risau akan hal itu.
            
             “Ros tak tidur lagi?”Tanya Rosman sebaik masuk ke dalam bilik.Tadi dia berada di luar menemani anak-anaknya menonton televisyen.
             
            “Ros belum mengantuk lagi abang,” jawab Rosmira.
          
            “Banyak fikir ye?”Rosman menduga.
           
           “Taklah…” sepatah jawapan dari isterinya.
             
           “Em…abang dah bagitahu mama yang kita tak balik Nilai minggu depan.”
            
            Rosmira mengerutkan dahi.“Kenapa abang tak dapat cuti ke?”
          
           “Cuti tapi Aidiladha kali ni abang nak balik Melaka,” selamba sahaja Rosman menuturkannya.Dia tahu isterinya faham.
          
            “Abang ada saudara ke kat Melaka?”Rosmira pura-pura bertanya.
           
             “Hek eleh sudah gaharu cendana pula sudah tahu bertanya pula.Balik Melaka kampung Ros lah.”

            Rosmira tersentak.Nampaknya suaminya tidak bergurau.Suaminya benar-benar serius untuk membawanya pulang berjumpa umi dan walid.

Perlukah dia menolak hasrat suaminya itu?Mana mungkin dia menolak keputusan yang telah dibuat lelaki yang sangat dihormatinya itu.Lelaki itu telah membahagiakan hidupnya selama ini.Rosman tidak pernah kisah siapa dirinya.Malah dia langsung tidak bercerita pada keluarganya tentang status dirinya.Sebaliknya dia memberitahu yang walid adalah bapa tirinya kerana mama ada bertanya sebab kami menggunakan wali hakim dahulu.

“Diam makna setuju,” kata Rosman sambil tersengih.

Rosmira hanya tersenyum tawar.Tawar dan payau.


            Hajah Zainab terpaku memandang sekujur tubuh di hadapannya.Sekujur tubuh milik seorang anak yang amat dirinduinya.Sekujur tubuh yang amat disayanginya.
             
            Hajah Zainab terus menerpa dan memeluk tubuh Rosmira.Dipeluknya dengan erat.Air mata mula merembes di pipi tuanya.
             
           “Umi rindu sangat dengan Ros,” tutur Hajah Zainab dalam esak tangisnya.
             
            Rosmira mendakap tubuh uminya dengan syahdu.“Maafkan Ros umi.Ros berdosa dengan umi.”
             
           “Ros tak berdosa dengan umi.Ros tak salah.Umi yang salah sebab lambat bagitahu Ros,” kata Hajah Zainab tersedu-sedan.
           
           “Tak umi.Umi tak salah apa-apa.Ros yang salah pada umi dan walid,” Ros meluahkan penyesalannya.
            
            Seketika kemudian dia melonggarkan pelukannya.Dia berpaling pula pada seorang lelaki yang sudah lebih separuh abad itu.Dia keliru samada tubuh itu perlu diraihnya atau tidak sedangkan lelaki itu bukan bapa kandungnya.
             
             Rosmira perlahan-lahan mendekati lelaki itu.Dia menghulurkan tangan untuk bersalam.Cukuplah sekadar mencium tangan meskipun hatinya amat sayang pada lelaki itu.
             
             Haji Ishak menggosok-gosok kepala Rosmira yang bertudung.“Walid rindukan Ros.”
             
            “Ros juga rindukan walid. Maafkan Ros ya walid?”
             
            “Walid sentiasa maafkan Ros.Maafkan walid sebab tidak dapat mewalikan Ros lapan tahun yang lepas.”
             
           “Tak apalah walid semuanya telah berlalu. Ros sudah dapat terima semuanya.Ros redha,” akui Rosmira setulus hatinya.  Kalau dia masih fikirkan hal yang lama sudah tentu hari ini dia sekeluarga tidak tiba di depan rumah umi dan walid.
             
            Rosman menghela nafas lega kerana isteri dan mertuanya kembali bersatu.Hatinya berbunga riang melihat kedua-dua anaknya dapat memeluk datuk dan nenek mereka.Dia amat bersyukur kerana Allah mengabulkan hasratnya untuk membawa isterinya balik menemui keluarga angkatnya.
             
           “Dahlah drama kat luar tu. Esok kan kita nak buat ibadat korban. Hari ini kita kena cari bahan untuk masak rendang daging korban untuk adik.Betul tak umi?” Sampuk Kak Longnya.
             
             Meletus ketawa semua orang.  Masing-masing menguntumkan senyuman manis.
             
             Keenakan rendang daging korban umi mula terasa di lidah Rosmira.  Dia sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menikmatinya setelah lapan tahun dia tidak merasai akan hasil air tangan uminya. 
           
             Terima kasih umi atas segalanya.